Bunga cinta Natasha-KhalidBunga cinta Natasha-Khalid
Oleh WANDA IDRIS
Gambar IHSAN PINOGRAPHY
Solekan CHINTA
PERJALANAN cinta aktres Natasha Hudson dan pasangannya, ahli perniagaan dan pemilik syarikat muzik, PhuturePhlow bernama Khalid Kamal amat mudah.
Mereka sudah kenal lama sebelum terputus hubungan, kemudian bertemu semula, menjalinkan cinta dan selebihnya bak kata orang adalah sejarah.
Semudah perjalanan cinta mereka, begitulah juga dengan keinginan pasangan itu terhadap majlis pernikahan yang bakal dilangsungkan pada pagi hujung minggu ini di Masjid Wilayah Persekutuan, Jalan Duta, Kuala Lumpur.
Segala-galanya mudah dan ringkas. Demikian kata Natasha. Tidak akan ada majlis persandingan seperti lazimnya meraikan pasangan raja sehari kerana baik Natasha mahupun Khalid, mereka sepakat untuk hanya melunaskan perkara wajib yang dituntut dalam agama.
Malah jika diikutkan kehendak bakal pasangan mempelai ini, tiada juga wang dan barangan hantaran yang mengiringi majlis pernikahan mereka.
Pun begitu, kerana ingin menghormati adat resam masyarakat Melayu, Natasha dan Khalid tetap menyediakan barangan hantaran sebagai penyeri acara.
Itu pun kata bakal pengantin ini, mereka sepakat untuk menyediakan hantaran berupa barangan yang boleh dimanfaatkan seperti al-Quran, telekung dan sejadah yang dibeli Natasha mengerjakan umrah baru-baru ini.
"Barangan hantaran itu inspirasi ketika menunaikan umrah yang saya anggap lebih bernilai dan istimewa," katanya kepada Hits ketika berbual tentang perancangan perkahwinannya.
Malah saat ditanya tentang nilai wang hantaran yang bakal diterima yang seringkali menjadi tumpuan tetamu, sambil ketawa kecil, Natasha memberitahu, "itupun dalam jumlah serba sederhana."
Jelasnya lagi: "Segala-galanya serba ringkas. Majlis pernikahan juga nanti akan dibuat seringkas mungkin. Yang penting adalah akad nikah, acara batalkan air sembahyang dan kenduri meraikan tetamu. Tiada majlis resepsi dan persandingan."
Menurut model bergelar pelakon itu, majlis pernikahannya tersebut bukan sahaja akan dilangsungkan seperti dituntut agama tetapi ia juga merupakan upacara yang diimpikan.
"Tidak membazir dan saya sendiri tidak berminat untuk membuat secara besar-besaran. Cukup perkara yang wajib."
Namun Natasha mengakui sedikit kelam kabut menguruskan majlis pernikahannya itu lantaran baru pulang dari mengerjakan umrah pada 4 April lalu selepas dua minggu menjalani ibadah di sana.
Apalagi kerana perancangan awal pernikahan yang sepatutnya dijadualkan penghujung bulan ini dipercepatkan atas saranan pihak pengurusan masjid memandangkan tiada kekosongan pada tarikh yang mereka rancang.
Bagaimanapun Natasha bertuah kerana bakal suaminya itu banyak membantu melunaskan persiapan perkahwinan mereka.
"Ketika saya pergi mengerjakan umrah, Khalid pula baru pulang dari Tanah Suci. Ketika dia berada di sana, saya menguruskan persiapan di sini dan begitulah sebaliknya.
"Alhamdulillah... Semuanya kini teratur mengikut rencana dan diharap semuanya berjalan lancar ketika majlis berlangsung," kata pelakon yang pernah membintangi filem Chermin itu lagi.