Hip
TASHA Shilla, pemenang Artis Baru Wanita Popular di Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH2011).
Tasha Shilla lali dakwaan serong, anggap kemenangan adalah rezeki TASHA Shilla, pemenang Artis Baru Wanita Popular di Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH2011), baru-baru ini menafikan kemenangan itu ada kena mengena dengan dakwaan kononnya dia ditaja oleh pihak tertentu.
Pelakon yang dikenali menerusi drama bersiri, Gemilang itu menganggap kejayaannya dalam anugerah berprestij itu sebagai rezeki yang sudah tersurat dan kemahuan peminat setianya yang mahu melihat dirinya dinobatkan sebagai pemenang. Bertuahnya empunya diri apabila walaupun pertama kali dicalonkan dalam ABPBH, dia sudah berjaya memegang gelaran artis baru popular dan menewaskan calon pilihan yang dianggap lebih popular seperti Izara Aishah, Najwa Latif, Neelofa dan Nur Fathia.
Malahan kemenangan Tasha juga dianggap sebagai mengejut sehingga suasana di dalam Arena of Stars Genting Highland tempat berlangsungnya malam kemuncak ABPBH2011 menjadi agak senyap kecuali dengan jeritan dan sorakan daripada pelakon itu sendiri.
Tasha, anak kelahiran Ampang berusia 25 tahun ini, berkata, sudah menjadi lumrah setiap kemenangan pasti dipertikai dan dia menganggap segala kata tuduhan itu sebagai perkara biasa.
"Tasha tidak merasakan kemenangan ini disebabkan Tasha ditaja mana-mana pihak. Ia adalah rezeki Tasha dan hasil kerja keras peminat dan pengundi yang berusaha untuk menjadikan kemenangan itu milik Tasha.
"Lagipun, kemenangan ini tidak langsung Tasha jangkakan kerana ketika hadir ke majlis itu, Tasha anggap ia sebagai sokongan kepada Berita Harian dan untuk bertemu peminat.
"Ketika nama diumumkan, rasa tidak percaya kerana saingan begitu sengit sekali dan calon lain turut berbakat. Jadi, apa yang tersurat adalah rezeki Tasha," katanya.
Turut tenang menafikan tuduhan yang mengatakan dia 'membeli' peminatnya dan menggunakan pelbagai cara untuk menang, Tasha positif untuk melalui segala kata-kata itu walaupun menyedari perkara itu menjadi bahan bualan kini.
"Tasha sudah tahu perkara ini kerana ada rakan yang beritahu berkenaan tuduhan yang tersebar dalam beberapa media, tetapi Tasha hanya mahu fokus kepada kerjaya.
"Ini kerana selepas kemenangan, tanggungjawab sebagai pelakon adalah lebih besar. Saya perlu berlakon dengan lebih baik kerana membawa harapan dan semangat daripada peminat.
"Walau apa pun, saya masih Tasha Shilla yang dulu kerana jatuh bangun saya adalah kerana sokongan peminat," katanya.
Sementara itu, berita baik sentiasa mengiringi kerjaya pelakon dengan nama sebenar Natasha Sheila Abd Razak ini apabila tawaran datang bersilih ganti.
Mana tidaknya, tidak sampai seminggu anugerah berprestij itu menutup tirai, figura ini sudah ditawarkan berlakon tiga filem dan turut menerima tawaran berlakon drama.
"Selepas menerima kemenangan daripada ABPBH, rezeki saya semakin mencurah-curah. Setakat ini, saya sudah ditawarkan berlakon tiga filem dan salah satu filem itu akan diarahkan oleh Mamat Khalid.
"Saya bersyukur, walaupun masih tidak tahu watak apa yang akan dibawakan disebabkan ia masih dalam proses permulaan, saya diberikan kepercayaan untuk berlakon dalam filem arahan pengarah itu. Dua lagi filem masih dalam penelitian saya sama ada untuk menerimanya atau tidak," katanya.
Tidak putus melahirkan terima kasih kepada Berita Harian dan peminat yang mempercayai bakat seninya, Tasha mahu menjadi pelakon yang berbakat dan mampu membawakan sebarang watak yang memberikan kesan kepada penonton walaupun ia adalah watak tempelan saja. Katanya, pengiktirafan yang diterimanya membuatkan dia rasa dihargai peminat dan mengakui hubungannya dengan kelab peminat Tasha Shilla Team sangat akrab dan mesra.