Adsense

Selasa, 15 Mei 2012

Harian Metro: Rap

Harian Metro: Rap


Almy Nadia serah pada Fizz

Posted: 14 May 2012 08:03 AM PDT

PERNAH seketika, jiwanya meronta dan bibirnya terus terkunci tidak terkata. Bukan sekadar rasa takut dan bimbang terus ditembak akan persoalan sama, namun lama-kelamaan timbul pula rasa muak.

Soal cintanya bersama aktor popular Fizz Fairuz tidak pernah lekang ditanya setiap kali berdepan media. Namun tidak sekali meletakkan rasa salah itu pada teman wartawan yang ingin berkongsi kisah itu, sebaliknya, kata Almy Nadia Aminuddin Shah, biarlah apa yang tertinggal tanpa tanda tanya itu dibiarkan dulu.

Peliknya, si empunya senyuman manis ini sendiri tidak tahu akan status cintanya apatah lagi ingin bersembang lanjut mengenai kisah itu.

"Saya punya harga diri dan maruah sebagai wanita. Lebih lima tahun mengangkat kisah cinta yang sama, asyik saya saja yang memberi kenyataan. Lantas saya fikirkan biarlah pihak Fizz pula yang bercerita lanjut dan saya hanya menanti jika benar apa yang diperkata. Bukan bosan atau terkilan sebaliknya saya tidak mahu ada pihak bersuara kononnya hanya saya terhegeh-hegeh.


"Keluarga juga sudah mula bising untuk saya tidak lagi mengulas mengenai soal itu kerana apa yang mampu saya ceritakan, semuanya tiada jalan untuk dimulakan. Saya sendiri tidak tahu akan status kami berdua kini. Mungkin kerana saya terlalu sibuk dengan menguruskan pelbagai perkara mengenai pengambilan anak angkat dan Fizz pula penuh dengan jadual lakonannya, jadi biarkan semuanya selesai dulu.


"Bagaimanapun, mengenai isu kononnya Fizz ingin menyunting saya tahun ini dan menanti ibunya pulang dari umrah, saya rasa lebih baik perkara itu ditanya sendiri kepadanya. Bagi pihak saya, lebih manis untuk berdiam diri," katanya tersenyum.

Sebelum ini sebuah portal hiburan menyiarkan kenyataan Fizz yang sudah pun memasang niat untuk mengahwini Almy pada tahun ini dan perkara itu akan menjadi kenyataan selepas ibunya kembali mengerjakan umrah pada Jun depan bagi menetapkan tarikh pernikahan.

Fizz dan Almy sudah diketahui umum menyemai cinta sejak lima tahun lalu, namun, kisah cinta itu bagai perlahan-lahan senyap dan kemudian hilang dari pentas industri selepas masing-masing tidak lagi dilihat bersama menghadiri majlis rasmi mahupun menghadiri sesi fotografi.

Bagaimanapun, tatkala persoalan adakah mereka putus cinta diajukan sebelum ini, baik Fizz, mahupun Almy, masing-masing menafikannya.

Tambah pelakon jelita berusia 26 tahun ini petang itu, apa yang diharapkan agar kisah cintanya tidak lagi terus membelenggu atau menenggelamkan hasratnya yang ingin kembali mencipta nama kali kedua.

"Saya memang menghilangkan diri selama lebih dua tahun ini kerana menumpukan kepada soal peribadi. Saya banyak menghabiskan masa di kampung di Pulau Pinang dan berulang-alik ke Kuala Lumpur untuk melakukan beberapa kerja yang tertanggung. Bukanlah hilang itu terus lari daripada dunia lakonan, sebaliknya saya tidak langsung muncul di mana-mana media kerana terlalu sibuk menguruskan perkara lain.

"Namun dalam pada diam itu, saya masih terikat dengan beberapa drama termasuk Cinta Buat Emelda yang baru saja habis ditayangkan di slot Akasia TV3 dan sebuah lagi drama yang kini ditayangkan iaitu Cinta Berkalong Duri di RTM. Kiranya masih ada tawaran yang datang cuma saya tidak lagi aktif untuk melakukan sesi fotografi saja.

"Lantas selepas semuanya selesai kini, saya kembali semula untuk aktif dalam kerjaya lakonan. Justeru, saya berharap agar kisah cinta dan persoalan mengenai hubungan saya dan Fizz tidak terus memburu hingga meletak tujuan asal saya jauh ke belakang," katanya.

Bintang filem Dunia Baru The Movie ini ditemui di rakaman program baru terbitan TV3, BROS di studio NTV7 di Glenmarie, Shah Alam, selepas lebih dua tahun menyepi diri.

Lantas peluang yang ada diguna sebaik mungkin untuk bertanyakan soal ke mana menghilangnya dia dan apa pula perkembangan dirinya yang terbaru.

Bagai sudah mengagak persoalan yang ingin diajukan, Almy tersenyum dan lekas menunjukkan gambar insan paling bermakna buat dirinya di telefon bimbit yang dipegang.

"Jika ramai yang bertanya ke mana saya selama dua tahun ini, saya sibuk menguruskan buah hati pengarang jantung saya, Nurafrina Darwisyah. Inilah insan paling bermakna buat saya ketika ini," katanya.

Nurafrina Darwisyah yang kini berusia dua tahun enam bulan adalah anak angkat Almy yang sudah pun diambilnya sejak dalam kandungan lagi. Namun proses pengambilan anak angkat tidaklah semudah yang disangka.

Kata Almy, selama lebih dua tahun ini, dia terpaksa berperang dengan pelbagai prosedur termasuk surat angkat sumpah, surat perjanjian, proses surat beranak dan kini menanti MyKid pula disiapkan.

Namun Almy yang berseri-seri mengukir senyum dan tidak lekang bercerita mengenai puteri kesayangannya itu, Nurafrina Darwisyah adalah anugerah terindah buatnya.

"Sejak dulu lagi saya memang ingin sekali memiliki anak dan alhamdulillah dua tahun lalu saya diberikan rezeki apabila ada pihak yang sudi menyerahkan anaknya kepada saya. Sejak dalam kandungan lagi hingga Nurafrina selamat dilahirkan, saya tidak berhenti menjaganya kerana terlalu seronok untuk mempunyai anak.

"Lantas sepanjang dua tahun ini, saya memang kerap berulang-alik ke kampung untuk menguruskan banyak perkara selain menjaganya. Saya terlalu sayangkan Nurafrina dan dialah yang menjadi teman paling setia ketika ini," katanya yang mengakui Fizz tahu perkara itu, namun belum sempat menjenguk Nurafrina lagi.

Tambah Almy, Nurafrina bagai satu percaturan apabila menyerupai dirinya baik dari sudut perangai mahupun air mukanya.

"Nurafrina memang banyak berkongsi perangai dengan saya. Malah, minatnya juga lebih kurang saja dengan saya. Memang saya ingin memiliki seorang anak sejak dulu lagi kerana saya sukakan kanak-kanak dan menyifatkan mereka adalah insan terbaik untuk menemani di kala sunyi dan gembira. Saya begitu seronok ketika ini kerana pada tarikh hari lahir saya pada 27 April lalu, dia sah menjadi milik saya.

"Alhamdulillah, semuanya selamat dan kini saya memang meletakkan sepenuh fokus untuk membesarkan Nurafrina," katanya.




Kempen terbesar Sudirman

Posted: 14 May 2012 07:59 AM PDT

BAGI peminat bekas penghibur nombor satu Asia, Datuk Sudirman Arshad, lokasi Jalan Chow Kit, Kuala Lumpur meninggalkan kenangan manis yang terus terpahat dalam ingatan sampai bila-bila.

Merujuk pada tarikh 15 April 1986, beliau berjaya menarik perhatian 100,000 penonton hadir menyaksikan konsert percuma di situ. Persembahan itu bukan saja menjadi pencapaian peribadi penyanyi kelahiran Temerloh, Pahang ini tetapi namanya turut dicatat dalam Malaysia Book of Records.

Paling bermakna, penghibur kesayangan ramai ini pernah dinobatkan Penghibur Terbaik Asia pada majlis anugerah Asian Popular Music Awards di Royal Albert Hall, London pada 1989.

Selepas dua dekad pemergiannya, sumbangan seni Sudirman terus dikenang ramai peminat. Setiap tahun, acara seperti bacaan tahlil dan doa selamat sentiasa diadakan oleh keluarga Allahyarham.


Namun, pengisian agenda kali ini agak berbeza apabila stesen satelit Astro mengambil inisiatif menganjurkan kempen akuSUDIRMAN selama sebulan yang bermula 11 Mei lalu.


Apa yang paling menarik untuk dikongsi bersama peminat masa kini adalah usaha stesen ini mahu mengadakan Konsert Kenangan Sudirman secara percuma di lokasi sama iaitu Jalan Chow Kit.

Naib Presiden, Bahagian Perniagaan Melayu Astro, Khairul Anwar Salleh berkata, pada awalnya, hasrat penganjur sudah tentu mahu memilih lokasi nostalgia Sudirman bersama peminat diadakan semula.

Namun, ia bukan perkara mudah untuk dilaksanakan jika melihat senario ketika ini sebagai antara jalan utama di ibu kota dan menjadi tumpuan pelbagai jenis perniagaan.

Katanya, persembahan ini akan diadakan tetapi memilih lokasi Stadium Bola Sepak Cheras pada 3 Jun ini. Ia dijangka disertai lebih 20 artis popular tanah air seperti Datuk Siti Nurhaliza, Ziana Zain, Rahim Maarof, Jaclyn Victor, Alyah, Misha Omar, Azlan and The Typewriter, Hujan, pelawak Osbon bersama bintang Akademi Fantasia - Hafiz, Adira dan Hazama.

"Konsert ini menjadi persembahan penghargaan pada Sudirman menyaksikan gabungan artis senior dan baru. Acara ini menjadi kemuncak kempen yang menjemput orang ramai pelbagai lapisan masyarakat hadir sama berhibur.

"Dalam pada itu, Astro juga bekerjasama dengan syarikat rakaman Warner Music Malaysia menerbitkan album interpretasi lagu-lagu Sudirman yang dinyanyikan artis generasi muda seperti AwanBand, The Kebayas, XPDC Junior, Hujan, Altimet, DJ Fuzz dan Taxi," katanya pada sidang media selepas pelancaran acara berkenaan yang diadakan di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Turut hadir, Ketua Pegawai Operasi Astro, Henry Tan; Pengurus Program Sinar FM, Rostam Said; Pengarang Hiburan Harian Metro, Roslen Fadzil dan Ketua Pengarang Kumpulan The Star, Datuk Seri Wong Chun Wai.

Mengenai penerbitan album dikenali AkuSUDIRMAN - Satu Interpretasi, ia memberi matlamat menarik perhatian generasi muda mengenali dan meminati lagu Sudirman.

Pengarah Urusan Warner Music Malaysia, Darren Choy, berkata susunan lagu yang dinyanyikan bergantung pada artis itu sendiri sama ada mahu membuat susunan lagu semula. Dia berpandangan, penerbitan album ini menjadi langkah terbaik dalam tarik perhatian generasi muda.

Merancakkan acara kempen ini yang disokong Sinar FM sebagai stesen radio rasmi bersama Era FM manakala Harian Metro menjadi rakan media, filem baru Hoore! Hoore! arahan Saw Teong Hin akan menemui penonton di pawagam bermula 24 Mei ini.

Filem terbitan Astro Shaw Sdn Bhd bersama Real Films Sdn Bhd ini menjadi agenda kempen ini. Dibintangi Akim, Kilafairy, Nurfarah Nazirah, Harun Salim Bachik, Adibah Noor, Fauziah Nawi dan Aznil Nawawi, filem ini turut memainkan semula lagu Sudirman seperti Bercanda Di Pasiran Pantai, Basikal Tua, Salam Terakhir, Merisik Khabar, Milik Siapakah Gadis Ini dan lagu baru, Idola nyanyian Azlan The Typewriter.

Pengurus Besar Astro Shaw, Gayatri Su-Lin Pillai, berkata pihaknya positif terhadap sambutan dan jangkaan penonton yang akan diterima nanti.

"Kami sentiasa mahu tampilkan sesuatu yang berbeza dan filem ini menarik dengan membawa genre muzikal.

"Apa yang diharapkan agar filem ini membantu menarik perhatian penonton muda datang menonton," katanya.

Bersama penganjuran konsert, penerbitan album baru dan tayangan filem, Astro juga menggunakan platform saluran Astro Ria, Prima, Awani dan Hitz TV menyiarkan pelbagai program mengenai Sudirman seperti Di Sebalik Pembikinan filem Hoore! Hoore!, Trek Selebriti, Cerita Artis Malaysia dan dokumentari.