Adsense

Sabtu, 21 Julai 2012

Berita Harian: Hip

Berita Harian: Hip


Taubat Ariel

Posted: 20 Jul 2012 06:24 PM PDT

Berharap masyarakat lebih adil dalam menilai dirinya

Ramadan ini menghadiahkan sesuatu yang paling manis kepada vokalis Peterpan, Ariel apabila kembali berpeluang menghirup nikmat kebebasan selepas dua tahun terperuk di balik jeriji besi yang menyita pergerakannya. Ariel akan dibebaskan Isnin ini, meninggalkan segala jejak silam yang penuh kekalutan untuk mencari semula Nazriel Irham yang dulu khilaf dalam perjalanan hidupnya.

Masih berbaki dua hari sebelum Ariel meninggalkan Rumah Tahanan (Rutan) Kebon Waru, Bandung, anak bongsu tiga bersaudara dalam satu temubual pada Rabu lalu berkata, perkara pertama ingin dilakukan adalah pulang ke rumah orang tuanya.

"Sudah lama saya tidak pulang, jadi saya begitu rindu dengan keluarga," katanya dengan raut wajah yang memancar rona bahagia.

Terlebih dulu ingin berehat dan menenangkan fikirannya, Ariel berkata, dia mahu memperuntukkan masa untuk dirinya sebelum kembali aktif dengan aktiviti seni.
Ariel berkata, fikirannya bercelaru sepanjang terkurung di dalam penjara membuatkan dia selesa bersantai dan menikmati kebebasan yang sudah lebih dua tahun diragut.

"Saya mahu stabilkan dulu emosi dan selepas itu baru memikirkan soal kerjaya. Saya perlu rehat kerana banyak yang bermain di fikiran sepanjang berada di penjara," katanya.

Peluang media bertentang mata menjelang hari terakhirnya sebagai seorang tahanan, Ariel berkata, khalayak bebas melontarkan apa saja persepsi terhadap dirinya.

Biarpun sudah dua tahun kes video seks membabitkannya dengan Luna Maya dan Cut Tari berlalu namun masyarakat, masih belum bersedia berprasangka baik terhadapnya.

"Tidak semua tahu tetapi berpura-pura tahu tetapi memang itu lumrah manusia. Saya tidak pernah menangis hanya kerana dipenjara kerana saya dilahirkan dalam serba kekurangan," katanya.

Anak kelahiran Langkat, Sumatera Utara itu menegaskan, dirinya betah berdepan kesulitan ketika menjalani kehidupan di balik jeriji besi.

"Penyakit manusia banyak yang tidak tahu tetapi seakan-akan tahu. Tidak ramai yang kenal siapa saya yang sebenar, begitu juga masa lalu saya.

"Saya tidak hidup mewah tetapi tidak semua yang dimahukan mencukupi. Ketika kecil, saya main parit di Aceh dan menunggang basikal keliling kampung.

"Sesekali terbit keinginan mahu menonton video tetapi tidak dibenarkan. Jadi kehidupan di balik tirai besi bukan sesuatu yang terlalu menyeksakan.

"Apa yang saya lalui ini hanya satu perenggan daripada episod panjang kehidupan," katanya.

Ariel berkata, dia pernah tersentak dengan segelintir masyarakat yang cuma tahu menghukum tanpa pernah cuba menyelami apa yang dirasainya selama menjadi banduan.

"Pernah ada demonstrasi, mereka membawa Al-Quran dan kamera meminta saya bertaubat. Mereka cuba masuk ke dalam penjara tetapi hanya wakil dibenarkan dan kami berbual panjang.

"Saya cuma beritahu, taubat itu urusan saya dengan Yang Di Atas. Saya tidak suka melakukan sesuatu bersifat keagamaan tetapi mendapat liputan media.

"Mereka tidak perlu mendesak kerana tanpa dipaksa, saya pasti akan mendekatkan diri kepada Allah. Ibadat itu tidak perlu dipaksa," katanya.

Sebaik memberi kenyataan itu, hatinya bagaikan dihiris apabila keluar laporan yang mempersenda seolah-olah dia menolak untuk bertaubat.

"Saya kesal apabila semua selesai, yang keluar di berita adalah sebaliknya.
Mereka menulis saya belum mahu bertaubat. Apa itu semua?," katanya kebingungan.

Sementara itu, Luna Maya ketika diajukan soalan mengenai pembebasan Ariel pada 23 Julai ini sekadar memberikan jawapan hambar.

"Pasti bahagia kerana ada orang yang akan mengakhiri masa yang kurang menyenangkan. Tidak mungkin jika saya tidak bahagia," jawabnya.

Nada bicaranya kedengaran gugup namun Luna mengakui, apa yang terpacul dari bibirnya itu adalah ikhlas dan tulus.

"Saya pasti mendoakan yang terbaik untuk Ariel," kata Luna yang seolah-olah memberi isyarat hubungan mereka sudah berakhir apabila memaklumkan tidak akan menyambut hari kebebasan teman lelakinya itu kerana terikat dengan penggambaran.

Ramadan di New York

Posted: 20 Jul 2012 06:21 PM PDT

Liyana tak kesunyian ditemani ibu bapa sambut ketibaan puasa di rantau orang

SEJAK awal Julai lalu, Liyana Jasmay, 24, membawa diri ke New York. Bukan merajuk, tidak juga berjauh hati sebaliknya pemergian Liyana membawa misi penting untuk masa depannya. Seperti diketahui, Liyana ke New York untuk melanjutkan pengajian jangka pendek dalam bidang pengarahan dan lakonan selama enam bulan di New York Film Academy (NYFA).
Tidak bersendirian kerana ditemani ibu tersayang, Habsah Simpon, bapa Liyana, Jasmay Md Shah turut bersama pada permulaan untuk memastikan anak bongsu mereka selesa memulakan hidup baru di rantau orang.

Ketika artikel ini ditulis anak manja yang mesra disapa Nana masih berdepan masalah mencari rumah untuk didiami mereka selama tempoh berada di sana.

"Buat sementara waktu, kami menginap di hotel berdekatan kawasan Gramercy hingga mendapat rumah. Ikutkan Babah menemani Nana dengan Mama tak lama di sini. Memandangkan masalah mencari rumah yang sesuai belum selesai, Babah tangguhkan dulu kepulangannya untuk menguruskan hal ini.

"Memikirkan masalah itu, persiapan menyambut Ramadan dilakukan ala kadar. Untuk berbuka lebih mudah jika di luar kerana kebetulan, di kawasan berdekatan banyak pilihan restoran India yang halal.
"Ada hikmahnya juga perkara ini berlaku, sekurang-kurangnya dapat juga Nana menyambut Ramadan dengan Babah dan Mama.

"Lagipun Nana jenis yang tak pernah hidup berjauhan dengan keluarga, jadi apabila mereka bersama Nana mendapat kekuatan untuk memulakan hidup baru di sini," kata Liyana menerusi kiriman emelnya baru-baru ini.

Pemergiannya itu secara tidak langsung membuatkan Nana berjauhan dengan insan yang paling istimewa dalam hidupnya, Fathuddin Mazlan.

Bagaimanapun, kemudahan teknologi seperti Skype dan Facebook menjadi penghubung kasih di antara Nana dengan tunangnya itu.

"Dulu sewaktu awal perancangan Nana untuk belajar di sini, teruja juga. Tapi saat beberapa minggu sebelum terbang ke sini, Nana jadi sedih meninggalkan insan paling rapat dan disayangi di Malaysia. Tapi mahu atau tidak Nana perlu kuatkan semangat demi melunaskan pengajian ini.

"Kelas Nana di akademi ini pun sudah bermula. Kelas Nana ada empat hari dalam seminggu bermula dari Isnin hingga Khamis. Alhamdulillah Nana sudah mula merasai keseronokan menuntut di sini. Suasana dalam kelas pun bagus. Nana pun sudah banyak berjumpa kawan sekelas baru dari serata dunia.

"Ada yang dari India, Rome, Columbia, Sao Paulo Brazil, London dan Ireland. Ada juga di antara mereka itu yang bergelar pelakon seperti Nana. Contohnya dari India itu seorang pelakon baru yang dihantar agensinya ke sini untuk menjadi pelakon yang lebih baik dan dari Columbia pula bergelar pelakon soap opera di sana," katanya bersemangat sambil memberitahu perjalanan dari hotel ke NYFA hanya sekitar 10 minit menggunakan teksi.

Tambah pelakon genit itu lagi, jika tidak terikat dengan jadual kuliah, masanya akan dihabiskan bersama keluarga.

Bagaimanapun, pergerakan mereka sedikit terbatas dan peluang menjelajah seluruh pelusuk kota metropolitan itu sedikit terganggu disebabkan belum mempunyai kediaman tetap.

"Nana dan keluarga juga tak ketinggalan membeli barang keperluan. Nana juga tak ketinggalan menonton persembahan teater dan filem di Memphis. Nana juga nak memanfaatkan berada di sini untuk menonton semua persembahan broadway di sini," katanya yang turut ingin mencuri peluang menyaksikan acara berkaitan fesyen dan meluaskan jaringan seninya di sana.

Sekembalinya dari New York, Nana akan kembali menghitung hari hari bahagianya bersama Fathuddin. Mereka akan melangsungkan pernikahan pada 24 Januari depan. Keesokannya pula berlangsung majlis persandingan dan pada majlis bertandang pada 9 Februari. Pasangan ini bertunang pada Mac lalu.