Harian Metro: Rap |
‘Terima kasih atas segalanya’ Posted: 12 Apr 2012 06:36 AM PDT HATI ibu mana yang tidak terusik tatkala mengenangkan nasib anak-anak apabila mahligai yang dibina bakal berakhir dengan perceraian. Apatah lagi, rumah tangga yang dibina selama empat tahun itu berlandaskan cinta dan kasih sayang yang tidak pernah berbelah bagi. Itulah kemelut yang berlaku dalam rumah tangga pelakon jelita, Rita Rudaini Mokhtar, 36, dan suaminya, pemain bola sepak kebangsaan, Mohd Aidil Zafuan Abdul Radzak, 25. Pergolakan dalam rumah tangga mereka sudah pun menemui noktahnya apabila Aidil memfailkan perceraian ke atas Rita dan memaklumkan tindakan itu kepadanya menerusi SMS, baru-baru ini. Walaupun pahit untuk ditelan ternyata Rita sudah mendapat kekuatan untuk menerima keputusan suaminya itu demi menyelesaikan krisis yang sekian lama melanda dalam rumah tangga mereka.
"Soal Aidil memfailkan perceraian pula, saya sudah serahkan kepada peguam yang sudah dilantik untuk berbincang lanjut mengenainya termasuk hak penjagaan anak-anak kami selepas ini," katanya. Mengenai penerimaan keluarganya berhubung kemelut rumah tangganya itu, kata Rita, sejak dulu mereka sentiasa memberi sokongan padu kepadanya. "Keluarga saya tidak pernah campur tangan dalam urusan rumah tangga kami, sejak awal lagi. Apa pun keputusan yang saya buat, keluarga tetap menyokong asalkan ia baik untuk saya dan anak-anak. "Kali pertama rumah tangga kami bermasalah dulu, keluarga saya beri pandangan supaya saya buat yang terbaik demi masa depan anak-anak," katanya. Ibu muda ini tetap berdiri teguh kerana mendapat kekuatan daripada anak-anaknya yang sentiasa di sisi dalam saat suka dan duka. "Sebenarnya, saya susah nak menangis dan tidak akan menangis depan anak-anak kerana saya tidak mahu nampak diri saya lemah. Kalau saya lemah, bagaimana saya akan menjaga mereka dan membesarkan mereka dengan sempurna? "Kadang-kadang saya terfikir mungkin Allah s.w.t anugerahkan saya dua anak lelaki untuk menjadi pelindung dalam hidup saya kelak," katanya. Rita tekad meneruskan kehidupan solo bersama dua permata hatinya, Airit Rayyan Rizqin, 4, dan Airit Rafqa Arjuna, 1. "Saya memang tidak boleh hidup tanpa anak-anak dan tiada siapa pun yang boleh pisahkan kami bertiga. Saya sanggup 'shooting' siang dan malam demi menyara anak-anak. Selama ini pun saya yang mencari rezeki untuk diri sendiri dan anak-anak. Apapun, saya sudah buat persediaan awal termasuk dari segi pendidikan dan masa depan anak-anak supaya terjamin kelak," katanya. Ditanya sama ada dia tidak bimbang kenyataan mengenai rumah tangganya tidak di persetujui Aidil, Rita akui dia tidak kisah jika suami terbaca mengenainya di akhbar. "Sepanjang kami berkahwin, saya sudah menjalankan tanggungjawab sebagai isteri dan ibu dengan baik. Malah, saya hanya terima tawaran berlakon jika dia mengizinkannya. "Malah, saya sanggup dipulau pihak media ketika kami bernikah di Thailand dulu. Semuanya saya lakukan demi cinta dan kasih sayang yang cukup ikhlas padanya. Linangan air mata iringi sambutan hari jadi Rita SETABAH manapun seorang wanita itu, air mata pasti akan menitis apabila melihat anak-anak yang masih kecil dan tidak tahu apa-apa itu menjadi mangsa perpisahan yang berlaku. Itulah yang dapat digambarkan pada majlis hari jadi Rita yang berlangsung tanggal 11 April di Hotel Royal Chulan Kuala Lumpur di sini, kelmarin. Maklumlah, jika isteri lain menerima hadiah hari jadi yang mahal daripada suami tersayang, Rita pula sebaliknya menerima berita yang cukup memeritkan itu. Dengan linangan air mata yang dipendam selama ini, Rita berusaha untuk bangkit demi meneruskan kehidupan bersama anak-anak untuk menempuh hari mendatang. "Sempena sambutan hari jadi tahun ini, saya berdoa semoga hidup saya dan anak-anak lebih bahagia. Saya harap tiada lagi masalah yang kami hadapi seperti sebelumnya," katanya. Bukan saja Rita yang tidak dapat menahan tangisan, anak sulungnya, Rayyan yang 'melekat' dalam dukungan ibunya juga meragam dan kerap menangis ketika majlis berlangsung seolah-olah anak kecil itu turut mengerti penderitaan yang ditanggung ibunya. Sambutan hari jadi Rita yang dihadiri keluarga terdekat, rakan artis, penerbit drama serta teman media itu dianjurkan sahabat baiknya, Linda dan Diana Rafar yang turut membuat persembahan menghiburkan tetamu yang hadir. |
Posted: 12 Apr 2012 06:24 AM PDT USIA baru setahun jagung tetapi sambutan diberikan oleh golongan muda dan kaum etnik Sabah dan Sarawak terhadap program TVi begitu menggalakkan. Atas sambutan hebat itu, Radio Televisyen Malaysia (RTM) memperkenalkan beberapa segmen baru menerusi program i@dihati sempena sambutan ulang tahun pertama TVi. Program TVi mensasarkan golongan berusia 17 hingga 35 tahun ini dilancarkan oleh Menteri Penerangan, Datuk Seri Utama Dr Rais Yatim pada pada April tahun lalu di Kuching, Sarawak.
Program i@dihati menyajikan kelainan persembahan dengan menampilkan ikon penyampai remaja sebagai perantara setiap segmen. Ikon memiliki pelbagai kepakaran bidang masing-masing mampu menarik minat remaja mengikuti segmen baru dipancarkan melalui siaran satelit ini. Justeru, segmen baru i@dihati ini turut dilancar serentak dengan pelancaran kelab peminat TVi. Majlis pelancaran i@dihati dilakukan oleh Ketua Pengarah Penyiaran, Datuk Norhyati Ismail, bersiaran secara langsung menerusi TVi menerusi saluran 180 Astro, Selasa lalu pada jam 10 hingga 11.30 pagi.
Ikon remaja terbabit terdiri daripada pelbagai latar etnik dan memiliki kepakaran masing-masing untuk menarik minat remaja. Seramai sembilan personaliti i@dihati TVi yang muncul sebagai pengacara rancangan seperti Sonic Husein, Ninie Ibrahim, Eyeja, Arshad, Alif Hadi, Arnizam Michael, Seri, Sofian Bujang, Alif Kadim dan Falisha Crossley. Program terbabit khusus untuk golongan muda berusia 17 hingga 35 tahun daripada pelbagai kaum remaja untuk penonton dan pendengar di Sabah dan Sarawak. Timbalan Ketua Pengarah Operasi Penyiaran RTM, Abu Bakar Ab Rahim berkata, tiga segmen baru diperkenalkan untuk program TVi sempena sambutan ulang tahun pertama TVi. "Sekalipun TVi baru setahun dilancarkan tetapi rating mencapai 100,000 penonton. "Sambutan terhadap pelbagai segmen sangat baik. "Antaranya program tonggak seperti radio interaktif, pencarian bakat di kalangan remaja, konsep berita pelbagai bahasa dan dokumentari keunikan pelbagai etnik di Sabah dan Sarawak dan termasuk Orang Asli. "Kami turut memperkenalkan 'tagline' matlamat program bagi menghargai dan menyayangi golongan remaja. "Apa yang kami harapkan program serta wacana pengisian diketengahkan i@dihati dapat meningkatkan sahsiah diri. "Kami ada perancangan baru untuk mengenengahkan TVi menjadi saluran televisyen selepas mencapai kejayaan bersiaran menerusi satelit Astro 180," katanya. Antara segmen baru lain diperkenalkan adalah rancangan realiti kuiz sejarah dan kenegaraan bertajuk Sejarawan Muda dan I-Klon yang akan bersiaran tidak lama lagi. Segmen i@dihati juga memperkenalkan lintas langsung dari tiga konti radio iaitu Nasional FM, Sabah FM dan Sarawak FM. Penonton turut dihiburkan persembahan hebat pelawak seperti Abon, Jihan, Azrul dan Shamsul Ghau-Ghau. Beberapa segmen lain yang masih dalam peringkat penerbitan untuk Sabah dan Sarawak adalah drama Sepilok Cinta, Anak Iban United, Diari Sipenambang, Layar Impian, Long Pasia, Rooney Si Libas, Angan Si Nonong dan Aku Anak Rumah Panjang. |
You are subscribed to email updates from Harian Metro: Rap To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |