Adsense

Isnin, 4 Jun 2012

Kosmo Online - Hiburan

Kosmo Online - Hiburan


Tun Siti Hasmah gugup, Erra tertekan

Posted:

Tun Siti Hasmah gugup, Erra tertekan

Tun Siti Hasmah gugup, Erra tertekan

SEKITAR tiga bulan lagi teater yang mengangkat kisah hidup Tun Dr. Siti Hasmah Mohamad Ali, 85, bakal dipentaskan di Istana Budaya. Ia diberi nama Teater Tun Siti Hasmah.

Dalam tempoh perjalanan tiga bulan ini, berkecamuk pelbagai perasaan dalam diri pendokong karakter tersebut, Erra Fazira. "Saya teruja dan berbesar hati kerana dapat membawa karakter tokoh ini, tapi dalam masa yang sama, agak tertekan kerana tanggungjawab saya besar apabila bersetuju untuk memainkan watak seorang tokoh yang masih hidup," ujar Erra tanpa selindung.

Jelasnya, apa yang lebih membuat dia tertekan adalah perlu mencapai piawaian yang sebenar tentang membawa karakter Siti Hasmah kerana menurut Erra, bukan sahaja Siti Hasmah sendiri yang akan menilainya, tetapi ia juga akan dinilai oleh individu-individu yang dekat dengan diri beliau seperti Tun Dr. Mahathir Mohamad sendiri serta anak-anak mereka. Dalam masa yang sama, dia juga perlu meyakinkan khalayak tentang kredibilitinya membawa karakter tokoh tersebut.

Bagaimanapun ujar Erra, dia tidak mahu tenggelam 100 peratus dalam karakter Siti Hasmah.

Katanya: "Saya memang tidak akan lari daripada perlu membawa karakter Tun Siti Hasmah, tetapi saya juga tidak boleh terlalu berusaha kerana untuk meniru menjadi beliau. Apa yang boleh saya katakan untuk peringkat ini, saya akan cuba memberi gambaran terbaik tentang karakter beliau."

Baru dua kali bertemu dengan Siti Hasmah, aktres tersebut mengaku dia memerlukan beberapa siri pertemuan lagi untuk mendalami emosi Siti Hasmah sebagai seorang wanita, ibu kepada empat orang anak, bekas doktor, isteri kepada Dr. Mahathir dan bagaimana beliau menjalani kehidupan hariannya untuk memantapkan lakonannya kelak.

TUN SITI HASMAH berharap teater yang mengangkat kisah kehidupannya, Teater Tun Siti Hasmah mampu memberi impak yang baik terhadap masyarakat. Beliau juga yakin Erra mampu membawa karakter dirinya dengan baik.


Jika Erra melahirkan rasa gundahnya untuk membawa karakter sehebat Siti Hasmah, bagi tuan punya badan sendiri, beliau mengaku malu untuk berbagi ceritera kehidupannya kepada khalayak. Ujar wanita yang dilahirkan di Selangor namun menghabiskan kebanyakan masanya di Kedah itu, beliau bukan sesiapa dan tidak mempunyai sejarah penting untuk diangkat ke dalam naskhah teater. Justeru, beliau juga gugup untuk dipentaskan sebagai wanita ikon.

Beliau yang ditemui semasa sesi temu bual santai tentang teater tersebut pada pagi Jumaat lalu, bagaimanapun memberitahu, akhirnya terpaksa memberi persetujuan selepas dipujuk selama setahun oleh pihak produksi yang mahu mementaskan riwayat hidupnya, World Islamic Network Television Sdn. Bhd. (WINTV).

"Secara peribadi, saya malu untuk diangkat ke pentas teater kerana beranggapan saya hanya seorang wanita biasa yang tidak mempunyai apa-apa sejarah besar untuk diberitahu kepada umum.

"Bagaimanapun, saya mengalah selepas didesak dan bersetuju kepada pihak produksi supaya ia memberi fokus terhadap perkhidmatan saya kepada masyarakat iaitu sebagai seorang pegawai kesihatan," ujarnya sambil tersenyum.


SITI HASMAH mahu dikenang sebagai seorang isteri yang taat kepada suaminya, Tun Dr. Mahathir dan mereka hidup bahagia dengan sokongan antara satu sama lain.


Ditanya bagaimana beliau mahu melihat corak pementasan tersebut, adakah ia lebih menekankan kehidupannya sebagai seorang isteri mantan perdana menteri atau memfokus terhadap kepakarannya sebagai doktor, Siti Hasmah pantas menjawab, beliau mahu divisualkan sebagai seorang pegawai kesihatan yang banyak berbakti dan memberi kesedaran kepada masyarakat.

"Saya lebih senang jika teater ini memberi fokus terhadap karier saya sebagai seorang pegawai perubatan. Selain itu, dalam masa yang sama, saya juga merupakan seorang isteri kepada suami yang taat dan hidup bahagia bersama suami saya," katanya penuh berhemah.

Tambah Siti Hasmah, adalah penting untuk khalayak diberitahu tentang kariernya kerana sewaktu zaman beliau berkhidmat sebagai pegawai kesihatan di Kedah ketika awal perkahwinan dahulu, beliau dan pasukannya telah berjaya menukar mentaliti masyarakat untuk meyakini bidang kedoktoran.

"Perkara yang membanggakan pasukan kami pada waktu itu adalah apabila mampu menukar mentaliti para ibu yang selalu mengambil khidmat bidang kampung sewaktu bersalin, agar menggunakan khidmat bidan terlatih daripada hospital. Untuk situasi pada zaman tersebut, ia dianggap sebagai pencapaian yang baik buat kami," ujarnya.


SITI HASMAH merupakan seorang wanita yang meminati muzik. Beliau pernah mempunyai sebuah kumpulan muzik pada zaman remaja dan membuat Tun Dr. Mahathir kagum dengannya selepas mengalunkan petikan piano dalam sebuah majlis.


Malah besar harapan beliau untuk melihat impak teater tersebut kelak mampu dirasai oleh para pegawai kesihatan khususnya wanita yang berkhidmat untuk menyelamatkan banyak nyawa.

"Walaupun saya tidak berani mengatakan apakah impak yang akan diperoleh selepas teater tersebut dipentaskan kelak, namun besar harapan saya agar ia mampu memberi inspirasi buat pegawai kesihatan wanita khususnya," tambah Siti Hasmah lagi.

Kesederhanaan Jason Mraz

Posted:

Kesederhanaan Jason Mraz

Kesederhanaan Jason Mraz

Oleh NOOR ASHREEN ISMAIL


JASON MRAZ kini tampil dengan imej sedikit 'nakal' berbanding imej bersihnya sebelum ini.


The Remedy (I Won't Worry), I'm Yours dan You And I Both adalah lagu hit yang sering berkumandang di corong-corong radio tidak lama dahulu. Bukan sahaja di negara kelahirannya sendiri iaitu Amerika Syarikat, tapi di seluruh dunia.

Namun begitu, empunya nama Jason Thomas Mraz atau lebih dikenali dengan nama pentasnya, Jason Mraz, tidak menganggap dirinya sebagai seorang bintang besar, tetapi lebih gemar hidup dalam kesederhanaan.

Lelaki kelahiran Virginia, Amerika Syarikat itu memberitahu, dia lebih gemar untuk terlibat dengan aktiviti kemanusiaan dan juga mengusahakan sebuah ladang berbanding hidup dalam dunia glamor.

"Pada saya, hidup dalam serba sederhana adalah kehidupan yang sebenar kerana ia memberi saya kebebasan untuk melakukan pelbagai perkara dan mengetahui apa yang berlaku di dunia ini. Misalnya, dapat menghulurkan bantuan kepada yang memerlukan, itu juga sebahagian daripada kehidupan saya.

"Saya juga berharap kehidupan seperti ini dapat memberi inspirasi kepada orang lain. Namun, pada saya, inilah realiti kehidupan bintang yang saya jalani," jelas Mraz menerusi temu bual melalui telefon di pejabat Warner Music Malaysia, Petaling Jaya, Selangor.

Bagi Mraz, definisi sukses ialah dapat lakukan apa sahaja yang diminati, dan hal itu dapat dilakukannya setiap hari. Ini termasuklah aktiviti bermain muzik, meluangkan masa bersama rakan, makan makanan berkhasiat dan bercucuk tanam.

"Saya sangat bersyukur dengan kesihatan yang diberi dan bagi saya itu semua merupakan satu pencapaian yang baik dalam hidup saya. Saya mendefinisikan sukses melalui kegembiraan yang dikecapi dalam hidup setiap hari," ujar penyanyi yang bakal hadir ke Malaysia buat kali kedua pada 19 Jun ini.

Datang lagi

Pertama kali Mraz hadir ke Kuala Lumpur bagi melengkapkan konsert jelajahnya ialah pada tahun 2009. Ketika itu, dia masih lagi popular dengan lagu yang ditunggu peminat ketika mengadakan konsert iaitu I'm Yours.

Kini, buat kali kedua, Mraz bakal mengadakan konsert yang bertempat di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur pada 19 Jun ini, pukul 8.30 malam. Ia bersempena dengan kembara promosi album terkininya yang sudah berada di pasaran sejak April lalu, Love Is A Four Letter Word.

Bakal membuat persembahan bersama kumpulan baharunya, konsert tersebut dianjurkan oleh Scenique Concerts & Events Sdn. Bhd. and Live Limited dengan kerjasama Warner Music (Malaysia) Sdn. Bhd.

Konsert jelajah yang diberi nama, Tour Is A Four Letter Word itu bertujuan untuk mempromosi album baharunya yang berjudul Love Is A Four Letter Word dan ujar Mraz, dia sangat teruja untuk mengadakan konsert kedua tersebut.

Tiket boleh didapati pada harga RM345, RM295, RM235, RM185, RM195 dan RM75. Ia boleh dibeli di kedai muzik Rock Corner, Victoria Music dan KL Life Centre. Selain itu, lapan pemenang bertuah bakal memenangi pas belakang pentas dan bertemu dengan penyanyi tersebut.

Perkongsian Tasha, Awan Band

Posted:

Perkongsian Tasha, Awan Band

Perkongsian Tasha, Awan Band

Oleh KHAIRUL AMRI HASSAN


AWAN BAND dan Tasha Shila (tengah) berganding menjayakan klip video Lintasan Bintang.


LAGU Kartita memperkenalkan jenama Awan Band dalam arena seni tempatan. Single yang dilancarkan pada tahun lalu itu membuka ruang baharu untuk kumpulan itu mengeluarkan single kedua berjudul Lintasan Bintang.

Jika single pertama mereka banyak bermain elemen abstrak, kali ini kumpulan yang dianggotai oleh Faris atau nama sebenarnya Mohd. Shazee Zailani selaku vokalis, Boy (Mohd. Badlyshah, gitaris kedua), Hasnurr (Hasnurr Hashim, basis), Ully (Mohd. Shafry Mohmad, gitaris utama) dan Ijan (Rizal Yaakop, drum) memilih Tasha Shila untuk muncul dalam video klip terbaharu mereka.

Strategi bijak itu bagaimanapun didakwa cuba menumpang tuah dan populariti pelakon cantik manis itu, tambahan Tasha baru mendapat pengiktirafan yang diinginkan oleh setiap pelakon baharu dalam industri hiburan.

Kesempatan bersua dengan anggota kumpulan Awan Band dan Tasha Shila sendiri ketika penggambaran video klip Lintasan Bintang di Bandar Sri Permaisuri, Cheras baru-baru ini mendapatkan penjelasan lanjut.

Kosmo!: Boleh kalian ceritakan apa makna di sebalik single kedua, Lintasan Bintang?

AWAN BAND: Kisahnya tersurat sepertimana lirik lagu itu iaitu mengenai seorang lelaki yang bertemu semula dengan seorang gadis yang dikenalinya sejak kecil dan terbit rasa cinta. Namun, teman lelaki gadis itu muncul dan si gadis pula terperangkap antara cinta zaman kanak-kanak atau cinta terkini. Penggambaran klip video lagu ini dilakukan di sekitar Putrajaya dan Cheras serta diarahkan oleh Juril Jamali.

Memilih Tasha Shila untuk muncul dalam video klip kalian tidakkah itu dianggap menumpang tuah dan populariti beliau memandangkan sahamnya kini semakin meningkat?

Siapa kami untuk menumpang populariti dia? Pada mulanya kami ada menyenaraikan beberapa nama lain antaranya Nora Danish dan Izara Aishah tapi selepas mendengar cadangan kami tiga minggu lalu, dia terus bersetuju. Kami sedar orang akan memandang niat kami dengan sangkaan sebegitu tapi kami percaya pada bakat dia dan sentiasa mengikuti perkembangan karier dia. Lagipun, dia memenuhi kriteria gadis dalam klip video kami.

Awan Band difahamkan sudah lama bertapak dalam industri hiburan tapi kenapa baru sekarang kelibat anda diperhatikan?

Kami akui sejak tahun 2007 hingga sekarang agak sukar untuk kami mencari tapak untuk dikenali. Kalau dulu terpaksa pinjam gitar daripada band lain untuk membuat persembahan tapi bermula tahun lepas, Warner Music memberi kepercayaan kepada kami untuk bernaung di bawah mereka.

Apa kelainan album sulung Awan Band?

Album Awan Band dikeluarkan pada 29 September 2011 dan terdapat enam buah lagu di dalamnya iaitu Lintasan Bintang, Tunggu, All My Love, Dramatik, Kartita dan Roda Khayalan. Album ini sesuai dengan jiwa golongan muda kerana bersifat pop progresif memandangkan kami pun bermula daripada kumpulan indie.

Kosmo!: Tasha Shila menerima pelawaan Awan Band untuk bekerjasama menjayakan penggambaran video klip mereka, kenapa?

TASHA SHILA: Sebelum menerima 'pinangan' mereka, saya terlebih dulu membuat kajian mengenai latar belakang Awan Band dan saya melihat mereka ada potensi untuk pergi lebih jauh dengan muzik yang berbeza. Jadi, apa salahnya saya menerima.

Anda tidak merasakan mereka menumpang populariti anda memandangkan pemilihan dibuat selepas anda diiktiraf sebagai artis baharu yang kian menyerlah?

Kalau boleh bantu, saya tidak keberatan untuk berbuat demikian. Tidak salah rasanya untuk menumpangkan populariti yang saya kecapi sesama rakan artis. Lagipun saya juga bermula dari bawah sehinggalah sekarang sudah dapat bergandingan dengan pelakon yang saya idamkan.

Bagaimana anda menyifatkan kerjasama kalian sekarang?

Situasi menang-menang. Tidak salah saya bekerjasama sebab selagi kita tidak mencuba kita tidak akan tahu keupayaan masing-masing.

Anda difahamkan boleh menyanyi, kenapa tidak diketengahkan bakat itu selain berlakon?

Saya akui memang minat menyanyi dan kalau dahulu pun memang saya bercita-cita untuk menjadi penyanyi sebelum ditawarkan berlakon dan menjadi model. Saya pernah pergi ke sesi uji bakat program realiti nyanyian sebelum ini, tapi rezeki tidak berpihak kepada saya. Buat masa sekarang, saya ingin fokus sepenuhnya kepada bidang lakonan. Apabila sudah betul-betul puas, baru saya terjun ke bidang nyanyian.