Kosmo Online - Hiburan |
Posted: Populariti bukan keutamaanNAMA pelakon Shaheizy Sam diakui memang cukup laris terutamanya di layar perak. Kebanyakan filem lakonannya ternyata jarang menghampakan penonton dan kerap mencatat kutipan jualan tiket yang tinggi. Bagaimanapun, kredibiliti pelakon yang kini muncul dengan filem baharunya, Nongkrong itu dilihat sedikit tercalar apabila tidak lagi dipilih peminat sebagai artis paling popular, khususnya pada Anugerah Bintang Popular 2011 yang lalu. Sebaliknya gelaran tersebut kini menjadi milik aktor kacak dan sasa, Aaron Aziz. Sehinggakan ada sesetengah pihak menganggap populariti adik kepada pelakon Zizie Ezette ini sudah mula merudum, malah realitinya Sam sememangnya kini perlu bersaing hebat dengan ramai lagi pelakon baharu yang muncul. Pada sesi fotografi bersama Kosmo! baru-baru ini, Sam memberitahu dia tidak pernah kecewa dengan kekalahan tersebut dan akur apabila gelaran tersebut sudah mula bertukar tangan. "Secara jujurnya kegagalan saya mempertahankan gelaran yang pernah dimenangi pada tahun lalu itu langsung tidak mematahkan semangat saya untuk terus bergiat aktif dalam bidang seni. "Bagi saya, segala pengiktirafan yang diperoleh itu bergantung kepada rezeki masing-masing, bukan disebabkan populariti seseorang pelakon itu sudah jatuh. Tewas tidak bermakna peminat sudah mula melupakan saya," ujar pelakon berusia 30 tahun itu. Menurut Sam, sepanjang enam tahun bergiat aktif dalam bidang lakonan, dia memberitahu sokongan peminat merupakan faktor utama sehingga mampu berada pada tahap sekarang. "Saya percaya peminat-peminat sudah banyak bertungkus-lumus dan harapan mereka juga sangat tinggi untuk memastikan saya dapat mengulangi kejayaan sebelum ini. Jadi, saya tidak mahu mereka terlalu kecewa dan anggap sahaja tiada rezeki saya pada tahun ini," ujarnya. Sam bagaimanapun menegaskan kekerapan dirinya muncul di layar perak bukan merupakan faktor dia tidak lagi menjadi pilihan majoriti peminat untuk anugerah artis popular itu. Katanya lagi, jika ada sebilangan pelakon yang hanya memilih tawaran tertentu untuk berlakon kerana mahu menjaga nilai eksklusif, Sam pula bertindak sebaliknya apabila menerima apa sahaja tawaran yang diberikan. "Selagi ada pihak yang mahu menggunakan khidmat saya sebagai pelakon, apa salahnya kalau saya terima. Inilah masa yang paling sesuai untuk saya terima apa sahaja peluang yang datang sebelum saya dilupakan suatu hari nanti. "Lagipun pelakon di Malaysia tidak sama seperti di Hollywood yang berlakon satu atau dua filem setahun kerana bayaran yang diterima sudah tinggi. Jadi, saya tidak boleh terlalu memilih kerana ini satu-satunya bidang yang saya ceburi untuk mencari rezeki," ujarnya. Mengenai langkah persediaan yang dilakukannya untuk jangka masa panjang, Sam memberitahu kini dia sudah mula merancang untuk bergelar seorang penerbit drama menerusi syarikat produksi miliknya, Kat & Kids Production. Ujarnya, sebagai langkah permulaan dia mahu lebih fokus kepada penghasilan drama dan telefilem sebelum menerbitkan filem dan buat masa ini dia masih lagi berusaha mencari skrip yang bersesuaian. "Sebelum ini saya pernah bekerjasama dengan kakak saya, Zizie Ezette dengan menerbitkan sebuah telefilem berjudul Nyanyian Sakratul Maut menerusi syarikatnya iaitu BZ 2121 Production," jelas Sama yang juga kerap tampil dalam drama bersiri. Kaki nombor Bercerita mengenai filem terbaharu lakonannya berjudul Nongkrong yang mula ditayangkan di pawagam seluruh Malaysia hari ini, Sam memberitahu dia memegang watak sebagai Bada yang merupakan seorang kaki nombor ekor. Menurutnya, filem berkenaan bukan kesinambungan kepada filem Ngangkung yang pernah mencatatkan kutipan sebanyak RM8.5 juta pada tahun 2010, sebaliknya ia merupakan sebuah filem yang langsung tidak berkaitan serta penceritaan yang berbeza. "Saya melihat cerita dan konsep filem Nongkrong ini agak sama dengan Ngangkung. Kedua-duanya menceritakan tentang menggunakan khidmat bomoh untuk mendapatkan nombor ekor, cuma yang berbeza adalah jalan ceritanya sahaja. "Jika dalam filem Ngangkung saya memegang watak sebagai seorang bapa yang dipengaruhi oleh rakan untuk bermain nombor ekor, namun dalam Nongkrong saya pula yang mempengaruhi rakan saya untuk melakukan perbuatan tersebut," jelasnya. Nongkrong menceritakan tentang tiga orang pemuda, Bada, Aman (Angah Raja Lawak) dan Cumi (Epy Raja Lawak) yang cuba mencari kekayaan dengan menggunakan jalan mudah iaitu bermain nombor ekor. Selain Sam, Angah Raja Lawak dan Epy Raja Lawak sebagai teraju utama, filem tersebut turut menampilkan beberapa orang pelakon lain seperti Mon Ryanti, Fyza Kadir, Liana Rafiai dan Nuremy Ramli. "Mengenai gandingan saya bersama Angah memang tiada masalah kerana kami sudah kerap berlakon bersama-sama. Dengan Epy saya baru kali pertama bergandingan dengannya, namun dia sememangnya seorang pelakon bagus," ujarnya.
Makin menyerlah Sebagai artis di bawah naungan MIG Production (MIG), ternyata Mon Ryanti, Fyza Kadir dan Epy Raja Lawak dilihat semakin menyerlah setelah kerap tampil dalam filem-filem terbitan syarikat tersebut. Menurut Mon Ryanti atau nama sebenarnya Mon Ryanti Sahudina Lee, sehingga kini dia sudah berlakon sebanyak tujuh buah filem sejak mula bergiat aktif sebagai pelakon pada tahun 2010. "Saya anggap ini semua adalah rezeki dan pilihan saya untuk memberi fokus dalam bidang lakonan ternyata langkah yang tepat. Lagipun saya berkecimpung dalam bidang lakonan kerana minat yang cukup mendalam. "Memandangkan sehingga kini saya sudah tampil dengan tujuh buah filem, mungkin selepas ini saya mahu memberi fokus kepada drama pula dan bersedia untuk menerima apa sahaja watak yang diberikan," ujarnya. Selain Nongkrong, antara filem-filem lakonan Mon Ryanti seperti Keramat, Hanya Aku Cinta Kau Seorang (HACKS), Aku Terima Nikahnya, Hantu Dalam Botol Kicap, Bro, Nampak Motor Gua? dan Salam Cinta. Bagi pelakon yang lahir menerusi rancangan Raja Lawak 5, Epy Raja Lawak atau nama sebenarnya Muhammad Hanafi Rusmadi memberitahu sejak menyertai MIG pada pertengahan tahun lalu, dia sudah berlakon sebanyak tiga buah filem. "Pada mulanya saya sangat terkejut apabila mendapat tawaran memegang watak utama dalam filem Nongkrong, meskipun saya baru tiga bulan bersama MIG. Namun, saya gembira kerana dapat bergandingan dengan pelakon hebat seperti Sam dan Angah. "Saya akui masih lagi baharu dalam bidang ini dan banyak lagi yang perlu saya pelajari. Apa pun saya tetap bersyukur dengan peluang yang diberikan dan pastinya ia menjadi batu loncatan buat saya memperbaiki lagi mutu lakonan," ujarnya. Sementara itu, seorang lagi pelakon iaitu Norhafiezzah A. Kadir atau Fyza Kadir yang membawakan watak Puteri 2 dalam Nongkrong berkata, dia sebenarnya tidak pernah terfikir untuk bergelar seorang anak seni. Ujarnya, pembabitannya dalam bidang lakonan berlaku secara kebetulan apabila bertemu dengan salah seorang penulis skrip MIG, Shahriman Wahab yang telah menyarankannya untuk mencuba nasib menjadi pelakon. "Sebenarnya saya lebih berminat untuk menjadi seorang pereka fesyen. Namun, dengan keyakinan yang telah diberikan oleh David Teo, saya rasa tidak salah kalau saya cuba terlebih dahulu. "Apabila mula terbabit dengan filem Nongkrong dan berlakon di samping pelakon hebat seperti Sam, banyak pengalaman diperoleh dan rakan-rakan pelakon yang lain juga banyak membantu saya," ujarnya yang mengakui dirinya seorang yang agak pemalu. Menurut pemegang diploma dalam bidang fesyen dari Kolej MIA itu lagi, kini dia mula berasa seronok bergelar pelakon dan akan muncul dalam beberapa buah filem lagi seperti Seram Sejuk, Per3, Satu Lawan Satu dan Kisah Paling Gangster. | ||
Posted: Adegan ranjang Rusdi, NoraOleh RONI HIDAYAT RIDWAN
FILEM berjudul Mencari Cinta yang diarahkan oleh Shirin Khuzaimi buat pertama kalinya telah menggandingkan dua orang pelakon popular iaitu Rusdi Ramli dan Nora Danish. Namun begitu, pihak media yang berkesempatan menonton sebahagian sedutan filem berkenaan dalam satu majlis pelancaran yang berlangsung di Ipoh, Perak, mendapati banyak adegan romantik dan ranjang yang membabitkan kedua-dua pelakon berkenaan. Pelakon Lelaki Terbaik Festival Filem Malaysia ke-20, Rusdi ketika ditemui berkata dia sendiri tidak menyangka perlu melakonkan adegan yang pastinya mampu mencipta sensasi apabila ditayangkan nanti. "Biarpun sudah lama berkecimpung dalam dunia lakonan, tetapi bukan mudah untuk saya melakonkan adegan romantik dan ranjang. Apatah lagi melakukannya dengan pelakon cantik seperti Nora Danish dan saya pula sudah berumah tangga. "Bagaimanapun, saya anggap setiap babak yang kami lakonkan itu sebahagian daripada tuntutan kerja. Lagipun, sebelum memulakan sesuatu babak itu saya dan Nora banyak membuat perbincangan," ujar suami kepada komposer Sharon Anne Paul Abdullah. Mencari Cinta mengisahkan tentang Myra (Nora Danish) yang telah dipaksa oleh ayahnya untuk berkahwin secara paksa dengan seorang pemuda kampung iaitu Razlan (Rusdi Ramli) setelah ditinggalkan kekasihnya. Filem genre romantik diterbitkan oleh syarikat produksi Armnett Sdn. Bhd. dan Red Movies Sdn. Bhd. itu sudah tamat menjalani penggambaran di sekitar Kuala Lumpur dan Janda Baik pada bulan Mac lalu dengan kos sekitar RM1.5 juta. Akui Rusdi, pada mulanya dia agak terkejut apabila membaca skrip filem berkenaan terutamanya babak-babak yang perlu dilakonkan bersama Nora, namun dia tetap menerima tawaran yang diberikan kerana watak sebagai Razlan agak berbeza dengan filem-filem lakonannya sebelum ini. "Perasaan berdebar itu memang ada memandangkan saya tidak pernah terbabit dalam adegan ranjang seperti di atas katil. Untuk mengelakkan rasa kekok, saya meletakkan diri saya sebagai Razlan dan bukan Rusdi. "Bagi saya, tidak perlu ada sebarang kontroversi yang perlu timbul kerana kami sekadar melakonkan adegan sebagai pasangan suami isteri. Kami sekadar berlakon mengikut kehendak skrip dan adegan yang ditampilkan tidak keterlaluan," jelas pelakon berusia 42 tahun itu. Sementara itu, Nora yang turut hadir pada majlis tersebut meluahkan rasa gembiranya apabila dapat bergandingan dengan Rusdi yang disifatkannya sebagai seorang pelakon yang hebat. Ujar Nora, selama ini dia memang teringin untuk berlakon dengan pelakon-pelakon lelaki yang lebih berpengalaman dan pernah dinobatkan sebagai pelakon terbaik seperti Rusdi. "Sebelum ini saya lebih banyak melakonkan watak-watak gadis ceria dan ini kali pertama saya membawakan watak romantik. Pada mulanya saya menyangka berlakon dalam filem bergenre romantik sangat mudah. "Namun, sangkaan saya ternyata meleset sama sekali dan saya anggap watak saya dalam filem Mencari Cinta ini sangat mencabar dan memerlukan penghayatan yang lebih mendalam," jelasnya. Diminta mengulas mengenai adegan romantik dan ranjang yang perlu dilakonkan bersama Rusdi, pelakon berusia 30 tahun itu memberitahu dia tidak dapat menahan ketawa ketika melakukannya. "Bukan mudah untuk melakonkan adegan sebegitu dan ini kali pertama saya melakukannya. Namun, pengarah sendiri banyak membantu dan Rusdi juga banyak memberi tip lakonan kepada saya," ujarnya. Selain dijayakan oleh Rusdi dan Nora, filem berkenaan juga turut dilakonkan ramai pelakon hebat seperti Fouziah Ghouse, Riezman Khuzaimi, Mahmod Ali Basha, Norlida Ahmad, Daphne Iking dan Natasha Hudson. Festival Filem Cannes Selaku pelakon dan pengarah kedua atau pengarah teknikal dalam filem Mencari Cinta, Riezman Khuzaimi memberitahu pada asalnya filem berkenaan mahu dibuat dalam bentuk drama dan skripnya pula sudah dihasilkan sejak tiga tahun lalu. Ujarnya, pemilihan Rusdi dan Nora sebagai teraju utama filem pertama arahan Shirin yang juga kakaknya itu kerana tarikan tersendiri yang ada kepada kedua-dua pelakon tersebut. "Kami menghasilkan filem ini bukanlah disebabkan terpengaruh dengan sambutan hangat yang pernah diraih filem Ombak Rindu. Sebenarnya sudah lama filem ini mahu dihasilkan, tetapi tidak dapat terlaksana kerana beberapa sebab tertentu. "Kini saya gembira dan berpuas hati kerana akhirnya ia telah terhasil dan kami berharap ia dapat ditayangkan pada hujung tahun ini. Namun, kami tidak terlalu meletakkan sasaran yang terlalu tinggi kerana sedar persaingan sengit dengan filem-filem lain," ujarnya. Ditanya mengenai beberapa adegan panas dalam filem berkenaan yang mungkin boleh mencetuskan kontroversi, Riezman menjelaskan pihaknya sedar akan ada tapisan yang dilakukan oleh Lembaga Penapisan Filem (LPF). Riezman menegaskan adegan panas yang ditampilkan dalam filem berkenaan tidak keterlaluan, namun pihaknya sudah membuat beberapa perancangan sekiranya LPF tetap membuat tapisan terhadap beberapa adegan. "Sebagai pihak yang sudah lama berkecimpung dalam industri hiburan, kami sedar dengan garis panduan yang telah ditetapkan oleh LPF dan kami tidak kisah sekiranya banyak tapisan yang dibuat untuk tayangan di negara ini. "Bagaimanapun, kami sudah pun merancang mahu menghantar filem ini ke Festival Filem Cannes di Perancis untuk bertanding dalam kategori Anugerah Pengarah Wanita. Jadi, kami akan menghantar salinan filem tersebut yang tidak ditapis untuk dinilai oleh juri di festival tersebut," ujarnya. | ||
Posted: Longoria nafi musuhi Hatcher
SEWAKTU aktres Eva Longoria muncul dalam program The Late Show With David Letterman baru-baru ini, dia telah ditanya tentang persengketaan dengan salah seorang rakan pelakon dalam drama rantaian Desparate Housewives, Teri Hatcher, 47. "Kami telah bergaul dengan baik," ujar Longoria tentang hubungan mereka sebelum menyambung: "Orang di luar yang mengatakan kami tidak berkawan baik." Hubungan renggang antara Hatcher dengan lima pemain utama drama sensasi tersebut yang lain iaitu Longoria, 37, Marcia Cross, 50, Felicity Huffman, 49, dan Vanessa Williams, 49, mula tersebar selepas nama Hatcher didakwa tidak diundang untuk meraikan sebuah parti khusus untuk drama tersebut. Mengulas tentang dakwaan tersebut, Longoria mengatakan bahawa hal tersebut di luar kawalannya. "Apa yang saya tahu, semua yang terlibat dalam penggambaran Desparate Housewives, termasuk jika dia hanya kru yang membawa beg kami, semua dijemput ke parti itu," ujarnya. David Letterman, 56, kemudian bertanya kepada Longoria tentang kesahihan salah seorang bintang drama itu yang telah dipecat iaitu Nicollette Sheridan. Longoria menjelaskan bahawa aktres tersebut tidak dipecat. Ujarnya: "Dia bukan dipecat, tapi watak dia dicipta untuk mati dalam drama itu. Saya mempunyai hubungan yang baik dengan dia. Dia seorang yang lucu." |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Hiburan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |