Kosmo Online - Hiburan |
Posted: Cerita citra ibadah puasaSESI fotografi bersama dua figura jelita, Natasha Hudson dan Sharifah Sofia pada dini hari Jumaat minggu lalu meluncur laju. Rumah yang dijadikan butik pemilik jenama Azura Azwa di Taman Tun Dr. Ismail, Damansara, menyatukan dua nama hebat itu untuk mengupas perihal puasa dan persiapan menjelang Ramadan. Jelik dan klise andai isu berhijrah diketengahkan setiap kali seseorang artis atau selebriti menukar imej dan prinsip itu dipegang kedua-dua wanita cekal itu. Bagi empunya nama Natasha Liana Mohd. Redzuan Hudson, 30, penghijrahannya sebagai langkah mendekatkan diri dengan Maha Pencipta dalam masa yang sama membuka ruang, peluang dan rezeki terutama dalam kariernya. "Alhamdulillah, sekarang saya kembali aktif dalam dunia peragaan selain bidang lakonan. Tawaran untuk saya menjadi model bertambah dan syukur ini rezeki daripada Allah. Apabila diri saya berubah, maka keseluruhan karier saya juga berubah. "Berlakon adalah jiwa saya dan buat masa sekarang, bidang lakonan agak mencabar bagi saya kerana saya harus selektif berhubung karakter. "Saya menilai ibadah itu satu perkara yang serius dan untuk bidang lakonan saya perlu kekalkan kedudukan saya sekarang. Rindu juga untuk melakonkan watak yang pelbagai tapi pasti akan ada solusi yang padan dengan karakter dan situasi saya sekarang," bicaranya memulakan diskusi. Keluarga besar Wanita yang mesra disapa Tasha itu kini sedang sibuk merencanakan agenda kerjaya dan keluarga selaku seorang ibu kepada Neesa Helena, 4, dan isteri kepada penyanyi hip hop, Carleed Khaza. Tasha menegaskan dia ingin lebih fokus dan komited terhadap kariernya, namun pada masa yang sama dia enggan menyisihkan perhatian terhadap suri hatinya, Neesa yang kini sudah memasuki sekolah tadika. "Saya akan pastikan Neesa mendapat cukup perhatian daripada saya, selepas balik sekolah saya akan mengulangkaji pelajarannya bersama-sama.
"Selain itu, saya akan menghantar dia mengaji al-Quran, muqaddam dan iqra' serta saya sendiri mengikuti kelas agama yang diadakan setiap hari Khamis di rumah mertua," jelasnya yang kini lebih mengawal imejnya. Riak ceria jelas terpancar pada wajah Natasha ketika ditanya mengenai rutin puasanya yang bakal kembali berubah tahun ini. Kebiasaan acara berbuka puasa hanya disertai oleh ibu dan adiknya, Tania Hudson kini berkembang mekar bersama keluarga sebelah suaminya yang disifatkannya lebih meriah! "Ini kembali menjadi tahun pertama saya menjalani ibadah puasa bersama bilangan ahli keluarga yang lengkap. Insya-Allah, tahun ini akan lebih ceria kerana kedua-dua belah bilangan ahli keluarga saya dan suami agak besar. "Saya tidak sabar untuk berpuasa dan jika sebut saja urusan keluarga atau persiapan berbuka puasa, detik itu yang paling saya nantikan," katanya yang menggemari martabak, air bandung dan air kelapa untuk juadah berbuka. Pelakon filem Chermin itu bagaimnanapun memilih hidangan ringkas untuk bersahur. Antara yang menjadi kegemarannya termasuklah nasi putih, timun, kicap dan telur. Lengkap lima tiang Berbeza sekali pertemuan bersama pemilik nama sebenar Sharifah Sofia Syed Hussein, 27, berbanding pertemuan sebelum ini. Ringkas berselendang sambil menggendong permata hatinya, Sharifah Ariana Syed Ismail yang kini memasuki usia setahun setengah. Ujarnya: "Maaf, saya seorang yang ringkas dan tidak pandai melaram. Selendang pun tidak cantik." Menukar citranya ke arah melengkapi tuntutan syarak, Sharifah Sofia atau lebih dikenali dengan panggilan Sofia enggan menggembar-gemburkan penghijrahannya. Lebih selesa menyimpan cerita hijrah itu dan memendam peruk di lubuk hati.
"Saya memikirkan diri saya dan ini cara saya, biar saya tahu pasal orang lain tapi saya tak nak orang tahu pasal saya. Biar saya sendiri yang simpan untuk diri saya. "Sekarang saya lebih mendalami ilmu agama, apabila tidak memakai tudung tidak bermakna saya tidak mendalami agama cuma sekarang pengetahuan itu lebih mendalam. "Sudah sampai masa untuk saya memelihara keseluruhan pakej diri saya. Kalau dahulu saya ada empat tiang kini saya sudah mencukupi lima tiang," ucapnya berkias. Tegasnya, walau apapun tanggapan orang ramai terhadap dirinya yang sebelum dan sekarang, dia tidak ambil pusing kerana industri seni akan sentiasa berdepan kritikan. Menjadi ibu sepenuh masa mencurahkan sepenuh kasih sayang kepada Ariana bukan dianggap percaturan atau mengundur diri daripada dunia seni. "Prioriti sekarang untuk menjadi ibu sepenuh masa dan menjaga sendiri anak saya. Saya menolak kebanyakan tawaran kerana saya tidak sanggup menyusahkan pihak lain kerana saya perlu membawa Ariana bersama saya sepanjang masa. Tambahan, dia masih menyusu badan. "Saya sangat rindu untuk kembali bekerja tapi saya sanggup korbankannya demi anak saya. Lagipun, saya mula kurangkan berlakon sejak dua tahun lalu. Buat masa sekarang saya ada plan sokongan," jelas anak kelahiran Liverpool, England itu. Kembali berpuasa NATASHA dan Sharifah memiliki banyak persamaan antara satu sama lain. Jangan salah sangka jika Sofia menyatakan dia akan kembali berpuasa pada tahun ini! Kerana tahun lepas dan dua tahun lalu dia 'terpaksa' meninggalkan ibadah wajib itu atas faktor tertentu. "Dua tahun lalu saya sedang mengandung, jadi saya tidak sempat berpuasa dan tahun lepas pula saya menyusukan Ariana. Tahun ini jika tiada keuzuran saya akan kembali berpuasa. "Pasti sekali saya teruja sempena kedatangan bulan yang penuh berkat, cuma kali ini saya melaksanakannya dengan keyakinan sebagai seorang Sharifah Sofia dalam kehidupan baharu. "Insya-Allah, saya juga mahu melengkapi solat sunat tarawih sepanjang bulan Ramadan tahun ini," ujarnya. Ditanya tentang juadah kegemaran sepanjang bulan puasa, Sofia menjawab tiada makanan istimewa asalkan mengikut seleranya dan suami. Begitu juga hidangan bersahur. Adakalanya kata Sofia dia akan memanaskan kembali lauk-pauk yang dibeli atau dimasak untuk berbuka puasa bagi mengelakkan pembaziran. | ||
Posted: Senandung Cinta FadlyGRUP Padi dijangka tidak akan dibubarkan dengan anggotanya kembali bergabung selepas Yoyo (dua dari kanan) selesai menjalani hukuman penjara atas ketagihan dadah yang dialaminya sebelum ini. SELEPAS beberapa lama grup Padi menyepi dan tidak melahirkan sebarang produk, setiap anggota grup tersebut membawa haluan sendiri dalam karier. Gitaris dan tunggak utama mereka, Piyu kini begitu sibuk dengan album solo sulungnya. Rindra dan Ari (gitaris kedua dan pemain bass) melakukan kerja belakang tabir selain menjalani karier sendiri. Pemain drum mereka yang juga merupakan bekas suami penyanyi Rossa, Yoyo, baru dibebaskan daripada penjara selepas dihukum kerana ketagihan dadah dan alkohol beberapa bulan lepas, sementara vokalis mereka, Fadly mengisi kariernya dengan berlakon buat pertama kali. Fadly yang ditemui bulan lalu memberitahu pembabitannya dalam drama bersiri Insya Allah, Ada Jalan bersama Maher Zain yang ditayangkan sepanjang Ramadan ini di saluran Astro Oasis, telah membuka jalan baharu buat karier seninya. Mengaku tidak pernah percaya diri dan begitu malu berhadapan dengan kamera, dia bagaimanapun membuang jauh semua perasaan tersebut kerana tertarik dengan mesej positif yang mahu disebarkan kepada masyarakat. "Ia (berlakon) merupakan satu pengalaman yang mengujakan. Saya tidak tahu bagaimana reaksi isteri dan anak-anak apabila menonton saya sebagai pelakon, namun apa yang pasti besar harapan saya agar setiap mesej yang cuba disampaikan dalam drama bersiri tersebut mampu memberi manfaat kepada semua," katanya yang juga seronok kerana dapat berganding dengan bintang antarabangsa, Maher Zain. Bercakap mengenai aktiviti sepanjang Ramadan, Fadly memberitahu, dia bakal muncul dengan sebuah single sebagai penyanyi solo. Diberi judul Senandung Cinta, ujar vokalis berusia 36 tahun tersebut, lagu itu dihasilkan bersama seorang guru di sekolah anaknya. "Guru itu menciptakan lirik sementara saya membuat lagunya. Ia diberi nama Senandung Cinta dan berkisar tentang cinta terhadap keluarga serta hubungan sesama manusia. "Saya fikir tema yang cukup baik ini begitu sesuai untuk diperdengarkan pada bulan Ramadan yang mulia ini," jelas Fadly. FADLY muncul dengan single, Senandung Cinta yang cukup bersesuaian dengan bulan Ramadan yang baru menyingkap tabirnya. Senandung Cinta merupakan lagu kedua yang dibikin Fadly selepas lagu Sahabat Selamanya (lagu tema Upin & Ipin) sepanjang grup Padi tidak aktif sejak lebih dua tahun lalu. Selain Senandung Cinta dan penampilan perdana sebagai pelakon, Ramadan tahun ini juga diisi Fadly dengan aktiviti membuat persembahan berunsur kerohanian bersama Wali Band. "Saya akan mengikut Wali Band ke lapan buah daerah di Indonesia untuk memberi hiburan kerohanian kepada masyarakat Islam yang sedang menjalani ibadat puasa," katanya yang akan mencuri masa untuk berbuka serta solat tarawih dengan isteri serta empat orang anaknya. Ditanya tentang hala tuju Padi, Fadly menjelaskan bahawa grup yang telah ditubuhkan sekitar 15 tahun lalu itu masih belum berkubur. Malah sebelum mereka mengambil keputusan untuk berehat, Padi telah merakamkan empat buah lagu, sementara mempunyai beberapa belas buah lagu yang tinggal dipilih untuk dimasukkan ke dalam album terkini mereka. "Insya-Allah, doakan semoga Padi tidak bubar dan kembali bergabung untuk meneruskan perjuangan kami. Buat masa kini, kami harus akur bahawa kesibukan setiap anggota kami telah membuat Padi harus berjalan sendiri-sendiri dulu," ujar Fadly lagi. Bagaimanapun kata Fadly, untuk tidak membuat pecinta mereka hampa, dia sedang membantu Yoyo untuk menerbitkan sebuah album projek. Ujarnya: "Selepas Yoyo keluar dari penjara, dia mahu membuat sebuah album projek. Jadi saya bersama Rindra dan Ari serta seorang lagi pemain gitar terlibat dalam projek ini. "Ia telah pun berjalan dan jika tiada masalah, mungkin album tersebut bakal muncul sekitar tahun ini." - MALIAH SURIP | ||
Saya laris sejak berpakaian pelik - Didie Alias Posted: Saya laris sejak berpakaian pelik - Didie AliasOleh SITI KAMILAH MUSTAPHA
PEMILIK nama Fadzilah Mohammed Ali, 39, atau lebih dikenali dengan Didie Alias tidak pernah marah atau kesal apabila diberi jolokan sebagai Lady Gaga Malaysia. Bagi Didie, jolokan itu telah membuatkan dia lebih dikenali dan menerima banyak jemputan untuk mengacarakan majlis ataupun berlakon. Isteri kepada Norisham Ismail, 36, dan ibu kepada Dania, 19, Danial, 18, Danie, 14, dan Diana, 13, berpendapat, rezekinya semakin bertambah setelah berimej sebegitu dan tidak pernah menyesal apabila dilabelkan keterlaluan kerana hanya yang berani sahaja boleh menyarungkan pakaian sedemikian. Didie juga telah mengejutkan peminat seni apabila memakai skirt singkat ketika hadir di majlis pertunjukan fesyen Malaysia International Fashion Alliance (MIFA 2010) dan pernah menerima kritikan apabila berpakaian pelik di sebuah majlis Anugerah Bintang Popular tahun lalu. Dia yang ditemui ketika mengacarakan majlis memperkenalkan koleksi terbaharu barangan kemas syarikat terkemuka negara menjelaskan mengenai imej pelik yang sering dibawanya itu. Kosmo!: Adakah Didie masih mengenakan pakaian pelik sekarang, atau mengurangkan imej tersebut? DIDIE: Sudah tentu masih pakai, cuma saya memakainya mengikut kesesuaian majlis. Kalau majlis hari raya mana boleh pakai imej Lady Gaga pula. Jujurnya, saya masih selesa dengan pakaian pelik kerana nama Didie Alias dikenali semula selepas saya berpakaian sebegitu. Kenapa pilih pakaian pelik, adakah ada pereka fesyen yang paksa atau kerelaan sendiri? Tidak pernah ada pihak yang paksa pakai, sebenarnya memang saya yang hendak pakai pakaian pelik sebegitu, rezeki saya makin melimpah selepas dikenali dengan berpakaian pelik, jadi saya tidak kisah dilabelkan apa sekalipun. Tidak takut dikritik lagi dengan berpakaian ala-ala Lady Gaga selepas ini? Saya tidak kisah, apa pakaian yang orang lain takut nak pakai, Didie Alias berani pakai. Saya memang suka pakai apa yang orang lain tidak pakai. Kalau nak tengok saya pakai pelik, tunggu nanti bila ada majlis-majlis lain. Adakah anda merasakan diri masih laris walaupun hampir berusia 40-an? Alhamdulillah, diri saya ni macam artis di Hollywood, makin berusia makin laris, selepas dikenali dengan berpakaian pelik, nama saya lebih dikenali sampai rezeki melimpah ruah. Saya banyak mendapat tawaran berlakon dengan imej seperti itu, syukur. Anak anda cemerlang dalam Penilaian Menengah Rendah sehingga dapat 8A, apakah petua anda walaupun sibuk sebagai artis? Saya jenis orang yang akan ada masa untuk diluangkan jika ia berkaitan dengan soal pelajaran anak-anak. Kalau cikgu panggil untuk mesyuarat Persatuan Ibu Bapa dan Guru, saya mesti datang, kalau cikgu panggil ke sekolah untuk mesyuarat berkenaan prestasi anak, saya mesti hadir, itu keutamaan saya. Jadi secara tak langsung, walaupun saya sibuk, saya tetap ambil berat hal pelajaran anak-anak dan memberi keutamaan kepada mereka. Apa perkembangan terbaharu anda? Sempena kedatangan bulan Ramadan ini, saya banyak menerima jemputan untuk mengacarakan majlis dan menghadiri majlis-majlis berbuka puasa. Pada masa yang sama, saya juga akan muncul dengan telemovie terbaharu untuk Hari Raya Aidilfitri iaitu Pontianak Kampung Batu 2 1/2 bersama Erra Fazira dan Yasmin Hani. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Hiburan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |