Hip
RONA suram yang pernah mendakap diri Heart Evangelista selepas percintaan hampir dua tahun dengan aktor dan model popular Filipina, Daniel Matsunaga terlerai pada pertengahan April lalu mula beransur pergi.
Ceria dan sarat inspirasi ketika muncul di khalayak baru-baru ini, Heart, 27, bagaikan tidak terkesan dengan perpisahan yang mendapat sorotan meluas daripada media massa di negara kelahirannya.
Mengakui kehidupan peribadinya semakin tenang, perpisahan itu bagaikan membawa rahmat apabila drama lakonannya melonjak malah dirinya dihujani pelbagai tawaran mengujakan. Selepas Legacy, aktres kelahiran Makati, Filipina yang dibesarkan di Foster City, California, Amerika Syarikat ini mampu tersenyum apabila drama berantai, Luna Blanca pula menemui penonton.
"Saya mendapat inspirasi daripada kerjaya ini. Satu demi satu drama yang dibintangi mencatat kejayaan dan ia akan disusuli dengan dua filem serta tawaran iklan.
"Saya baik-baik saja, malah gembira dengan apa yang dilalui hari ini. Saya masih berusaha melupakan semua kenangan lalu. Sudah tentu saya masih berduka kerana lumrah perpisahan, selalu diiringi kesedihan," kata gadis berdarah campuran Filipina-Cina yang menembusi dunia lakonan pada 2000.
Keceriaan bekas kekasih kepada aktor popular, Jericho Rosales itu turut dikaitkan dengan keakrabannya bersama gandingannya dalam Legacy, Sid Lucero.
"Kami cuma kawan baik. Agak melucukan apabila berlakon bersama dan sering dilihat berdua terus ada yang mengaitkan kami sedang menjalin cinta.
"Dari sudut lain, gosip itu memberi petanda positif kerjasama kami berdua meninggalkan impak kepada mereka yang menonton," katanya.
Tidak menafikan pernah keluar bersama, namun kata Heart, ia tidak seharusnya dijadikan isu kerana pertemuannya dengan Sid turut disertai barisan pelakon Legacy yang lain.
"Saya bersama Sid hampir setiap masa, bukan berdua sebaliknya secara berkumpulan. Hubungan kami semua sangat rapat, jadi tiada salahnya kami keluar bersama.
"Tidak, saya dan Sid tidak punya hubungan istimewa. Memang saya ada keluar dengan orang lain tetapi sekadar makan malam bersama, belum lagi ke tahap menjalin percintaan.
"Apabila kembali bersendirian, saya teruja untuk keluar dan mencari apa lagi yang menanti di luar sana. Tunggulah apabila tiba masanya nanti," katanya.
Heart pada 12 April lalu mengumumkan perpisahannya dengan model dan aktor berdarah campuran Jepun-Brazil yang dikenalinya ketika mereka berlakon bersama dalam siri, Langit Sa Piling Mo pada September 2010.
Tahun lalu, Heart terbang ke Brazil untuk bertemu keluarga Daniel namun kebahagiaan yang diharapkan tidak berkekalan dan menerusi Twitter, mereka meleraikan teka-teki yang sebelum ini sering dibangkitkan.
"Orang sering berfikir, perkara paling menyakitkan untuk ditempuhi apabila kehilangan cinta tetapi hakikatnya, lebih parah apabila kita tidak menemui diri sendiri.
"Putus cinta bukan bermakna seseorang itu jahat atau perasaan sayang sudah hilang tetapi ia berlaku kerana kami berbeza. Sendirian mematangkan saya," katanya.
Awalnya cuba menyembunyikan punca perpisahan mereka, Heart akhirnya bersuara dengan mengatakan perbezaan dari segi didikan dan budaya membuatkan dia dan Daniel memilih haluan sendiri.
"Dulu seseorang pernah memberitahu saya mengenai perkara ini dan ternyata, apa yang dikatakannya itu benar. Kami dibesarkan dalam dua dunia berbeza.
"Kelainan budaya juga membuatkan kami sering bertekak mengenai perkara kecil. Sedikit sebanyak apabila dikumpulkan ia menjadi sesuatu yang besar.
"Tetapi itu bukan bermakna perpisahan kami berakhir dengan permusuhan. Perkara itu tidak pernah berlaku. Saya akur menerima ketentuan ini kerana sudah punya pengalaman putus cinta," katanya.
Sebelum berita perpisahan mereka tersebar, Heart mempertahankan bekas kekasihnya yang dikatakan pulang ke Brazil selepas menerima ugutan bunuh.
Heart bagaimanapun menafikannya, malah menyatakan kepulangan Daniel ke Brazil adalah untuk menjalani satu pembedahan yang tidak dinyatakan.
"Orang selalu berkata, kita tidak akan menghargai sesuatu sehingga ia pergi. Hakikatnya, kita tahu apa yang kita miliki kerana sering memikirkan ia tidak mungkin hilang.
"Percintaan itu seperti serpihan kaca, ada ketikanya lebih baik meninggalkannya berderai daripada melukakan diri sendiri ketika kita cuba mencantumnya kembali," katanya.
Kekecewaan Daniel Matsunaga
SEDIKIT emosi apabila persoalan mengenai perpisahan mereka diajukan, Daniel menegaskan, komunikasi antara mereka mula dingin apabila berdepan kesukaran untuk menghubungi Heart ketika dia bercuti sebulan di Brazil.
"Barangkali jarak menjadi penyumbang antara faktor utama perpisahan kami. Kami tidak pernah menyangka ia akan berakhir begini, namun terlalu banyak yang menyelubungi dalam hubungan ini.
"Terlalu banyak masalah hingga perkara kecil pun sering mengundang perbalahan. Memang lumrah dalam perhubungan jika sering bertentangan pendapat.
"Masalah kami cuma kecil, tiada sebab ia menjadi besar hingga mengundang kepada perpisahan. Terlalu banyak tekanan dan akhirnya kami terpaksa menerima kenyataan pahit ini," kata Daniel menyanggah pendapat segelintir tabloid yang menyatakan mereka berpisah kerana dia tidak tahan dengan leteran Heart.
Mengakui berdepan tekanan hebat pada permulaan detik perpisahan mereka hingga mengundang khabar angin Daniel sanggup mengunci diri dan jarang menjamah makanan kerana terlalu kecewa.
Tidak menolak malah tidak juga mengiyakan, Daniel berkata, pada saat getir itu dia bertuah kerana mendapat sokongan daripada orang tua dan keluarga yang memahami situasi dirinya.