Gosip Artis Malaysia |
- Akim AF Akan Nikah Pada Usia 25 Tahun
- Suami Semakin Romantik Selepas Haiza Mengandung
- Limelight - Faizal Hussein Tiada Niat Menyindir
- Raja Azmi Sah Bercerai
Akim AF Akan Nikah Pada Usia 25 Tahun Posted: 27 Jun 2012 06:52 PM PDT KUALA LUMPUR: Penyanyi dan pelakon Akim Ahmad berhasrat untuk menamatkan zaman bujangnya empat tahun lagi iaitu ketika mencapai usia 25 tahun kerana beranggapan angka itu paling sesuai untuk dia bergelar seorang suami. Akim, 21, berkata, buat masa ini dia langsung tidak memikirkan mengenai soal teman wanita kerana ingin menumpukan perhatian terhadap kerjaya selain bekerja bagi mengumpul aset. "Saya masih muda dan sebagai lelaki pelbagai impian ingin saya realisasikan terlebih dahulu seperti memiliki kereta, rumah dan aset lain. "Tambahan pula kerjaya nyanyian saya baru stabil dan saya ingin memberi fokus terhadap perkara itu terlebih dahulu," ujarnya ketika ditemui selepas pelancaran album pertamanya berjudul Akim Ahmad di sini, Rabu. Memperjelaskan hubungannya dengan Stacy, Akim menegaskan hubungan mereka tidak lebih sebagai seorang sahabat. Akim memberitahu dia senang berkawan dengan penyanyi itu dan bekerjasama dengannya. "Kami tiada sebarang hubungan istimewa dan sekadar sahabat baik. Malah untuk album pertama saya ini kami berduet dalam sebuah lagu bertajuk Kembali dan saya sentiasa senang bekerjasama dengan dia," katanya. Dalam pada itu, bercakap mengenai album terbaru itu, Akim melahirkan rasa syukur kerana penantian selama tiga tahun akhirnya berbaloi. Akim berkata, tidak timbul soal dia perlu menanti lama kerana apa yang lebih penting dia berpuas hati dengan kualiti album yang diterbitkan. "Saya terlibat secara langsung dalam pembikinan album yang mempunyai 10 buah lagu ini dan cukup berpuas hati dengan hasilnya. "Saya juga turut menghasilkan dua buah lagu dan menulis sendiri hampir kesemua lirik untuk album itu. Ia sangat dekat dengan saya," ujarnya. Akim memberitahu dia berharap album ini dapat menyentuh hati para peminat kerana segala usaha telah dicurahkan dalam karya tersebut. Sementara itu, Akim terkejut apabila syarikat rakaman Sony Music Indonesia turut berminat untuk memasarkan album tersebut di negara itu. "Siapa yang tidak mahu melebarkan sayap ke negara seberang tetapi jika belum rezeki, tiada apa perlu disesalkan kerana saya boleh menumpukan aktiviti sepenuhnya di negara sendiri," katanya. Antara lagu yang terkandung dalam album tersebut adalah Menunggu, Daya Cinta, Mesti Ada Cinta, Tentang Dia dan Yang Nyata. - --- |
Suami Semakin Romantik Selepas Haiza Mengandung Posted: 27 Jun 2012 06:48 PM PDT KUALA LUMPUR: Penyanyi Haiza menyifatkan pendapat mengatakan kehadiran anak mampu mengeratkan lagi perhubungan suami isteri ternyata benar apabila dia dan suaminya lebih mesra dan akrab sejak mengandung bayi sulung. Haiza atau nama sebenarnya Rohaizah Nordin berkata, sejak enam bulan usia kandungan, suaminya, Norhanapfe Omar, semakin peka terhadap kesihatan Haiza selain kedua-duanya semakin romantik di antara satu sama lain. "Saya setuju dengan kata-kata orang bahawa anak mampu mengeratkan lagi ikatan suami isteri menjadi lebih kukuh kerana saya juga merasainya. "Malah dia lebih romantik daripada biasa dan terlalu prihatin dengan keadaan diri dan anak yang saya kandungkan ini," katanya. Bagaimanapun, tambah Haiza, hal ini tidak bermakna perhubungan antaranya dan suami sering dilanda masalah sebelum mengandung. Sepanjang lima tahun perkahwinan tanpa anak, Norhanapfe kerap memberi semangat dan nasihat apabila Haiza tertekan gara-gara kesukarannya untuk mengandung. "Diakui, awal dua tahun perkahwinan kami, saya tertekan kerana tidak mempunyai anak, walaupun saya dan suami tidak mempunyai sebarang masalah ketika mendapatkan pemeriksaan doktor. "Dan ketika itu suamilah yang tidak putus-putus memberi semangat kepada saya dan alhamdulillah kami tidak pernah bergaduh kerana ketiadaan anak. "Mungkin juga kerana keluarga kami juga tidak mendesak, ia sedikit sebanyak tidak membuatkan kami tertekan," ujarnya. Haiza bernikah dengan Norhanapfe di Masjid Temenggung Daeng Abdul Rahman, Pontian, Johor pada 24 Ogos 2007. Sementara itu, penyanyi dangdut itu akan muncul bersama Jaafar Onn bagi menghiburkan pengunjung yang datang untuk berbuka puasa di Hotel Dorsett Regency Kuala Lumpur pada bulan Ramadan nanti. Seperti tahun-tahun sebelumnya, Haiza dan Jaafar akan mempersembahkan lagu-lagu Hari Raya bagi menghiburkan pengunjung yang hadir. "Menarik lagi pada tahun ini, saya juga akan menjual kuih tradisional yang diberi nama 'Citarasa Haiza Cakar Ayam'. "Saya menjual kuih tersebut yang dibuat oleh golongan ibu-ibu tunggal di Johor Bahru dan ia kemudiannya dijual dengan harga yang sangat berpatutan, hanya RM28 bagi sebekas yang besar," katanya. Dalam pada itu, pengunjung yang ingin berbuka puasa di hotel tersebut pastinya berpuas hati dengan makanan yang disediakan kerana ia memenuhi selera pengunjung dengan masakan-masakan popular ala kampung. Pihak hotel juga menyediakan pelbagai juadah seperti gado-gado, hati ayam goreng berempah, sambal, ulam, pisang dan cempedak goreng, serawa durian, daging masak Arab, sambil tumis udang petai, pucuk paku lemak cili padi dan sotong tumis jintan. Turut tersedia hidangan pencuci mulut, sagu sejuk bersama kelapa, kuih nyonya, bubur cha-cha dan bubur pulut hitam. Kadar bayaran berbuka RM69++ seorang. - --- |
Limelight - Faizal Hussein Tiada Niat Menyindir Posted: 27 Jun 2012 06:47 PM PDT KUALA LUMPUR: Pelakon Faizal Hussein menjelaskan buku pertama tulisannya berjudul Limelight bukan bertujuan untuk menyindir atau mengaibkan mana-mana pihak di dalam industri perfileman tanah air. Faizal berkata, buku itu sebaliknya memaparkan realiti sebenar dunia perfileman tempatan berdasarkan pengalamannya selama 40 tahun bergelar pelakon. "Mungkin beberapa kandungan dalam buku ini akan menyinggung pihak tertentu tetapi semua itu adalah fakta dan cerita yang saya dengar dan lalui dalam industri perfileman sepanjang 40 tahun. "Terlebih dahulu saya mohon maaf kepada semua jika ada yang kurang senang atau terasa. Namun ia dihasilkan untuk tatapan dan panduan kepada warga seni khususnya yang baru mengenai selok-belok industri," ujarnya. Limelight memaparkan corat-coret dunia perfileman daripada kaca mata aktor itu.Ia juga adalah perkongsian kisah peribadi Faizal yang dilahirkan daripada keluarga seni aktor dan pengarah veteran Allahyarham Hussein Abu Hassan dan aktres Allahyarham Mahyon Ismail. Buku setebal 200 halaman itu diterbitkan Merpati Jingga dan bakal dipasarkan tidak lama lagi. Bercerita lanjut, Faizal menyifatkan buku tersebut sebagai medan terbaik untuk dia memberikan panduan dan bimbingan kepada karyawan muda berhubung matlamat sebenar dalam dunia seni. "Majoriti artis baru hanya melihat bidang ini untuk popular dan hidup mewah sedangkan anak seni mempunyai tanggungjawab yang besar kepada masyarakat. "Saya mahu berkongsi dengan anak seni dan pekerja-pekerja filem dan membetulkan matlamat sebenar dan tanggungjawab mereka berdasarkan pengalaman saya selama ini," luahnya. Ditanya mengenai keberaniannya mendedahkan realiti sebenar industri filem dalam buku itu, Faizal berkata dia bersedia menerima pelbagai reaksi ekoran tindakan itu. "Saya sedar apabila kita bercerita dengan ikhlas mengenai sesuatu kebenaran, pasti ada pihak yang tersinggung dengan pendedahan itu. "Ada banyak kisah sebenar berkaitan pengalaman dan luahan arwah bapa saya mengenai industri, selain cerita peribadi saya dan keluarga. Tapi saya berasa ia perlu dikongsi kepada khalayak," akuinya.Dalam perkembangan lain, Faizal berkata dia bakal memulakan penggambaran filem terbaru arahan Bade Hj Azmi berjudul Hitam Putih tidak lama lagi. Dua filemnya Pencinta dan Gila-Gila Remaja pula menantikan slot tayangan di pawagam. - --- |
Posted: 27 Jun 2012 06:45 PM PDT KUALA LUMPUR: Produser filem Raja Azmi Raja Sulaiman menganggap perceraiannya dengan bekas jaguh badminton negara, Jalani Sidek di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur di sini pada Rabu adalah satu hukuman kerana cuai dalam menjalankan tanggungjawab sebagai seorang isteri. Penerbit filem ...Dalam Botol itu turut reda dengan "hadiah" yang diberikan Allah sempena ulang tahun kelahirannya ke-53 yang jatuh pada hari sama talak dilafazkan. "Saya percaya perceraian ini adalah hadiah daripada Allah bersempena sambutan hari lahir saya pada hari ini (Rabu). Saya terima hukuman Allah di dunia ini kerana kesilapan saya. "Semoga saya tidak dihukum di akhirat nanti," luahnya ketika ditemui di luar mahkamah di sini, Rabu Jalani atau nama sebenarnya Mohamed Jalani Mohamad Sidek,49, melafazkan talak satu terhadap Raja Azmi di hadapan Hakim Syarie, Shaiful Azli Jamaludin. Pasangan terbabit mengambil keputusan tersebut atas alasan tidak lagi wujud kasih sayang dan persefahaman selain berhadapan dengan konflik rumah tangga yang berpanjangan selama ini. Raja Azmi berkata, dia atau bekas suami tidak menetapkan tarikh tertentu bagi permohonan perceraian berkenaan sebaliknya tarikh itu adalah secara kebetulan kerana ia ditentukan oleh pihak mahkamah. Penulis novel itu turut berkata, perceraian yang berlaku dibuat atas persefahaman bersama bagi membolehkan hubungan dia dan bekas suami terus akrab dan baik seperti sebelum ini. "Kami bercerai dengan persetujuan bersama dan anak-anak memahami serta menerimanya. Hubungan saya dan Jalani akan terus baik seperti biasa selepas ini. "Malah, kami sekeluarga baru berkumpul pada malam semalam (Selasa) bagi meraikan hari jadi saya. Selepas pulang dari mahkamah, kami akan berbincang mengenai hal anak-anak dan beberapa urusan keluarga," katanya. Hasil perkahwinan selama 28 tahun, kedua-dua pasangan itu dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Puteri Suraya, 27, Puteri Suaida, 23, dan Megat Deli, 18. Mereka juga memiliki seorang cucu berusia setahun iaitu Muhammad Akid Mohd Shadan, anak kepada Puteri Suraya. Raja Azmi sebelum pernah didakwa berkhalwat dengan bekas jaguh badminton negara, Roslin Hashim pada Ogos 2010 di Hotel Corus, Jalan Ampang, di sini. Bagaimanapun, mereka dibebaskan pada 19 Ogos tahun lalu oleh pihak mahkamah selepas setahun proses siasatan berlangsung. Jailani juga pernah dihimpit kontroversi kononnya dikatakan mempunyai hubungan dengan seorang ahli perniagaan berstatus janda. - --- |
You are subscribed to email updates from Gosip Artis Malaysia To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |