Adsense

Jumaat, 15 Jun 2012

Harian Metro: Rap

Harian Metro: Rap


Shahrizal lelaki manja

Posted: 14 Jun 2012 09:52 AM PDT

NAMA Shahrizal Jaszle Jasmin bukan kecil di dalam dunia drama televisyen. Pengikutnya ramai, bertambah kuat selepas lelaki ini membintangi siri popular, Asmara dan diperkukuhkan dengan beberapa lagi portfolio drama seperti Gemilang dan Tahajjud Cinta, serta filem Azura 2012.

Bagaimanapun populariti karier lakonannya bagaikan seiring dengan kisah cintanya dengan beberapa wanita sehingga mencetus kontroversi, apatah lagi ia turut membabitkan beberapa selebriti tanah air termasuk Maria Farida dan Miera Liyana.

Ketika bertemu dengannya di Jakarta penghujung bulan lalu dalam lawatan bersama Jamu Mak Dara, pelakon remaja ini begitu terbuka berbicara perkara yang dianggap terlalu peribadi bagi sesetengah orang. Malah perbualan dengan Rap itu juga turut mengheret kepada isu industri seni Malaysia kerana Shahrizal mempunyai pandangannya sendiri.

"Artis yang menyorok teman wanita atau lelaki, biasanya banyak skandal. Maaf cakaplah! Bagi saya, kenapa perlu nak sorokkan? Sebaliknya saya bangga kalau dapat memberitahu dunia yang saya ada kekasih hati.


"Orang kata, kalau sudah berteman, peminat akan berkurangan. Tetapi kalau sudah tertulis rezekinya, ia tetap akan ada juga.


"Apapun yang terjadi selama ini sehingga hari ini, pengalaman itu membuatkan saya semakin tabah dan kuat," katanya yang mengakui kini menjalinkan cinta baru dengan seseorang yang pernah dikenali keluarganya sejak dulu.

Menurut lelaki berusia 24 tahun ini, dia tidak mampu untuk mengelak daripada dikaitkan dengan kontroversi. Selain ia seolah-olah makanan selebriti, sekurang-kurangnya katanya, kontroversi yang dialami tidak membabitkan kelab malam atau minuman keras.

"Mungkin teman-teman wanita yang saya temui selama ini tidak sesuai dengan jiwa saya. Namun saya akui, apabila sedang menjalinkan kasih dengan seseorang, saya akan setia sebaiknya.

"Di dalam hubungan begini, saya perlu banyak bersabar sehinggalah kesabaran itu tiada lagi, barulah saya cari yang lain. Saya mahukan wanita yang boleh jaga saya dan memang saya lelaki yang manja.

"Cuma perempuan yang kenal sebelum ini tidak tunjuk perangai sebenar sehinggalah hubungan itu makin serius dan kenal lama, barulah nampak warna sebenar.

"Walaupun mereka membuat kenyataan kepada media, saya lebih selesa untuk berdiam diri. Tanpa balasan kenyataan daripada saya pun, lama kelamaan kebenaran akan timbul juga. Hanya masa akan menjawab segalanya," katanya.

Menurut lelaki pendiam ini, dia sudah terbiasa dengan didikan keluarga yang tidak suka kecoh-kecoh walaupun pihak lain cuba menegakkan benang yang basah.

Memandangkan hatinya kini terisi oleh kasih seorang wanita yang dikenali sebagai 'Putri', ketika ditanya apakah dia sunyi sekiranya tidak mempunyai rakan wanita yang digelar kekasih, Shahrizal akui suka berteman.

"Kebetulan saya tidak ramai kawan lelaki, dan masa lebih banyak bersama keluarga sekiranya habis waktu kerja. Apapun terus-terang saya katakan, saya susah jatuh cinta," katanya.

Dari dapur ke belakang tabir

ENAM tahun lalu, Shahrizal Jaszle Jasmin tidak pernah terlintas untuk beraksi di pentas seni hiburan. Ingin ketika di bangku sekolah dulu untuk memandu kapal terbang suatu hari nanti, namun apakan daya belum kesampaian.

Si ayah pula menggalakkan anak untuk mendalami bidang masakan dan pelakon remaja itu menghabiskan masa dua tahun untuk memiliki sijil kulinari dan perhotelan di Kolej Komuniti.

Bagaimanapun rezekinya tertulis di dalam bidang seni bermula dengan program Naratif Remaja untuk RTM dan diikuti drama Luna Fantasiku. Namun Shahrizal memberitahu, dua tahun pertama adalah tahun mencabar sehingga dia hampir membuat keputusan untuk berhenti.

Keputusan itu disokong keluarganya yang sedari awal kurang bersetuju dia menceburi dunia lakonan. Sekali lagi 'namun' apabila Shahrizal cuba untuk membuktikan yang dia akan berjaya di dalam bidang ini.

"Setakat ini saya berpuas hati dengan apa yang saya lalui sebagai pelakon tetapi sasaran utama saya adalah kerusi pengarah. Sekarang saya banyak perhatikan kerja-kerja di belakang tabir seperti pencahayaan, kamera dan kerja pengarahan.

"Pada awal lagi, bidang saya bukan di depan kamera, bukan ke arah glamor. Cuma buat masa ini, rezeki itu datang lebih awal dan bagi saya, ini juga peluang yang baik untuk saya melompat masuk di belakang tabir," katanya.

Keyakinan Shahrizal terhadap dunia seni negara begitu tinggi kerana baginya, Malaysia memiliki ramai pengarah, pelakon dan penulis skrip yang bagus.
Bagaimanapun mereka kekurangan sokongan daripada kerajaan terutama soal bajet.

"Contohnya kalau skrip menuntut babak itu sebuah helikopter untuk seseorang watak naiki tetapi babak itu terpaksa dibuang kerana produser tiada bajet. Jadi kita tidak boleh buat.

"Juga kekangan kreativiti disebabkan negara kita yang Islamik. Bukan saya membantah pasal Islam tetapi kalau Hollywood atau Bollywood buat dan tayang di sini, kita benarkan pula.

"Tidak hanya itu, kekangan juga dilihat pada lokasi yang sukar untuk orang kita sendiri dapat tetapi senang-senang orang luar boleh rakamkan lokasi kita seperti KLCC di dalam filem atau produksi mereka.

"Dalam hal ini, Finas harus memperjuangkan untuk karyawan kita. Namun saya sedar, Finas telah banyak membantu industri dan ada alasan sendiri terhadap apa sahaja yang berkaitan dengan negara," katanya.

Malah Shahrizal juga mengharapkan ada pihak yang tampil memperjuangkan hak royalti para pelakon sepertinya yang sejak zaman P Ramlee lagi tiada pembelaan.
Yang kaya rasanya stesen TV atau produser filem, bukan pelakon.

"Tengoklah bila artis sudah tua, tengok bagaimana nasib mereka," katanya.

Shahrizal buat masa ini, terpaksa memilih skrip dalam usahanya untuk menjaga kualiti lakonan. Walaupun sesetengah daripada teman seperjuangan terpaksa menerima apa saja tawaran demi survival anak seni, namun bukan Shahrizal kerana dia percaya pendirian itu akan terjawab suatu hari nanti.

Menurutnya, dia memperjuangkan kualiti daripada memperbanyakkan kuantiti lakonan.

"Saya percaya yang lakonan bukan kerana bakat tetapi pengalaman. Lagi banyak pengalaman, lagi bagus persembahan kita.

"Lakonan membabitkan psikologi, cara berfikir, peka dengan keadaan sekitar, mengamati karakter manusia sekeliling dan sebagainya. Bukan mudah menjadi pelakon dan bergantung kepada nawaitu seseorang untuk menjadi pelakon, sama ada untuk mencari glamor atau kualiti.

"Bila banyak sangatpun berlakon dan duit pun bertambah tetapi kalau kualiti yang diberikan lebih kurang sama, penonton akan cepat bosan. Kalau peminat bosan, maknanya jangka hayat sebagai seorang pelakon tidak boleh bertahan lama," katanya.




Agih royalti sebelum tutup

Posted: 14 Jun 2012 09:40 AM PDT

TIADA apa lebih menggembirakan jika golongan artis dan pelaku mendapat manfaat bersama apabila kerja-keras mereka dihargai.

=Itulah pegangan dan prinsip Pengarah Urusan Performers And Artistes Rights (M) Sdn Bhd (Prism), Ong Peng Chu mengenai prospek agihan royalti terakhir terhadap ahli-ahli Prism yang akan dibuat pada minggu kedua Julai depan.

Kata Ong, seramai 1,300 ahli Prism akan menerima agihan sebanyak RM4 juta itu selepas menerima pembayaran termasuk tunggakan sebanyak RM700,000 dari Public
Performance Malaysia (PPM) pada penghujung April lalu.

"Ini adalah pembayaran royalti terakhir akan dibuat sebelum Prism berhenti atau tidak lagi berfungsi selepas 16 tahun beroperasi mengutip, mengumpul dan menguruskan pembayaran royalti kepada ahli-ahli diwakilinya.

"Jika tinggal nama pun, saya berharap pengagihan ini memberi jawapan terhadap ketelusan Prism Sdn Bhd yang melindungi dan menguatkuasa hak-hak muzik dan artis rakaman menerusi pembayaran royalti yang adil terhadap artis dan pelaku di bawah Prism," katanya dalam satu temuramah di pejabat Harian Metro, semalam.

Ditanya apa yang masih membuatnya terkilan berikutan pembubaran Prism sejak beroperasi pada 1996, Ong berkata: "Jika hendak diambil kira, memang banyak hendak dibuat demi menjaga kepentingan mereka terutamanya membabitkan segala jenis persembahan awam, penyiaran dan komunikasi rakaman mereka kepada orang ramai.

"Harapan terbesar Prism adalah menjadikan hasrat cadangan untuk menambah artikel di dalam Akta Hakcipta 1987 menjadi kenyataan pada masa depan. Kami sudah menghantar surat cadangan terbabit kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak pada 1 Ogos tahun lalu.

"Kebimbangan kami adalah terhadap Akta Hakcipta 1987 sedia ada kerana pada pendapat kami tidak menuruti piawai antarabangsa seperti diperuntukkan dalam Artikel 15 (1) dan Artikel 15 (2) WIPO Performances and Phonograms Treaty (WPPT).

"Malaysia adalah anggota Organisasi Harta Intelek Sedunia yang sudah menandatangani 6 perjanjian (treaty) mengenai harta intelek setakat ini.

"Ini bermakna, artikel WPPT yang disebut terbabit membenarkan pelaku dan penerbit fonogram menerima royalti sama rata apabila persembahan dan fonogram direkodkan dimainkan di radio atau dipersembahkan di khalayak umum, sama ada secara langsung atau tidak langsung. Ini memberikan pelaku, penerbit fonogram atau kedua-duanya sekali hak untuk menuntut ganjaran berdasarkan perjanjian kedua-dua pihak. Tetapi ia tidak berlaku sekarang kerana walaupun ada WPPT, Akta Hakcipta 1987 hanya menyediakan hak eksklusif kepada penerbit manakala pelaku hanya berhak terhadap saraan saksama," katanya mengenai Artikel 15 (1) dan Artikel 15 (2) dalam Akta Hakcipta 1987 terbabit.

Artikel 15 (1) WPPT memperuntukkan, pelaku dan penerbit fonogram hendaklah berhak terhadap saraan saksama sekali bagi penggunaan secara langsung atau tidak langsung fonogram diterbitkan bagi tujuan komersial bagi penyiaran atau apa-apa komunikasi kepada umum.

Mengikut Artikel (2) pula, pihak-pihak di dalam kontrak boleh menggubal undang-undang negara mereka bahawa saraan saksama sekali hendaklah dituntut daripada pengguna oleh pelaku atau penerbit fonogram atau kedua-duanya sekali.

Pihak-pihak dalam kontrak boleh menggubal undang-undang negara apabila tidak terdapat perjanjian di antara pelaku dan penerbit fonogram yang memperuntukkan terma-terma yang mana pelaku dan penerbit fonogram hendaklah berkongsi saraan saksama itu.

"Jika masih ada baki wang agihan, kita akan serahkan pada peguam untuk memegang wang itu dan menyerahkan kepada badan atau organisasi lain yang akan meneruskan usaha dan inisiatif membela nasib artis dan pelaku atau sesiapa saja berkaitan dengan industri intelek.

Katanya, proses pembayaran royalti dilakukan menerusi formula agihan biasa mengikut jumlah lagu dipersembahkan dan berdaftar dengan Prism.

"Kami juga sudah bertemu PPM dan Badan Pelindung Hakcipta Muzik (MACP) untuk menubuhkan jawatankuasa membuat pengagihan. Kami turut menjemput Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) jika berminat menyertai jawatankuasa ini untuk membantu proses pengagihan lebih terbuka dan telus. Saya hanya dapat mengimbas dan agak sedih kerana Prism Sdn Bhd (M) hanya akan tinggal dalam lipatan sejarah industri muzik Malaysia," katanya.

Prism, diperbadankan di Malaysia sejak 2001 di bawah Akta Syarikat 1965, sudah mengeluarkan Notis Am kepada ahli-ahli dan awam dalam akhbar pada 13 Jun lalu.