LAGU Perancis, Je Ne Veux Pas Travailler dendangan Pink Martini kedengaran berkumandang mengisi ruang dewan pernikahan yang sangat indah pada pagi itu, berhiaskan fabrik, bunga-bungaan dan chandelier yang bergantungan.
Semuanya berona cerah - kombinasi putih, krim dan coklat cair. Ia jelas membangkitkan 'mood' perkahwinan ala Eropah seperti mana yang dibayangkan pasangan romantika d'amour, Nurul Huda Abdul Wahab, 35, dan suaminya, Eric Daniel Depp, 47.
Bukan itu saja, pengacara majlis, Shah Shamsiri turut menyempurnakan majlis yang berlangsung di Duchess Place, Jalan Ampang itu dalam bahasa Perancis dan Inggeris, bergandingan dengan Eida Moin yang berbahasa Melayu.
Majlis perkahwinan cetusan idea Zaha Wedding Planner itu hanya dihadiri kira-kira 200 tetamu khas saja kerana Nurul memang mahukan suasana yang lebih intim dan nampak eksklusif. Walaupun majlis itu meminjam aura Paris, segala yang beradat dan perlu mengikut tuntutan agama tetap tidak dipinggirkan. Malah, tetamu dijamu dengan hidangan nasi beriani yang lazat.
Lebih bermakna, perkahwinan itu dihadiri oleh anak dara sunti Nurul sendiri, Ayu Nazirah, 14, serta adik-beradik Nurul termasuk abang kandungnya, Mohamad Rizal Abdul Wahab yang menjadi wali kepada pernikahan keduanya itu.
Turut terbang ke Kuala Lumpur adalah ayah dan ibu Eric, Roland dan Germaine Depp. Hari itu, mereka nampak sungguh gembira dan mesra dengan semua tetamu, malah Germaine beberapa kali menitiskan air mata sepanjang majlis itu berlangsung.
Apa yang nyata, penyanyi Kerana Terluka dan Cinta Azali ini akhirnya menikmati detik bahagia sebagai seorang isteri, sekali gus memperkenalkan suaminya kepada pihak media selepas sekian lama 'menyorok' Eric.
"Inilah dia suami saya... Eric. Selama ini saya bukan sengaja hendak menyorok Eric, tapi tidak mahu mendedahkan atau memperkatakan mengenai perkara yang belum benar-benar terjadi. Hari ini saya sudah penuhi janji saya kepada rakan media dan inilah kekasih hati saya yang selama ini menjadi sahabat yang sangat penyayang.
"Alhamdulillah, apa yang saya impikan bersama Eric akhirnya menjadi kenyataan. Keikhlasan Eric menerima saya dan anak saya (Ayu Nazirah) sangat-sangat saya syukuri," kata Nurul.
Pasangan itu sah sebagai suami isteri dengan sekali lafaz oleh Eric di depan Penolong Pendaftar Perkahwinan, Perceraian Dan Rujuk Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), Azizan Othman, jam 12.20 tengah hari berwali abang Nurul.
Nurul yang memperagakan persalinan putih dan hitam rekaan Rizman Ruzaini, menerima mas kahwin RM80 dan wang hantaran EURO5,000 (kira-kira RM20,000) serta empat dulang hantaran lagi daripada pengantin lelaki.
Eric pula yang juga perunding kesihatan di sebuah syarikat nutrisi antarabangsa, menerima tujuh dulang hantaran balasan daripada mempelai perempuan termasuk sejadah, senaskah al-Quran dan tepak sirih.
"Saya terlalu terharu dan bersyukur dengan perkahwinan ini. Maklumlah sepanjang lima tahun bersendirian, saya menempuh pelbagai dugaan secara sendirian sehinggalah Tuhan mempertemukan saya dengan seorang lelaki yang begitu penyayang dan ikhlas.
"Eric lelaki yang sangat matang dan menerima diri saya seadanya. Dia juga sangat menghormati semua ahli keluarga saya. Siapa sangka, dalam pada saya berdepan kekecewaan dan mencari kekuatan seorang diri, masih ada lagi lelaki baik dan sempurna sepertinya wujud.
"Eric lelaki yang matang, berpendirian, suka berterus-terang. Paling penting dia sangat menghormati saya dan ahli keluarga saya. Walaupun berlainan budaya dan latar belakang, Eric mahu belajar dan lekas menyesuaikan diri dengan suasana hidup di Malaysia. Saya berasa selamat apabila berada dengannya.
"Mungkin kerana kerjaya Eric sebagai seorang usahawan dan menguruskan perniagaan membuatkan dia bijak berkomunikasi dan ada sifat kepimpinan. Lantas saya yakin kami akan bersama-sama membina keluarga dan laluan kami sendiri, insya-Allah," kata Nurul.
Eric pula yang segak mengenakan sut rekaan Bon Zainal menyifatkan Nurul seorang wanita yang bukan sekadar isteri buatnya sebaliknya sahabat untuk berkongsi cerita suka duka.
Tetamu turut tersentuh apabila mendengar ucapan ibu Eric, Germaine. Katanya, ketika kecil dulu, Eric anak tunggal yang manja dan pernah berkata, dia mahu 'berkahwin dengan ibunya' dan hari ini, Eric akhirnya dipertemukan dengan seorang isteri dari Malaysia yang cantik.
Eric sendiri gembira dengan perkahwinan itu dan lebih seronok terus mendapat 'anak segera' iaitu Ayu yang ternyata remaja yang sangat manis dan bijak.
"Saya tidak suka melihat semula hari semalam atau sejarah lalu. Sebab itu apabila bersama Nurul, kami tidak mahu lagi menoleh ke belakang dan mengambil kira perkara yang berlaku hari ini dan membina masa depan.
"Nurul bukan saja isteri, tapi dia juga adalah sahabat dan teman jiwa yang setia," katanya yang sedang memilih lokasi berbulan madu mereka.
Ayu ada 2 daddy!
TURUT mendapat perhatian di majlis pernikahan Nurul dan Eric tengah hari itu adalah satu-satunya anak penyanyi popular itu hasil dari perkahwinan terdahulu yang tampil sebagai pengapit kepada ibunya.
Sudah menjangkau usia 14 tahun dan kini sedang menuntut di tingkatan dua di Sekolah Menengah Tun Fatimah Johor Bahru, Ayu Nazirah tampak begitu anggun mirip wajah ibunya.
Menurut Ayu yang tidak henti mengukir senyuman dan sesekali mengusik ibu dan bapa barunya yang mesra di sapa Daddy, perkahwinan ini adalah sesuatu yang begitu manis buat dirinya sebagai anak.
"Saya bertuah kerana sekarang ada dua ayah dan dua ibu. Kalau sebelum ini hanya ayah saya sudah berkahwin dan saya memiliki dua ibu, kini semuanya sudah seimbang," katanya sambil tersenyum.
Ayu menyifatkan Eric seorang Daddy yang bertanggungjawab dan pandai mengambil hatinya. Selain menjadi teman kepada ibunya yang sudah lima tahun keseorangan, Ayu turut melihat perkahwinan ibunya ini sebagai hadiah terindah yang mengundang seribu kebahagiaan kepada ibu dan dirinya sendiri.
"Saya tahu selepas ini Mama tidak lagi keseorangan kerana selepas saya masuk di sekolah berasrama penuh, dia hanya meletak sepenuh fokus pada kerja dan komitmennya hingga ada kalanya diri sendiri pun tidak diambil peduli. Tapi sekarang Mama sudah ada kawan yang boleh menemaninya setiap masa," kata Ayu.
Tambah Ayu lagi, dia tidak sabar-sabar untuk menantikan kehadiran seorang adik nanti.