Adsense

Isnin, 14 Mei 2012

Harian Metro: Rap

Harian Metro: Rap


Ning terus pujuk mama

Posted: 13 May 2012 09:40 AM PDT

KETABAHAN dan kepayahan hidup dialami wanita bergelar ibu tunggal, bukan asing buat pelantun vokal soprano ini meskipun tidak pernah merasai pengalaman itu.

Namun serpihan derita ibunya, Satila Abdullah, yang bergelar ibu tunggal lebih kurang 19 tahun lalu sudah cukup buatnya memahami pengorbanan wanita yang takdir hidup mereka sama seperti mana ibunya.

"Emak saya selalu cakap: "Ma dah tiada siapa dah dan Ma dedikasikan hidup Ma ini untuk kamu," kata Ning dengan genangan air mata.

Akui Ning atau nama sebenarnya Ning Baizura Hamzah, 37, pengorbanan ibunya untuk membesarkan dia berkongsi saat suka dan duka, sampai bila pun tidak termampu dibalas. Yang hanya mampu dilakukan Ning untuk membuktikan kasihnya terhadap ibu adalah menghormati dan cuba untuk tidak melukakan hati ibunya.


"Saya sentiasa menjaga tutur kata dengan emak saya dan sangat bimbang jika dia terluka. Sepanjang hidup saya tidak pernah terlintas untuk memarahi emak.


"Misalnya, dua tiga hari lepas, emak saya terlupa di mana dia letakkan satu barang ini. Barang itu agak penting dan berharga juga tapi saya fikir tak payahlah setakat hilang barang-barang, sampai kita hendak marahkan emak.

"Mereka sudah tua kadang-kadang cepat terlupa. Barang yang hilang boleh dicari atau diganti tetapi kasih sayang ibu beri amat besar dan tidak ternilai. Jadi anak-anak hormatilah ibu juga bapa, bahagiakan mereka selagi ada hayat," katanya.

Rabu lalu, Ning membuat lawatan ke Rumah Ibu Tunggal Mas Merah beralamatkan No.2, Jalan SS1/43B, Kampung Tunku, Petaling Jaya, Selangor. Persatuan ibu tunggal itu diterajui oleh Sharifah Kamariah Syed Ibrahim, 74, selaku presiden.

Kunjungan itu adalah sebahagian aktiviti yang diaturkan pihak penganjur sebelum menjelangnya sempena Ratu Hatiku Mother's Day High-Tea, bakal berlangsung pada 20 Mei 2012 nanti di Hotel The Royale Bintang Damansara.

Ternyata, Ning begitu mengagumi kehalusan seni tangan ibu-ibu tunggal menjahit manik pada tudung serta hiasan bunga tangan yang dihasilkan mereka. Malah, dia sempat mempelajari teknik sulaman itu.

"Melihat ibu-ibu tunggal yang berada di sini mengingatkan saya kepada emak saya. Sepatutnya emak saya ada bersama pada hari ini tetapi dia ada urusan lain. Jika tidak, dia pasti gembira bertemu dengan mereka senasib dengannya.

"Memikirkan kepayahan yang dilalui emak, memang saya tidak sangka dia boleh setabah seperti hari ini. Seorang mualaf digantung tidak bertali untuk beberapa tahun dan status isteri kedua, bukan situasi mudah dilalui. Kalau saya barangkali boleh jadi gila.

"Namun, itulah kehebatan seorang wanita. Mampu membesarkan anak tanpa bergantung harap pada sesiapa, hanya berbekalkan kesabaran dan kecekalan.

"Setiap ibu terutamanya ibu tunggal layak ditempatkan di syurga. Saya pasti akan datang lagi ke sini bersama ibu," katanya.

Bukan sekadar satu lawatan, kunjungan itu juga turut dimanfaatkan dengan pemberian sumbangan tunai RM1,000 serta meja bernilai RM5,000 untuk dihadiri ahli persatuan berkenaan oleh ahli perniagaan, Datuk Nor Hasnal Hashmi.

Beralih pada persembahan berdurasi 45 minit yang bakal dijayakan, Ning akan mempersembahkan lagu malar segar seperti Ibu, dendangan asal Allahyarham Tan Sri P Ramlee, Kasihnya Ibu dan lagu-lagu hitnya yang menepati tema.

Ning turut meluahkan impian untuk berduet dengan ibunya kerana selama 19 tahun bergelar anak seni, ini adalah kali pertama dia berpeluang membuat persembahan di Hari Ibu dan mahukan ibunya meraikan bahagia itu di pentas bersamanya.

"Saya masih memujuk 'Ma' dan harap dia tidak menolak. Pada acara itu nanti saya juga mahu ibu-ibu yang lain menyanyi bersama saya," katanya.

Kepada peminat penyanyi popular dengan lagu Curiga, Awan Yang Terpilu dan Selagi Ada itu, tiket persembahan dijual pada harga RM180 (gangsa), RM280 (perak), RM500 (emas) dan VIP Platinum, bolehlah membuat tempahan dengan melayari www.tickethotline.com.my.

Selain Ning, majlis itu turut menampilkan khas Maulana dan Azrul Raja Lawak selaku pengacara.

Mengemaskini aktiviti seninya yang lain, pada 22 dan 23 Mei ini Ning akan membuat persembahan di Alexis Bistro, Great Eastern Mall, di hadapan jumlah peminat yang terhad. Manakala Jun nanti, vokal hebatnya bakal menggegarkan Hard Rock Cafe, Pulau Pinang dan Kuala Lumpur, dengan sebuah showcase istimewa.

"Perbincangan mengadakan showcase di Hard Rock Cafe itu masih dalam perbincangan namun, ia menunjukkan tanda-tanda positif untuk dilaksanakan. Saya memang menantikan peluang seperti ini kerana persembahan berskala kecil sebegitu mewujudkan keintiman antara saya dengan peminat," katanya.

Memahami, masa depan tidak boleh bergantung dengan menyanyi saja Ning membuat pelaburan dengan menjadi rakan kongsi sekali gus bertindak selaku duta kepada tiga produk iaitu Neubodi, Medishape dan Dr Backbone.

"Neubodi adalah produk pakaian dalaman wanita yang beroperasi di tingkat satu, Bangsar Village 2. Manakala Medishape pula, pusat penjagaan badan, sementara Dr Backbone, produk kesihatan untuk menjaga tulang belakang.

"Saya ingin berterima kasih kepada Chris (suami) di atas usahanya mencari peluang perniagaan buat saya selain menguruskan aktiviti nyanyian. Tanpa pengurus sukar sebenarnya untuk bergerak.

"Selain sibuk memenuhi undangan nyanyian sehingga penghujung Jun nanti sebelum berehat bagi menghormati Ramadan, tahun ini saya juga merancang untuk mempunyai anak tahun ini," katanya.




Tak sabar tunggu detik bahagia

Posted: 13 May 2012 09:18 AM PDT

TIDAK sampai sebulan lagi, status penyanyi berkulit hitam manis ini akan bertukar sekali lagi menjadi isteri. Jelas sekali keceriaan yang terpancar di wajahnya menjadi penanda dia kini sudah tidak sabar menempuh hari bahagia itu nanti.

Lima tahun lalu, impian Nurul Wahab untuk mempertahankan rumah tangga bersama bekas suami iaitu komposer terkenal, Mohd Faizal Maas atau Ajai musnah apabila hubungan itu gagal dipertahankan. Kini, sekian lama memegang status janda, dia akhirnya bertemu dengan seseorang yang akuinya cukup sukar untuk dicari selama ini menjadi pasangan hidupnya.

Petang itu, agenda ibu kepada seorang anak perempuan ini sebenarnya untuk melancarkan album terbaru namun dia tidak mampu menepis tujuan sebenar sidang media yang hadir. Pada hari sama juga, berita mengenainya bakal menamatkan zaman 'single' sudah terlebih dulu terpampang di beberapa akhbar termasuk Harian Metro.

Mahu tidak mahu, Nurul beralah dan berkongsi mengenai majlis pernikahannya dengan bakal suami yang juga warga Perancis, Eric Daniel Depp, 47, yang juga konsultan dan perunding kesihatan sebuah syarikat nutrisi antarabangsa dan akan berlangsung pada 6 Jun ini.


"Sejak bercerai lima tahun lalu, amat sukar untuk saya menerima kehadiran seorang lelaki dalam hidup. Namun takdir menemukan saya dengan Eric yang mulanya cuma rakan biasa dan tidak sangka perkenalan itu membibitkan rasa cinta antara kami. Tidak pernah terfikir hubungan kami akan sampai ke tahap ini.


"Dua tahun mengenali Eric, saya dapati dia mempunyai ciri-ciri seorang suami yang baik. Dia bukan seorang yang 'judgemental', menghormati agama lain dan bekerja-keras. Kesungguhannya untuk mempelajari dan memeluk agama Islam menambah lagi keyakinan saya untuk mengakhiri hubungan kami ke jinjang pelamin.

"Mengenai isu kenapa saya memilih warga Perancis dan bukan lelaki tempatan, hakikatnya, selama ini saya tidak pernah meletakkan siapa lelaki yang ingin didampingi. Saya memilih Eric pun sebab selesa dan yakin dengan hubungan yang terjalin antara kami. Syukurlah, keluarga pun sangat merestui dan begitu juga di pihak Eric yang menerima saya dengan baik.

"Bagaimanapun, pada majlis pernikahan itu nanti, saya hanya akan menjemput ahli keluarga, rakan terdekat dan beberapa media untuk menyaksikan detik bahagia itu. Majlis akan diadakan di Duchess Place, Jalan Ampang bermula jam 11 pagi dan acara resepsi juga menyusul selepas itu," katanya.

Berkonsepkan perkahwinan dalam taman, rekaan Zaha Wedding Planner (ZWP), Nurul bakal menyarung busana yang direka dan ditaja Rizman Ruzaini, manakala, sut Eric pula direka dan ditaja Bon Zainal. Manakala untuk fabrik busana pula ditaja Jakel dan mekap oleh Deq Sha.

Di sebalik kesibukannya membuat persiapan menjelang hari bahagian itu nanti, ia bukanlah alasan untuk menghentikan seketika karier nyanyiannya. Kali terakhir membuat album pada 2009, kini penyanyi jelita itu akan tampil dengan bingkisan album baru yang mempertaruhkan lima lagu.

Masih lagi mencari single untuk dijadikan pertaruhan pertama, pada majlis pra-dengar petang itu, dia memberikan sendiri kuasa memilih kepada sidang media untuk menilai lagu-lagu berkenaan.

"Saya masih mencari lagu paling sesuai untuk menjadi single pertama album ini. Namun, apa yang boleh saya katakan, saya amat berpuas hati dengan penghasilan album ini lebih-lebih lagi mendapat sentuhan daripada beberapa pencipta lagu berbakat besar. Terutama buat Andi Merican yang sudi menawarkan diri untuk membuat susunan pada lagu-lagu berkenaan.

"Kali ini, saya serahkan sepenuhnya kepada komposer untuk menghasilkan lirik dan lagu kerana dengan kesibukan sekarang ini, amat sukar bagi saya mencuri masa mencipta lagu. Sedangkan buku yang saya tulis dan sepatutnya dilancarkan pada bulan ini pun tergendala seketika kerana belum sempat siap.

"Lagipun saya ingin mencuba sesuatu yang baru serta bekerjasama dengan orang baru. Bagi saya, inilah risiko yang akan di tanggung namun saya yakin material kali ini boleh pergi jauh. Melihat kesungguhan setiap orang yang terbabit bukan saja dalam penghasilan album, pengurusan, malah penjenamaan Nurul sendiri, amat mengagumkan.

"Secara peribadi, untuk album kali ini, saya amat menyukai lagu Cinta Nurul yang liriknya ditulis sendiri rakan Nurul iaitu Sulu Sarawak. Liriknya begitu dekat dengan hati saya kerana ia menceritakan bagaimana sisi perjalanan saya sepanjang berkecimpung dalam dunia seni ini," katanya.

Sudah siap sejak penghujung April lalu, Nurul berkata, album berkenaan akan dilancarkan pada hari bahagianya nanti. Mengandungi lagu-lagu termasuklah Mari, Cinta Nurul, Selamat Jalan, Kerana Kau Ada dan Takut Paranoia, album itu bakal diedarkan oleh Sony BMG.

Selain pengurusannya sendiri, Nurul kini dilamar sebagai artis pertama di bawah naungan syarikat Future My di bawah kelolaan Istal Zaini Ahmad Rafaii yang akan menguruskan bahagian penjenamaan nama Nurul sendiri.