Harian Metro: Rap |
Posted: 30 Aug 2012 08:28 AM PDT APABILA terlalu banyak cerita peribadinya dijaja orang, ramai peminat seolah-olah terlepas pandang perkembangan karier seni penyanyi, pelakon dan pengacara versatil, Sarimah Ibrahim. Hakikatnya, penyampai radio Red FM berdarah kacukan Melayu-Irish ini tidak menang tangan menerima tawaran mengacara daripada pelbagai pihak. Dia juga bakal muncul dengan biografi kisah hidupnya, sekali gus berjinak-jinak dalam perniagaan sebagai jaminan masa depannya. Sarimah juga bersiaran dengan rakan setugasnya, Lil'Kev di Red FM setiap Isnin hingga Jumaat, jam 7 hingga 10 pagi setiap hari, sejak lebih enam bulan lalu. Secara peribadi, Sarimah yang bermula dalam bidang pengacaraan mengakui sangat bersyukur kerana ramai pihak yang masih memberi kepercayaan kepadanya sebagai pengacara sehingga sekarang.
Mengulas dakwaan, pengacara berwajah Pan Asian dan urban sepertinya kurang diterima peminat Melayu, Sarimah lebih suka melihatnya dari sudut positif. "Saya diundang sebagai pengacara Melodi tapi pada waktu itu pengacara tetap sudahpun tandatangan kontrak tetapi bercuti pula ketika itu. Saya sendiri memang suka mengacara program hiburan seperti Melodi. Justeru, peluang mengacara program itu saya tidak tolak. "Lagipun saya tak pernah mengacara bersama Zizan Raja Lawak dan ingin mencuba peluang itu. Nak tengok sama ada kami serasi atau tidak. Ternyata, kami seronok mengacara bersama ketika itu. Soal wajah Pan Asian pula, ramai artis popular sekarang berwajah kacukan dan yang tak ada darah kacukan pun nampak seperti berdarah kacukan juga. "Bagi saya, penonton bukannya melihat pada wajah saja, sebaliknya bakat, tutur bahasa dan cara kita mendekati penonton serta personaliti seseorang artis itu juga diambil kira. Banyak lagi aspek penting diambil kira selain wajah," katanya. Sarimah juga berdebar menanti filem terbaru lakonannya, Apokalips arahan Mamat Khalid. "Siapa kata saya sudah tidak berminat berlakon lagi? Kalau masanya sesuai, saya akan terima kerana memang rindu pada bidang lakonan. Karakter yang diimpikan ialah gadis kampung yang baik dan ayu atau watak berbeza daripada yang pernah dilakonkan sebelum ini. "Watak apapun saya terima kerana setiap watak adalah satu cabaran kerana bukan mudah untuk menghayati karakter baru. Pada masa sama, terlalu ramai pengarah yang saya ingin bekerja dan menimba ilmu dengan mereka. Saya tak memilih pun kerana semua pengarah kita bagus dan ada genre yang menjadi kekuatan masing-masing. "Begitu juga teater, selepas beraksi dalam teater Tun Mahathir dan Mak Dara Nyonya, tahun lalu, saya terus jatuh cinta dengan bidang teater dan tidak menolak jika ada tawaran lagi selepas ini," katanya. Pada masa sama, Sarimah juga tidak melupakan cintanya pada bidang nyanyian. Buat masa ini, dia masih memilih beberapa lagu yang ditulis seorang dua penggubah lagu terkenal. Kemungkinan besar, dia akan menerbitkan album sendiri tanpa label dan genre muziknya pula lebih cenderung ke arah muzik Evanescence, Cranberries, Alanis dan balada. Tidak lengkap, jika tidak menyentuh cerita peribadi pengacara jelita yang sudah lebih tiga tahun memegang status janda ini. "Bukan mudah untuk mencari pengganti. Sebagai wanita, saya ingin mencari calon suami yang lebih baik, lebih serasi dan lebih sesuai sebagai teman hidup kerana saya bukan lagi wanita berusia 24 tahun yang cuma ingin romantik dan bercinta saja. Saya sudah matang sekarang dan lebih tahu apa yang saya mahu dan perlu dalam mencari seorang teman hidup. "Saya tidak serik berkahwin lagi. Malah, saya sentiasa berdoa sekiranya diberi satu lagi peluang iaitu peluang kedua, saya akan berjaya mencari kebahagiaan dan cinta yang sejati buat selamanya. Saya memang seorang yang romantik tapi lebih matang soal cinta sekarang," katanya yang menyambut lebaran di luar negara, tahun ini. Tauke coklat Schocolates DALAM diam, Sarimah kini sudah bergelar tauke coklat jenamanya sendiri, Schocolates yang bakal dilancarkan sebelum penghujung tahun ini. Wanita muda berwawasan tinggi ini juga membuat kajian lebih setahun untuk merealisasikan perniagaan yang dirancangnya itu. "Semuanya bermula selepas saya bercuti di Jepun dan Itali, tahun lalu. Secara kebetulan, saya mengambil kelas dan kursus berkaitan bidang kopi dan membuat coklat di sana. "Saya banyak buat kajian mengenai asal usul kopi dan coklat. Apabila kembali ke tanah air, saya berasa teringin sangat nak menghasilkan coklat berkualiti tinggi dan tidak mahal untuk rakyat Malaysia kerana saya sendiri penggemar coklat. "Saya pun mulakan bisnes dengan mencari pembekal yang bagus dan ada kredibiliti, ramuan halal, mempunyai rasa, kandungan coklat asli yang tinggi dan berkualiti. Saya mendapat idea menghasilkan bisnes secara online di bawah www.s-Chocolates.com," katanya. Sarimah ditemui pada majlis berbuka puasa bersama 26 orang peminat laman sosial twitter miliknya yang berlangsung di Restoran Delicious, Bangsar, Tambah penuntut jurusan psikologi ini lagi, dia sudah lama cuba mendekati peminatnya menerusi twitter dan facebook, sekali gus mengeratkan lagi hubungan sedia ada. "Saya juga mengadakan peraduan Reebok bersama pendengar Red FM dan pengikut twitter juga berpeluang memenangi kasut Reebok edisi terhad menerusi Red FM. Mereka yang hadir berpeluang merasai Schocolates buat pertama kalinya. Saya juga menghargai komen peminat yang memberi maklum balas menerusi soal selidik di sediakan pada majlis itu," katanya. Dalam perkembangan lain, Sarimah bakal muncul dengan biografi kisah Buku yang mula ditulis pada 2010 ini menceritakan pengalamannya sebagai wanita, isteri, janda, anak seni dan seorang insan biasa yang pernah mengharungi pelbagai rintangan dari segi peribadi dan kerjaya. Artikel ini disiarkan pada : 31/08/2012 |
Posted: 30 Aug 2012 07:36 AM PDT "SAYA cabar dia untuk kemukakan bukti apabila dia mendakwa saya menuduhnya mempunyai hubungan dengan suami saya. "Jika dia tidak dapat membuktikan tuduhannya itu, saya mahu dia membuat permohonan maaf secara terbuka," kata pelakon jelita, Rita Rudaini Mokhtar, 35, yang terkilan dengan kenyataan Jue Aziz yang mendakwa dirinya menuduh wanita itu mempunyai hubungan dengan suaminya juga pemain skuad bola sepak kebangsaan, Mohamad Aidil Zafuan Abd Razak. Rita Rudaini yang menghubungi Rap, Rabu lalu, melahirkan rasa kesal, terkejut dan terkilan selepas membaca kenyataan Jue seperti disiarkan menerusi akhbar ini pada hari yang sama, Jue mendakwa Rita menuduhnya dan Aidil mempunyai hubungan. Antara petikan kenyataan Jue: "Saya rasa Rita pun tahu yang suaminya ada berkenalan dengan perempuan lain, tetapi kenapa dia perlu kaitkan suaminya dengan saya pula. Adakah sebab saya dikenali ramai maka saya dijadikan mangsa dengan sesuka hati menuduh saya dengan suaminya untuk meraih simpati masyarakat."
"Seperti yang saya jelaskan dalam siaran akhbar ini, Rabu lalu, saya sendiri dimaklumkan gosip mengenai hubungan Aidil dan Jue melalui rakan media yang menghubungi saya untuk mendapatkan komen apabila suami saya dikatakan rapat dengan pelakon itu. "Pertanyaan itu datang daripada seorang wartawan sebuah majalah sekitar Mac lalu dan sebaik mendengar hal berkenaan, saya terus bertanyakan kepada Aidil, tetapi dia kata langsung tidak mengenali Jue. "Saya bertanya kepada Aidil pun bukan sebab saya cemburu atau tidak senang dengan hubungan mereka (Aidil dan Jue) berdua seperti dimaklumkan wartawan berkenaan. Sebaliknya berkata kepada Aidil jika mahu mempunyai skandal sekalipun jangan sampai menyusahkan saya. Gosip mereka berdua membuatkan wartawan mencari saya untuk mendapatkan komen. "Kalau saya jahat sangat sampai ingin menyebarkan hal ini, dari Mac lalu hal ini sudah sampai ke pengetahuan umum. Tetapi kerana saya sudah tidak mahu ambil tahu mengenai apa yang Aidil ingin lakukan, saya biarkan saja gosip itu masuk telinga kanan dan keluar telinga kiri," katanya. Satu lagi kenyataan Jue yang disifatkan tidak berasas oleh Rita apabila wanita itu mendakwa jangan mengada-adakan cerita yang kru produksi pernah melihat Jue dan Aidil keluar berdua. "Saya nak tanya dia (Jue), dia dengar cerita dari mana dan siapa yang kononnya saya berkata begitu? "Ini kerana saya tidak pernah berhubung dengan Jue atau meminta penjelasan daripadanya sejak gosip itu berlegar Mac lalu kerana seperti yang saya katakan, saya sudah tidak mahu ambil pusing apapun yang Aidil ingin buat. "Satu lagi kenyataan melampau Jue apabila dia berkata yang saya boleh minta simpati di luar sana, tetapi bukan dengan orang dalam industri yang kenal siapa diri saya sebenarnya. "Saya lebih makan garam berbanding dirinya (Jue) dalam bidang seni ini dan Alhamdulillah sampai sekarang saya masih diberi kepercayaan pihak produksi untuk melakonkan watak utama, sekali gus membintangi drama, telefilem serta filem terbitan mereka. Saya bukan mahu takbur atau bangga diri, tapi sila jaga bahasanya itu. "Kalau saya pernah senyap seketika pun, itu bukan sebab tiada 'job' tetapi saya sendiri mengambil keputusan untuk menumpukan sepenuh perhatian kepada keluarga. "Sepanjang lebih 10 tahun berlakon, saya jarang terbabit dengan kontroversi melainkan isu 'kahwin lari' itupun kerana ingin melakukan perkara baik, sedangkan Jue, apakah dia langsung tidak pernah dihambat kontroversi? Saya tidak mahu sebut kontroversi pernah menghambat dirinya yang pernah saya, umum dan penggiat seni dengar kerana tak mahu membuka aibnya. Lagipun dia tiada kena-mengena dengan hidup saya. "Cuma, saya berharap dia lebih berhati-hati dengan tutur katanya dan jangan sewenang-wenangnya bercakap hal orang sedangkan dia sendiri bukan seorang artis yang boleh dianggap 'bersih dan bebas' kontroversi," kata Rita. Berhubung percanggahan pengakuan Aidil yang mengatakan langsung tidak mengenali Jue sedangkan Jue pula mengakui mempunyai nombor pin BBM Aidil dan pemain bola sepak itu, baru-baru ini ada berhubung dengan Jue untuk menyelesaikan kemelut gosip yang mengaitkan mereka berdua, Rita serahkan pada umum untuk menilai. "Biarlah orang yang membaca kenyataan saya dan Jue sebagai dilaporkan Harian Metro, Rabu lalu menilai sendiri. Saya percaya pembaca bijak menilai. "Menurut Jue, suami saya ada menghubunginya untuk menyelesaikan gosip yang mengaitkan mereka berdua, tetapi kenapa Aidil tidak berbuat demikian untuk menerangkan hal sebenar kepada saya yang masih lagi isterinya walaupun situasi rumah tangga kami ketika ini ibarat 'retak menanti belah'. "Bukan itu saja, kalaulah saya berada di tempat wanita yang dikaitkan dengan suami orang, saya akan menghubungi isteri kepada lelaki berkenaan untuk meminta maaf di atas gosip yang tersebar, sekali gus menafikan jika ia tidak benar. Bukannya kita menuduh dan menghina isteri lelaki itu pada umum," katanya. Artikel ini disiarkan pada : 31/08/2012 |
You are subscribed to email updates from Harian Metro: Rap To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |