Utusan Online - Hiburan |
Dadali Band bukan pengganti Peterpan Posted: Dadali Band bukan pengganti PeterpanOleh KHADIJAH IBRAHIM ANGGOTA dadali band dari kiri rickarjd, oq, dyrga, yuda dan rix. MUNGKIN bagi sesetengah orang ia merupakan satu penghormatan jika vokal atau wajah mereka dikatakan mirip orang popular atau ternama. Bagaimanapun pujian itu umpama racun kepada Dyrga, vokalis Dadali Band dari Indonesia yang popular dengan lagu Di Saat Aku Mencintaimu ketika ini. Dyrga tidak dapat menerima kata-kata itu, walaupun vokalnya pada halwa telinga orang lain kedengaran sama seperti Aril, vokalis Peterpan. Namun dia tetap menolak dan mempertahankan bakatnya dengan alasan lenggok nyanyian mereka berbeza. "Aku sedih apabila orang kata suara aku seperti penyanyi Peterpan. Aku ada gaya tersendiri dan tidak pernah cuba meniru Aril. Lagipun Peterpan sudah popular berbanding Dadali Band yang masih hijau dalam bidang seni. "Bagi aku, itu lumrah. Orang baru sering dibandingkan dengan yang lama. Malah gara-gara vokal aku dikatakan mirip Aril sewaktu muncul dalam program Inbox, aku ditawar untuk mengikut Peterpan mengadakan tour yang telah dipersetujui sebelum itu," ceritanya. Katanya, ada beberapa vokalis daripada kumpulan lain yang turut serta tapi dia menolak kerana tidak mahu dibandingkan dengan Aril. Vokalis yang ditemui pada sidang akhbar di Hard Rock Cafe, Kuala Lumpur, baru-baru ini berkata, dia lebih senang jika peminat mengenalinya sebagai Dyrga penyanyi Dadali Band, bukan sebagai pengganti Aril. Lagipun lagu Disaat Aku Mencintaimu sudah cukup untuk memperkenalkan Dyrga dan anggota band yang lain di persada seni ini. Mereka juga menafikan, populariti lagu tersebut berikutan kerinduan peminat pada vokal Aril Peterpan yang kini di dalam tahanan. Lagu ciptaan Yuda, gitaris kumpulan itu berkisar tentang kisah cintanya yang tidak kesampaian dengan seorang gadis. Namun kata Dyrga, sewaktu merakam lagu tersebut ingatannya bukan kepada kekasih tetapi kepada ayah yang sudah lama tidak ditemui. "Mungkin lagu itu dianggap sebagai lagu cinta sang kekasih tapi bagi aku lagu tersebut dituju khas untuk allahyarham bapa ku yang sudah lama meninggal dunia. "Sudah rezeki aku, tatkala kami mengadakan persembahan di satu daerah, aku dapat menziarah kubur bapa yang selama ini tidak aku ketahui," bongkarnya. Populariti lagu tersebut secara tidak langsung mengubah kedudukan Dadali Band menjadi sebuah kumpulan yang seiring dengan pemuzik lain. Biarpun Disaat Aku Mencintaimu membawa tuah kepada Dadali Band, yang turut disertai oleh Rickarjd (gitar), Oq (drum), Rix (keyboard) dan Fadel (bass), namun mereka sedikit pun tidak berubah. "Memang bangga apabila karya kami dikenali umum, kemana sahaja pergi orang mengenali. Namun secara peribadi, kami tetap seperti biasa tidak ada bezanya. "Anggota Dadali Band tidak mudah lupa daratan. Kami sentiasa kenang saat sebelum berjaya menapak dalam bidang ini betapa susahnya kami untuk mencari syarikat rakaman," kata Dryga tentang kumpulan yang berasal dari Bogor, Indonesia itu. Tambahnya, nasib Dadali yang bermaksud garuda berubah apabila wakil pihak Nagaswara berminat untuk membantu mereka meraih impian. Lagu Disaat Aku Mencintaimu turut mendapat penghargaan dari Muzium Rekor Indonesia (MURI) kerana berjaya mengumpul lebih dua juta pelawat untuk klip video yang disiarkan di Youtube. Malah lagu yang dipilih sebagai single pertama daripada album sulung itu juga menjadi pilihan ramai untuk dimuat turun sebagai nada dering pemanggil. "Kami harap single kedua, Cinta Bersemi Kembali juga akan mendapat sambutan hangat seperti mana Disaat Aku Mencintaimu. Kami optimis, lagu itu mampu menarik perhatian ramai," katanya. Lagu-lagu lain yang terdapat dalam album sulung Dadali Band adalah Beauty And the Beast, Katakan Cinta, Kau Yang Menghilang, Hilang, Usai, Buku Diary, Rahasia Cinta dan Berharap Aku Kembali. |
Posted: Keserasian 3 TemujanjiOleh MUHAMMAD SYAFIQ ROOS ANNUAR DarI kiri: Diana Amir, Hashim Rejab, Pierre Andre, Yana Samsudin dan David Teo semasa majlis perasmian filem tersebut. BUKAN mudah untuk mencari kelainan dalam setiap pembawaan sesebuah cerita cinta apatah lagi genre tersebut sudah biasa diketengahkan di kaca televisyen mahupun layar perak. Malah pemilihan pelakon yang tepat dan serasi juga turut menyumbang kepada untung rugi sesebuah karya. Jujurnya penulis tidak meletakkan harapan tinggi menggunung untuk melihat hasil tangan ke-58 Metrowealth ini menampilkan kelainan mahu pun mencipta sesuatu yang baru. Namun karya Hashim Rejab kali ketiga ini boleh sedikit dibanggakan. Masih membawakan tema cinta, filem bergenre komedi romantik ini berjaya membuatkan penonton turut terbawa dengan emosi sepanjang menontonnya. Menggabungkan Pierre Andre (Mukhsin) dan juga Yana Samsudin (Riana), ternyata pilihan tersebut 'menjadi' dan mampu mengundang gelak tawa dan tangis penonton. Menurut Hashim, 3 Temujanji merupakan satu kisah percintaan biasa, sekali gus berbeza dengan karyanya sebelum ini, Sekali Lagi dan juga Papa I Love You. "Cerita yang saya tampilkan pada kali ini merupakan satu kisah cinta biasa yang dialami oleh kita hampir setiap hari. "Saya juga cuba paparkan penerimaan cinta masyarakat kita dengan lebih dekat dan jujurnya apa yang saya bawakan kali ini memang berbeza dengan karya saya sebelum ini," ujarnya ketika ditemui pada sesi pratonton filem berkenaan yang diadakan di Sunway Pyramid baru-baru ini. Memilih Pierre dan Yana sebagai tunjang utama dalam filem ini juga sebenarnya merupakan langkah yang bijak bagi mengelakkan kitaran muka yang sama setiap kali filem MIG ditayangkan. Pernah mengikat jalinan cinta sebelum ini, ternyata lakonan Pierre dan Yana sememangnya nampak hidup dan tidak terlalu kekok. Kata Hashim, dia memilih dua pelakon berkenaan adalah untuk mendapatkan keserasian yang sememangnya pernah wujud antara mereka sebelum ini. "Filem ini sememangnya tiada langsung perkaitan dengan kisah cinta mereka. "Apa yang saya perlukan daripada mereka adalah keserasian supaya apabila ditafsirkan melalui layar perak ia nampak natural dan berkesan. "Apa-apa pun, 3 Temujanji adalah sebuah filem yang sesuai untuk ditonton dalam keadaan santai dan tidak mempunyai plot yang berbelit-belit. "Malah saya juga berharap agar kutipan filem ini nanti adalah lebih baik daripada dua filem saya sebelum ini," jelasnya yang mengakui semakin matang setelah mengarahkan tiga filem tersebut. Sementara itu, bagi pelakon Aku Masih Dara yang kini sudah bertudung, Diana Amir, wataknya dalam filem tersebut sememangnya memerlukan dia untuk selalu menangis namun dalam masa yang sama bersifat kebudak-budakan. "Watak yang saya bawakan tidaklah terlalu berat cuma saya perlu jadi terlebih aktif dan kena banyak menangis. "Watak Amanda yang saya bawakan merupakan watak penyokong kepada karakter Yana kerana kami merupakan kawan baik. "Alhamdulillah, semuanya berjalan lancar malah semua menjadi lebih senang kerana kebanyakan individu yang terlibat dalam pembikinan filem ini adalah orang yang saya kenal," katanya. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Hiburan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |