Hip
ZIZAN menjadi duta produk Drive M7.
Pengacara TV Popular akui tak pernah minta bukan-bukan HAMPIR lima tahun dalam bidang hiburan, Zizan Razak, 28, sudah menggenggam pelbagai penghargaan dan anugerah. Bermula dengan dunia lawak, sehingga kini dia turut dikenali sebagai pengacara, pelakon, penyanyi dan jurucakap produk.
Begitupun penerima Artis Komedi Lelaki Popular, Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2010 dan Pengacara TV Lelaki Popular ABPBH2011 itu dikhabarkan semakin 'demand' setelah dirinya popular. Bukan sekadar dikatakan kian berkira soal bayaran, malah banyak juga permintaan bukan-bukan datang daripada artis serba boleh ini. Sebaik persoalan itu diajukan kepada empunya diri, Zizan nyata terkejut dan air mukanya turut berubah. Berkali-kali dia meminta penjelasan bagaimana isu itu boleh timbul.
"Saya tidak pernah meminta benda yang pelik-pelik, baik untuk fotografi, menjayakan sesuatu program mahupun ketika menjalani penggambaran filem dan drama. Cerita itu bagai cuba memburuk-burukkan diri dan kerjaya saya.
"Walaupun saya pernah meraih beberapa anugerah, tetapi saya tetap Zizan yang dulu. Sekiranya ada orang ingin membayar saya dengan harga yang mahal, tetapi tidak mampu untuk saya laksanakan, saya tidak akan terima.
"Begitu juga sekiranya sesuatu benda yang memang minat saya untuk lakukan, tetapi dibayar murah, saya akan menyuruh pihak pengurusan saya terima saja," katanya.
Menurut pemilik nama sebenar Mohd Razizan Abdul Razak ini, kebiasaannya ketika penggambaran filem, produksi akan menyediakan pakaian mengikut apa yang pengarah mahukan. Lantas, tiada sebab untuk dia menolak permintaan pengarah semata-mata ingin menunjukkan sikap tidak profesional.
"Selain bidang lakonan, saya juga menerima jemputan daripada pelajar universiti dan tahu peruntukan yang dikeluarkan memang rendah. Namun saya tetap tidak mahu mengecewakan mereka. Saya faham mereka ialah pelajar dan ada kalanya apa yang mereka buat adalah sebahagian daripada pemarkahan.
"Cuma saya akan memberikan perhatian lebih kepada aspek kesihatan. Biasanya saya akan bagi tahu lebih awal, terutama hal makanan kerana saya tidak boleh makan sebarang makanan laut. Ia akan menjejaskan kesihatan saya," katanya.
Perkara itu juga ditegaskan Pengurusnya, Marina Juki, yang turut menafikan mereka sengaja mengambil kesempatan terhadap populariti dikecapi Juara program Super Spontan itu.
"Sejak saya menguruskan kerjayanya, Zizan tetap sama seperti dulu. Bayaran Zizan untuk bidang pengacaraan masih sama seperti tahun lalu meskipun dia baru memenangi Pengacara TV Lelaki Popular ABPBH2011.
"Kita tidak mengambil kesempatan daripada pencapaiannya itu. Namun begitu, bayaran untuk lakonan filemnya naik sikit memandangkan kerja itu memerlukan dia bergerak lebih lasak.
"Kebelakangan ini, sejak Zizan keluar daripada hospital, jadual kerjanya semakin padat. Lebih-lebih lagi dia sudah menandatangani kontrak bersama Astro yang akan menguruskan kerjaya seninya, secara tidak langsung kami terpaksa mengutamakan projek stesen berkenaan. Jadual kerjanya sehingga bulan November sudah terisi.
"Doktor juga sudah menasihatkannya agar lebih banyak berehat. Mana yang dirasa mampu untuk dia tunaikan, dia akan lakukan," katanya yang tetap mengutamakan kesihatan artis jagaannya itu.
Mereka ditemui pada majlis pengumuman artis terbabit sebagai jurucakap produk minuman bertenaga Drive M7. Turut hadir pada majlis itu ialah seorang lagi jurucakap produk terbabit, Aaron Aziz.
"Peranan saya hanyalah membantu mempromosikan syarikat tempatan, Kumpulan Mutiara Motors, dengan produk minuman yang baru diperkenalkan di negara ini. Saya juga akan mengikuti mana-mana siri jelajah promosi produk ini sekiranya diperlukan," katanya.