Adsense

Jumaat, 25 Mei 2012

Kosmo Online - Hiburan

Kosmo Online - Hiburan


Rekod ciptaan Phillip

Posted:

Rekod ciptaan Phillip

Rekod ciptaan Phillip

HAKIKATNYA, bukan satu kejutan apabila Phillip Phillips menjadi juara terkini American Idol yang telah memasuki musim ke-11.

Sejak awal kemunculan, dia hadir dengan aura dan pesona tersendiri. Dalam setiap persembahan yang dilakukan pada setiap minggu, Phillip dilihat sentiasa konsisten walau sesekali ditegur juri tentang pemilihan lagu yang dibuatnya kurang bersesuaian untuk sebuah pertandingan. Namun Phillip adalah Phillip. Dia berani mengambil risiko, mendengar gerak hati dan sentiasa tampil dengan idea yang segar.

Maka ketika dia dipilih oleh sebanyak 132.2 juta peminat sekali gus menewaskan pesaingnya yang juga bukan calang-calang gadis, Jessica Sanchez ia dilihat bukan satu keputusan yang semborono.

Malah undian tersebut merupakan rekod baharu dalam sejarah American Idol sejak program realiti TV dimulakan 11 tahun lalu.

Malah laporan akhbar Los Angeles Times menyifatkan pertarungan akhir antara Phillip dan Jessica telah menampakkan bahawa kemenangan akan berpihak kepada Phillip.

Ia berikutan impak daripada keupayaan Philip yang mengalunkan lagu Billy Joel, Movin' Out menjadi seperti lagu miliknya sendiri manakala Jessica pula mendendangkan lagu balada berjudul Change Nothing.

Sementelah Jessica dikatakan langsung tidak memberi saingan kepada Phillip, malah dia disarankan Los Angeles Times untuk mencari nama komersial bagi memastikan kelangsungan kariernya berjalan lancar.

"Ia adalah satu penghormatan buat saya kerana dapat beraksi di atas pentas ini dan bermain dengan banyak orang yang hebat.

"Kepada para peminat saya, berterima kasih kerana mengundi kami berdua sehingga ke peringkat ini," ucap Phillip sebelum diumumkan sebagai pemenang baharu program tersebut.

Berusia 21 tahun, Phillip yang berasal daripada Leesburg, Georgia, Amerika Syarikat sememangnya bukan peserta yang pertama tampil dalam American Idol bertemankan gitar atau kebolehan bermain instrumen. Dia juga bukan peserta pertama yang berbakat mengubah lagu sedia ada menjadi lebih segar.

Detik debaran Phillips dan Jessica ketika melangkah di pentas final American Idol 11.


Namun hal yang tidak dapat disangkal, dalam American Idol 11, hanya Phillip seorang yang membawa 'bekal lebih' berbanding peserta lain. Tidak dinafikan 13 peserta yang bertanding kali ini masing-masing mempunyai vokal yang mengagumkan.

Sekadar menyebut beberapa nama seperti Heejun Hun, Joshua Ledet, selain Jessica sendiri, ketiga-tiga mereka memang terkenal dengan vokal luar biasa.

Heejun misalnya sentiasa menggoda audiens dengan vokal dalam tonasi rendah, Joshua yang hanya menduduki tangga ketiga memukau dengan vokal emasnya selain Jessica yang tidak pernah gagal melontar vokal gemersik dengan kawalan yang cukup baik.

Tuah bagaimanapun lebih memihak kepada Phillip. Pada malam final yang berlangsung semalam, Phillip dilihat menangis sewaktu membawakan lagu karya sulungnya berjudul Home sebaik sahaja diumumkan sebagai juara American Idol 11 sebelum dia meninggalkan pentas dan berpeluk-pelukan dengan ahli keluarganya sebagai tanda meraikan kemenangan yang diperolehnya itu.

Sentiasa konsisten menukar lagu-lagu yang diberi menjadi seperti lagu miliknya, barangkali itu yang membuat pengundi tertawan dengan kebolehannya.

Selain itu, dia yang kerap mengucapkan ucapan terima kasih kepada peminat yang menyokong dan mengundinya melalui Twitter peribadinya juga dilihat menjadi antara faktor kemenangan yang diperoleh.

Sakit

Di sebalik kemenangan dan kemasyhuran yang diperoleh, ada harga yang tetap perlu dibayar oleh jejaka dengan senyuman manis itu.

Oleh kerana dia terbabit dengan American Idol 11, Phillip terlepas untuk menghadiri majlis konvokesyennya selepas tamat pengajian di Albany Technical College, Albany, New York.

SAAT gemilang Phillip sebaik diumumkan sebagai juara American Idol 11 sambil dipeluk oleh Jessica.


Pada bulan Mac yang lalu, dia juga pernah dikejarkan ke hospital kerana masalah buah pinggang yang dihidapinya selama ini.

Malah sebaik dinobatkan sebagai juara American Idol 11, Phillip akan segera menjalani pembedahan bagi membantu dia bebas daripada penyakit tersebut.

Dia juga dikhabarkan tidak akan turut serta dalam beberapa buah promosi American Idol 11 kerana pembedahan tersebut yang memerlukan dia berehat panjang.

Namun sebaik sahaja dia sihat sepenuhnya, Phillip akan terus aktif dan memulakan kembara baharunya sebagai artis sebenar. Dengan semua bakat yang telah ditonjolkan dalam American Idol 11, persoalan timbul mampukah Phillip bersaing dengan artis sedia ada dan seterusnya mengekalkan popularitinya.

Lagu Lufya untuk Zarina Anjoulie

Posted:

Lagu Lufya untuk Zarina Anjoulie

Lagu Lufya untuk Zarina Anjoulie

Oleh HARYATI KARIM

ZARINA ANJOULIE


PENYANYI Lufya atau nama sebenarnya Lutfyah Sheikh Omar sebelum ini 'berperang' di laman sosial Twitter dengan Zarina Anjoulie Lavocah. Ia berlaku selepas Lufya mengeluarkan kenyataan bahawa dirinya pernah diganggu dan dipandang serong masyarakat gara-gara wajahnya yang seiras dengan pelakon drama Anak Ponti itu.

Kenyataan Lufya itu membuatkan Zarina telah melancarkan 'perang' terhadapnya. Zarina membuat kenyataan balas bahawa Lufya sengaja membangkitkan isu tersebut kerana namanya kurang popular.

Lufya yang mengambil sikap berdiam diri dan tidak membalas kenyataan yang dibuat oleh Zarina mengatakan perang kenyataan yang dibuat oleh Zarina itu menjatuhkan imej artis-artis di Malaysia.

Ketika ditemui pada majlis sambutan Hari Ibu anjuran Rafflesia dan Lord's Tailor di Hotel Royal Kuala Lumpur baru-baru ini, Lufya yang bakal muncul dengan lagu kerohanian berjudul Doaku sempena bulan Ramadan ini memberitahu, dia menujukan lagu tersebut untuk Zarina. Ikuti temu bual Kosmo! bersama figura berdarah kacukan Arab, Melayu dan Indonesia itu.

Kosmo!: Khabarnya Lufya ada mencipta lagu sendiri berjudul Doaku?

LUFYA: Ya, lagu Doaku hasil ciptaan saya sepenuhnya. Lagu itu merupakan lagu kerohanian pertama saya dan bakal dipasarkan pada bulan Ramadan nanti.

Benarkah lagu Doaku ini ditujukan buat Zarina?

Ketika kecoh isu saya dan Zarina, secara kebetulan lagu Doaku memang sudah siap sejak pertengahan tahun lalu. Saya bukan cipta lagu ini khas buat dia tetapi saya tujukan lagu ini kepadanya kerana kutukan yang dibuatnya terhadap saya sangat melampau.

Adakah Lufya kesal kerana membuat kenyataan tentang wajah kalian yang seiras?

Saya tidak kesal membuat kenyataan tetapi saya kesal perkara ini secara tidak langsung telah menjatuhkan reputasi artis tempatan. Secara jujur saya tidak salahkan dia, cuma isu tersebut menjadi besar hanya akibat salah faham.

Komen Lufya terhadap segala kenyataan yang diberikan oleh Zarina?

Terserah kepada dia untuk cakap apa sahaja. Saya diamkan diri kerana berfikir tidak mahu besarkan isu tetapi tidak. Sebaliknya saya dikutuk bertubi-tubi. Memang saya tidak mahu bercakap apa-apa mengenai isu ini lagi, cuma saya tujukan lagu Doaku kepadanya. Saya harap dia akan dengar dan hayati lagu itu.

Bercakap soal lagu, kenapa mengubah genre lagu daripada irama pop ke kerohanian?

Saya tidak mahu menjadi penyanyi yang kekal dengan satu genre lagu sahaja. Kalau boleh saya ingin dikenali sebagai penyanyi yang versatil, lagu Doaku merupakan percubaan pertama saya dan berharap agar lagu ini diterima ramai.

Adakah selepas ini, Lufya akan beralih ke lagu-lagu kerohanian?

Bukan beralih sepenuhnya tetapi saya mencuba. Saya orang biasa dan saya mengaku bukannya alim tetapi setiap hari saya berdoa untuk menjadi orang lebih baik. Jika orang yang mendengar lagu ini mendapat inspirasi, saya sudah cukup berpuas hati.

Lagu-lagu Lufya sebelum ini kurang diputarkan di corong radio, adakah Lufya yakin lagu Doaku bakal mendapat sambutan?

Soal sambutan saya tidak boleh ramal, bagaimanapun daripada pengalaman saya sebelum ini saya akan mencuba yang terbaik untuk mempromosikan lagu tersebut. Sekiranya lagu saya tidak mendapat sambutan tidak bermakna saya akan berputus asa.

Muafakat Dayang - Anuar

Posted:

Muafakat Dayang - Anuar

Muafakat Dayang - Anuar

Oleh KHAIRUL AMRI HASSAN


WUJUD keserasian yang nyata dalam gabungan persembahan Dayang dan Anuar.


KALI kedua selepas sepuluh tahun lalu berkongsi pentas, dua ikon pop dan R&B, Anuar Zain dan Dayang Nurfaizah disatukan kembali dalam konsert amal anjuran Kelab Sukan & Rekreasi Petronas (KSRP) baru-baru ini.

Dewan Filharmonik Petronas (DFP) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) menjadi saksi penyatuan dua jiwa itu bertujuan mengutip dana untuk disalurkan kepada Dana Asy-Syakirin, Rumah Jagaan & Rawatan Orang Tua Al-Ikhlas (Puchong) dan Rumah Kasih Harmoni.

Ujar Anuar, rasa seronok ditambah gementar sebati bermain dalam jiwanya sepanjang persiapan menjelang acara sehingga tamat konsert itu.

"Rasa teruja dan seronok itu sudah pasti ada, pentas ini (DFP) merupakan satu pengiktirafan terbesar untuk kami bersama-sama membuat persembahan.

"Tambah menggeletar apabila dimaklumkan Tun Dr. Mahathir Mohamad hadir sama untuk menyaksikan konsert kali ini, tapi syukur Alhamdulillah semuanya berjalan lancar dan penonton terhibur," katanya yang ditemui selepas acara berlangsung.

Anuar dan Dayang pernah digabungkan bersama kali terakhir pada tahun 2002 di Planet Hollywood, Kuala Lumpur untuk sebuah persembahan yang santai.

"Namun kali ini (di DFP) memerlukan persiapan yang lebih rapi dan lebih banyak latihan bukan saja nyanyian tapi juga kiraan untuk tunduk hormat.

"Tambahan lagi kami masing-masing sibuk dan susah untuk mencari kelapangan waktu untuk berlatih bersama," cerita Dayang.

Konsert tersebut turut memperlihat keupayaan Jenny Chin selaku pengarah muzik menggabungkan vokal unik Anuar dan Dayang.

Keseluruhan konsert amal Dayang dan Anuar kali ini boleh digambarkan sebagai dipenuhi aura nostalgia.


PERSEMBAHAN penuh mengasyikkan gabungan vokal Anuar Zain dan Dayang Nurfaizah sukses dalam memancarkan aura nostalgia yang memenuhi segenap ruang Dewan Filharmonik Petronas di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur ini.


Persembahan yang bermula seawal pukul 8.30 malam itu menghidangkan 14 buah lagu hit mereka antaranya Perlukan Cinta, Kembalilah Sayang, Hakikat Cinta, Dayang Sayang Kamu, Aku Rindu Aku Jemu, Seandainya Masih Ada Cinta, Biar Akhirnya Di Sini dan Sedetik Lebih.

Paling mencuri perhatian lagu yang mempopularkan nama Dayang Nurfaizah, Seandainya Masih Ada Cinta yang hanya diiringi piano begitu sukses dalam memancarkan pesona romantis dan mengasyikkan di pentas konsert itu.

Memandangkan wujud keserasian, Anuar dan Dayang ditebak dengan perpersoalan andai mereka mahu disatukan bersama dalam sebuah album pula.

Kata Dayang: "Kami pernah berbincang sebelum ini, insya-Allah apa-apa boleh jadi. Sebenarnya kesukaran yang dihadapi adalah untuk mencari lagu yang sesuai sebab tonasi suara kami berbeza."

Bagaimanapun Anuar memberikan syarat sekiranya ada pengkarya yang ingin berkolaborasi dengan dirinya.

"Saya mahukan lagu-lagu yang memberi makna positif, tidak menjemukan, memudahkan pendengar mencerna serta memiliki lirik yang tidak terlalu berbunga-bunga," tegasnya.