Gosip Artis Malaysia |
- Dang Suria Tiada Niat Tinggalkan Dunia Penyiaran
- Awie Pernah Bergelar Ahli Gimnastik Sekolah
- Watie (Elite) dan Joey Akhirnya Dedah Tarikh Nikah
Dang Suria Tiada Niat Tinggalkan Dunia Penyiaran Posted: 01 May 2012 06:54 PM PDT PETALING JAYA: Bekas personaliti Astro Awani, Dang Suria Zainuddin menjelaskan dia tidak pernah berniat untuk meninggalkan dunia penyiaran sepenuhnya walaupun telah beralih kepada kerjaya baru. Dang Suria menjelaskan, dia masih terlibat dalam dunia penyiaran cuma tidak mahu terikat dengan mana-mana stesen buat masa ini. "Saya tinggalkan bidang penyiaran adalah kerana ingin memberikan tumpuan kepada keluarga dan anak-anak yang sedang membesar kerana bekerja dalam sektor ini memerlukan masa yang panjang. "Pada usia dan komitmen sekarang saya perlu membuat keputusan dan keluarga menjadi keutamaan saya," katanya. Tambah Dang Suria, kerjaya baru yang disandang sekarang iaitu sebagai pegawai perhubungan awam di sebuah hotel terkemuka di ibu negara sejak setahun lalu telah banyak memberikannya ruang untuk bersama keluarga terutama pada hujung minggu. "Dulu memang jarang dapat bercuti pada hujung minggu dan erti balik kampung untuk balik berhari raya memang tiada kerana tahu akan berkerja pada hari tersebut. "Bagaimanapun kerjaya baru ini banyak memberi ruang kepada saya walaupun banyak perkara baru yang perlu saya belajar. Sekurang-kurangnya masa bersama suami dan anak-anak tidak terabai," katanya. Dalam pada itu, Dang Suria memberitahu dia bakal muncul sebagai pengacara untuk sebuah program di Astro dalam masa terdekat. Dang Suria memberitahu, itu adalah sebagai bukti dia tidak pernah meninggalkan dunia penyiaran yang dicintainya sejak sekian lama selain tidak menggangu jadual hariannya. "Saya sudah berada dalam industri ini selama 15 tahun dan tidak mungkin meninggalkannya begitu saja dan kembalinya saya untuk mengacarakan program tersebut bagi mengubat kerinduan saya," katanya. Sementara itu bercakap mengenai penglibatannya sebagai tenaga pengajar program On Air, Dang Suria memberitahu dia akan lebih menekankan kepada jenama para peserta itu dan meneliti kekuatan mereka secara individu. Walaupun dia ada menerima pelbagai komen negatif mengenai kemunculannya dalam program tersebut sebelum ini, Dang Suria berkata dia hanya menjalankan tugas dan berlaku jujur tanpa niat lain. "Tiada niat untuk saya menjatuhkan sesiapa tetapi hanya berlaku jujur selain berkongsi pengalaman saya sebagai orang lama. "Bagi saya seseorang yang ada niat baik kepada seseoang itu sahaja akan bersikap jujur dengan kata-katanya. "Jadi komen dan nasihat saya itu hanya untuk menjadi kawan yang baik kepada mereka dan bukan berpura-pura atau pun hipokrit," katanya. Siaran pertama On Air akan dimulakan dengan Diari On Air di Astro RIa (saluran 104) pada setiap Rabu hingga Sabtu bermula 23 Mei ini, pukul 10 malam. Studio On Air pula bakal bersiaran selama lapan minggu di Astro Ria pada setiap Ahad bermula 27 Mei ini, pukul 10 malam. - --- |
Awie Pernah Bergelar Ahli Gimnastik Sekolah Posted: 01 May 2012 06:53 PM PDT PETALING JAYA: Vokalis kumpulan Wings Awie atau nama sebenarnya Ahmad Azhar Othman mendedahkan dia pernah menyertai sukan gimnastik ketika umurnya 14 tahun. Awie berkata dia merupakan satu-satunya ahli gimnas terbaik di sekolahnya iaitu Sekolah Menengah Seri Ampang, Kuala Lumpur dan pernah mewakili sekolah untuk menjalani kursus Saintifik Gimnastik Kanada. "Memandangkan sukan gimnastik kurang popular pada ketika itu, tidak banyak ilmu yang saya peroleh dan hanya melibatkan diri selama setahun sahaja. "Tetapi saya tidak pernah berhenti daripada berlatih dan idola saya pada ketika itu ialah Nadia Comaneci," katanya yang dihubungi di sini, Selasa. Tambah Awie, minatnya yang mendalam dalam sukan tersebut membuatkan dia kerap membuat aksi gimnastik di atas pentas pada awal kemunculannya bersama kumpulan Wings. Bagaimanapun, tegas Awie, walaupun sukan gimnastik dilihat feminin dan kurang sesuai bagi seorang penyanyi rock sepertinya, ia bukan sukan yang mudah sebaliknya memerlukan kekuatan otot sepenuhnya. "Rasanya tidak salah jika lelaki seperti saya menyertai sukan ini kerana ramai sahaja lelaki yang aktif di bidang ini dan lihatlah bagaimana sasanya mereka. "Bagaimanapun, sukan ini masih lagi menjadi kegemaran dan adakalanya saya akan mempraktikannya sekadar untuk meregangkan otot. "Selain itu, sukan ini juga telah banyak mengajar saya mengenai cara penjagaan pemakanan yang sihat," ujarnya. Sementara itu, Awie bakal memulakan penggambaran filem Amukan Frankenstein Tempatan pada 10 Mei ini, arahan Mamat Khalid. - --- |
Watie (Elite) dan Joey Akhirnya Dedah Tarikh Nikah Posted: 01 May 2012 06:52 PM PDT KUALA LUMPUR: Pasangan kontroversi, Norwati Sadali atau Watie Elite dan suaminya, Zulkifli Daud (Joey) akhirnya mendedahkan tarikh pernikahan sebenar mereka selepas hampir lima bulan berteka-teki dengan pihak media. Watie, 35, berkata, dia dan Joey telah selamat bernikah pada 22 Disember tahun lalu di kediamannya di Bukit Antarabangsa di sini dengan berwalikan adiknya iaitu Mohd Nor Azni Sadali. "Ada banyak sebab mengapa kami enggan mendedahkan mengenai pernikahan kami kepada pihak media pada masa itu walaupun sebenarnya ingin berterus terang. "Bagaimanapun semuanya telah selesai dengan baik dan diharapkan penjelasan ini telah menjernihkan keadaan," ujarnya. Watie dan Joey, 38, ditemui ketika diraikan dalam sebuah majlis resepsi yang diadakan di kediaman Setiausaha Akhbar Menteri Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Ruhaidini Abd Kadir. Turut diraikan adalah rakan baiknya iaitu Azza dan pasangannya iaitu Azlan Zulaily. Terdahulu, pasangan ini kecoh dikatakan telah bernikah secara senyap dan apabila ditanya kedua-dua mereka enggan mengulas mengenai dakwaan tersebut. Dalam pada itu, berkongsi detik dia dilamar suaminya, Watie berkata, Joey telah melamarnya pada ulang tahunnya pada 20 April tahun lalu namun tidak mengambil terlalu serius dengan lamaran tersebut. Namun kata Watie, tanpa disedari suaminya itu telah menguruskan semua hal berkaitan pernikahan mereka dan hanya mengetahui akan dinikahkan pada tengah hari sebelum majlis dilangsungkan. "Saya benar-benar tidak tahu Joey dan keluarga saya telah berpakat untuk mengadakan majlis itu dan pada tengah hari 22 Disember itu kakak saya telah menyuruh agar saya bersolek dan mengenakan pakaian yang cantik kerana keluarga Joey ingin bertandang. "Masa tu saya tak fikir lain dan hanya menyangka kehadiran keluarga Joey dari Johor hanyalah untuk merisik saya dan tak sangka lepas solat Asar Tok Kadi semua ada di dalam rumah," katanya. Pada majlis tersebut, turut hadir bagi memeriahkan majlis adalah kerabat diraja Pahang iaitu Datuk Tengku Kamaruzaman. Manakala artis yang turut hadir adalah Mawi dan isteri, Ekin, Haiza, Maya, Zain Saidin, Sasha (Elite) dan Zila Bakarin. Sementara itu, Watie yang kelihatan anggun dalam busana pengantin dari rona emas memberitahu berasa teruja dapat bersanding dengan rakan baiknya namun memohon maaf kerana tidak dapat menjemput semua kenalan ke majlis tersebut. Watie berkata, dia dan Joey akan bersanding sekali lagi pada 7 Julai depan di Mydin Subang Jaya bersempena dengan karnival perkahwinan pasaraya itu dan berhasrat untuk menjemput semua kenalannya. "Insya Allah majlis resepsi di Mydin nanti saya akan jemput semua rakan-rakan untuk hadir," ujarnya. Watie dan Azza juga menerima kejutan daripada Tengku Kamaruzzaman yang telah menaja percutian ke Pulau Tioman kepada mereka sebagai hadiah berbulan madu. - --- |
You are subscribed to email updates from Gosip Artis Malaysia To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |