Adsense

Jumaat, 10 Ogos 2012

Harian Metro: Rap

Harian Metro: Rap


Fouziah berkampung di Thailand

Posted: 08 Aug 2012 08:04 AM PDT

DEMI menjayakan setiap watak yang diberikan pengarah, pelakon jelita Fouziah Gous sanggup melakukan apa saja asalkan karakter yang dibawakannya benar-benar berkesan dan nampak hidup di mata penonton.

Cabaran terbaru yang digalasnya boleh dianggap hebat kerana apabila melakonkan watak dalam drama bersiri Dendam Sarakit untuk slot Seram di TV3 menggantikan drama Waris tidak lama lagi.

Drama arahan Fairuz Loy ini diterbitkan Wayang Tinggi Produksi Sdn Bhd.

Sebulan berkampung di Betong, Selatan Thailand, menjayakan drama bersiri seram berkenaan baru-baru ini, Fouziah, 30, akui banyak perkara baru yang dipelajarinya walaupun pernah membawakan watak hantu dalam kisah misteri.


Malah gandingan pertama kali bersama Zain Hamid (Ruffedge) berjaya membuktikan masing-masing mampu mencari keserasian dan memberikan yang terbaik seperti mengikut kehendak sutradara.


"Walaupun pernah berlakon dalam kisah seram, saya akui drama ini benar-benar mencabar karakter terutama dari segi penyampaian dialog saya. Bagi menghidupkan watak Sarakit, saya perlu menggunakan bahasa Melayu-Thai.

"Ia memang susah kerana masyarakat di sana biasanya bercakap dalam ayat satu persatu secara lengkap sedangkan kita di sini sudah biasa dengan bahasa singkatan yang turut menjadi kata perbualan setiap hari.

"Pada awalnya saya cuba belajar memahami bahasa sebenar mereka di situ namun kadang kala masih terdengar seperti loghat Kedah, Kelantan dan Pulau Pinang. Ini menyebabkan pengarah meminta saya belajar lagi agar lakonan lebih bersahaja.

"Lama kelamaan apabila sudah biasa, saya mula berasa selesa dan seronok kerana inilah pengalaman cukup menarik bagi diri saya sepanjang menjadi seorang pelakon. Lakonan saya juga kena banyak bermain emosi dalaman," jelasnya.

Bukan saja perlu belajar lenggok bahasa yang baru, gadis kelahiran Kuala Lumpur ini juga perlu berkain batik sepanjang sebulan berlakon di Negara Gajah Putih itu.

"Untuk drama ini hampir semua babak memerlukan saya berkain batik sepanjang masa, mujurlah batik yang dipakai bukan sebarang kain tetapi daripada fabrik yang bagus dan selesa untuk saya gunakan sepanjang masa.

"Secara tidak langsung pemakaian batik ini mengajar saya perkara baru mengenai soal fabrik tradisi berkenaan, maklumlah apabila hidup di bandar, saya jarang-jarang memakai kain batik untuk kegunaan harian.

"Justeru penggunaan batik ini memberikan saya pengalaman berbeza, mungkin satu hari nanti kalau perlu memakainya ia tidak menjadi masalah lagi buat saya," katanya.

Bekerja di tempat orang tentu ada beberapa pantang larang yang harus dipatuhinya apatah lagi drama ini berkisarkan mengenai kejadian seram.

Fouziah akui dia sedar akan perkara itu dan diajar cara-caranya masuk ke tempat orang.

"Pengalaman berlakon cerita seram sebelum ini memberi banyak pengajaran agar selalu berhati-hati. Menyedari pula saya membawakan peranan hantu Sarakit, saya kena jaga pertuturan, tingkah laku dan paling penting tidak meninggalkan solat. Selain itu, setiap kali sebelum tidur saya akan memasang surah Yassin ataupun membacanya.

"Alhamdulillah berkat mengamalkan semua itu saya tidak pernah pun mengalami kejadian pelik dan mengerikan. Cuma ada sekali pada awal kedatangan saya ke situ saya diganggu dengan habuk rokok yang entah dari mana, bertaburan di atas katil sedangkan kami semua tidak pun merokok.

"Namun begitu, ada juga rakan-rakan kru yang diganggu tetapi tidaklah terlalu teruk sehingga mengganggu penggambaran. Apa yang saya tahu ada katil kru yang terangkat akibat perbuatan 'mereka'," katanya.

Dendam Sarakit berkisarkan kisah cinta seorang isteri yang tidak kesampaian akibat dirogol dan dibunuh ketika suaminya pergi ke luar kota selepas beberapa bulan mereka berkahwin.

Tidak hanya diduga dengan kejadian pelik dan masalah pertuturan sepanjang berada di sana, Fouziah berkata masalah mendapatkan makanan halal juga turut merisaukan dirinya yang seorang kuat makan.

"Pada awal tiba setiap hari kami disajikan dengan masakan tomyam, mula-mula memang sedap tapi lama kelamaan kami semua menjadi muak . Malah pernah satu hari kami bercuti daripada penggambaran dan sanggup meredah hingga ke Sungai Petani demi mencari pizza.

"Hendak pulang ke Kuala Lumpur memang terlalu jauh dan cuti pula hanya satu hari, jadi Sungai Petani saja tempat yang ada untuk kami mendapatkan makanan kegemaran dan perjalanan selama empat jam pergi balik kami redah hanya kerana masing-masing mengidam makan pizza!" katanya.

Selesai penggambaran Dendam Sarakit, Fouziah sibuk pula di lokasi drama Julia bergandingan dengan pelakon Nabila Huda dan juga telemovie Teratak Bertaut yang bakal disiarkan di RTM.

Selain sibuk di lokasi penggambaran, anak bongsu daripada lima beradik ini diam-diam sedang ligat mempersiapkan diri untuk bergelar seorang usahawan tidak lama lagi.

Difahamkan perniagaan itu berasaskan minuman yang mana menurutnya minuman berkenaan kini sedang popular di kalangan masyarakat Melayu.

"Segala-galanya masih dalam perancangan, Insya-Allah jika berhasil saya akan membuat pelancaran dan memberitahu kepada semua apakah jenis minuman yang saja jual. Buat sementara waktu biarlah ia menjadi rahsia dan doakanlah semoga semua yang dirancang berjaya.

"Sasaran tempat jualan juga adalah kawasan Melayu dan kini sudah dikenal pasti lokasinya ini juga bagi memudahkan mereka mendapatkan produk minuman saya. Namun begitu, bangsa lain juga boleh mencubanya kerana minuman ini sudah mendapat pengesahan halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim)," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/08/08


Trofi terbaik memori terindah

Posted: 08 Aug 2012 07:55 AM PDT

PADA usia mencecah 40 tahun dan 16 tahun berjuang tanpa kenal erti jemu, nama aktres berkaliber, Eja (gambar) terus bertahan dan sukar digugat bakat baru yang bagaikan cendawan tumbuh dalam bidang seni tanah air.

Bersandarkan bakat besar, kerja keras 16 jam sehari dan komitmen yang bukan sedikit, pemilik nama sebenar Siti Shahrizah Saifuddin ini membuktikan dia tetap hebat di gelanggang seni apabila mengungguli dua gelaran Aktres Terbaik pada Anugerah Skrin 2011 dan juga Festival Filem Malaysia Ke-24 menerusi filem genre seram Janin.

Anak kelahiran Puchong, Selangor ini juga membuktikan status isteri dan ibu kepada seorang anak, Nur Eishal bukan penghalang buat dirinya untuk diiktiraf sebagai pelakon wanita paling cemerlang dalam dunia hiburan Malaysia pada tahun lalu.

Berkongsi cerita sempena kempen #MYsyg (My Sayang) anjuran Media Prima Berhad, Eja berkata, walaupun sudah menang dua trofi berturut-turut, Eja menganggap dirinya masih belajar ilmu dalam bidang lakonan dalam visinya untuk terus memartabatkan seni.


"Trofi yang saya genggam itu bukan untuk diri sendiri saja sebaliknya untuk industri seni Malaysia secara keseluruhannya. Saya juga bersyukur kerana lakonan yang diceburi sekian lama diterima dengan baik," ujarnya.


Pada masa sama, Eja melihat perjalanan seninya masih jauh lagi dan masih banyak lagi kelemahan yang perlu diperbaiki untuk menjadi pelakon yang lebih hebat untuk diiktiraf di luar negara.

"Sebagai pelakon setiap hari kita belajar ilmu yang baru sama ada dari segi skrip dan naskhah diberikan serta pengarah yang berbeza di lokasi penggambaran setiap hari. Saya juga tidak ada masalah bekerja dengan pengarah baru kerana mereka selalunya tampil dengan idea yang baru dan segar.

"Jika pelakon hanya bawa watak yang sama dan cerita yang dilakonkan pengisian atau mesejnya kosong untuk disampaikan pada masyarakat sampai bila-bila pun industri seni kita tidak akan maju dan masih di takuk lama," katanya.

Ditanya pandangannya mengenai industri seni tanah air, Eja mengakui, banyak perubahan dari segi sejarah dan latar belakang seseorang artis kita sekarang berbanding pada era 1970-an dan 1980-an dulu.

"Artis kita sekarang memiliki latar belakang akademik yang bagus dan berpendidikan tinggi. Contohnya, ada anak menteri yang menjadi pelakon dan penyanyi. Ternyata, masyarakat kita sudah berfikiran terbuka dan melihat bidang seni ada masa depan sama seperti profesion lain.

"Saya juga bangga dengan kemajuan yang dicapai anak seni Malaysia. Contohnya, Datuk Siti Nurhaliza dan Yuna yang berjaya menempa nama di peringkat antara bangsa. Semoga lebih ramai artis kita akan mengikut jejak mereka.

"Impian saya pula ingin melihat hasil karya drama dan filem kita boleh dipertandingkan di Hollywood. Jika Iran dan Indonesia boleh, kenapa tidak karya orang kita?" katanya.

Eja akui sangat bangga menjadi anak Malaysia dan hidup dikalangan masyarakat yang berbilang kaum dan harmoni di negara ini.

"Malaysia pesat membangun dan banyak peluang pekerjaan tersedia di sini termasuk dalam produksi drama dan filem," katanya.

Sempena kempen MySayang, orang ramai berpeluang menghantar rakaman video, teks dan gambar dalam bahasa Malaysia, Inggeris, Mandarin dan Tamil menerusi laman web www.mysyg.com.my sebelum 15 Ogos ini.

Bagi penyertaan video, setiap rakaman tidak boleh melebihi tiga minit manakala bagi kategori penyertaan teks pula tidak boleh melebihi 150 patah perkataan dan kategori bergambar pula membabitkan ekspresi wajah unik atau kreatif dengan menyertakan bersama keterangan gambar masing-masing.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/08/08