Adsense

Selasa, 10 April 2012

Berita Harian: Hip

Berita Harian: Hip


Siti langgar pantang

Posted: 09 Apr 2012 03:33 PM PDT

Hip

Sudi bertanding demi menghormati sambutan 25 tahun ABPBH

WANITA yang cukup dikenali ramai ini pernah mengumumkan penarikan dirinya daripada Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) selepas menerima trofi Penyanyi Wanita Popular dan Bintang Paling Popular pada majlis anugerah edisi ke-23, kira-kira dua tahun lalu.

Masih terngiang-ngiang di telinga ucapannya itu, bagai baru semalam ia dilafazkan penyanyi yang juga pengusaha produk kecantikan ini.

Saya bersetuju untuk turut serta (dalam pertandingan) hanya untuk kali ini sebagai tanda sokongan di atas sambutan ke-25 tahun ABPBH. Lagipun, kategori yang diwujudkan adalah yang terbaik antara terbaik, jadi semestinya saya tidak mahu ketinggalan memeriahkan lagi sambutan ini. - Datuk Siti Nurhaliza

Peminat sendiri amat maklum, Datuk Siti Nurhaliza berbuat demikian bagi memberikan laluan kepada artis lain untuk sama-sama berkongsi kemanisan pengalaman menggenggam trofi idaman ramai berkenaan, seterusnya menggalakkan lagi perkembangan industri seni hiburan tanah air.

Bagaimanapun, kelmarin, bertempat di lokasi cukup bersejarah buatnya, Arena of Stars, Genting Highlands, penyanyi yang lebih sedekad mengungguli kategori penyanyi wanita pada anugerah berprestij ini 'melanggar pantang' apabila kembali mendaki tangga pentas ABPBH untuk menerima trofi yang dipertandingkan.

Bezanya, kali ini dia menggenggam Anugerah Seri Perak, kategori yang diadakan khas sempena 25 tahun ABPBH. Pada Ahad lalu, Siti buat kesekian kali berdiri di podium dan berucap sebagai pemenang, selepas menewaskan 11 lagi bekas pemenang Bintang Paling Popular yang dicalonkan dalam kategori istimewa terbabit.

Anggun dalam persalinan rekaan Rizman Ruzaini, Siti berkata, dia sedia bertanding pada kali ini sebagai menghormati usaha Berita Harian, yang meraikan sambutan jubli perak anugerah yang banyak meninggalkan kenangan indah buat dirinya.
Bagaimanapun, selain anugerah khas itu, isteri kepada usahawan, Datuk Seri Khalid Mohd Jiwa ini tetap berpegang teguh kepada keputusannya, untuk tidak bertanding lagi pada ABPBH.

"Saya bersetuju untuk turut serta (dalam pertandingan) hanya untuk kali ini sebagai tanda sokongan di atas sambutan ke-25 tahun ABPBH. Lagipun, kategori yang diwujudkan adalah yang terbaik antara terbaik, jadi semestinya saya tidak mahu ketinggalan memeriahkan lagi sambutan ini.

"Namun sejujurnya, saya tidak menyandarkan sebarang harapan untuk menang. Saya tetap berdebar menantikan keputusan dan ia tindak balas semula jadi setiap kali menyertai pertandingan.

"Malah, saya sendiri bagai tidak percaya ketika diumumkan sebagai pemenang. Disebabkan itu, sewaktu nama saya disebut, saya agak lambat bangun untuk mengambil trofi," katanya yang turut diberikan penghormatan sebagai artis pembuka tirai malam kemuncak, bersama-sama Stacy dan Alyah.

Selain Siti, turut dicalonkan dalam kategori itu ialah Aishah, Zainal Abidin, Eman Manan, Datin Sofia Jane, Datuk M Nasir, Ziana Zain, Rosyam Nor, Saiful Apek, Mawi, Nabil dan Shaheizy Sam.

Siti yang melangkah ke dunia nyanyian pada usia 16 tahun, memenangi trofi pertama Bintang Paling Popular pada ABPBH1996. Pada edisi sama, dia juga memenangi kategori Penghibur TV Popular, Artis Remaja Popular dan Penyanyi Wanita Popular.

Tahun berikutnya, trofi Bintang Paling Popular mula menjadi miliknya selama lima tahun berturut-turut. Dia bagaimanapun pernah tewas di tangan Rosyam Nor, Saiful Apek, Mawi dan Nabil, tetapi kembali merampas gelaran berkenaan pada 2004 dan 2009.

Ujar penyanyi ini, kemenangan tidak akan menjadi miliknya tanpa peminat yang tidak pernah jemu menyokong kerjaya seninya.

"Trofi ini ialah hadiah di atas sokongan peminat setia saya. Lebih istimewa, trofi ini hadir pada saat saya baru saja meraikan ulang tahun ke-17 pembabitan dalam dunia nyanyian. Sesungguhnya saya amat bertuah kerana mempunyai peminat seperti mereka. Bukan mudah sebenarnya untuk mendapatkan kesetiaan peminat buat tempoh waktu yang lama," katanya.

Impian Aznil jadi nyata

Posted: 09 Apr 2012 03:22 PM PDT

Hip

AZNIL gembira dengan kejayaan Zizan sebagai Pengacara TV Lelaki Popular.

AZNIL gembira dengan kejayaan Zizan sebagai Pengacara TV Lelaki Popular.

TIADA sekelumit terbit perasaan kecewa dalam diri artis serba boleh ini apabila trofi Pengacara TV Lelaki Popular yang dipegangnya selama lapan tahun berturut-turut berganti tangan, kelmarin.

Sebaliknya Aznil Nawawi cukup bersyukur apabila bakat yang dicungkil daripada program Raja Lawak, Zizan Razak, tampil menggantikan tempatnya.

Terlalu gembira dengan keputusan yang diumumkan Datin Seri Normala Shamsudin dan Nurul Syuhada, Aznil secara spontan bangkit dari tempat duduknya, lalu berlari ke atas pentas untuk menyerahkan sendiri trofi itu kepada Zizan. Ketika dia berlari-lari anak ke pentas, wajahnya nyata kelihatan riang, seperti yang dapat disaksikan peminat di Arena of Stars, Genting Highlands, mahupun penonton TV3 di rumah.

Bukan gimik murahan, sebaliknya kata pengacara pelbagai bakat itu, dia sudah mempunyai kedudukannya yang tersendiri dalam dunia seni dan penyiaran tanah air. Justeru, sememangnya sudah lama dia menantikan tibanya saat itu.

"Sejak tiga tahun lalu saya sudah memberikan isyarat kepada pengacara lain supaya bangkit dan lakukan kejutan. Saya tidak mahu lagi memegang trofi ini. Saya rasa sedih apabila melihat bidang pengacaraan seolah-olah tidak berkembang apabila peminat terus memberikan kepercayaan kepada saya.

"Sebenarnya sejak tahun lalu lagi saya menjangkakan Zizan akan menggantikan tempat saya, tetapi ia tidak berlaku. Namun, hari ini (kelmarin), apa yang saya inginkan menjadi nyata. Saya akan terus berkerja seperti biasa untuk melahirkan lebih banyak pelapis dalam bidang ini," katanya.
Aznil yang mula menjadi perhatian selepas mengendalikan program realiti Akademi Fantasia, menjulang trofi itu sejak ABPBH edisi 2003 sehingga 2010. Dia seakan mempunyai benteng kuat, yang sukar untuk dirobohkan.

Sebagai pengacara berpengalaman, Aznil masih mengharapkan kategori ini berupaya mempunyai saingan kuat pada masa akan datang.

"Saya berharap, pengacara lain jangan mengamalkan sikap suka menunggu. Sebaliknya, cuba bersikap agresif kerana peminat sekarang sukakan perubahan segera.

"Cuba ambil kemenangan Zizan sebagai cabaran sekiranya mereka ingin berjaya dalam bidang ini. Saya juga berharap tidak wujud benteng antara pemenang dengan calon yang tewas," katanya.