Adsense

Rabu, 8 Ogos 2012

Harian Metro: Rap

Harian Metro: Rap


Bukan nak tiru sesiapa!

Posted: 07 Aug 2012 07:27 AM PDT

LAMPAI tubuhnya membuatkan gadis yang mengenakan sepasang kurung ungu ini tampak begitu menyerlah dari kejauhan. Apabila menghampiri, ia membuatkan sesiapa saja mahu menoleh dua kali kerana raut wajahnya ada iras penyanyi terkenal, Shila Hamzah.

Ainan Tasneem Redzuan, nama yang diberi orang tuanya adalah bintang Youtube yang kian menyerlah dan bakal menyerikan persada seni suara.

Pelantun lagu Aku Suka Dia ini pada dasarnya popular di kalangan pendengar. Ia terbukti, lagu nukilan sepenuhnya oleh gadis 20 tahun itu, menduduki tangga lima di carta Hot FM. Begitu juga keadaannya di radio-radio tempatan berbahasa Melayu lain.

Mengambil kira mereka yang sudah melayari lagunya di YouTube yang mencecah satu juta orang, ia membuktikan karyanya sedang diperhatikan.


Cuma, di dada akhbar mahupun majalah, wajahnya masih kurang dikenali kerana dihalang oleh statusnya sebagai penuntut Universiti Malaysia Perlis (Unimap) dalam jurusan Sarjana Kejuruteraan Bioproses. Status itu juga menghalang dia untuk muncul dengan lebih kerap di khalayak umum apalagi memenuhi undangan nyanyian.


Namun memandangkan sekarang sehingga September ini dia sedang bercuti semester, lantas Ainan merebut peluang untuk sesi fotografi bersama pihak media.

"Berbeza cuti semester sebelumnya, kali ini saya lebih sibuk kerana memenuhi sesi fotografi, program TV dan rangka promosi single Aku Suka Dia.

"Memang situasi sekarang saya terasa janggal tapi inilah saja masanya yang boleh saya manfaatkan untuk mempromosi kerjaya nyanyian saya. Setakat ini saya sudah jalankan 15 aktiviti promosi.

"Ini kerana perjanjian dengan syarikat rakaman, saya dan keluarga meminta agar tidak diganggu ketika kuliah. Pelajaran adalah keutamaan saya. Lantas saya berjanji akan memberikan komitmen ketika cuti semester. Mujurlah pihak pengurusan syarikat rakaman begitu memahami dan toleransi dengan permintaan saya," katanya.

Tidak pernah membayangkan dirinya akan terjebak dalam lapangan seni meskipun mengakui gemar menyanyi tetapi bukan untuk dijadikan karier, Ainan bersyukur.

"Sejak bersekolah lagi saya aktif dalam persembahan nyanyian dan sampai sekarang pun di universiti saya masih mengambil bahagian dalam acara pentas.

"Saya langsung tidak menyangka minat terhadap muzik akhirnya menjadi serius ke tahap ini. Semuanya gara-gara klip video Aku Suka Dia dimuat naik ke dalam YouTube oleh peminat facebook saya kira-kira dua tahun lalu. Lagu itu saya hasilkan selepas SPM (Sijil Pelajaran Malaysia) selepas dicabar salah seorang peminat yang minta saya menghasilkan lagu sendiri selepas dia kerap melihat video saya bermain gitar dan menyanyikan lagu-lagu artis popular.

"Saya menyiapkan lagu itu pada hari yang sama di mana tatkala memetik gitar saya mendapat ilham untuk menghasilkan melodinya lalu serta-merta saya siapkan liriknya kerana bimbang lupa. Hari yang sama juga saya muat naik video itu ke dalam facebook sebelum ada salah seorang peminat memasukkannya pula ke laman YouTube," katanya.

Bicara Ainan lagi, sejak beberapa ketika videonya dimuat naik ke dalam YouTube, beberapa tawaran daripada syarikat rakaman terima namun dia terpaksa menolak pelawaan itu dengan baik.

"Namun apabila label Music Valley menawarkan untuk menjadi artis rakaman mereka, kebetulan ibu bapa saya memberi keizinan. Pun begitu, ia datang dengan syarat iaitu nyanyian hanyalah hobi kerana pelajaran harus diutamakan dulu.

"Saya bersetuju kerana saya sendiri tak pernah fikir menjadi artis meskipun hobi menyanyi sudah tersemat sejak di bangku sekolah lagi," katanya.

Setakat ini dia mempunyai lima lagu seperti Tak Mungkin Aku, Harapan Cinta, Kamu Saja.

Secara rasmi menaungi Music Valley pada Disember 2011, lagu Aku Suka Dia nyanyian Ainan kemudian melalui proses rakaman semula di studio sekitar Februari.

Strategi promosi dengan mengeluarkan single demi single, lagu Aku Suka Dia misalnya terpilih untuk dimuatkan ke dalam Album Kompilasi Artis Indonesia, bersama-sama single Percintaan Ini oleh Ezad Lazim, bekas vokalis Exists.

Rabu minggu lalu, Ainan merakamkan single kedua bagaimanapun kali ini tidak mempertaruhkan lagu ciptaannya. Sebaliknya Ainan membuat rakaman semula karya bintang YouTube, Fynn Jamal, berjudul 150 Juta.

Hadir bersama abang yang dikenali sebagai, Zola dan sahabat baiknya, Dila serta Pengurus Promosi Music Valley, Mahadhir Mohamad, Ainan berkata dia mula bermain gitar sebaik saja tamat menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Desakan untuk mendalami peralatan muzik itu tercetus tatkala dia berkata-kata alangkah seronoknya kalau dia boleh menyanyi dan memetik gitar lagu-lagu kegemarannya seperti The Show dipopularkan oleh Lenka dan Taylor Swift.

Peminat Datuk Siti Nurhaliza ini berkata, sejak itu dia terus mempelajari teknik bermain gitar dengan menonton video 'How To Play Basic Guitar' di YouTube dengan menggunakan gitar yang dibelinya sendiri.

Bertudung sedari tingkatan satu, gaya itu katanya bukan untuk mencuri perhatian umum atau ingin memberi amaran bahawa datang seorang lagi Yuna atau Najwa Latif.

"Saya bukan nak tiru sesiapa. Apabila ada orang baru yang bertudung boleh menyanyi dan bermain gitar, tentu orang akan cakap klon Yuna dan Najwa Latif. Saya cuma ingin katakan di sini bahawa saya mula memakai tudung sejak Tingkatan 1 lagi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/08/07


Bantu mereka senasib

Posted: 07 Aug 2012 07:19 AM PDT

BERAT mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Setiap pasangan suami isteri tentunya mengharapkan zuriat yang dilahirkan sempurna dan cukup lengkap sifatnya.

Namun siapa yang boleh menolak ketentuan Allah dan inilah kenyataan yang perlu diterima oleh anggota kumpulan Chapters yang pernah mengukir nama pada era 1990-an, Ridzwan Abd Rahman atau Wan Chaps.

Ujian melandanya apabila perkahwinannya dengan Liez Rizawati An dikurniakan anak kategori Orang Kurang Upaya (OKU). Ini sekaligus menjadikan mereka buntu untuk menempatkannya yang terlantar kerana tiada tempat yang sesuai.

Bagaimanapun apa yang berlaku tidak ditelan bulat-bulat dan hasilnya mereka bangkit dengan idea menubuhkan Yayasan OKU Sayang yang bertujuan memberi kemudahan kepada OKU terlantar dan OKU fizikal.


"Kita faham OKU terlantar dan OKU fizikal tak mampu menguruskan diri sendiri dan inilah yang dilalui oleh kami. Masyarakat kita terlepas pandang pada golongan ini kerana banyak menumpukan perhatian kepada satu kelompok sahaja.


"Kami berfikir sekiranya kami sendiri melalui kesukaran, bermakna di luar sana ibu bapa yang senasib dengan kami juga berdepan situasi sama. Dari sinilah saya terfikir mendapatkan kerjasama daripada rakan artis untuk sama-sama memperjuangkan nasib anak istimewa ini.

"Alhamdulillah ia mendapat respon positif daripada mereka antaranya Yantzen dan Ayie Arrow yang bersetuju turut serta. Di sinilah terhasilnya idea menubuhkan OKU Sayang dan tema yang dipilih ialah Satu Hati Sejuta Harapan," kata mereka.

Hasil perbincangan bersama rakan yang prihatin, mereka tampil dengan projek pertama apabila mengadakan karnival OKU Sayang pada 14 Julai lalu di Taman Metropolitan, Kepong yang mendapat kerjasama baik dari golongan masyarakat.

"Alhamdulillah kami berjaya meraikan hampir 50 kanak-kanak OKU dari tiga PDK Rawang, Selayang dan Hulu Kelang. Kami berterima kasih kepada beberapa individu seperti Jeff (Chap Ayam) kerana menaja t shirt OKU Sayang dan City Toys yang memberi cenderhati kepada anak-anak ini.

"Sebenarnya Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) atau JPOKU ada membantu NGO berdaftar yang menubuhkan pusat penjagaan golongan ini. Tapi kebanyakannya adalah jagaan harian seperti dijaga setengah hari dan diambil selepas ibu bapa pulang bekerja.

"Ada juga NGO yang mengambil cas bulanan yang tinggi malah anak-anak ini dikerah bekerja untuk mencari sumber pendapatan yang digunakan bagi menyara mereka walaupun penjaga membayar yuran secara bulanan.

"Kami akan mengadakan program OKU terjah di mana kami akan mencari dan membantu ibu bapa yang kurang berkemampuan.

"Tujuan asal Yayasan OKU Sayang ialah menyediakan pelbagai kemudahan antaranya menyediakan asrama secara percuma yang dilengkapi dengan tenaga pengajar akademik, pengajaran tahfiz dan juga juru pulih anggota (fisioterapi) yang terlatih. Dengan adanya asrama juga, kami dapat membantu ibu bapa menempatkan anak di sini dan dapat memberi ruang mereka bekerja," kata mereka.

Wan Chaps bersyukur kerana masih ada pihak yang prihatin dengan nasib mereka dan pada 16 Ogos ini mereka akan diraikan dalam satu majlis berbuka puasa dan sumbangan Hari Raya Aidilfitri oleh Hotel De Palma, Ampang. Mereka yang ingin menghulur sumbangan kepada Yayasan OKU Sayang boleh menghubungi LW Production & Event Management di talian 010-528 0500.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/08/07