Berita Harian: Hip |
Posted: 30 Aug 2012 03:43 PM PDT MEMIKUL amanah pewaris negara, enam artis muda berazam berbakti kepada nusa dan bangsa serta meletakkan nama Malaysia di persada pentas hiburan antarabangsa. Menjadikan bintang Hollywood kelahiran Malaysia, Datuk Seri Michelle Yeoh sebagai antara selebriti ikon, artis remaja iaitu Izzue Islam; Anas Ridzuan; Hairi Safwan; Ainan Tasneem Redzuan; Megan Tan dan Lisa Wong yang digandingkan pada sesi fotografi eksklusif sempena edisi Merdeka HIP - masing-masing punya misi bagi membuktikan keupayaan anak Malaysia. Tidak mahu terbelenggu dalam kepompong seni tempatan, Izzue yang juga ahli kumpulan Forteen melihat bakat nyanyian dan lakonannya mampu dikembangkan supaya dapat membuka mata pihak luar mengenai keupayaan artis Malaysia."Insya-Allah kalau ada rezeki saya mahu bakat saya ini tidak hanya dikenali di Malaysia. Sebagai artis, ini adalah tanggungjawab kita dalam membawa nama negara gah ke persada seni antarabangsa dengan mengembangkan lagi bakat ke luar negara. "Kumpulan Forteen ada impian untuk membawa muzik kami ke luar negara terutama Indonesia. Kami sudah berbincang dengan pihak pengurusan untuk merakamkan lagu duet dengan artis wanita dari seberang," katanya. Bangga menjadi rakyat negara aman dan berbilang kaum, pelakon dan penyanyi berusia 22 tahun ini mengharapkan keamanan dikecapi di Malaysia berterusan. Anas kagumi Yuna Sama seperti bintang kelahiran program Mentor 6, sekalipun bakatnya dalam bidang seni masih hijau, Anas, 23, menganggap setiap rakyat ada tanggungjawab kepada negara tidak kira besar atau kecil. "Kalau boleh, Anas mahu melihat muzik yang akan dibawa mampu sebaris muzik antarabangsa. Jika kita tengok artis Korea, walaupun kita tidak faham lagu yang dibawa mereka tetapi muzik K-Pop mampu bertapak di negara ini. "Sebagai artis baru, Anas cuba berikan persembahan terbaik supaya industri kita tidak dianggap berkelas rendah. Anas mahu melihat muzik Malaysia mampu dimainkan di luar negara seperti yang dibawakan Yuna, Mizz Nina dan Zee Avi," katanya yang akan terbit dengan single terbaru ciptaan Audi Mok dan Omar K manakala lirik oleh mentornya, Faizal Tahir berjudul Hanya Dirimu. Ainan mahu belajar Bagi pelantun lagu, Aku Suka Dia iaitu Ainan, 20, sebagai pelapis dan pemimpin masa depan, penyanyi sensasi kelahiran YouTube ini mahu mendaki menara gading supaya ilmu dapat dikongsi bersama anak muda lain. Bercita-cita menjadi pensyarah, penuntut Universiti Malaysia Perlis (Unimap) dalam jurusan Sarjana Kejuruteraan Bioproses ini mahu fokus dengan pelajaran dan menganggap nyanyian sebagai kerjaya sampingan. Ainan menganggap dirinya bertuah kerana Malaysia aman damai dihuni pelbagai bangsa. Tidak mempunyai masalah berkomunikasi dengan bangsa lain, Ainan dan Megan atau nama penuhnya Megan Tan Yue Mei, 24, sama-sama gembira dilahirkan sebagai warga Malaysia. Hos program 8TV Quickie itu turut bangga menjadi rakyat negara ini yang berkongsi pelbagai tradisi dan budaya. "Sebagai pengacara, saya mempunyai peluang untuk menjelajah ke negara lain. Tapi mahu dibandingkan, tiada negara seperti Malaysia. "Ia seperti lubuk budaya di mana kita bukan saja berkongsi negara tapi keharmonian budaya," katanya yang membintangi telefilem Sakura sempena sambutan Hari Kemerdekaan tahun lalu. Hairi mahu bintangi filem asing Hairi, 24, pula mahu melihat filem Malaysia menembusi pasaran antarabangsa seperti filem Hollywood dan bukan hanya ditayangkan ketika berlangsungnya festival filem antarabangsa. Baginya, bakat yang dimiliki akan diasah untuk memantapkan lagi mutu lakonan supaya namanya dan Malaysia terpahat di seluruh dunia. "Siapa yang tidak kenal Allahyarham Tan Sri P Ramlee termasuklah di luar negara. Bukan saja nama malah karyanya juga terkenal sehingga nama negara terpahat dalam industri perfileman antarabangsa. "Saya ingin lihat bakat lakonan saya diiktiraf di peringkat antarabangsa dengan membintangi karya asing. Tidak perlu pergi jauh, cukup sekadar di Asia atau negara jiran sudah memadai. Itu sumbangan kita kepada negara walaupun mungkin dilihat kecil," katanya. Lisa tak kekok Tidak kurang juga buat pengacara The Breakfast Show, Lisa Wong, 35. Biarpun berketurunan campuran Cina dan Serani, dia tetap fasih bertutur dalam Bahasa Melayu. Baginya, tidak kira bangsa apa sekali pun, rakyat Malaysia dapat bertutur dalam pelbagai bahasa kerana budaya yang dikongsi. "Saya gembira dapat menjadi sebahagian daripada sambutan Hari Kemerdekaan yang ke-55 ini. Selepas apa yang diusahakan oleh pemimpin yang lalu, kita generasi muda hari ini sepatutnya berbangga dan terus kekalkan keamanan," ujarnya. Erti Kemerdekaan IZZUE ISLAM: Bebas melakukan apa saja tanpa ada sebarang sekatan daripada pihak luar dan berada di dalam suasana yang aman dan tenteram. ANAS RIDZUAN: Bebas daripada segala anasir dengan acuan sendiri dan sentiasa menjaga keamanan negara. HAIRI SAFWAN: Mengekalkan keamanan yang dimiliki dan mengingati pejuang kemerdekaan dulu. Ini kerana kita tidak perlu lagi bersusah payah berjuang untuk mendapatkan kemerdekaan. AINAN TASNEEM: Kita selesa tinggal bersama dan berkongsi pelbagai keunikan, bukan saja dari segi seni budaya, tapi dapat menikmati pelbagai tradisi tinggalan pejuang kemerdekaan. MEGAN TAN: Hari Merdeka adalah hari peringatan, di mana tarikh 31 Ogos adalah hari yang menyatukan kita semua, tidak mengira bangsa, kaum mahupun agama. Tarikh ini juga suatu peringatan di mana pejuang masa lalu bertarung untuk mencapai kemerdekaan, jika tiada mereka, maka tiadalah kita pada hari ini. LISA WONG: Dapat bertutur pelbagai bahasa, menikmati pelbagai juadah makanan, melancong ke seluruh negara dengan selesa - itulah nikmati kemerdekaan! NAMA: Muhammad Izzul Islam Mazlan NAMA: Anas Ridzuan NAMA: Hairi Safwan NAMA: Ainan Tasneem Redzuan NAMA: Megan Tan Yue Mei NAMA: Lisa Wong |
You are subscribed to email updates from Berita Harian: Hip To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |