Adsense

Rabu, 15 Ogos 2012

Harian Metro: Rap

Harian Metro: Rap


Tiz berdebar jumpa Nicholas

Posted: 13 Aug 2012 06:43 AM PDT

KATA orang, anak tunggal memiliki banyak keistimewaan dan perhatian yang tidak berbelah bagi daripada ibu bapa. Pinta apa saja dihajati, pasti impian dipenuhi.

Pemuda berwajah kacak ini mengakui keistimewaan itu, namun dia punya cara menangani hidup dan jika mahu dinikmati kemewahan dengan mengharapkan pemberian orang tua, itu bukan caranya.

"Memang benar aku ini anak tunggal tetapi aku bukan jenis orang manja malah, cukup berdikari. Aku tak suka 'disogok kemewahan' kerana bagi aku orang-orang seperti ini sebahagian daripada mereka yang gagal," ujar aktor yang cukup terkenal dengan watak Rangga menerusi filem Ada Apa Dengan Cinta yang diterbitkan pada 2002.

Menemuinya di Kampung Budiman, Meru, Klang, Khamis lalu, kunjungan Nicholas Saputra, 28, di sini bagi menjayakan promo Hari Raya Aidilfitri terbitan Diva Universal (Astro 702) yang bakal bersiaran 17 Ogos nanti.


Selain Nicholas atau mesra disapa Nico, turut membintangi promo berkenaan tiga pelakon tempatan iaitu Tiz Zaqyah, Fatimah Abu Bakar dan Sam Bunkface.


Perbualan masih berkisar kehidupan anak tunggal, Nico ketika ditanya beraya sebagai anak tunggal tanpa saudara kandung yang lain bagaimanakah agaknya?

Nyata, suasana meriahnya sama saja seperti orang lain kerana dia mempunyai hubungan akrab dengan sepupu selain teman-teman kejiranan yang cukup rapat.

"Meskipun aku tidak punya adik-beradik, aku punya sepupu lebih kurang sebaya dan mereka ini aku anggap seperti saudara sendiri. Justeru, suasana Aidilfitri dirasakan tetap meriah walaupun bukan keluarga besar.

"Tambahan pula, aku punya hubungan rapat dengan kejiranan sekitar kediaman nenek. Setiap tahun menyambut Aidilfitri, kami sekeluarga pulang ke rumah nenek sebelah ibu tetapi dia tinggal di Jakarta saja, kerana tak ada kampung. Alhamdulillah, dia masih sihat.

"Jadi sejak aku kecil hingga besar, aku sudah terbiasa dengan anak-anak kejiranan nenekku. Zaman kanak-kanak paling menyeronokkan menyambut Syawal kerana kita selalu main mercun sama-sama dan ke masjid manakala Ramadan pula kita menunaikan solat Tarawih," katanya.

Menggemari masakan nenek dan ibunya, hidangan pagi hari raya yang pasti disambarnya dulu adalah rendang, ketupat dan sayur betik bersama santan.

Secara peribadi kata Nico, dia lebih sukakan suasana Hari Raya Korban kerana keadaannya yang cukup meriah. Penduduk sekitar beramai-ramai ke masjid gotong-royong untuk melaksanakan korban.

"Aku ini pencinta binatang, melihat lembu atau kambing disembelih, kadang-kadang aku jadi kesian. Namun apabila kita mengerti maksud korban itu, sejarahnya cukup indah. Malah, aku beberapa kali curi pandang untuk belajar cara orang melakukan penyembelihan," katanya.

Kali terakhir bertemu Nico tiga tahun lalu di Wondermilk, Uptown, Petaling Jaya, namun pertemuan kali ini, bintang Janji Joni itu sudah jauh berubah. Dia kini lebih ramah, mudah didekati dan sudah boleh menerima gurauan.

"Aku bukan sukar didekati tetapi aku meletakkan batas bila berdepan dengan media dan orang yang aku tidak kenal kerana aku tidak suka ditanya soalan peribadi. Soal kerja, aku tiada masalah," katanya.

Dilahirkan pada 24 Februari 1984, jejaka berzodiak Pisces ini, baru sebulan berehat daripada pembikinan filem Yang Tidak Dibicarakan Ketika Membicarakan Cinta arahan Mouly Surya yang sebelum ini pernah menggondol pelbagai pengiktirafan menerusi filem sulungnya, Fiksi. Selain Nico, filem berkenaan turut dibintangi Ayushita, Karina Salim dan Anggun.

Dikenali sebagai aktor kelas 'A' di Jakarta ekoran kebanyakan filemnya mendapat kutipan pecah panggung selain seorang yang sangat selektif dalam memilih watak, Nico bagaimanapun mengejutkan apabila bersetuju menjayakan promo Hari Raya Aidil Fitri terbitan Diva Universal (Astro 702).

Berdurasi 30 saat, apakah dia mampu mencapai kepuasan seorang pelakon dengan menjayakan promo itu? Nico berkata, singkat atau panjang sesuatu tempoh siaran tidak penting asalkan dia mampu melakukannya dengan jujur.

"Aku percaya pada kerja yang jujur. Promo ini misalnya, lakonan aku mewakili jutaan umat Islam yang terpaksa beraya jauh di perantauan kerana mencari rezeki. Aku sendiri pernah mengalaminya pada 2005 dan ketika itu berada di Acheh untuk menyiapkan dokumentari NGO sempena program Flora Fauna International (FFI).

"Naskhah yang panjang tidak semestinya memberikan impak dan kerana itu aku cenderung membabitkan diri dalam pembikinan filem pendek kerana watak diberikan sering berbeza dan mesejnya sangat kuat. Kebetulan, aku sangat dekat dengan pihak produser (Nini Yusof) di mana aku pernah bekerja dengannya untuk Channel [V] selain Sam Bunkface yang beberapa kali pernah ketemu," katanya.

Beralih perbualan kepada bintang Nur Kasih, Tiz Zaqyah, dia langsung tidak menyangka berpeluang membintangi promo ini bersama Nico dan terharu apabila pihak Diva Universal memilihnya sedangkan terdapat ramai artis wanita tempatan yang tidak kurang popular.

"Ketika tawaran ini datang saya kebetulan 'free' dan terfikir kenapa tidak cuba kerana belum pernah lagi saya menjayakan promo raya seperti ini. Bila dimaklumkan akan berlakon dengan Nicholas Saputra, Fatimah Abu Bakar dan Sam Bunkface, tambahlah berdebar.

"Masih ingat lagi ketika filem Ada Apa Dengan Cinta heboh diperkatakan di sini, saya masih di tingkatan dua masa itu. Saya bersama kawan-kawan pergi menonton di panggung. Pendek kata, semua gadis bagaikan jatuh cinta dengan pemuda 'cool' bernama Rangga (Nico) .

"Seperkara lagi membuatkan saya tertarik untuk membintangi promo ini, sebelum penggambaran dilakukan pihak produser mengirimkan video promo yang dibuat tahun lalu lakonan Redza Minhat dan Cristina Suzanne. Saya amat tertarik dengan konsep yang diketengahkan," katanya memegang watak Huda untuk promo itu.

Sementara Sam Bunkface, memilih untuk terbabit dalam promo berkenaan sebagai mengisi kekosongan jadual memandangkan sepanjang Ramadan kumpulannya berehat dari sebarang aktiviti nyanyian.

"Promo ini cuma mengambil masa 30 saat saja dan watak yang diberikan juga tidak berat iaitu masih dalam kemampuan saya. Saya memegang watak Ali, kawan kepada Nico yang ingin pulang ke Jakarta untuk beraya tetapi terlepas penerbangan.

"Kasihankan Nico, Ali bawa rakan setugasnya itu beraya di kampung halamannya. Tidak sukar membina persefahaman dengan Nico kerana kami sudah kerap kali ketemu malah dia pernah menemubual Bunkface sebelum ini," katanya.

Nini Yusof selaku Country Manager NBC Universal menerusi kenyataan memaklumkan, ini adalah kali kedua Diva Universal menerbitkan promo sempena Aidilfitri.

"Menampilkan pengarah yang sama, Nik Amir Mustapha, tahun ini bagaimanapun kami amat berterima kasih kepada Honda Malaysia yang bekerjasama dengan Diva Universal untuk menerbitkan promo hari raya yang memaparkan Nico, Tiz, Sam dan Fatimah.

"Saya berharap ia mampu menjadi sebuah promo iklan yang dapat menyentuh hati semua rakyat Malaysia khususnya beragama Islam termasuk seluruh penonton Diva Universal," katanya.

Plot yang ringkas dan manis ini memaparkan bagaimana Nico masih boleh menyambut kemanisan sambutan Hari Raya walaupun ketinggalan pesawat ke Jakarta. Dia dibawa pulang ke kampung dengan menaiki kereta Honda Freed oleh Ali untuk menyambut lebaran bersama keluarga Ali.

Kedatangan Nico bukan sahaja disambut mesra oleh keluarga Ali, tetapi turut memberi peluang salam perkenalan yang manis di antara Nico dan Huda.

Pembabitan Honda dalam promo ini sebagai salah satu cara untuk menembusi pasaran Melayu dan pihak itu mendapati kerjasama menerusi program misalnya promo Hari Raya ini adalah detik yang terbaik untuk menjalinkan kerjasama.

Artikel ini disiarkan pada : 14/08/2012


SOSEH SOSEH: Lisa kuat makan: Yusry

Posted: 13 Aug 2012 06:21 AM PDT

SEJAK berkahwin lagi, SS tengok Yusry Abdul Halim semakin bahagia dengan isterinya, aktres cantik Lisa Surihani. Kemesraan mereka begitu ketara biarpun di depan khalayak umum kerana mereka bedua suka melawak dan bermanja.

Contoh ini dapat dilihat pada majlis berbuka puasa yang dihadiri kawan-kawan wartawan SS di Hotel JW Marriott, Kuala Lumpur, minggu lalu.

Kata mereka, Yusry dan Lisa begitu ramah melayan tetamu pada petang itu dan mereka banyak berkongsi cerita lucu di sebalik kehidupan berumah tangga yang baru dibina.

Kata Yusry, berat badannya sudah naik kerana berjangkit hobi Lisa yang kuat makan!


"Yang geramnya, Lisa tak jadi gemuk tapi saya pula yang naik berat badan," kata Yusry kepada kawan SS.


Kata Lisa pula, berat badannya memang susah naik dan dia sangat gembira dengan keadaan itu. Mungkin Lisa memang sengaja hendak lihat badan Yusry sedikit berisi.

"Buat masa sekarang, saya belum mengandung tapi selera makan selalu ada. Tak tahulah macam mana kalau dah mengandung nanti. Tentu peti sejuk saya kena penuh dengan makanan sepanjang masa," katanya sambil ketawa besar.

Lebih menarik sebelum menyambut Aidilfitri kali ini, mereka sudah pun berpindah ke rumah baru di Kajang Country Heights, Selangor.

Dengar cerita, lokasi kediaman mereka sangat cantik dan sekarang masing-masing tengah memerah idea untuk mencorakkan rekaan luaran serta dalaman rumah itu.

SS yakin Yusry dan Lisa memang ada banyak idea. Ditambah dengan kebolehan Yusry yang cekap dalam bidang komputer grafik, tentu dia dapat membayangkan kesan visual yang hebat terhadap kediaman baru mereka itu.

Turut hadir di majlis itu dua lagi saudara Yusry, Norman dan Edry serta warga kerja Era FM. Trio KRU begitu bersemangat bercerita mengenai pelbagai projek filem terbaru mereka yang sudah dan sedang dalam pembikinan bagi tayangan di pawagam.

SS memang tunggu semua filem KRU Motion Pictures kerana ia selalunya ada kelainan. Tengoklah bagaimana uniknya filem Cicak-Man, Magika, Hikayat Merong Mahawangsa dan Cinta Kura-Kura. Sekarang ada beberapa lagi filem termasuk kisah bergenre pengembaraan iaitu Ular arahan Yusry yang dibintangi oleh Lisa sendiri.

Juga filem fantasi sejarah 29 Februari yang akan ditayangkan menjelang sambutan 31 Ogos nanti lakonan Remy Ishak. SS yakin ramai peminat KRU dan Remy akan keluar menonton filem itu apatah lagi ia dihasilkan dalam format 3D. Syabas diucapkan kepada KRU!

SS: Tak sabar melihat penampilan Lisa apabila dia sudah berbadan dua. Nampak Yusry macam tidak sabar-sabar jadi ayah.

Artikel ini disiarkan pada : 14/08/2012