Kosmo Online - Hiburan |
Diri sebenar Puteri Gambus Bongawan Posted: Diri sebenar Puteri Gambus BongawanGILAKAN KAMU pasti menyimpan interpretasi ironi bagi Fauziah Suhaili, 23, atau cukup dikenali dengan jolokan Fauziah Gambus. 'Kamu' itu boleh merujuk kepada seseorang individu malah tidak salah juga dikatakan makna itu ditujukan khas buat aliran muzik yang dibawanya sejak berkecimpung dalam arena seni. Gilakan Kamu sebenarnya judul single terbaharu Fauziah untuk album keduanya yang kini dalam proses pembikinan. Kata Fauziah, lagu yang dia cipta sepenuhnya itu sedikit berbeza daripada lagu-lagunya sebelum ini. "Kita perlu ikuti citarasa pendengar dan peminat muzik sekarang, ikut resmi ikan di laut, biar air itu masin isinya tetap tidak berubah. Justeru, saya ciptakan lagu berentak pop rock yang disulami petikan gambus ini sekadar mengikut kehendak pendengar dan peminat yang sentiasa mahukan kelainan daripada saya," ujarnya yang mengakui dia masih bereksperimentasi dalam karya-karyanya. Lima tahun bermandikan irama tradisional, maklum balas yang kurang enak daripada peminat yang rata-ratanya mahukan kelainan menyebabkan Fauziah mengambil langkah mencuba aliran muzik berbeza. Sebelum ini, Fauziah pernah muncul bersama album berjudul Fauziah Gambus pada tahun 2007 yang mengandungi sembilan buah lagu. Malangnya, album itu hanya dipasarkan di kepulauan Borneo dan cuma berjaya memasuki pasaran negara Brunei. Pertemuan dengan pemain gambus wanita kelahiran Bongawan, Sabah di Butik Sinar Sutera, Puchong, Selangor baru-baru ini bagaikan tidak puas, seolah-olah banyak cerita yang ingin dikongsikan bersama Kosmo!. Jadi lelaki Nada berseloroh tapi serius, Fauziah menceritakan kembali bagaimana dia boleh ketagih bermain alat muzik dari negara Timur Tengah itu. FAUZIAH mengaku tidak pandai berfesyen, namun dia akan memastikan setiap pakaian yang dipakai tidak terlalu menjolok mata. "Sejak kecil lagi saya minat bermain gambus tapi datuk saudara saya (Ismail Matusin) melarang keras, katanya gambus hanya untuk budak lelaki! "Tapi setiap kali dia tidur, saya akan curi-curi mencuba bermain gambus sendirian tanpa bimbingan. "Sifu saya adalah memori saya melihat datuk bermain gambus, sehinggalah saya meyakinkan diri menyertai pertandingan bermain gambus ketika berusia 13 tahun dengan memakai baju melayu dan menyamar menggunakan nama Fauzi," singkap Fauziah bersemangat. Selepas memenangi pertandingan yang hanya disertai oleh peserta lelaki sahaja itu, perspektifnya semakin berkembang. Dia menjadi lebih fokus untuk mendalami keunikan gambus. Bercerita lebih terperinci mengenai alat muzik yang sering mengalunkan lagu ghazal itu, kata Fauziah, pada mulanya dia berhadapan dengan kesukaran untuk bermain gambus. "Gambus tidak ada fret seperti gitar, jadi bermain gambus perlukan pendengaran yang tajam. Pemain perlu mencari bunyi dengan memetik talinya. Jika tersalah petik sumbang bunyinya," tambah Fauziah. Selain alat muzik gambus, Fauziah juga mampu bermain drum, gitar dan akordian sejak menuntut ilmu dalam diploma seni muzik modul persembahan di Akademi Seni dan Warisan Kebangsaan (Aswara) selama empat tahun. Mengimpal besi SELAIN gambus, Fauziah juga cekap bermain instrumen lain seperti akordian dan drum. Pernah memakai baju Melayu dan membawakan lagu ghazal, Fauziah sentiasa manis dengan imej sopan. Hal itu diakui sendiri oleh Fauziah yang bermula dengan imej wanita Melayu dan seringkali mengenakan kebaya ketika membuat persembahan menyanyi sambil bermain gambus. "Saya ikut arus pemodenan dan genre muzik yang saya persembahkan, kalau lagu rock saya perlu sesuaikan pakaian saya dengan genre lagu itu. "Tapi saya akan pastikan pakaian saya tidak terlampau seksi. Saya masih belajar dan perlahan-lahan akan cuba menyesuaikan diri," kata si gadis yang dahulunya tidak pandai berfesyen apatah lagi berjalan dengan sopan. Dahulunya, Fauziah seorang gadis yang sederhana. Bukan taksub berfesyen apatah lagi menduga status dirinya yang kini bergelar artis. "Saya dulu 'ganas' orangnya, selalu apabila ada masa terluang saya akan mengikut bapa saya membaiki atap rumah orang atau mencuci kenderaan. "Kadang-kadang saya akan mengimpal besi dan hasilkan pintu pagar besi untuk rumah jiran-jiran saya di Sabah. Pendek kata, saya bukan gadis yang stereotaip," kata anak kedua daripada lima beradik itu. Malah, dia juga memiliki hobi menunggang motosikal berkuasa tinggi. Buktinya, Fauziah mempunyai sebuah motosikal Yamaha TZM 150 berwarna putih yang sering dibawanya bersiar-siar mahupun menghadiri kuliah jika terlambat. | ||
Posted: Kareena tolak tawaran Karan
Penerbit terkenal, Ekta Kapoor dan pengarah tersohor Bollywood, Karan Johar dilaporkan mahu mendapatkan Kareena Kapoor untuk menjadi heroin sebuah filem baharu. Filem yang bakal diarahkan oleh seorang pengarah baharu itu menampilkan aktor Emraan Hashmi untuk watak hero. Namun, Kareena dikatakan telah menolak tawaran tersebut. Kareena sebelum ini diketahui umum merupakan sahabat Karan dan dia tidak pernah berkata tidak kepada sebarang tawaran pengarah filem pecah panggung, Kuch Kuch Hota Hai itu. Menurut IANS, Kareena yang baru selesai menjalani penggambaran filem Heroine mengakui menolak tawaran untuk membintangi filem terbitan bersama Karan dan Ekta itu pada minggu lepas. Namun, tersebar spekulasi mengatakan Kareena menolak tawaran berlakon filem itu kerana enggan bergandingan dengan Emraan yang terkenal dengan watak- watak lakonannya yang sering terbabit dalam adegan panas menerusi filem-filem lakonannya. | ||
Posted: Aura Upin & Ipin The MusicalOleh NOOR ASHREEN ISMAIL UPIN & IPIN THE MUSICAL akan dipentaskan di Istana Budaya sehingga 7 Mei ini. BUAT pertama kalinya dipaparkan dalam bentuk hidup di pentas Istana Budaya menerusi karya teater muzikal Upin & Ipin The Musical, karakter animasi Upin & Ipin nyata sukses dalam memberikan impaknya yang tersendiri. Bermula dengan sebuah animasi dalam bentuk tiga dimensi (3D) sehinggalah kemunculan di layar perak, nama dua adik-beradik kembar Upin dan Ipin kini sudah tidak perlu diperkenalkan lagi. Bukan sahaja dalam industri hiburan tempatan, malah karakter animasi tersebut turut memberi fenomena kepada negara luar seperti Indonesia, Brunei, Singapura, Filipina dan Thailand. Diterbitkan bersama Les Copaque Sdn. Bhd. dan CTRA Production, Upin & Ipin The Musical bermula dengan kisah Puteri Cinonit yang berasal dari dunia lain yang mana dia tidak pernah menikmati perasaan gembira. Apabila melihat dan bertanya kepada cermin sakti mengenai kegembiraan, Upin & Ipin telah menjadi jawapan kepada persoalan Puteri Cinonit itu. Mengulas mengenai Upin & Ipin The Musical, tidak dinafikan teater tersebut sememangnya ditujukan khusus buat golongan kanak-kanak yang meminati siri animasi yang cukup terkenal itu. Permulaan cerita yang agak perlahan memberi sedikit rasa bosan namun tarian dan nyanyian sepanjang teater berlangsung, kemudian berjaya menaikkan aura dan tenaga pementasan ini. Apa yang pasti, pementasan muzikal ini dilihat membuka ruang kepada kanak-kanak untuk mencungkil bakat di pentas teater yang sememangnya bukan suatu perkara mudah. Tenaga dan bakat yang diberikan oleh mereka sangat luar biasa dan mengagumkan audiens. Walaupun mungkin karakter Upin & Ipin versi teater tidak banyak persamaan dari segi rupa dan suara kerana bukan dilakonkan pelakon kembar, namun lakonan yang ditampilkan berjaya mengusik dan membuat penonton kanak-kanak yang hadir teruja serta bersorak gembira kerana dapat menyaksikan idola mereka di depan mata. Menolak faktor sebagai hiburan semata-mata, teater tersebut juga sebenarnya secara tidak langsung banyak memberi tunjuk ajar dan teladan yang baik kepada anak-anak kecil seperti erti setia kawan, tolong menolong serta menghormati orang lain. Permainan tradisional seperti Jan Jan Jalok dan Pukul Berapa Datuk Harimau juga ada diselitkan dalam teater ini. Ia bukan sahaja mampu mengembalikan nostalgia golongan dewasa ketika kecil dahulu, malah dilihat sebagai proses pembelajaran bagi kanak-kanak yang semakin moden dan hampir tidak mengenal bentuk permainan tradisional. Pujian harus diberikan kepada pengarah muzik, Datuk Suhaimi Mohd. Zain atau lebih dikenali sebagai Pak Ngah yang telah berjaya menyerikan pementasan tersebut dengan lagu-lagu yang ceria dan 'hidup'. Tidak kurang juga, set pentas Upin & Ipin The Musical diakui sangat menarik dan telah menyuntik mood yang berbeza setiap kali bertukar babak bertukar. Koreografi yang dipersembahkan pula sangat kreatif dan bertenaga hasil kreativiti koreografer, A. Aris Kadir. Apa yang pasti, kanak-kanak yang menonton pementasan tersebut pasti pulang dengan hati yang gembira kerana dapat bertemu dan melihat idola Upin & Ipin serta rakan-rakan yang lain beraksi secara langsung. Upin & Ipin The Musical masih lagi dipentaskan sehingga 7 Mei ini di Istana Budaya pada pukul 8.30 malam dan 3 petang. Tiket dijual pada harga bermula RM33 hingga RM453 dan sebarang maklumat lanjut sila hubungi 03-6186 6592. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Hiburan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |