Adsense

Selasa, 10 April 2012

Kosmo Online - Hiburan

Kosmo Online - Hiburan


Hala tuju karier Pekin

Posted:

Hala tuju karier Pekin

Hala tuju karier Pekin

"DUDUK di bawah mana-mana produksi pun perlu usaha. Sama juga apabila bernaung di bawah Metrowealth (Metrowealth Movies Production), jika tidak berusaha, tiada juga tawaran yang akan diberikan.

Bak kata David Teo, usaha tangga kejayaan," itulah jawapan yang terpacul daripada mulut Mohd. Iznan Ibrahim atau nama komersialnya, Pekin ini apabila diajukan soalan tentang keputusannya untuk bernaung di bawah Metrowealth.

Tutur aktor yang berusia 31 tahun ini, dia menyertai dengan matlamat untuk menonjolkan kelainan dan ingin memberi perspektif baharu terhadap produk syarikat itu sendiri.

Selain itu sebagai aktor yang telah banyak memperoleh pengalaman, dia juga tidak mahu lokek dan ingin berkongsi ilmu bersama pelakon yang lain.

Lebih kurang tiga bulan berada di bawah MetroweaIth, Pekin telah mengorak langkah dengan pantas. Dia telah menerima satu tawaran filem berjudul Kita yang juga merupakan hasil garapan rakan baiknya, Pierre Andre.

"Saya suka dengan jalan ceritanya yang mudah. Ada juga tawaran lain tapi saya tidak gemar dengan skrip yang ditawarkan. Filem ini dengar saja judulnya, ia sangat ringkas dan perjalanan cerita juga menarik.

"Sementelah di bawah pengarahan Pierre, tidak ada masalah kerana kami sudah lama saling mengenali. Jadi senang bekerja dengan orang yang kita kenal kerana Pierre tahu apa yang saya mahukan dan saya juga tahu apa yang Pierre mahukan," jelas Pekin serius tentang pemilihan tawaran yang diberikan kepadanya.

Menceritakan tentang wataknya di dalam Kita, Pekin memegang watak sebagai Kamal yang merupakan seorang pemuda yang pemalu dan sopan. Kamal sangat menyukai rakannya, Ika (Yana Samsuddin) yang juga merupakan jirannya selama tiga tahun. Namun Kamal mendapati sangat sukar untuk meluahkan perasaannya terhadap Ika.


PEKIN IBRAHIM mula mengembangkan kariernya daripada seorang pelakon kepada penyanyi dan bakal pengarah pada masa akan datang.


Justeru setiap apa yang dilakukannya, dia akan mencari peluang untuk mendekatkan diri bersama Ika sehingga melakukan banyak perkara romantik untuk Ika.

Namun, Ika tidak pernah perasan akan layanan istimewa Kamal terhadap dirinya. Katanya lagi, Kamal merupakan watak remaja biasa namun akan diolah dengan caranya tersendiri bagi menghidupkan watak tersebut.

Pelakon perlu kreatif

Bicara anak kelahiran Kota Bharu, Kelantan ini, jika ingin memberikan hasil lakonan yang berkualiti, seseorang pelakon itu perlu bijak mengkaji dan mencipta karakter melalui watak yang diberi.

"Jadi apabila lakonan disokong oleh karakter yang kuat, maka pelakon tidak perlu terlalu 'berlakon' untuk memperlihatkan watak tersebut untuk dihayati dan difahami oleh penonton.

"Itu yang saya lakukan di dalam Kita. Saya mengambil pendekatan yang realistik dengan tidak mahu terlalu berlakon. Itulah sebenarnya lakonan karakter yang kuat juga perlu disokong oleh emosi yang baik," ujar Pekin.

Tambahnya, sebagai seorang pelakon, kita bukan hanya bersandarkan kepada skrip dan membiarkan produksi memilih semata-mata. Sebaliknya seseorang pelakon itu juga perlu bijak dan kreatif untuk mengolah karakter supaya lakonan menjadi lebih berkualiti.

Mengarah

Sebagai seorang yang berjiwa seni dan sentiasa tegas dengan pendirian diri, Pekin tidak mahu sewenang-wenangnya menaburkan bakat kepada skrip yang dirasakan tidak bagus. Ia jelas terbukti melalui filem terbaharu lakonannya, Bunohan yang dimainkan dengan pelakon-pelakon hebat seperti Zahiril Adzim, Faizal Hussein, Bront Palarae, Wan Hanafi Su dan Sofi Jikan.


YANA dan Pekin berkolaborasi buat pertama kali untuk filem Kita.


Baginya, penggarap Bunohan, Dain Said bijak menampilkan kekuatan karakter yang kreatif untuk setiap watak yang diciptanya dalam filem ini. Tentang kejayaan yang diraih filem tersebut, sememangnya mereka tidak sangka akan diiktiraf sehingga tahap antarabangsa.

Kini merasakan dia lama mengabadikan diri terhadap bidang lakonan, akui Pekin, dia sudah tidak sabar ingin mengarah dan bakal mengusulkan sebuah konsep filem yang mungkin lain daripada apa yang pernah dikeluarkan oleh pihak Metrowealth tidak lama lagi.

Adney kekasih Saleha

Posted:

Adney kekasih Saleha

Adney kekasih Saleha

Oleh FATEN SAPHILLA MOHAMED ISA
saphilla.isa@kosmo.com.my


SITI SALEHA tidak kisah berkongsi cerita tentang hubungan cintanya dengan Syed Adney (foto kiri).


JIKA sesetengah artis wanita popular mengambil langkah berdiam diri atau mengelak apabila disoal mengenai kekasih, tetapi tidak bagi pelakon wanita yang popular menerusi watak Nora Elena, Siti Saleha, 22.

Adik kepada penyanyi Sam (Bunkface) itu mengakui dia kini sedang intim dengan seseorang. Jejaka tersebut juga dikenali ramai. Dia yang dimaksudkan ialah penjaga gol negeri Sabah bernama Syed Adney Syed Hussein yang juga merupakan adik kepada pelakon Sharifah Sofea.

Saleha turut memberitahu Adney merupakan bekas kekasihnya sebelum ini dan hubungan mereka putus di tengah jalan kerana salah faham. Masih sayang antara satu sama lain, hubungan mereka kembali bertaut dan kini sedang menuju ke arah satu hubungan yang lebih serius dan matang.

Ikuti perbualan Kosmo! bersama pelakon itu mengenai kekasih hatinya ketika ditemui di set penggambaran filem KL Zombie yang berlangsung di Nilai, Seremban, Negeri Sembilan baru-baru ini.

Kosmo!: Boleh berkongsi dengan kami tentang kekasih anda? Khabarnya ada gosip yang mendakwa anda bercinta dengan penjaga gol Kelantan?

SALEHA: Dia seorang penjaga gol Sabah. Kenapa pula penjaga gol Kelantan yang disebut. Dia juga merupakan adik kepada pelakon Sharifah Sofea.

Sejak bila kalian bercinta sedangkan sebelum ini anda menjalinkan hubungan dengan seorang jejaka Inggeris bernama Robin Coenraad berikutan beberapa kali anda berdua muncul bersama dalam beberapa acara hiburan sebelum ini?

Oh itu dulu. Saya dengan dia sudah lama putus. Putus dengan dia sebab dia tak faham kerjaya saya sebagai artis. Misalnya, kalau tengok saya berlakon dengan artis lelaki dia akan cemburu.

Sudah berapa lama anda dan juga penjaga gol Sabah iaitu Syed Adney bercinta?

Sudah dua tahun dan dia merupakan bekas kekasih saya tetapi tak perlulah saya terangkan lebih lanjut.


SYED ADNEY


Anda begitu terbuka bila bercerita tentang kekasih. Tidak takut pada pandangan peminat dan masyarakat?

Apa salahnya bercerita tentang kekasih, tetapi biar ada hadnya. Saya juga tahu had untuk saya bercerita tentang kekasih.

Apakah yang membukakan hati anda untuk menerima Syed Adney semula sedangkan anda berdua pernah berpisah sebelum ini?

Saya dan keluarga dia baik terutama sekali dengan kakak dia, Sharifah Sofea. Saya selalu datang ke rumah mereka jika ada majlis. Ibu dia juga saya sudah anggap seperti ibu saya sendiri. Bila terserempak dengan dia, perasaan sayang antara satu sama lain masih ada. Disebabkan itu, kami bersama semula. Walaupun jarang berjumpa sebab masing-masing sibuk tetapi dia sangat memahami.

Hubungan anda berdua semakin serius. Sudah ada sebarang perancangan di masa hadapan?

Buat masa ini kami belum fikir lagi tentang masa depan. Umur saya juga masih muda baharu 22 tahun.

Menyentuh mengenai filem KL Zombie, boleh anda cerita mengenai watak anda dan gandingan anda bersama pelawak terkenal Zizan?

Dalam filem arahan M.J Woo ini, saya memegang watak Nora, seorang gadis yang menceburi perniagaan Skim Jualan Langsung (MLM). Satu peristiwa telah berlaku hingga menyebabkan dia terheret sama dalam serangan zombie di ibu kota Kuala Lumpur. Ini kali kedua saya bekerjasama dengan Zizan Raja Lawak. Sebelum ini kami pernah berlakon bersama dalam Cintaku 120 KM/J.

Begitu sibuk dengan kerjaya lakonan bagaimana pula perancangan anda untuk menyambung pelajaran?

Buat masa ini saya terpaksa menangguhkan pelajaran seketika. InsyaAllah tahun depan saya akan sambung pengajian di United Kingdom. Mungkin dalam bidang perniagaan.

Tidak sayang untuk meninggalkan dunia lakonan seketika dan juga kekasih hati apabila mengambil keputusan menyambung pengajian tahun depan?

Itu adalah pengorbanan yang perlu saya lalui. Saya dan dia memang jarang berjumpa. Kami hanya berhubung melalui Skype dan pelbagai teknologi komunikasi lain. Saya juga tiada masalah kalau tidak berjumpa dengannya. Asalkan masing-masing tahu menjaga hubungan.

Dominasi Lat Kampung Boy

Posted:

Dominasi Lat Kampung Boy

Dominasi Lat Kampung Boy

Oleh KHAIRUL AMRI HASSAN
amri.hassan@kosmo.com.my


MUZIKAL Lat Kampung Boy tercalon dengan 12 penyertaan daripada 36 kategori yang dipertandingkan dalam anugerah BOH Cameronian Art Awards.


JIKA tahun 2009 menyaksikan teater muzikal Prince Siddartha menang besar pada majlis BOH Cameronian Art Awards, siapa pula yang bakal membolot gelaran yang sama tahun ini?

Penganjuran kali ke-9 tahun ini bagaimanapun memperlihatkan dominasi teater muzikal arahan Harith Iskander dan Hans Isaac iaitu Lat Kampung Boy dengan 12 penyertaan daripada 36 kategori yang dipertandingkan.

Majlis anugerah yang dikendalikan oleh portal dalam talian, Kakiseni.com itu kali terakhir menganjurkan anugerah tersebut dua tahun lalu ketika portal berkenaan masih dipegang oleh Jenny Daneels dan Kathy Rowland sejak diasaskan pada tahun 2001 sebelum bertukar tangan kepada Low Ngai Yuen.

Menurut Ngai Yuen, penyertaan pada tahun ini memperlihatkan bidang seni persembahan dalam kalangan karyawan tanah air semakin berkembang dan berpotensi untuk diketengahkan.

"Kami sangat teruja untuk membawakan kembali majlis penganugerahan yang mengiktiraf karya-karya seni tempatan.

"Sepanjang acara itu dihentikan selama dua tahun, pelbagai naskhah berkualiti dan menarik dapat kita lihat muncul dalam industri," katanya yang ditemui ketika majlis pengumuman calon-calon yang bertanding untuk BOH Cameronian Art Awards untuk tahun 2011 di Alexis, The Garden, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Calon-calon daripada 36 kategori kali ini akan diadili oleh 20 orang wakil profesional dalam bidang tarian, muzik, teater muzikal dan teater.

Menerusi penyertaan tahun ini ujar Ngai Yuen, teater muzikal Lat Kampung Boy mengungguli senarai calon dengan 12 penyertaan diikuti rapat oleh teater muzikal Secret Life Of Nora.

Teater itu tercalon antaranya untuk kategori Penata Cahaya Terbaik, Penata Bunyi Terbaik, Rekaan Kostum dan Tatarias Terbaik, Rekaan Set Terbaik, Persembahan Terbaik (watak utama dan sampingan) dan Pengarah Terbaik.

Teater muzikal Terima Kasih Cinta dan drama Short Eyes masing-masing menerima lapan penyertaan.

Sementara itu, koreografer profesional, Pat Ibrahim dicalonkan sebanyak lima kategori pada tahun ini, tiga daripadanya untuk Koreografer Terbaik, dan selebihnya Lirik/Karya Asal Terbaik serta Pengarah Terbaik.

Dua bintang filem Bunohan pula, Zahiril Adzim dan Nam Ron yang turut tampil dalam drama Short Eyes tidak ketinggalan tercalon.

Zahiril yang sebelum ini pernah membawakan peranan seorang penghidap pedofilia tercalon untuk Pelakon Terbaik Teater (watak utama) manakala Nam Ron menerima pencalonan Pelakon Terbaik Teater (watak sampingan) menerusi wataknya seorang banduan bernama Ben Ice Jefferson.

Menerusi kategori tarian pula, balet kontemporari Fragile dicalonkan sebanyak enam anugerah yang mana tiga daripadanya untuk Persembahan Terbaik yang diwakili oleh Chew Zi Xin, Steve Goh dan Wong Jyh Shyong.

Selain itu, produksi JS Dance Theatre juga bakal berentap untuk Persembahan Berkumpulan Terbaik, Rekaan Set Terbaik, Rekaan Kostum Terbaik dan Tatarias Terbaik.

Malam penganugerahan akan berlangsung pada 10 April untuk kategori teknikal dan selebihnya pada 29 April ini.

Peminat seni tanah air boleh mula mengundi calon kegemaran masing-masing menerusi laman sesawang www.awards.kakiseni.com sebelum 26 April 2012.