Harian Metro: Rap |
Album Kat bukan ditaja Datuk J Posted: 04 May 2012 08:15 AM PDT NAMANYA hampir terhakis daripada ingatan. Sedangkan kemunculannya dipentas Mentor musim kedua, enam tahun yang lalu bagai menjanjikan masa depan cerah gadis ini dalam industri seni suara, tambahan pulamendapat bimbingan penyanyi tersohor, Datuk Siti Nurhaliza, selaku mentor. Status adik ipar kepada rocker terkenal, Amy Search, juga bonus buat Siti Khatijah Hassan atau lebih dikenali sebagai Kat untuk memperoleh laluan mudah. Karektor Kat sendiri sudah cukup kuat. Dengan susuk tubuh yang lampai serta paras menawan, diperlengkapkan lagi bersama bakat, siapa mampu melupakan aksi lincah gadis kelahiran Pulau Mutiara itu setiap kali membuat kemunculan di pentas. Pun begitu, ke manakah Kat menghilang? Dan mengapa selepas tempoh enam tahun baru kini muncul dengan album perdananya.
"Ada bahan untuk diceritakan pada khalayak, jadi tidaklah cakap kosong apabila ditemu bual. Kalau ikutkan sepanjang enam tahun Kat tidaklah menyepi terus, masih menyanyi sikit-sikit selain berlakon. "Kalau berlakon pun bukanlah peranan utama. Kebanyakan watak kecil jadi seganlah nak bercerita pada umum. Takkanlah Kat nak minta wartawan temubual Kat sedangkan Kat cuma terbabit dalam beberapa babak saja. "Selain berlakon dan menyanyi, Kat sekali-sekala timba pengalaman daripada pengurus Kat untuk mendalami selok belok perniagaan," katanya. Lanjut saja pada bicara album sulungnya yang memuatkan lima buah lagu, Kat berharap bingkisan dengan judul Menggoda itu mampu memperkenalkan kembali namanya. "Sebelum ini Kat pernah membuat percubaan dengan menghasilkan album Chiki namun ia tidak begitu mendapat sambutan kerana segelintir pihak berpendapat lagu itu terlalu asing dari kehendak pendengar masa kini. "Sesudah Chiki, Kat muncul pula dengan single kedua berjudul Hilang juga hasil ciptaan pemain gitar, komposer dan produser terkenal, Edrie Hashim. Lagu itu juga bagai dipandang sepi. "Bagaimanapun Kat tidak pernah berputus asa dan jemu mencari materials yang sesuai. Akhirnya Kat berjumpa dengan Manusia Putih. "Manusia Putih ini enggan mendedahkan namanya kerana dia memaklumkan pada Kat dia hanya mahu berkarya. Lebih 10 lagu diberikan namun Menggoda dan Senjakala, paling memikat hati Kat. "Banyak lagunya bagus tetapi dua yang dipilih bersesuaian vokal Kat. Ketika sibuk dengan rakaman lagu Manusia Putih, Cat Farish menawarkan Kat lagu Senjakala. "Ia begitu pantas menangkap di telinga Kat kerana sememangnya Kat sukakan lagu-lagu yang mempunyai unsur-unsur 'dance music'. Apatah lagi, Kat gemar membuat persembahan, menyanyi sambil menari," katanya. Kemunculan mengejut Kat bersama sebuah album yang menawarkan pelbagai irama dari R&B sehinggalah balada, itu nampaknya disusuli bersama gosip liar. Kononnya, pembikinan album itu ditanggung oleh seorang hartawan berstatus Datuk atau dikenali sebagai 'J'. Saat soalan itu dikemukakan, nada suara Kat berubah serta kedengaran tidak senang. "Kalaulah Kat dapat siapa yang menyebarkan fitnah itu, Kat nak cili mulut dia. Kalaulah betul Kat di taja atau di 'spedo' daripada tahun pertama Kat keluar Mentor lagi Kat sudah boleh ada album. "Tetapi mengapa sampai enam tahun Kat terpaksa menunggu untuk melahirkan album pertama yang hanya mengandungi lima lagu ini? "Pertamanya kerana kekangan bajet. Di mana Kat terpaksa mengumpul secara berdikit-dikit. Keduanya, Kat berdepan kesukaran mencari lagu yang bersesuaian vokal dan pada masa sama tak mudah menemukan lagu yang menepati selera masa kini. "Maklumlah, rakam satu lagu bukannya murah. Kalau Kat ditaja tidak perlulah Kat bersusah-payah. Justeru itu, Kat hendak menegaskan yang cerita ini tidak benar sama sekali. "Tolonglah beri Kat peluang untuk buktikan kemampuan. Usahlah heret Kat dalam gosip seperti ini kerana Kat memang mahu menumpukan sepenuh perhatian pada kerjaya nyanyian. Lama Kat menunggu saat ini dan harap diberi ruang," katanya. Menggoda akan dilancarkan di Hard Rock pada 15 Mei nanti iaitu sehari selepas Kat menyambut ulang tahunnya yang ke-25. Seiring pelancaran album itu, Kat juga akan mempertontonkan dua klip video terbarunya Chiki dan Menggoda. Tinggalkan perihal albumnya yang memuatkan foto menariknya, Kat mengakui dia semakin ketagih untuk berlakon. Drama pertama dibintanginya adalah Sayang Cendana yang turut diterajui Juliana Evans diikuti Sudu & Garfu, Kasih Marisha menampilkan Misha Omar sebagai bintang utama, seterusnya Kasih Marisa dan Rumah Orang Tua Cahaya. Tahun lalu, Kat juga melebarkan sayap lakonannya ke layar lebar apabila membintangi sekual Lagenda Budak Setan (LBS) 2 dan 3. "Kat memegang watak Lily, kekasih kepada abang, Kasyah. Lily seorang yang berpewatakan bengis dan dia di sorok di rumah Kasyah kerana mengandung. "Sebagai orang baru dalam bidang lakonan watak ini sukar buat Kat. Bagaimanapun tekanan itu hanya dirasai semasa penggambaran LBS2, manakala LBS3 lebih mudah kerana Lily sudah berubah menjadi baik," katanya. Trivia Kat Tidak memilih asalkan cantik. 9 Bibir dan rambut Tak tahu nak berhenti bercakap dan itulah yang sering kawan-kawan maklumkan. Shah Rukh Khan Sayang... Menari Pengalaman yang dilalui dua tahun lalu dimana Kat hampir putus asa untuk meneruskan karier nyanyian. Bila-bila saja saatnya tiba asalkan dia 'Mr. Right'. |
Belasungkawa Bob Kuman: Hembus nafas terakhir dalam tidur Posted: 04 May 2012 08:03 AM PDT GURAUAN keterlaluan pihak tidak bertanggungjawab yang menyebarkan berita palsu mengenai kematian pelawak, Bob Kuman menerusi laman sosial, twitter, pesanan Blackberry (BBM) dan facebook (fb) pada 21 April lalu, akhirnya menjadi kenyataan petang kelmarin. Bob atau nama sebenar, Husni Mohd Rawi, 40, menghembuskan nafas terakhir dalam tidur di rumahnya di Seksyen 11, Kota Damansara, jam 4.38 petang akibat sesak nafas dan komplikasi pelbagai penyakit.
Sejak penghujung tahun lalu, Bob terpaksa berehat panjang selepas berdepan masalah kesihatan kritikal yang memerlukan dia menggunakan bekalan oksigen. Dia yang menjalani penggambaran drama Jangan Pandang Belakang Congkak ketika itu terkena miang buluh memasuki hidung sehingga mengalami pendarahan banyak. Namun penderitaan yang dialaminya berakhir apabila Bob kini sudah pergi buat selamanya. Pemergian pelakon benar-benar dirasai kerana impak lakonannya sentiasa berbekas sejak menjadi anak wayang.
"Agak lama saya tidak berjumpa dengannya beberapa bulan lalu. Namun sepanjang saya mengenalinya dia seorang yang cukup bersemangat ketika bekerja dan menepati masa di lokasi penggambaran. "Saya sendiri selesa bekerjasama dengan arwah dan selepas saya melihat bakatnya dalam Gemerlapan, saya memberi peluang padanya untuk muncul pula dalam Jutawan Fakir. "Dia pernah bercerita masalah kesihatannya dan akibat masalah berat badan, pergerakannya terbatas. Sebelum ini saya ada berhasrat menawarkannya berlakon tetapi dia sibuk dengan komitmen lain," katanya ketika dihubungi Rap. Pengacara popular, Aznil Nawawi terkejut dengan kehilangan arwah disifatkan sebagai adik-beradik ketika mereka menyertai kumpulan selebriti popular Hero Malaya. Katanya, dia bersama Bob banyak berhubung menerusi BBM walaupun jarang berjumpa. Menerusi perbualan, Aznil juga bertanyakan perkembangan kesihatan arwah dan komen ketika arwah menyertai program Maharaja Lawak terbitan Astro. "Hubungan kami dengan artis yang terbabit dalam Hero Malaya sangat rapat seperti satu keluarga. Menerusi BBM, ia menjadi platform untuk kami semua dalam kumpulan ini berhubung. "Ketika Maharaja Lawak, dia ada meminta saya membeli topi yang dijualnya. Begitu juga, di awal penubuhan Hero Malaya ia sebenarnya bertujuan membantunya untuk membiayai kos rawatannya yang tertunggak. "Dalam aktiviti yang kami jalankan sebelum ini, sebanyak RM40,000 dapat disumbangkan kepadanya. "Namun,kesihatan yang berlarutan membuatkan kos rawatannya tinggi," katanya. Mungkin tidak ramai yang tahu Aznil bersama arwah pernah berlakon sama dalam filem Sama Tak Serupa arahan Yuzwan Wahid pada 1995. Aznil yang turut sedih dengan pemergian arwah berhasrat mengadakan perbincangan antara ahli kumpulan Hero Malaya mencari jalan mengumpul sumbangan untuk balu arwah. Pengarah filem Jangan Pandang Belakang Congkak 1 dan 2, Ahmad Idham Ahmad Nadzri juga memuji sikap arwah bersemangat ketika bekerja membuat orang sekeliling menghormatinya. "Atas sambutan penonton pada JPBC pertama, dia terus berlakon JPBC2 yang mencuit hati penonton dengan watak bomoh bersuara halus. "Saya melihat dia seorang yang serius dalam bekerja dan tak mahu orang lain kasihan dengan keadaan dirinya. "Berat badan membuatkan pergerakannya terbatas tetapi dia berusaha juga mencari rezeki dengan berlakon. "Ketika terbabit dengan penggambaran Brainscan: Aku Bukan Topi Ajaib, dia kelihatan masih boleh berjalan. "Sebaliknya, ketika penggambaran JPBC2, dia tidak boleh banyak berjalan sehingga solat dalam keadaan duduk dan perlu menjaga pemakanan. "Saya faham kepayahan dirinya berjuang dengan diri sendiri tetapi pada masa sama, saya juga terkejut dengan semangatnya yang kuat untuk terus bekerja," katanya dengan sedih. Malam kelmarin, jenazah Allahyarham dibawa pulang ke kampungnya iaitu di Kampung Sega Tengah, Kuala Sawah, Rantau, Negeri Sembilan untuk dikebumikan. Warga Harian Metro mendoakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama golongan beriman. Amin... |
You are subscribed to email updates from Harian Metro: Rap To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |