Adsense

Rabu, 27 Jun 2012

Harian Metro: Rap

Harian Metro: Rap


Masih seperti remaja lain

Posted: 26 Jun 2012 06:06 AM PDT

RASANYA baru semalam kemunculan si gadis manis ini dalam gelanggang seni lakon, namun tatkala berbual dengannya, tidak sangka usia pembabitannya sudah pun menjengah tahun keenam.

Begitu pantas masa berlalu dan secepat itu juga populariti menghimpitnya hingga melonjakkan nama bintang muda, Nurul Elfira Loy sebagai pelakon muda berbakat besar.

Mula dengan pentas teater Ali Baba Dan 40 Penyamun di Istana Budaya ketika usianya 12 tahun dan kemudian menyertai pentas komersial dengan menghidupkan watak Qalesya dalam drama siri sempena Ramadan tayangan Astro Prima, kini Elfira yang sinonim dengan senyuman manisnya sudah pun berdiri dengan jenamanya sendiri hingga terbaru diiktiraf Pelakon Pembantu Wanita Terbaik Drama di Anugerah Skrin 2011 (ASK) menerusi drama Kum Kum.

Jelasnya, apa yang penting adalah ikhlas dan sentiasa berusaha keras.


"Saya sendiri terkejut apabila melihat semula perjalanan kerjaya saya. Mana tidaknya, rasa macam baru semalam saya berada di lokasi drama Qalesya dan mengenali tanggungjawab sebagai seorang pelakon. Namun rupa-rupanya sudah enam tahun berada di industri ini dan terus diberi kepercayaan oleh pihak produksi serta peminat khususnya.


"Syukur dan rasa bertuah saja yang sesuai untuk menggambarkan segala-galanya kerana saya diberi peluang pada usia muda. Bayangkan, saya menghabiskan keseluruhan waktu persekolahan menengah dengan komitmen sebagai pelakon. Saya berada di tingkatan satu ketika berlakon Qalesya dan kini saya sudah pun tamat persekolahan.

"Namun banyak kelebihan yang saya nampak apabila bermula dari awal. Walaupun luarannya ramai yang beranggapan saya akan ketinggalan dalam pelajaran dan terlepas keseronokan zaman sekolah bersama teman, namun saya melihat dari perspektif yang berbeza. Saya berpeluang menimba ilmu produksi dan pengalaman berlakon pada usia lebih awal dan kini semuanya saya pegang kuat untuk pengajaran masa akan datang.

"Bagaimanapun saya bersyukur kerana sentiasa diberi kerjasama dari pihak produksi dan banyak pihak yang membantu sejak awal terbabit dalam lapangan ini. Mulanya memang gementar namun hingga kini saya seronok kerana begitu ramai pelakon senior yang jauh lebih berpengalaman datang memberi tunjuk ajar kepada saya.

"Alhamdulillah akhirnya bertahan juga saya hingga ke hari ini," katanya membuka bicara.

Elfira yang kini menyambung pengajian di peringkat diploma dalam jurusan Seni Hiburan di Kolej Damansara Utama (KDU) turut menyatakan hasratnya yang ingin terus meneroka dunia penerbitan filem dan drama.

Enggan hanya berstatus selebriti di depan kamera, pelakon muda yang sebelum ini pernah muncul bersama Amy Mastura menerusi filem Damping Malam mengharapkan satu hari nanti dirinya akan berpeluang meninjau lebih jauh dalam dunia di belakang tabir.

Terlintas pula persoalan, adakah bintang drama Senja Permai, Tentang Bulan The Series, Ekspres Dania dan Syurgamu Ramadhan ini terlepas dari menikmati kegemilangan remaja seperti teman-teman yang lain kerana terlalu meletak fokus pada kerjayanya.

"Saya masih seperti remaja lain yang keluar bertemu kawan-kawan dan melakukan aktiviti-aktiviti yang menyeronokkan seperti membeli-belah, menonton wayang dan berkaraoke, cuma waktu saja yang membataskan pergerakan saya. Selalunya pun jika saya keluar membeli-belah, saya akan pergi bersama ibu kerana dia yang selalunya membantu saya memilih pakaian.

"Jika melihat pemakaian dan fesyen juga, saya bukanlah terlalu bergaya namun apa yang saya pakai adalah sesuatu yang digemari golongan remaja seperti saya.
Setidak-tidaknya saya masih memperlihatkan sisi remaja dalam diri walaupun setiap hari kelompok kawan dan rakan sekerja di lokasi penggambaran semuanya jauh lebih dewasa.

"Namun tidak pula saya terkilan atau kecewa dengan keadaan seperti ini kerana walaupun saya tidak sebebas remaja lain namun saya fikir positif yang semua yang saya lakukan hari ini adalah percaturan masa depan saya juga," katanya.

Anak kedua daripada empat beradik ini kini sibuk berada di lokasi drama Dalam Hati Ada Taman arahan Michael Ang. Meskipun sibuk di lokasi menghidupkan watak Bella di samping pelakon lain termasuk Amy Mastura, Didie Alias dan Sharifah Shahora, gadis berusia 18 tahun ini masih sempat meluangkan masa untuk bercerita perkembangan terbarunya.

"Saya sudah pun selesai membuat alih suara untuk watak Odelle dalam filem Smurf yang akan ditayangkan di HBO dan kini sibuk menjadi juri pula bagi program My School Rock Event tayangan Disney Channel. Alhamdulillah pihak Astro memberi kepercayaan kepada saya pula untuk mengendalikan program Reka Aktiviti yang akan menemui penonton tidak lama lagi.

"Selain itu saya juga baru selesai penggambaran drama epik lapan episod dan beberapa drama siri lagi yang masih dalam pertimbangan. Filem juga saya sedang meneliti dua skrip yang akan mula penggambaran tidak lama lagi. Satunya KL Meroyan dan satu lagi belum diberikan judul lagi. Semuanya masih dalam perbincangan.

"Insya-Allah tahun depan akan menjadi tahun yang lebih sibuk untuk saya kerana ada filem dan drama serta projek lain yang menanti," katanya yang sudah hampir dua tahun menjadi artis eksklusif Astro.

Anugerah Stail EH! satu penghargaan

BERCERITA soal pengiktirafan dan anugerah yang diterimanya, anak jati Kuala Lumpur ini hanya mampu tersenyum dan bersyukur terutamanya diberikan trofi di ASK yang lalu.

Terbaru, Elfira sekali lagi tercalon dalam kategori Selebriti Harapan Pilihan di Anugerah Stail EH! 2012 bersama empat lagi calon lain termasuk Johan As'ari, Najwa Mahiaddin dan Neelofa.

Menurutnya yang gembira kerana ada pihak nampak akan kehadirannya, menyifatkan Anugerah Stail EH! ini adalah satu lagi pentas terbaik untuknya memperkenalkan nama dan bakat.

"Saya tidak fikir soal menang atau kalah kerana jujurnya tersenarai dalam kategori ini sudah cukup bermakna buat diri saya sebagai pelakon yang masih dianggap baru dalam dunia lakonan. Ini satu penghargaan dan sesuatu yang amat saya idamkan kerana setidak-tidaknya ada pihak yang perasan akan kemunculan saya.

"Melihat pada kesemua calon lain, saya merasakan ia sesuatu yang cukup menyeronokkan kerana semuanya adalah bintang muda yang sebaris usia pembabitan bersama saya. Kiranya kami semua adalah pelapis namun bonusnya di sini apabila pihak penganjur tidak terlepas pandang untuk menamakan saya dalam kategori ini.

"Saya tidak sabar untuk menanti tarikh Anugerah Stail EH! itu dan pastinya saya akan berpeluang untuk bertemu peminat yang selama ini sentiasa percaya dengan saya dan tidak henti memberikan semangat," katanya lagi.

Anugerah Stail EH! akan diadakan pada 4 Julai depan bertempat di Grand Dorsett, Subang Jaya dengan mempertaruhkan 16 kategori utamanya.

Majlis anugerah yang ditaja oleh barangan kecantikan SaSa ini akan turut memperlihatkan kehadiran bintang-bintang ternama negara bagi merebut trofi utamanya.


Rahsia kekal momentum

Posted: 26 Jun 2012 04:44 AM PDT

SUDAH boleh dianggap diva, Ramlah Ram sememangnya meninggalkan impak yang besar dalam industri hiburan. Bertitik-tolak daripada menjuarai Bintang RTM, penyanyi kelahiran Muar, Johor, berusia 47 tahun ini mengorak langkahnya dalam bidang seni sehingga mengukir pelbagai kejayaan.

Bukan mudah untuk kekal dalam industri lebih-lebih lagi pada usia sebegini, namun berkat usaha keras, lihatlah betapa kukuhnya nama penyanyi ini di persada seni tanah air. Cukup diingati dengan kelantangan vokal yang hebat, lagu Kau Kunci Cintaku Di Dalam Hatimu masih lagi menjadi siulan dan dinyanyikan dalam pertandingan nyanyian pada masa kini.

Dengan kemunculan artis baru, dia sebaliknya memanfaatkan senario itu dan tidak ragu-ragu berduet dengan kumpulan rap kelahiran Singapura, SleeQ menerusi lagu Sesaat Kau Datang.

Bagaimanapun, semua itu bukan berlaku dengan sekelip mata kerana berada di gelanggang seni hampir tiga dekad, tentunya bukan mudah untuk penyanyi ini mengekalkan momentum serta mempertahankan namanya.


Dilahirkan menerusi program nyanyian juga, pastinya pemenang anugerah Penyanyi Wanita Popular, Anugerah Bintang Popular Berita Harian 1988 ini ada sesuatu untuk dikongsikan mengenai susah perit serta tips bagaimana hendak berjaya sepertinya.


Bersama wartawan RAP, GEORGIE JOSEPH (georgie@hmetro.com.my), Ramlah meluahkan pendapatnya.

R (Rap): Masih popular sehingga sekarang, apa perasaan Ramlah?

RR (Ramlah Ram): Apa lagi yang boleh saya katakan, saya sangat-sangat bersyukur. Bukan kerana hanya dikenali dengan nama semata-mata namun kehadiran saya masih diterima peminat, begitu juga lagu yang saya nyanyikan, masih disukai pelbagai lapisan.

Jika diamati, ramai rakan seperjuangan saya yang memilih untuk tidak meneruskan kerjaya nyanyian mereka dan saya sebenarnya sedih. Bukan apa, dengan kemunculan artis baru pada masa ini, bukan senang untuk bertahan dalam industri ini.

Bagaimanapun, atas sokongan peminat yang tidak pernah berhenti, sukar untuk saya berundur daripada lapangan ini kerana saya pun masih belum puas dalam industri. Ditambah pula dengan sokongan mereka yang tidak pernah putus, ia menguatkan lagi semangat saya.

R: Sudi berkongsi rahsia bagaimana boleh bertahan sehingga sekarang?

RR: Bagi saya, resipi paling terbaik untuk kekal sehingga ke tahap sekarang adalah semangat ingin belajar itu sendiri. Saya tidak pernah sesekali menganggap berada lama dalam bidang ini bermaksud saya sudah cukup bagus.

Dalam industri ini, kita jangan pernah duduk selesa dan bersenang-lenang kerana setiap hari ada saja perkara baru yang tidak terduga akan berlaku kepada kita. Jadi, untuk bersedia menempuh semua itu, saya sentiasa peka dan mengikuti perkembangan semasa.

Biarpun sudah puluhan tahun berkecimpung dalam bidang seni, saya tidak pernah menolak untuk mendengar idea baru kerana itulah sebenarnya perkara yang penting buat saya mencuba sesuatu kelainan. Dalam masa sama juga, jangan pernah lupa diri, bersikap sombong dan kenalah bersabar dengan apa jua cabaran kerana itulah lumrah dunia seni.

R: Bintang RTM menjadi titik-tolak karier Ramlah, sejauh mana ia menyumbang kepada kerjaya seni?

RR: Tidak dinafikan, Bintang RTM membuka pintu yang luas kepada saya untuk menembusi industri hiburan. Sebelum menyertainya, saya cuma seorang penyanyi kampung dan sekadar menyanyi di keramaian untuk mengasah bakat.

Bagaimanapun, sebaik memenangi pertandingan itu, nama saya mula dikenali ramai dan pelbagai dalam bidang seni mula terbuka luas. Sehinggalah dapat menerbitkan album dan memenangi pelbagai anugerah, saya tidak akan sesekali melupakan di mana asal-usul dan bangga dilahirkan daripada pertandingan itu.

R: Dengan pelbagai program realiti yang muncul pada masa kini, adakah Bintang RTM masih relevan sekarang?

RR: Mengapa tidak? Bintang RTM antara pertandingan yang paling lama dan banyak melahirkan artis berkualiti. Malahan, artis terbabit masih kekal sehingga sekarang dan terus disanjung.

Jenama Bintang RTM itu saja sudah dikenali sebagai pertandingan mencari penyanyi-penyanyi berkualiti dan secara formatnya, ia lain berbanding rancangan lain. Cuma, saya ingin menyentuh mengenai publisiti yang agak kurang berbanding rancangan lain kerana apa-apapun, untuk menarik pengikut, promosi amatlah penting dan benar-benar membantu.

R: Apakah kelebihan Bintang RTM berbanding program lain?

RR: Semestinya daripada segi penjurian itu sendiri serta pemilihan sejak uji bakat lagi, saya rasa Bintang RTM ada kelebihan di situ. Barisan juri yang memilih juga bukan alang-alang, datang daripada pelbagai latar belakang yang cukup kuat dan profesional.

Piawaian yang ditetapkan untuk pemilihan juga berada pada kelas tersendiri dan buktinya, setiap kali pemenang dipilih, mereka sangat berkualiti. Tidak berpaksikan penjurian secara sistem pesanan ringkas (SMS) semata-mata, sekurang-kurangnya peserta yang benar-benar layak ada kelebihan di situ.

Masalahnya dengan penjurian SMS, kebarangkalian untuk memilih seseorang yang benar-benar layak adalah sukar. Bukan apa, tengok saja pengundi di luar, kita kena faham tidak ramai yang benar-benar arif mengenai bidang muzik ini. Jadi, selalunya mereka hanya akan mengundi atas dasar suka atau tidak. Jadi, untuk melihat peserta yang benar-benar berkualiti sejak daripada awal pemilihan, Bintang RTM adalah platform terbaik.

R: Sedikit pesanan kepada enam peserta akhir Bintang RTM 2012 yang bakal bertanding nanti?

RR: Renungkan kembali apa tujuan untuk menyertai pertandingan terbabit. Kalau hanya kerana ingin menjadikannya sebagai batu loncatan untuk mengejar glamor, fikirkan kembali. Sayang sangat jika bakat itu hanya digunakan hanya untuk sementara saja kerana bukan populariti yang akan menentukan kejayaan dalam industri ini kelak.

Saya sangat berharap akan ada yang mampu untuk mencipta sesuatu kerana bila lagi hendak mencari pelapis kepada artis-artis lama seperti Jamal Abdillah, Datuk Siti Nurhaliza dan Allahyarham Sudirman?

Nasihat saya, mereka perlu buat keputusan betul-betul mengenai apa yang mereka kejar kerana untuk menghadapi bidang ini, terlalu banyak perkara di luar jangkaan.