Adsense

Sabtu, 28 April 2012

Kosmo Online - Hiburan

Kosmo Online - Hiburan


Chow Kit pada mata Beto

Posted:

Chow Kit pada mata Beto

Chow Kit pada mata Beto

APABILA membicarakan tentang sebuah lokasi yang dikenali sebagai Chow Kit, sudah terbayang dalam minda segelintir masyarakat tentang kegiatan seperti pelacuran, kongsi gelap dan dadah.

Itulah sekelumit kisah yang cuba dipaparkan menerusi filem berjudul Chow Kit dengan menyingkap dua kisah yang berbeza dengan berlatar belakang realiti kehidupan yang dilalui segelintir masyarakat di kawasan tersebut.

Bakal ditayangkan pada 3 Mei ini di pawagam seluruh Malaysia, filem terbitan Lightbulb Pictures itu turut menampilkan beberapa pelakon hebat seperti Beto Kusyairy, Namron, Dira Abu Zahar, Yasmin Hani dan Lana Nodin.

Salah seorang pelakon filem Chow Kit, Beto Kusyairy yang hadir pada sesi fotografi bersama Kosmo! baru-baru ini berkata, penampilannya dalam filem tersebut agak berbeza dengan watak-watak yang pernah dibawakannya sebelum ini.

"Dalam filem ini saya membawakan watak sebagai Mojo, seorang lelaki yang dibebaskan daripada hukuman penjara dan berazam untuk memulakan kehidupan baharu bersama ibunya yang tinggal di Chow Kit.

"Bagaimanapun, Mojo masih terus melakukan kerja-kerja kotor seperti meragut dan menjadi orang tengah untuk mengedar dadah yang kemudiannya berada dalam keadaan dilema apabila tersepit antara dua kumpulan kongsi gelap semasa melakukan satu tugasan bersama rakan baiknya," ujarnya.

Kisah pertama dalam filem tersebut adalah mengenai sekumpulan remaja terbiar yang mengharungi kehidupan hitam di sebuah lorong Chow Kit. Apabila salah seorang rakan ahli kumpulan tersebut dirogol, mereka bersatu mencari keadilan untuk menuntut bela atas kejadian tersebut.

Sementara itu, kisah kedua pula berdasarkan tentang seorang ahli bekas kumpulan kongsi gelap di Chow Kit yang dibebaskan daripada hukuman penjara berada dalam keadaan dilema apabila terperangkap dalam situasi genting ketika melakukan satu tugasan terakhir.

Menjelaskan dengan lebih lanjut mengenai watak yang dibawakannya itu, Beto atau nama sebenarnya Nurkusyairy Zakuan memberitahu, salah satu sebab dia menerima tawaran untuk berlakon dalam filem berkenaan kerana tertarik dengan karakter Mojo.

Jelasnya, meskipun watak Mojo digambarkan sebagai seorang lelaki yang melakukan kerja-kerja jahat bersama rakan baiknya, tetapi apa yang dilakukan semata-mata mahu memberikan kehidupan yang lebih sempurna buat ibunya.


BETO banyak bergandingan dengan Sharifah Amani dalam drama-drama lakonannya.


"Pembabitan saya untuk filem ini lebih kepada kisah kedua yang menjurus kepada paparan mengenai permasalahan yang berlaku apabila kongsi gelap dan gengsterisme yang berlaku di Chow Kit.

"Di sebalik kegiatan negatif yang dilakukan, Mojo sebenarnya seorang lelaki yang sangat sayangkan ibunya setelah dia ditinggalkan oleh bapanya sejak kecil. Sejujurnya, saya cukup kagum dengan Mojo yang sanggup melakukan apa sahaja demi ibunya," ujarnya.

Ketika ditanya sama ada dia risau sekiranya filem Chow Kit boleh menimbulkan kontroversi kerana memaparkan kisah hitam di kawasan yang paling menjadi tumpuan di ibu kota, pelakon berkenaan menyatakan banyak pengajaran yang boleh diperolehi menerusi filem tersebut.

"Saya rasa tidak akan timbul sebarang isu atau kontroversi dan saya percaya penonton sekarang sudah semakin bijak untuk menilai. Tidak dinafikan banyak juga pengajaran yang boleh didapati menerusi filem ini.

"Di sebalik tanggapan serong masyarakat terhadap Chow Kit, sebenarnya tempat tersebut cukup unik kerana di situlah dapat dilihat pelbagai kaum bekerjasama antara satu sama lain terutamanya menerusi kegiatan perniagaan yang dijalankan di situ," tutur pelakon berusia 32 tahun itu.

Namun begitu, Beto tetap berpandangan bahawa pihak berwajib sudah sewajarnya melakukan sesuatu supaya Chow Kit tidak terus dipandang sebagai sebuah kawasan hitam oleh masyarakat. Malah kata Beto, Chow Kit merupakan salah sebuah tempat yang paling menarik di Kuala Lumpur.

Gosip hubungan dengan Amani

Semenjak terbabit secara serius dalam bidang lakonan sejak tahun 2003, ternyata Beto yang sudah berumah tangga sangat jarang dikaitkan dengan cerita kontroversi yang membabitkan dirinya.

Apatah lagi kariernya sebagai pelakon telah diuruskan sendiri oleh isterinya iaitu Tisha Shahar dan menyatakan sangat selesa apabila mempunyai seorang isteri yang mampu menguruskan kerjayanya.

Bagaimanapun, baru-baru ini timbul dakwaan yang mengatakan bahawa pelakon berkenaan telah menjalinkan hubungan cinta dengan seorang pelakon wanita yang cukup popular iaitu Sharifah Amani.

Sewaktu ditanya mengenai dakwaan tersebut, ternyata pelakon yang ketika ini sedang sibuk menjalani penggambaran filem berjudul Bravo 5 itu meluahkan rasa terkejutnya terhadap dakwaan tersebut.

"Sebenarnya saya sangat terkejut kerana belum pernah lagi mendengar tentang perkara tersebut. Lagipun agak mustahil untuk saya menjalinkan hubungan dengan mana-mana wanita kerana isteri sentiasa berada bersama memandangkan dia juga merangkap pengurus saya.

"Jadi, saya anggap dakwaan ini sebagai mengarut dan tidak masuk akal langsung. Kalau boleh saya tidak mahu mengulas mengenainya dan mengenai hubungan saya dengan Amani pula tidak lebih sekadar seorang abang dan adik.

Menurut Beto, dakwaan mengenai hubungan istimewanya dengan Amani boleh timbul apabila mereka berdua dilihat selalu digandingkan dengan pelakon tersebut menerusi drama dan telefilem.

"Memang kami selalu berlakon bersama seperti drama Cita & Cinta, Kashaf Imani dan Sesungguhnya. Malah, saya tidak nafikan kami berdua merupakan pelakon yang serasi apabila digandingkan bersama-sama."

Selesa penampilan seksi

Sementara bagi pelakon Mazlina Hasan Nodin, 33, atau Lana Nodin, melakonkan watak sebagai seorang pelacur bernama Siah dirasakan paling mencabar sepanjang kariernya sebagai pelakon.


LANA berikrar akan terus kekal dengan imej seksi dirinya ini.


Namun, dia bersetuju melakonkan watak tersebut kerana tertarik dengan jalan cerita yang dihasilkan oleh penulis skrip, Shaharizal Hamzah dan Eenaz Mokhtar.

Jelasnya lagi, jika sebelum ini dia sudah sering melakonkan watak antagonis dan penggoda dalam drama dan telefilem, menerusi filem tersebut dia berpeluang untuk mencuba membawakan watak yang berlainan.

"Pembabitan saya dalam filem ini menerusi kisah yang pertama dan tiada kaitan dengan kisah yang kedua. Walaupun Siah merupakan seorang pelacur, namun naluri keibuannya sangat kuat dan dia tidak mahu anaknya, Tika mengalami nasib yang sama sepertinya.

"Setahu saya, apa yang dipaparkan dalam filem ini adalah berdasarkan kisah benar yang pernah berlaku. Saya akui ketika membaca skrip yang diberikan, tiba-tiba saya menjadi sebak dan perasaan saya cukup tersentuh terutamanya babak anak Siah telah dirogol oleh pelanggannya sendiri," katanya.

Menceritakan pengalamannya sepanjang penggambaran filem tersebut sekitar awal tahun lalu, Lana memberitahu, dia dapat melihat sendiri situasi sebenar yang dilalui oleh penduduk di tempat tersebut.

"Jika mempunyai pilihan, saya percaya tidak ada wanita di dunia ini yang mahu menjadi seorang pelacur. Jadi saya berharap golongan sebegini tidak terus dipandang hina kerana ada dalam kalangan mereka yang sebenarnya tertindas dan menjadi mangsa keadaan," ungkapnya.

Sepanjang bergelar pelakon, nama Lana Nodin sememangnya sering menjadi sebutan ramai terutamanya penampilannya yang kelihat seksi pada pandangan mata sesetengah orang sehingga pernah digelar Pamela Anderson Malaysia.

Ujar Lana, dia menegaskan bahawa dia sama sekali tidak mengubah penampilannya itu kerana berasa selesa dan menganggap seksi adalah sesuatu perkara yang subjektif dan terpulang kepada penilaian masing-masing.

"Cara pemakaian adalah hak peribadi saya dan biasanya saya akan berpakaian mengikut keselesaan diri. Adakalanya, apabila saya tampil dengan memakai baju-T pun orang akan cakap saya seksi.

"Saya tidak mahu terlalu cepat melatah dengan isu-isu sebegini. Orang ramai berhak untuk menilai dan berkata apa sahaja, tetapi yang penting saya tidak menjejaskan nama baik keluarga dengan melakukan perkara-perkara terkutuk," tegasnya.

Jelasnya, dia lebih gemar sekiranya peminat memberi penilaian terhadap mutu dan gaya lakonan berbanding penampilannya. Malah, dia menegaskan akan terus kekal dengan imej dan penampilannya sekarang ini.

Berani Punya Budak tampilkan kelainan

Posted:

Berani Punya Budak tampilkan kelainan

Berani Punya Budak tampilkan kelainan

Oleh RONI HIDAYAT RIDWAN


PELAKON dan model terkenal Thailand, Supaksorn Chaimongkol turut memegang watak penting dalam filem Berani Punya Budak.


KEBANYAKAN filem genre aksi yang turut diselitkan dengan elemen komedi dilihat mendapat sambutan yang cukup memberangsangkan dalam kalangan penonton di negara ini.

Merujuk kepada penerimaan genre filem sedemikian yang diterima ramai, syarikat penerbitan dari Malaysia yang bekerjasama dengan syarikat dari Thailand iaitu Film Frame Production telah menerbitkan filem berjudul, Berani Punya Budak.

Bagaimanapun, filem tersebut sebenarnya merupakan adaptasi daripada filem berjudul Brave yang telah dihasilkan pada tahun 2007 dan cuma ditayangkan di Thailand.

Afdlin Shauki selaku pengarah Berani Punya Budak berkata, pihaknya berhasrat untuk menayangkan filem berkenaan di Malaysia pada tahun 2009, tetapi masalah cetak rompak yang berlaku menyebabkan hasrat tersebut terpaksa dibatalkan.

"Pada tahun 2010 saya telah merombak semula 30 peratus skrip asal filem Brave untuk menghasilkan filem ini. Rombakan yang dibuat bersesuaian dengan cita rasa dan budaya masyarakat di negara ini.

"Selain mengekalkan pelakon-pelakon asal seperti Awie, Sharifah Sofia, Supaksorn Chaimongkol, Pairote Boongerd dan saya sendiri, terdapat beberapa orang pelakon baharu yang turut serta iaitu Johan, Nabil, Adlin Aman Ramlie dan Riezman Khuzaimi," ujarnya pada majlis tayangan perdana filem itu yang diadakan baru-baru ini.

Berani Punya Budak mengisahkan mengenai Mike B (Pairote) dalam misi menyelamatkan abang iparnya, Tong (Afdlin Shauki) yang telah ditangkap satu kumpulan Mafia.

Dia terpaksa menceroboh sebuah syarikat kad kredit antarabangsa Bank Wealthy dan menawan penolong presiden syarikat itu, Lita (Supaksorn) untuk mendapatkan data maklumat pelanggan. Namun, usahanya sia-sia apabila kumpulan Mafia itu bertindak ingin membunuh Pairote dan Tong setelah mendapat data yang dicuri.

Menurut Afdlin, filem Brave sebenarnya lebih serius dan tidak memaparkan sebarang unsur komedi.

Bagaimanapun, setelah perubahan dilakukan dia mengambil keputusan untuk menerbitkannya dalam bentuk aksi komedi.

"Filem ini masih lagi memaparkan banyak aksi terutamanya yang membabitkan pergaduhan, tetapi elemen komedi yang diterapkan menerusi dialognya yang sangat kelakar setelah dialih suara ke bahasa Melayu.

"Kalau dalam filem Brave semua dialog menggunakan bahasa Thai, untuk filem ini pula 100 peratus menggunakan bahasa Melayu dan itulah kelainan yang cuba ditampilkan dalam filem ini," ujarnya.

Menurut Afdlin, sekiranya Berani Punya Budak meraih sambutan yang sangat baik daripada penonton, dia sudah mempunyai perancangan untuk menghasilkan sekuel filem tersebut.

Salah seorang pelakon, Awie yang ditemui pada majlis berkenaan berkata, dalam filem tersebut dia memegang watak sebagai John yang juga merupakan seorang pembunuh upahan.

Menurut Awie, watak John yang dibawakannya itu tidak banyak berdialog, seorang pengikut yang sangat taat dan setia serta mengikut segala arahan yang diberikan oleh ketuanya.

"Sebenarnya saya terbabit dalam babak-babak pergaduhan dan sebab itu dialog saya tidak terlalu banyak. Secara jujur saya sangat berpuas hati setelah melihat hasil filem arahan Afdlin ini.

"Paling menarik saya juga telah melakukan stunt sendiri dan banyak dibantu oleh rakan pelakon lain seperti Pairote. Namun, kalau diberi masa dua atau tiga bulan untuk membuat latihan, saya percaya dapat melakukan aksi stunt dengan lebih baik lagi," ujarnya.

Winnie K mahu buat suntikan botox

Posted:

Winnie K mahu buat suntikan botox

Winnie K mahu buat suntikan botox

Oleh RONI HIDAYAT RIDWAN


WINNIE mahu melakukan suntikan botox pada bahagian pipinya selain melakukan pembedahan hidung.


PENYANYI berketurunan Cina yang popular menerusi lagu Kau Ada Di Mana, Winnie K merupakan antara penyanyi tempatan yang pernah mencuba nasib untuk mengembangkan karier nyanyian di Indonesia pada tahun 2008.

Selepas empat tahun berlalu, Winnie yang ditemui semasa majlis Selebriti Sokongan Riben Merah 2012 anjuran Majlis AIDS Malaysia (MAM) yang bertempat di Restoran Ecoba, Petaling Jaya pada minggu lalu memberitahu, kini dia masih berulang-alik ke negara tersebut setelah kehadirannya diterima ramai.

Bagaimanapun, ketika hadir pada majlis tersebut, seolah-olah terdapat perubahan pada penampilan dirinya dengan memiliki tubuh yang semakin kurus serta wajahnya yang kelihatan lebih cantik dan berseri-seri.

Menurut Winnie, meskipun ramai pihak yang memberikan pujian terhadap penampilannya itu, tetapi dia membuat pengakuan untuk melakukan sesuatu pada wajahnya itu.

Kosmo!: Adakah Winnie mengamalkan petua-petua tertentu sehingga kelihatan lebih menarik sekarang?

WINNIE K: Sebenarnya saya tidak melakukan sebarang petua rahsia, sebaliknya saya lebih kerap melakukan senaman dan akan ke gimnasium sebanyak lima kali seminggu. Bagi saya, sebagai seorang artis, penampilan diri sentiasa dijaga dan kita perlulah kelihatan cantik selalu.

Adakah Winnie telah melakukan sesuatu terhadap wajah?

Setakat ini saya tidak pernah melakukan sebarang pembedahan terhadap wajah, sebaliknya saya lebih banyak mengambil makanan tambahan. Namun, saya juga memang bercadang untuk membuat suntikan botox.

Apakah yang membuatkan Winnie mahu mendapatkan suntikan botox?

Selain menyanyi, saya juga sering kali menjadi pengacara dan wajah saya kerap keluar di televisyen. Apabila saya lihat wajah sendiri di kaca televisyen, ia kelihatan agak besar terutama pada bahagian pipi.

Kemudian saya bercadang untuk melakukan suntikan botox pada bahagian tersebut setelah disarankan beberapa orang rakan. Saya rasa itu bukan satu perbuatan yang salah, sekiranya ia mendatangkan kebaikan kepada diri saya sendiri.

Selain suntikan botox, apa lagi yang ingin Winnie lakukan terhadap wajah?

Pada masa terdekat ini mungkin saya akan melakukan pembedahan pada bahagian hidung pula. Namun, ia bukan atas sebab kecantikan. Sebenarnya hidung saya telah mengalami kecederaan apabila terjatuh semasa sedang melakukan latihan sebelum mengacarakan sebuah majlis korporat baru-baru ini.

Selepas kejadian tersebut pada masa-masa tertentu saya akan berhadapan dengan masalah pernafasan. Apabila membuat pemeriksaan doktor menasihatkan saya supaya menjalani pembedahan bagi mengelakkan kecederaan hidung saya bertambah parah.

Bagaimana pula dengan perjalanan karier nyanyian Winnie?

Pada tahun 2012 saya sudah mempunyai perancangan untuk menghasilkan album Melayu kedua selepas Kau Ada Di Mana yang diterbitkan empat tahun lalu. Lagipun sudah ramai peminat yang bertanyakan tentang bila saya akan menghasilkan album baharu.

Buat masa ini saya masih lagi sedang mencari lagu-lagu yang sesuai dan mungkin ada beberapa lagu yang akan diberikan oleh komposer luar. Misalnya, saya berkawan baik dengan gitaris kumpulan Ungu iaitu Onci dan dia ada meluahkan hasrat untuk memberikan lagu ciptaannya kepada saya.

Apakah aktiviti yang Winnie lakukan selain menyanyi?

Sebenarnya saya mendapat tawaran untuk menjadi pengacara di majlis-majlis korporat. Pada bulan lalu saya telah ke China setelah ditawarkan menjadi hos untuk sebuah program televisyen di sana.