Adsense

Khamis, 16 Ogos 2012

Harian Metro: Rap

Harian Metro: Rap


Belajar masak rendang, kuah kacang

Posted: 14 Aug 2012 07:02 AM PDT

SELAIN meraikan kemeriahan Aidilfitri buat pertama kali sebagai pasangan suami isteri, apa yang lebih menggembirakan Ahmad Nabil Ahmad atau Nabil, 29, dan isteri, Nazirah Ayub (Zira), 24, adalah debaran menunggu kelahiran zuriat sulung mereka, Disember ini.

Bahkan Nabil turut mengharapkan anak sulungnya lahir pada tanggal 12.12.2012 walau pun doktor menjangkakan kelahiran tanggal 13 Disember nanti.

Justeru, penyampai radio Suria FM itu berkata, segala persiapan sebenarnya lebih tertumpu pada persediaan untuk menyambut kelahiran bayi mereka tidak lama lagi.

"Persiapan Aidilfitri kami, biasa biasa saja. Raya pertama akan disambut di kampung keluarga Zira di Sungai Siput, Perak. Kami akan pulang pada Jumaat ini sehingga Ahad. Sepanjang di kampung, kami akan menziarahi rumah sanak saudara untuk berhari raya serta mengeratkan hubungan silaturahim.


"Kami tidak boleh lama di kampung kerana saya akan mula bertugas di konti pada raya kedua (Isnin) mengendalikan Ceria Pagi Di Suria bersama Halim Othman dan Kenchana Dewi. Selama tujuh bulan bekerja di radio, saya sangat seronok dan selesa. Saya pun makin mahir dalam konti.


"Ditambah lagi, sekarang pun saya sudah ada segmen sendiri iaitu Detektif TerConan yang ke udara setiap Ahad, jam 3 petang, mulai 29 Julai lalu. Jadi, tak dinafikan ia semakin menaikkan semangat saya untuk bekerja dengan lebih gigih demi memastikan pendengar terhibur.

"Saya pun tidak kisah kalau sampai bila-bila bekerja di radio. Saya bangga kerana Zira cukup memahami dengan tuntutan kerja ini dan apa yang dilakukan adalah untuk keluarga kami juga," katanya.

Masih aktif menjayakan program televisyen, Nabil turut memaklumkan pada Aidilfitri ini, dia akan muncul dalam lima rancangan TV istimewa iaitu Karoot Komedia X Raya, Warna Raya, Akustika Raya, Bedah Tong Gas Raya dan Eh! Ni Baru Betul Raya. Katanya pada masa yang sama tawaran berlakon pun masih banyak diterima.

"Bagaimanapun, tak semua tawaran saya setuju. Tawaran membintangi filem, saya tak ambil langsung buat masa ini kerana tak sesuai dengan masa. Apa yang paling utama adalah kerana saya tidak dapat beri komitmen. Oleh itu, daripada menyusahkan orang lain dan tamak, lebih baik saya fokus mana yang sudah ada. Saya tidak kecewa atau ralat terpaksa menolak tawaran itu," jelasnya.

Mengenai dakwaaan dirinya yang semacam sudah kurang popular, Nabil berkata dia bahagia dengan perjalanan kariernya sekarang. Katanya zaman awal dulu dia memang kena menonjol dan sampai satu tahap dia mahu semuanya tidak keterlaluan kerana tanggung jawab semakin banyak.

Kata anak jati Mambau, Negeri Sembilan yang pernah meraih gelaran Bintang Paling Popular pada Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) ini, apa yang membuatkan dia bangga ialah status pelawak di negara ini semakin menjadi perhatian.

"Jadi saya amat berterima kasih kepada pelawak terdahulu seperti Imuda, Sathiya, Datuk Yahya Sulung dan ramai lagi yang sebenarnya menjadi nadi penggerak semangat generasi pelawak baru macam kami. Merekalah pelawak sepanjang zaman.

"Pun begitu, apabila Saiful Apek memecah tradisi pelawak menjadi Bintang Paling Popular diikuti saya, ia satu pencapaian bagi kami semua barisan pelawak dan artis komedi.

Bukan senang nak buat orang ketawa," ujarnya.

Nabil turut akui doanya dimakbulkan Tuhan untuk memiliki cahaya mata, sebaik dia melaksanakan tuntutan agama dengan membayar zakat.

"Selepas tiga hari membayar zakat, isteri saya Zira disahkan hamil. Semua ini ada hikmah yang besar," katanya lagi

Sementara itu Zira sama seperti suaminya yang tidak sombong dan mesra. Zira bersyukur bertemu jodoh dengan Nabil yang disifatkan sebagai seorang suami penyayang, rajin, bertanggungjawab dan suka bermanja. Ujar Zira, Nabil juga tidak terlalu cerewet soal makanan dan tidak suka menyusahkannya.

"Sempena Aidilfitri kali ini saya mahu belajar masak rendang dan kuah kacang yang menjadi makanan kegemaran Nabil. Setakat ini, saya masih tak mahir memasak rendang tapi akan terus mencuba. Seronok buat eksperimen di dapur. Nabil sebenarnya lebih suka makanan bergoreng berbanding yang berkuah.

"Apapun, persiapan raya kami untuk tahun ini memang sederhana. Ini kerana macam Nabil cakap, keutamaan kami adalah persediaan untuk bayi sulung yang akan lahir tidak lama lagi. Yang penting, saya nanti kita bermaafan dengan semua orang dan berkunjung ke rumah terbuka," katanya.

Menyentuh soal alahan dan mengidam, Zira yang mengandung lima bulan berkata dia bersyukur kerana semua alahan awal sudah hilang.

Pun begitu, hingga sekarang dia masih belum menemui apam balik nipis yang diidamkan. Katanya sudah puas juga dia mencari tetapi masih belum ditemui. Namun pencarian itu akan diteruskan dari semasa ke semasa.

"Saya sebenarnya tidak terlalu sangat melayan soal mengidam. Namun harapnya dapatlah jumpa apam balik nipis tu. Pernah juga dia mengidam nak makan durian dan mi udang. Pun Pun begitu, Zira berkata Nabil kurang setuju apabila dia teringin makan durian kerana durian panas," katanya.

Ditanya apakah dia akan menjadi suri rumah sepenuh masa, Zira mahu menjadi wanita bekerjaya. Namun semuanya akan difikirkan selepas melahirkan anak nanti.

Artikel ini disiarkan pada : 16/08/2012


INTERAKSI: Ramai suka berkampung di perut

Posted: 14 Aug 2012 03:50 AM PDT

ISU pembubaran Prism Sdn Bhd kepada Prism Berhad sebagai badan pemungut royalti untuk pelaku (penyanyi dan pemuzik rakaman) mendapat perhatian pelbagai pihak dalam industri. Ramai pihak mengalu-alukan penubuhan Prism Berhad dan mengajak penggiat seni muzik tempatan supaya menyertainya.

Antara mereka yang menyertai Prism Berhad adalah Biduanita Negara, Datuk Sharifah Aini dan Nassier Wahab yang berbuat demikian apabila mengakui badan yang ditubuhkan lapan tahun lalu itu lebih telus dalam memberikan hak pelaku.

Ramai berharap pertelagahan antara Performers & Artistes Right (M) Berhad (Prism) dan Recording Performers Malaysia Berhad (RPM), badan baru yang juga mahu bertindak sebagai pemungut royalti untuk pelaku dapat diselesaikan segera.

Sebenarnya, sebelum MACP (Music Author's Copyright Protection) wujud, kita pernah ada Masrac iaitu sebuah badan mengutip royalti persembahan muzik pertama di Malaysia yang dipengerusikan komposer terkenal Manan Ngah.


Kesemua isu yang berbangkit sekarang bukanlah baru kerana pernah disuarakan oleh Manan sejak dulu termasuk mengambil kira kepentingan pemuzik dan pelaku persembahan secara langsung walaupun mereka tiada kaitan dengan industri rakaman.


Sebagai orang seni berpengalaman, Manan terpanggil untuk memberi pendapat dan pandangan terhadap isu ini membabitkan Prism dan RPM. Ikuti temu bual wartawan Rap, Ridzuan Abdul Rahman (mohamadridzuan@hmetro.com.my) bersama komposer yang pernah mencipta fenomena menerusi lagu Aku Hanya Pendatang dan Sekadar Di Pinggiran itu.

RAP: Apa yang Manan ingin kongsi dengan penggiat seni?

MANAN: Saya adalah komposer dan pemuzik yang sekarang ahli Prism. Isu ini amat berkaitan rapat dengan dua aspek penting iaitu pertama, undang-undang berkaitannya dan kedua, komposisi ahli sesebuah persatuan pemungut royalti. Setahu saya, apabila kerajaan melalui kementerian dan agensinya ingin mengadakan atau memurnikan sesebuah akta, sejak dulu lagi menjemput dan berbincang dengan pihak industri yang berkaitan untuk mendapatkan 'input' dan maklum balas sebelum perkara itu dibentang ke Parlimen atau peringkat lebih tinggi dan akhirnya diwartakan.

RAP: Biasanya jemputan dibuat kepada siapa?

MANAN: Jemputan ke perbincangan selalunya atas nama sesebuah persatuan dan amat kurang jemputan atas kapasiti individu. Perolehan 'input' dan suara hati kebanyakan pemuzik, penyanyi dan pelaku secara langsung agak minimum. Pada masa sama, di pihak persatuan rakaman dan penerbit muzik yang dijemput kerap pula diwakili pakar undang-undang untuk menjaga kepentingan masing-masing. Ini diakui sendiri oleh ikon Pop Yeh Yeh Malaysia Datuk A Rahman Hassan sebagaimana disebut beliau dalam ucapan aluannya pada majlis berbuka puasa dan penyerahan cek PRISM di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

RAP: Apa kelemahan persatuan yang Manan nampak sekarang?

MANAN: Adalah suatu yang malang apabila pihak persatuan yang mewakili artis kurang mengambil berat aspek undang-undang dalam perjuangannya sekian lama berbanding persatuan yang mewakili syarikat rakaman, pengedar atau penerbit bahan muzik. Maka sama ada seimbang, adil atau tidak apa yang kita kecapi melalui undang-undang yang ada sekarang adalah ekoran proses yang telah pun berlaku.

Apa yang terkandung dalam Akta Hakcipta yang berkaitan sekarang tidak menyatakan hanya satu saja badan eksklusif dibenarkan menjadi agen atau organisasi kutipan royalti. Maka sebab itulah kelahiran badan selain Masrac, MACP, PRISM, dan terkini pula RPM adalah masih boleh, dibenarkan berlaku.

Yang bakal dan sudah menjadi masalahnya adalah pihak pengguna seni atau pihak pembayar yang mungkin mengambil kesempatan keadaan ini untuk melambat-lambat atau tidak membayar langsung royalti penggunaan bahan berkenaan. Alasan ini mereka ia sangat mengelirukan.

RAP: Apa pula yang dimaksudkan dalam perkara kedua?

MANAN: Berkaitan dengan 'ahli'. Kewujudan Masrac dulu dan selepasnya pula MACP adalah bertujuan mengutip royalti persembahan lagu di khalayak awam termasuk di stesen TV dan radio. Persatuan ini dianggotai oleh barisan pencipta muzik dan penulis lirik serta pihak penerbitan muzik (music publisher) iaitu syarikat yang memegang dan mengawal hak ciptaan yang terhasil bagi kegunaan komersial.

Perpindahan itu bersifat kekal dan pencipta asal akan kehilangan hak kawalan apabila ciptaannya sudah dipindah milik kepada pihak penerbitan yang dipersetujui.

Dulu, menyedari hakikat bahawa pencipta lagu dan lirik walau setinggi mana popularitinya tidak semestinya adalah pemilik dan pengawal hak ciptaannya sendiri, maka Masrac tiada pilihan lain, lantaran pada waktu itu, akhirnya terpaksa dibubarkan.

Sebagai bekas pengerusi, saya adalah daripada kalangan ahli lembaga pengarah terakhir yang turut menjadi ahli MACP. Saya sendiri menjadi nama pencadang sebagaimana tercatat pada borang kemasukan Habsah Hassan yang juga bekas ahli lembaga pengarah Masrac ke dalam MACP iaitu pengerusi persatuan itu sampai sekarang.

RAP: Boleh jelaskan perbezaan Masrac dan MACP?

MANAN: Objektifnya adalah hampir sama. Namun mungkin yang digeruni oleh banyak pihak pada waktu itu (sekitar 1987) ialah Masrac lebih memperjuangkan konsep 'local music for local ownership and control'. Di samping sebagai aset dan khazanah negara, ia bertujuan mengelak aliran wang kutipan royalti terlalu banyak ke luar negara melainkan artis tempatan lebih bijak mentadbir dan mempunyai syarikat penerbit muzik sendiri (self publishing) di samping diri sebagai penyanyi atau pencipta lagu.

Berbanding Masrac, PRISM tidak perlu tunduk dan beralah kepada mana-mana pihak untuk terus berfungsi iaitu melalui penstrukturan semula daripada sendirian berhad kepada berhad. Ini kerana ahli-ahli PRISM sendiri iaitu roh dan jasad (pelaku) yang seramai lebih 1,000 orang bukanlah seperti karya muzik yang boleh dipindah milik kepada pihak lain sebagaimana sebuah lagu.

RAP: Apa yang boleh dilakukan oleh anak seni bagi memastikan mereka terus bernafas?

MANAN: Realitinya juga perlakuan atau persembahan muzik di khalayak umum sejak dulu lagi tidak semuanya ada kaitan dengan syarikat rakaman atau syarikat penerbit muzik. Artis harus terus digalak untuk 'self-publish' ciptaan mereka apa lagi kini sudah ada pelbagai medium pemasaran secara 'non-conventional' selain dijual di kedai-kedai secara fizikal. Pergantungan kepada kemampuan dan kebijaksanan sendiri sebagai 'independent label', artis dan 'publisher' kini harus terus menjadi pilihan artis-artis yang berfikir.

Di samping, apakah kita ingin meminggirkan persembahan yang sekian zaman diadakan secara langsung di majlis-majlis keraian terutama oleh pendukung muzik tradisional dan golongan marhaen? Apakah oleh kerana mereka bukan artis rakaman maka golongan ini tidak layak mengecapi sedikit nikmat ruang akta atau undang-undang sedia ada?

RAP: Apakah Manan berpandangan positif terhadap penubuhan Prism Berhad?

MANAN: Tahniah kepada Datuk Aziz Bakar dan Pengurus PRISM Ong Peng Chu diatas usaha mereka selama ini bersama Prism Sdn Bhd. Semoga persatuan ini terus relevan dan dibarisi oleh kepimpinan yang mantap, berilmu dan berdaya saing bagi meneruskan misinya di samping bersesuaian dengan prinsip dan amalan antarabangsa yang telus dan tidak merugikan negara.

Manakala kesemua artis Malaysia harus terus bijak bersatu agar tidak mudah dipecah perintah oleh golongan pengacau dan oportunis yang sentiasa cuba mengintai peluang lantaran sikap naif sesetengah golongan seni tanah air
yang kurang pengetahuan. Dalam meniti perjuangan, tidak ramai yang berani bertenggek di tanduk tetapi ramai pula suka berkampung di perut!

Artikel ini disiarkan pada : 16/08/2012