Kosmo Online - Hiburan |
Posted: Tidak mahu bersaingSEKITAR tahun 2008, penyanyi Jay Park dilihat antara nama yang cukup sinonim di kalangan penggemar muzik K-Pop. Mencipta nama bersama kumpulan 2PM, mereka menjadi kegilaan ramai terutama peminat-peminat wanita. Bagaimanapun, perjalanan karier nyanyian penyanyi kelahiran Seattle, Amerika Syarikat itu tidak mudah dan jodohnya bersama kumpulan yang mempunyai jutaan peminat itu juga tidak kekal lama. Bermula dengan perselisihan faham dengan ahli kumpulan lain, Park atau nama sebenarnya Park Jaebeom yang merupakan ketua kumpulan lantas mengambil keputusan untuk mengundurkan diri pada tahun 2009 dan bergerak secara solo. Kini, setelah hampir tiga tahun bergerak secara solo, penantian penyanyi berusia 25 tahun itu untuk menghasilkan album sulung akhirnya tercapai menerusi album berjudul New Breed. Ketika hadir pada satu sidang akhbar yang berlangsung di Kuala Lumpur baru-baru ini, penyanyi tersebut memberitahu kelahiran album New Breed merupakan hadiah kepada para peminat yang telah banyak menyokongnya selama ini. "Sudah tentu album New Breed ini sangat istimewa dan saya anggap dengan kelahiran album ini sebagai langkah permulaan untuk saya lebih dikenali sebagai seorang penyanyi solo. "Biarpun terpaksa mengambil masa yang lama untuk menghasilkan album sulung selepas bergerak secara solo pada tahun 2010, saya tetap berpuas hati dan maklum balas yang diterima daripada peminat juga sangat positif," ujarnya anak sulung daripada dua orang adik-beradik itu. Mengandungi sebanyak 15 buah lagu, album New Breed menerapkan elemen hip hop, R&B, Pop, Rap dan Dance, manakala 80 peratus lagu-lagu yang terkandung dalam album berkenaan dihasilkan sendiri oleh Park. Lebih menarik lagi, Park juga berpeluang menjalinkan kerjasama penerbit terkenal iaitu Rob Knox dan kumpulan Dynamic Duo untuk menerbitkan albumnya. Rob dikenali sebagai seorang penerbit yang pernah bekerjasama dengan penyanyi popular seperti Justin Timberlake, Rihanna, Chris Brown dan Britney Spears. Sementara itu, ketika ditanya tentang pandangannya terhadap aliran muzik K-Pop yang sudah menjadi satu fenomena sekarang, Park meluahkan rasa bangganya apabila K-Pop dapat diterima oleh masyarakat luar. "Bagi saya situasi yang berlaku sekarang memang bagus apabila artis-artis Korea dapat menembusi pasaran luar dan sekarang boleh dilihat semakin banyak artis K-Pop yang muncul sehingga terpaksa bersaing untuk menarik perhatian peminat. PERSEMBAHAN Jay Park sentiasa mempunyai elemen energetik. "Namun, saya berkecimpung dalam industri muzik bukanlah bertujuan untuk bersaing dengan mana-mana artis K-Pop yang lain. Apa yang saya lakukan sekarang ini semata-mata minat yang sangat mendalam terhadap muzik," tegasnya. Biarpun gembira dengan pencapaian yang diraihnya sekarang, penyanyi berkenaan memberitahu, banyak cabaran yang terpaksa dihadapinya termasuk menawan semula hati peminat setelah dia mengambil keputusan untuk bergerak secara solo. "Saya sangat seronok dengan apa yang saya lakukan dan rasa berbaloi apabila peminat masih tetap menyokong kerjaya nyanyian saya. Tanpa sokongan mereka sudah tentu agar sukar untuk meneruskan kerjaya saya sekarang ini," ujarnya. Tiada teman wanita Sebagai seorang penyanyi yang sangat popular dan menjadi kegilaan ramai wanita, pastinya tidak sukar buat Jay Park untuk memiliki seorang kekasih yang bakal menjadi pasangan hidupnya. Namun begitu, penyanyi berkenaan mengakui dirinya masih lagi solo. "Boleh dikatakan kebanyakan lagu-lagu yang saya nyanyi memang mempunyai unsur-unsur cinta, tetapi sehingga kini saya masih belum lagi menjalinkan hubungan cinta dengan mana-mana wanita. "Sebagai seorang lelaki sudah tentu saya juga ingin memiliki seorang kekasih. Namun, kesibukan terhadap kerjaya sebagai penyanyi membuatkan saya terpaksa melupakan seketika hasrat untuk mencari pasangan hidup," jelas penyanyi yang pernah memenangi beberapa anugerah di peringkat antarabangsa. Menurut Park, buat masa ini dia masih lagi selesa tidak mempunyai sebarang ikatan dengan wanita yang bergelar kekasih dan tumpuannya sekarang lebih terarah kepada karier nyanyiannya sahaja. "Sudah tentu saya akan memiliki teman wanita suatu hari nanti, tetapi bukan sekarang kerana saya terlalu sibuk. Sehinggakan dengan ahli keluarga sendiri pun saya jarang berjumpa, apatah lagi meluangkan masa untuk bersama kekasih," ujarnya. Ketika diajukan pertanyaan mengenai ciri-ciri wanita idamannya, penyanyi berkenaan memberitahu, dia mahukan seorang wanita yang kelakar dan cantik serta sentiasa tenang apabila berhadapan dengan sesuatu masalah. Kelakar Meskipun dikenali sebagai seorang penyanyi, penari, komposer dan penulis lirik, Jay Park juga sebenarnya pernah berkecimpung dalam dunia lakonan menerusi filem seperti Hype Nation 3D dan Mr. Idol.
Menurut Park, biarpun karier nyanyian menjadi keutamaan, dia tetap bersedia untuk mempertimbangkan sebarang tawaran berlakon asalkan mendapat watak yang menarik dan sesuai. "Mungkin orang melihat saya seorang individu yang cukup serius dan pendiam. Sebenarnya, saya ini merupakan seorang individu yang sangat kelakar dan sebab itu saya teringin untuk berlakon filem komedi. "Namun, saya cukup kagum dengan watak yang dibawakan oleh Shia LaBeouf dalam filem Transfomers dan Tobey Maguire yang membawakan watak super hero Spiderman. Bagi saya kedua-duanya merupakan seorang pelakon yang cukup hebat," ujarnya. Mengenai projek terbaharunya sekarang, Park menyatakan ketika ini dia sedang mengadakan siri jelajah ke beberapa buah negara seperti Filipina, Singapura, Indonesia dan Malaysia untuk membuat persembahan dan mempromosikan album New Breed. | ||
Saya dan Almy masih baik - Fizz Posted: Saya dan Almy masih baik - FizzOleh HARYATI KARIM
AKTOR Fizz Fairuz yang sebelum ini secara terbuka meluahkan niat di hatinya untuk melamar kekasihnya, aktres Almy Nadia selepas dia meraih Anugerah Pelakon Lelaki TV Paling Popular pada majlis Anugerah Bintang Popular 2011 baru-baru ini, kini mengakui hubungannya dengan pelakon itu masih baik. Apa yang menimbulkan isu, Almy sebelum ini sebaliknya mengeluarkan kenyataan bahawa dia tidak tahu-menahu mengenai niat Fizz itu dan mengatakan hubungan mereka sebenarnya bagaikan retak menanti belah. Malah, Almy mendakwa Fizz sudah lama tidak menghubunginya. Kenyataan yang bercanggah antara pasangan kekasih ini benar-benar mengelirukan pihak media dan juga peminat mereka. Kosmo! cuba merungkai kekeliruan tersebut ketika bersua dengan Fizz dan ibunya, Noor Haizan Jantan, 65, pada majlis Rafflesia Mother's Day Celebration anjuran Rafflesia dengan kerjasama Lord's Tailor di Hotel Royal Kuala Lumpur baru-baru ini. Fizz bagaimanapun hanya menjawab segala persoalan yang ditujukan kepadanya secara serba ringkas sahaja. Bagaimanakah situasi hubungan Fizz dan Almy buat masa ini? Kami masih baik, masih berhubung (antara satu sama lain). Bilakah Fizz mahu masuk meminang Almy? Saya tidak boleh komen mengenai perkara itu kerana mahu tunggu sehingga ibu saya pergi dan pulang dari menunaikan umrah pada bulan Jun ini. Fizz secara terbuka menjelaskan niat untuk berkahwin sedang Almy membuat kenyataan media bahawa dia langsung tidak tahu-menahu mengenai niat Fizz itu. Boleh komen? Salahkah saya memasang niat untuk berkahwin tetapi saya belum tahu jodoh saya dengan siapa kerana itu kerja Allah? Memanglah dia tidak tahu sebab saya belum datang bertanya (merisik), kita orang Melayu harus ikut adat. Fizz memberi kenyataan mahu berkahwin tetapi Almy mengatakan hubungan kalian sudah goyah dan di ambang perpisahan. Sila komen? Saya tidak salahkan dia membuat kenyataan itu. Mungkin dalam hatinya dia bimbang kerana hubungan kami sudah terlalu lama iaitu lima tahun. Apa yang saya tahu kami masih baik seperti dahulu. Almy ada membuat kenyataan bahawa Fizz kini jarang menghubunginya? Komen Fizz? Sebenarnya dua tahun kebelakangan ini, kami berdua sangat sibuk. Saya menerima banyak tawaran lakonan dan sibuk di set penggambaran. Begitu juga dengan Almy, apa pun saya menyokong kejayaan kerjayanya. Maknanya, Fizz memang benar-benar mahu menamatkan zaman bujang tahun ini juga? Memang saya kata saya mahu tamatkan zaman bujang tahun ini tetapi belum ada tarikhnya, saya sendiri tidak tahu bila saya akan berkahwin. Adakah Fizz terguris hati dengan segala kenyataan Almy? Saya tidak terguris hati tetapi sedikit kecewa kerana isu ini diperbesar-besarkan. Bukan mudah untuk saya berada pada tahap sekarang ini, saya tidak mahu cerita seperti ini akan menjatuhkan reputasi saya. Selepas ini saya tidak mahu bising - bising lagi mengenai cerita kahwin, saya tunggu sahaja selepas ibu pulang daripada umrah. | ||
Nasib tidak berpihak kepada KJ Posted: Nasib tidak berpihak kepada KJOleh RONI HIDAYAT RIDWAN
SETELAH Ana Syuhada tersingkir daripada persaingan Mentor 6, kali ini tiba pula giliran Abd. Kadir Unding Lana atau KJ apabila mendapat markah terendah pada saingan Kumpulan B yang berlangsung pada Ahad lalu. Menjadi peserta terakhir yang membuat persembahan menerusi lagu medley Ombak Rindu dan Bila Cinta serta Sesal Mendua ternyata, ia gagal menarik perhatian juri iaitu Datuk Sharifah Aini dan Datuk Ramli MS serta penonton dengan memperoleh markah sebanyak 48 peratus. "Sejujurnya saya tidak sangka akan tersingkir pada malam ini kerana yakin telah membuat persembahan dengan baik. Jadi, saya anggap sudah tiada rezeki untuk meneruskan saingan dan menerima keputusan ini dengan terbuka. "Kalau diikutkan perbezaan jumlah markah antara saya dan Zatul (protege Ogy Ahmad Daud) sebelum konsert berlangsung cuma satu markah. Mungkin beberapa kesilapan yang saya lakukan menyebabkan peluang saya terus tertutup," ujar protege kepada Adam itu dalam sidang akhbar usai konsert tersebut. Persaingan yang berlangsung pada malam tersebut menyaksikan Zatul memperoleh markah tertinggi sebanyak 71 peratus setelah mempersembahkan dua buah lagu iaitu Tak Bisa Memilihmu dan Lagu Untukmu. Caroline yang mendapat bimbingan daripada penyanyi Ella pula turut tidak menghampakan semasa mempersembahkan dua buah lagu, Aku Bukan Untukmu dan Elang dengan mendapat markah sebanyak 60 peratus. Ditebak mengenai punca beberapa kesilapan yang telah dilakukannya pada persembahan minggu terakhir, KJ mengakui dia sebenarnya mula gugup setelah menyaksikan persembahan kedua-dua pesaingnya itu. "Ketika menyaksikan persembahan Caroline, saya masih mampu lagi bertahan kerana dia sudah mengumpul jumlah mata keseluruhan yang tinggi untuk tempoh tiga minggu konsert. "Bagaimanapun apabila melihat Zatul menampilkan persembahan yang sangat baik, akhirnya saya mula rasa sedikit tertekan. Apatah lagi dia mendapat markah penuh daripada juri awam," ujarnya. Sementara itu, selaku mentor kepada KJ selama empat minggu, Adam tidak kecewa dengan persembahan yang ditampilkan anak didiknya itu dan dia percaya KJ telah melakukan yang terbaik. "Berdasarkan kepada saingan yang membabitkan ketiga-tiga protege malam ini, peluang untuk layak ke peringkat seterusnya akan tertutup buat mana-mana peserta yang melakukan kesilapan. "Inilah yang berlaku terhadap protege saya dan akhirnya dia tewas, tidak layak ke separuh akhir. Apa pun saya terima keputusan ini dengan hati terbuka dan segala komen yang diberikan juri tetap akan menjadi iktibar kepada kami berdua," jelasnya. Tambahnya, biarpun telah tersingkir daripada persaingan, namun dia yakin KJ mampu pergi lebih jauh sekiranya dia berminat untuk bergelar penyanyi dan bersedia membantu dan membimbingnya pada masa akan datang. Persaingan separuh akhir Mentor 6 yang akan bermula esok menyaksikan empat orang peserta iaitu Anas, Tisha, Caroline dan Zatul akan merebut tiga tempat teratas untuk beraksi di peringkat final pada 10 Jun ini. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Hiburan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |