Adsense

Jumaat, 8 Jun 2012

Kosmo Online - Hiburan

Kosmo Online - Hiburan


Ayu Nazirah penyatu cinta Nurul-Depp

Posted:

Ayu Nazirah penyatu cinta Nurul-Depp

Ayu Nazirah penyatu cinta Nurul-Depp

ATMOSFERA Duchess Place, Jalan Ampang, Kuala Lumpur pada pagi hari Rabu lalu penuh romantis. Tatkala kaki melangkah masuk ke ruang khas menyambut momen terindah pasangan Nurul Huda Abdul Wahab, 35, dan Eric Daniel Depp, 47, terasa bagai berada di Perancis.

Mana tidaknya, ruang yang dihias indah oleh lokasi yang menaja perkahwinan pasangan itu turut disempurnakan oleh perancang perkahwinan, Zaha yang merupakan teman Nurul selain menggunakan bahasa Malaysia, Inggeris dan Perancis sebagai perantara.

Meneliti satu persatu ruang indah berkonsepkan perkahwinan dalam taman itu, tiada cela yang bertandang. Saling tak tumpah seperti perkahwinan idaman setiap wanita.

Hal itu diakui sendiri oleh Nurul yang ditemui selepas majlis akad nikah dan resepsi yang dijalankan serentak pada tarikh 6 Jun lalu.

"Perkahwinan ini seperti perkahwinan pertama saya, perasaan gemuruh itu lebih kuat daripada sebelum ini.

"Syukur Alhamdulillah semua yang dirancang berjalan seperti yang dimahukan dan paling penting kami sudah bergelar pasangan suami isteri," singkap Nurul bersulam nada sebak.

Air mata gembira

Sepanjang majlis, air mata kegembiraan sentiasa mengiringi penyanyi lagu Kerana Terluka itu. Sejak diijabkabulkan, ketika menyampaikan ucapan sehinggalah mengiringi tetamu pulang.

Nurul dinikahkan oleh Penolong Pendaftar Perkahwinan, Perceraian dan Rujuk Orang Islam, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), Azizan Othman kira-kira pukul 12.20 tengah hari berwalikan abang Nurul, Mohamad Rizal Abdul Wahab dengan hanya sekali lafaz.

Malah, Nurul juga kelihatan menawan dalam gaun pengantin berona putih rekaan Rizman Ruzaini selain disolek oleh jurusolek Deqsha. Eric pula mengenakan sepasang sut hitam rekaan pereka fesyen terkenal Bon Zainal.


AYU NAZIRAH (tengah) teruja dengan pernikahan ibunya, Nurul bersama Eric Daniel Depp.


Pihak lelaki menghantar lima dulang hantaran berupa barangan penjagaan diri Skinz Infinate, minyak wangi jenama Cartier, jam tangan Korloff Paris, seutas rantai mutiara serta wang hantaran bernilai 5,000 euro (RM20,000).

Nurul pula membalas dengan tujuh dulang hantaran iaitu tepak sireh, manisan, produk kecantikan, senaskhah al-Quran lengkap dengan terjemahan, sepasang kasut Pedro, songket dan sejadah.

Saling melengkapi

Menceritakan semula kisah bertaut kasih antara Nurul dan Eric, katanya mereka diperkenalkan melalui kawan karib Nurul iaitu pelakon Zahida Rafik.

"Bukan senang untuk menjadi diri saya terutama beberapa tahun kebelakang, banyak pancaroba yang perlu saya tempuh selama menjadi seorang ibu tunggal.

"Saya pun pada mulanya tidak percaya masih ada lelaki seperti Eric wujud di dunia ini dan saya panjatkan sepenuh kesyukuran ke hadrat Ilahi kerana menemukan saya dengan beliau.

"Zahida perkenalkan saya dengan Eric yang merupakan seorang pengedar produk kesihatan Herbalife dan kata Zahida, lelaki ini (Eric) bakal membahagiakan saya suatu hari nanti. Katanya benar!" ucap Nurul.

Kriteria seorang lelaki yang berterus-terang dan memberikan refleks diri yang begitu meyakinkan membuatkan kasih dan sayang Nurul terhadap Eric menjadi teguh.

"Dia kekuatan saya dan saya boleh melihat diri saya melalui dirinya. Eric bukan seorang yang cerewet dan menerima saya seadanya," jelas Nurul.

Bagi Eric pula, pertemuan dirinya dan Nurul yang bermula dengan usikan sama ada percaya atau tidak dengan produk yang dijualnya sebaliknya mencambahkan bibit-bibit cinta antara mereka.

"Saya merupakan seorang lelaki Perancis yang tipikal dan penuh ego. Ketika diperkenalkan dengan Nurul saya tidak melihat kariernya sebagai penyanyi sebagai penghalang untuk mengenalinya.


PASANGAN Nurul dan Eric serta Ayu Nazirah bergambar kenangan bersama keluarga Eric.


"Sejak itu hubungan kami bertambah erat dan tidak salah lagi dia adalah teman jiwa saya dan melengkapi diri saya," katanya yang telah melamar Nurul ketika menikmati makan malam romantis beberapa bulan lalu.

Sesuai dengan jiwa seorang lelaki kelahiran sebuah kota indah yang bersemarak rasa cinta itu, Eric menyifatkan setiap hari merupakan saat untuknya berbulan madu bersama Nurul.

"Kami ada merancang untuk ke Bali, Hong Kong, Macau dan negara Eropah sepanjang tahun ini, tapi bagi saya setiap hari merupakan detik indah yang perlu diluangkan bersama pasangan kita," ujarnya.

Syamsul komen babak maki imam

Posted:

Syamsul komen babak maki imam

Syamsul komen babak maki imam

Oleh HARYATI KARIM
haryati.karim@kosmo.com.my


SYAMSUL dan Zizan dalam satu adegan filem Jalan Kembali: Bohsia 2.


FILEM sentuhan Syamsul Yusof kebanyakannya tergolong dalam genre aksi kecuali filem seram Khurafat. Terbaharu, Syamsul muncul dengan filem Jalan Kembali: Bohsia 2 yang telah menemui penonton di pawagam bermula semalam, 7 Jun.

Masih mengekalkan elemen pelesit rempit yang menjadi teladan kepada masalah sosial dalam sekuel pertama filem itu, menerusi sekuel kedua ini, Syamsul menyuntik elemen islamik dan juga komedi.

Mempertaruhkan bakat Nabila Huda, Salina Saibi, Zizan Razak, Sofi Jikan dan juga Syamsul sendiri selaku pengarah dan pelakon, sekuel filem Bohsia: Jangan Pilih Jalan Hitam itu menelan kos sebanyak RM2.1 juta itu mengundang kontroversi kerana terdapat babak menghina imam masjid yang berlaku di depan masjid.

Bukan itu sahaja, kehadiran watak antagonis, Keting lakonan berkesan oleh Sofi serta komedi bersahaja oleh Zizan berjaya menghangatkan filem tersebut tetapi kerana kelantangan watak mereka berdua secara tidak langsung telah mendominasi watak-watak utama yang lain. Ikuti temu bual Kosmo! bersama Syamsul baru-baru ini.

Kosmo!: Apakah yang menyebabkan Syamsul berani untuk tampil dengan sekuel filem Jalan Kembali: Bohsia 2?

SYAMSUL: Filem Jalan Kembali: Bohsia 2 merupakan filem kritikan sosial, melihat kepada sambutan sekuel pertama dan juga selepas meneliti selera penonton yang gemarkan filem aksi, drama serta komedi saya yakin filem ini boleh diterima oleh penonton.

Masih relevankah filem mengenai bohsia pada masa kini?

Bagi saya masih relevan kerana setiap gejala sosial yang dipaparkan dalam filem Jalan Kembali: Bohsia 2 masih berlaku dan sedang berlaku. Saya harap menerusi filem ini, selain berhibur dapat memberi kesedaran kepada mereka yang menontonnya.


SYAMSUL mempunyai alasan tersendiri kenapa dia menyelitkan babak seorang imam masjid dimaki dalam filem Jalan Kembali: Bohsia 2.


Babak Keting (lakonan Sofi Jikan) menghina seorang imam di hadapan masjid dilihat seolah-olah menghina agama Islam. Syamsul sedar atau tidak sensitiviti masyarakat sebelum melakukan babak itu?

Saya sedar sensitiviti masyarakat tetapi babak itu merupakan pilihan terbaik untuk menggambarkan betapa jauh terpesongnya watak Keting itu apabila dia hanyut dalam dunianya sendiri. Babak itu dibikin bukan untuk cipta kontroversi tetapi memberi gambaran sebenar serta menyuntik kesedaran. Sofi pun sebenarnya menasihatkan saya supaya lembutkan sedikit babak itu kerana dia bimbang, tetapi selepas diterangkan maksud di sebalik babak itu dia akhirnya bersetuju melakonkannya.

Meskipun Jalan Kembali: Bohsia 2 diterajui oleh lima orang pelakon tetapi watak lakonan Sofi dan Zizan lebih menonjol serta menjadi daya penarik di dalam filem ini. Komen Syamsul?

Zizan dan Sofi Jikan, memang pelakon yang bagus kerana itu saya memilih mereka untuk memberi nafas baharu dalam sekuel Bohsia: Jangan Pilih Jalan Hitam ini. Saya sebenarnya mengawal mutu lakonan mereka supaya seimbang dengan watak yang lain tetapi terpulang kepada penonton jika mereka melihat watak Sofi dan Zizan yang lebih cemerlang.

Apakah cabaran dalam menghasilkan filem ini?

Saya menulis skrip, mengarah dan berlakon secara serentak tetapi cabaran utamanya ialah menghasilkan skrip yang menarik perhatian penonton. Melihat hasilnya saya cukup berpuas hati, saya amat berharap Jalan Kembali: Bohsia 2 mendapat tempat di hati peminat filem tempatan.

Pikat 50,000 peminat

Posted:

Pikat 50,000 peminat

Pikat 50,000 peminat

Oleh FATEN SAPHILLA MOHAMED ISAsaphilla.isa@kosmo.com.my


SAMBUTAN hangat. Program Oh My English! meraih sebanyak 900,000 tontonan di YouTube.


BARU sahaja ditayangkan di saluran Astro TVIQ, rancangan komedi pendidikan, Oh My English! terus mendapat tempat di hati peminat apabila berjaya meraih 50,000 peminat di laman sosial Facebook.

Menurut Naib Presiden Bahagian Remaja dan Kanak-Kanak Astro, Putri Yasmin Megat Zaharuddin, program Oh My English! yang mengambil pendekatan unik dalam pembelajaran bahasa Inggeris itu juga berjaya mendapat lebih daripada 900,000 tontonan di YouTube serta menjadi topik hangat yang kerap diperkatakan di Twitter.

"Oh My English! bukan sahaja dapat menghiburkan penonton tetapi dalam masa yang sama mengajar pertuturan bahasa Inggeris dengan betul.

"Setiap episod sitkom selama setengah jam itu mempunyai tema perbualan yang boleh digunapakai dalam kehidupan seharian seperti pengenalan, sukan, muzik dan makanan. Malah, episod-episod tersebut juga mengandungi tiga kapsul pendek yang menerangkan penggunaan bahasa Inggeris dengan betul sama ada dari segi tata bahasa, perbendaharaan kata, struktur ayat mahupun sebutan," ujarnya ketika ditemui pada sidang akhbar pelancaran program Oh My English! di Hotel Hilton, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Bagi merealisasikan program tersebut, ujar Putri, pihaknya telah bekerjasama dengan Kementerian Pelajaran untuk menggalakkan pembelajaran berterusan sepanjang hayat dalam kalangan masyarakat.

"Pelancaran Oh My English! ini menandakan Astro terus menyokong usaha Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM)," tuturnya.

Sebagai tambahan, kata Putri lagi, Astro juga telah bekerjasama dengan British Council dalam membangunkan kandungan pembelajaran bahasa Inggeris termasuk bahan-bahan dan kertas latih tubi lengkap yang boleh didapati di laman web Oh My English!

"Oh My English! juga akan dilengkapi pengalaman pembelajaran multimedia melalui internet, butang merah interaktif pada alat kawalan Astro, laman sosial, radio, siri bengkel di sekolah dan dalam cetakan," jelasnya lagi.

Oh My English! mengisahkan pelajar-pelajar daripada Kelas 3 Merah di sebuah sekolah bernama Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ayer Dalam, Kuala Lumpur, yang terkenal dengan kenakalan mereka serta rekod pencapaian akademik yang kurang memuaskan terutamanya pelajaran Bahasa Inggeris.

Ketibaan seorang guru baharu daripada United Kingdom bernama Henry Middleton (lakonan Zain Saidin) di sekolah itu berjaya mengubah kedudukan pelajar-pelajar yang lemah dalam mata pelajaran bahasa Inggeris itu.


LISA SURIHANI (depan, kiri) teruja berpeluang muncul sebagai pelakon undangan dalam siri Oh My English!.


Selain Zain, Oh My English! menampilkan barisan pelakon hebat seperti Adibah Noor, Harun Salim Bachik, Mr. Os, Izara Aishah, Addy Ashraf serta tiga selebriti jemputan terkenal iaitu Lisa Surihani, Rozita Che Wan dan Nabil Raja Lawak.

Belajar sambil berhibur

Sementara itu, menurut Lisa Surihani, dia teruja kerana diundang menjayakan rancangan Oh My English!

Baginya, konsep belajar sambil berhibur sangat efektif kepada pelajar sekolah.

"Saya pernah belajar dan juga mengajar, Oh My English! membantu kita mengenal pasti dan memperbetulkan kesalahan-kesalahan kecil yang kita tidak sedar," ujarnya.

Bagi Harun Salim Bachik pula, program Oh My English! merupakan program yang bagus untuk pelajar kerana sambil berhibur mereka memperoleh pengetahuan.

Harun yang membawakan watak guru disiplin dalam Oh My English! itu juga memberitahu, dia juga berpeluang mempelajari bahasa Inggeris dan mempraktikkannya kepada anak-anaknya.

"Saya mempunyai enam orang anak yang berumur dari sembilan tahun hingga 28 tahun. Program sebegini bagus untuk mereka mempraktikkan bahasa Inggeris dengan betul," tuturnya.

Bagi seorang lagi pelakon Oh My English! iaitu Adibah Noor, dia mengakui seronok membawakan watak guru bahasa Inggeris bernama Hajar kerana dapat melepaskan rindu terhadap kerjaya yang pernah dilaluinya dahulu.

"Saya rindu saat-saat menjadi guru bahasa Inggeris dahulu. Jadi, apabila ditawarkan berlakon dalam rancangan ini saya terus setuju," ujarnya yang berjaya mengubat rindunya untuk mempraktikkan kemahiran mengajar yang telah ditinggalkannya sejak 17 tahun lalu.

Tambahnya lagi, selain menekankan penggunaan bahasa Inggeris dengan betul, banyak elemen lain lagi turut diterapkan dalam Oh My English! supaya ia menggambarkan situasi sebenar di sekolah.

Jangan ketinggalan menonton Oh My English! pada setiap hari Ahad pukul 10 pagi di Astro TVIQ (saluran 610). Anda juga boleh melayari laman rasmi Oh My English! di www.ohmyenglish.com.my untuk maklumat lanjut mengenai rancangan ini.