Adsense

Sabtu, 28 April 2012

Harian Metro: Rap

Harian Metro: Rap


Saling melengkapi

Posted: 27 Apr 2012 07:29 AM PDT

JIKALAU sudah terpahat itulah jodoh dan ketentuan, tiada apa yang mampu meletakkan kata mustahil. Walaupun jauh terpisah, gigih merencanakan perjalanan masing-masing, namun sekiranya itu sudah dijanjikan, lari ke mana pun tetap akan bersatu jua.

Melewati tujuh tahun perkenalan termasuk tiga tahun terakhir menyemai cinta dan mencari titik keserasian, akhirnya aktres jelita, Fasha Sandha menerima lamaran daripada lelaki yang tidak lekang dikaitkan dengannya, Rizal Ashram Ramli.

Simbolik si pemilik senyuman manis yang terkenal sebagai pelakon bersama jiwa hatinya juga ahli perniagaan berjaya ini bagai penuh warna. Andaian dan teka-teki selama ini, pernikahan yang berlangsung malam tadi menjadi bukti yang meleraikan tanda tanya.

Usik Rizal yang tampak segak dengan persalinan putih yang tidak langsung mengalih pandangan kepada isteri tercinta yang manis dalam busana indah rekaan Rizman Ruzaini, inilah jodoh yang mengundang bahagia buatnya.


"Luar biasa perasaan ketika ini kerana akhirnya dia (Fasha) menjadi milik saya yang sah. Macam-macam detik yang kami lalui dan sepanjang itu juga, ia mengikat kasih sayang antara kami untuk terus mencintai dan percaya antara satu sama lain. Saya memang percayakan takdir dan jodoh, lantas keyakinan saya untuk impian membina hidup bersama berjaya direalisasikan.


"Alhamdulillah dan saya sentiasa bersyukur kepada-Nya kerana mendengar apa yang kami hajati. Doakan kebahagiaan mengiringi perkahwinan kami hingga ke akhir hayat," katanya.

Rizal sah menjadi suami Fasha malam tadi dalam majlis tertutup di Windows On KL, Hotel Crowne Plaza, Kuala Lumpur.

Hanya dihadiri keluarga kedua-dua belah pihak dan teman rapat dalam majlis ringkas namun penuh kemeriahan, baik Rizal mahupun Fasha menyifatkan saat itu peristiwa terindah buat mereka berdua.

Melihat isterinya sebagai pelengkap hidupnya, Rizal, 36, yang kagum dengan disiplin dan kesungguhan Fasha dalam bekerja percaya mereka mampu mencorak pelayaran rumah tangga dengan baik.

"Fasha wanita yang punya matlamat dan pendiriannya sendiri. Malah sejak awal mengenalinya, dia sememangnya memenuhi kriteria wanita pilihan saya kerana banyak minatnya yang sama dengan saya. Mungkin kerana kami bermula sebagai teman, kemudian rapat dan mula memahami baik atau kurang, saya melihat keserasian itu begitu kuat antara kami.

"Selepas ini saya tiada halangan untuknya bergerak aktif dalam lakonan kerana itulah minat dan kariernya sejak awal berkenalan dulu," katanya lagi.

Fasha yang baru saja menerima anugerah Pelakon TV Wanita Popular pada Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2011 buat kali keenam itu bagaimanapun lebih seronok berkongsi kisah perkenalan mereka serta rasa yakinnya terhadap Rizal.

Menyifatkan Rizal seorang yang penyayang, punya sifat kepemimpinan dan matang, Fasha percaya perkahwinan ini adalah satu keputusan terbaik untuk meraikan rasa cinta mereka.

"Kami bermula sebagai sahabat dan kemudian timbul rasa sayang sebelum menyemai perasaan cinta selepasnya. Justeru, kami memupuk keserasian itu perlahan-lahan dan mengenali hati budi dengan sedalam-dalamnya. Kami berkongsi banyak minat dan persamaan membuatkan rasa selesa itu wujud antara kami sejak awal berkawan lagi.

"Rizal seorang yang bijak dan sentiasa positif setiap kali berdepan kesukaran. Menjadi sahabat dan orang paling rapat dengan saya, dialah rujukan buat saya terutama apabila saya sudah semakin serius menjalankan perniagaan salun kecantikan, Chinta Salon ketika ini. Kami banyak berbincang dan berkongsi pendapat tidak sekadar soal peribadi, namun dalam pelbagai perkara.

"Paling penting, dia menerima setiap kekurangan dan kelebihan saya seadanya," katanya yang tidak pernah memikirkan soal status Rizal sebagai duda seorang anak, Putera Rayqal Ramli yang kini berusia tiga tahun.

Rizal pernah melamar Fasha pada pertengahan tahun lalu, namun ditolak dengan baik kerana ketika itu wanita jelita kelahiran Johor Bahru itu sedang sibuk mengukuhkan empayar perniagaannya.

Kali kedua tokoh usahawan berjaya itu sekali lagi meletakkan impian dengan melamar Fasha pada awal tahun ini dalam kereta selepas pulang makan malam dan ketika itu mengundang rasa yakin kepada Fasha untuk menerimanya.

Tambah bintang popular berusia 28 tahun ini lagi, apa yang penting ketika ini adalah keserasian dan persefahaman antara mereka untuk mencorak rumah tangga bersama nanti.

"Soal hilang populariti atau peminat akan mula meninggalkan saya selepas berkahwin adalah persepsi lama. Peminat sudah bijak dan tidak lagi menilai seseorang artis kegemaran mereka berdasarkan peribadi atau personaliti, sebaliknya hanya meletakkan bakat lakonan sebagai faktor utama. Saya percaya mereka akan setia menyokong dan turut berkongsi bahagia dengan kegembiraan saya ini.

"Alhamdulillah, Rizal seorang yang memahami dan sentiasa menyokong kerana dia tidak kisah untuk saya terus aktif berlakon. Cuma sebagai seorang isteri, saya akan lebih selektif memilih tawaran. Saya ingin menjadi pasangan hidup yang sentiasa punya masa dan ruang buat suami walaupun terikat dengan status selebriti.

"Cuma selepas ini saya akan pergi ke kursus memasak untuk menambah lagi ilmu dalam menyediakan makanan buat suami. Lagipun Rizal seorang yang kuat makan dan ingin jika kelapangan saya sendiri yang menyediakan juadah buatnya.

"Soal anak saya serahkan pada takdir dan rezeki. Jika kami diberikan awal, sudah tentu kami terima dengan penuh rasa syukur kerana Rizal mahukan anak secepat mungkin. Saya pula sudah sedia untuk menjadi seorang ibu dan melalui pengalaman mengandung itu.

"Mulai hari ini, semuanya berubah dan saya pasti akan menikmati setiap saat yang berlalu sebagai seorang isteri kepada cinta hati saya," katanya yang mengakui akan ke Pulau Redang untuk berbulan madu.

Pasangan yang akan mula tinggal bersama di kediaman baru Rizal di Ampang akan sekali lagi diraikan dalam majlis persandingan sebelah pengantin perempuan pada 27 Mei depan di Taman Tasik Timah Tasoh, Kangar, Perlis.

Warga Harian Metro ingin mengucapkan tahniah kepada Fasha & Rizal, semoga bahagia ke akhir hayat.


‘Hasil keringat saya’

Posted: 27 Apr 2012 07:19 AM PDT

BAGAI sudah tersurat buatnya, sejak dari awal kakinya melangkah dengan kesungguhan menjadi anak seni, andaian kononnya ada lelaki kaya dan golongan VIP yang bersandar di belakangnya sudah sinonim dikaitkan.

Meskipun berkali-kali menafikan dan menjelaskan senario sebenar, namun kisah itu tidak pergi walau sesaat, sebaliknya persepsi dirinya ditaja dan hidup mewah dengan menjalin hubungan sulit dengan orang kenamaan terus melekat bagaikan suatu jenama buat dirinya.

Namun jauh di sudut hati berbisik, biarlah apa saja nak diperkata kerana apa yang penting keluarga dan diri sendiri percaya.

Zahida Rafik sudah tidak lagi menggambarkan wajah sugul kecewa dengan dakwaan seperti itu, namun selepas bertahun-tahun bergelumang dengan isu yang sama, ia sudah sedia dengan persalinan kalis peluru yang akhirnya mengundang senyuman.


"Jika saya terus fikir dan sibuk mengenangkan nasib, memang hidup saya tidak akan maju ke depan kerana terikat dengan pandangan serong orang sekeliling. Namun, jika dilihat dari perspektif yang lain, ia menguatkan semangat dan diri saya untuk terus berdiri walaupun tidak dinafikan ada kalanya timbul perasaan kecewa," katanya membuka bicara.


Ditanya perasaannya di sebalik senyuman yang terukir, jelas Zahida yang tenang dan sentiasa optimis berdepan segala kemelut, setiap kali adanya ruang bersedih dan terkilan, ia lekas diisi gelak tawa teman dan keluarga yang sentiasa berdiri di belakang.

"Memang dulu ketika awal menceburi lapangan ini saya mudah melatah dan cepat terasa setiap kali diperkatakan begitu. Maklumlah ketika itu saya belum lagi memahami permainan dunia hiburan. Namun, selepas makin lama mencipta nama, berlakon dan bergaul dengan ramai pelakon lain, saya mula sedar segala gosip dan spekulasi seperti ini adalah asam garam menjadi anak seni.

"Hakikatnya saya punya rangkaian perniagaan lain untuk menampung kehidupan. Alhamdulillah, ada saja rezeki dan peluang yang diberikan kepada saya terutama dalam menjalankan perniagaan. Sampai bila untuk saya bertahan menjadi seorang pelakon kerana ia tidak selama-lamanya kekal. Lantas sejak dulu lagi saya bersama keluarga sudah menjalankan perniagaan dan kebetulan ia adalah minat saya.

"Namun apabila kita senang sikit atau bergaya mewah, mula timbul kisah lain pula. Persepsi dan pandangan orang mula serong kerana selalu meletakkan hukum golongan artis ini dikaitkan dengan VIP sedangkan semuanya adalah usaha titik peluh saya. Lagipun sejak dulu saya memang seorang yang suka bergaya dan tidak ada kena mengena kerana ditaja.

"Sekarang saya memang tidak lagi aktif dalam dunia lakonan. Saya hanya meletakkan sepenuh fokus pada perniagaan yang dijalankan kerana ia lebih mencerminkan minat dan kesungguhan saya.

"Persoalannya, macam mana untuk saya menutup mulut orang daripada terus berkata atau membetulkan semula andaian mereka yang sememangnya melihat aspek negatif. Justeru, ada lebih baiknya saya berdiam diri dan terus memacu langkah ke depan tanpa perlu mengambil pusing kata-kata seperti itu," katanya.

Terbaru, pelakon jelita yang pernah membintangi filem Anak Mami The Movie dan Kuliah Cinta ini dikaitkan menjalinkan hubungan cinta dengan pemimpin politik berpangkat menteri.

Kisahnya kian melarat hingga wujud pula pengakuan melalui surat terbuka yang didakwa ditulis Zahida sendiri bagi mempertahankan dirinya.

Peluang mendekati jiwanya pada majlis amal anjuran Persatuan Kebajikan Ikatan Ukhuwah di Ampang, petang Rabu lalu selepas hampir seminggu media memburunya, memberikan ruang untuk menjelaskan segala kekalutan.

Menyifatkan dirinya menjadi mangsa keadaan dan terus difitnah, Zahida yang enggan mengulas lanjut kerana dinasihatkan peguamnya bagaimanapun berkongsi sedikit pandangannya.

"Sebenarnya, semua yang kecoh diperkatakan ini adalah susulan daripada isu wang saya sebanyak RM200,000 yang dilarikan bekas pemandu peribadi saya, penghujung Februari lalu. Itu saja masalah yang timbul ketika itu hingga membuatkan saya melaporkannya kepada pihak polis. Itu adalah wang perniagaan yang saya jalankan, namun tiba-tiba ia dilesapkan bekas pemandu.

"Bagaimanapun, tiba-tiba selepas seminggu laporan saya dikeluarkan di dada akhbar, bekas pemandu saya pula yang tampil membuat laporan kepada polis dan mendedahkan perkara yang saya sifatkan tidak masuk akal. Dan kini saya terkejut apabila ada teman yang menghantarkan salinan surat terbuka yang kononnya pengakuan yang ditulis sendiri oleh saya.

"Saya jujurnya terkejut dan tidak langsung terfikir yang ia akan melarat sebegini hingga mengaitkan seorang menteri pula. Fokus dan tujuan asal saya hanya untuk menegakkan kebenaran dan memastikan bekas pemandu yang melarikan wang saya untuk dihadapkan ke muka pengadilan. Itu saja dan tidak tahu pula ia bertambah rumit hingga begini.

"Namun, jika inginkan pandangan saya berkenaan menteri yang diperkatakan dan juga surat yang ditulis itu, saya tidak mampu mengulas lebih kerana pihak peguam tidak membenarkan saya berbuat demikian, bimbang ia akan disalah tafsir pula nanti. Saya hanya mengenali menteri yang dimaksudkan itu sebagai seorang pemimpin politik dan tidak pula mengenalinya secara peribadi.

"Soal surat itu adalah satu fitnah yang akan saya bawa ke tengah nanti. Saya tidak pernah menulis surat sebegitu dan kemudian mendedahkan ke Internet untuk tatapan umum.

"Apa yang berlaku adalah satu masalah yang begitu rumit dan saya di sini sebagai mangsa keadaan," katanya.

Selepas isu wang RM200,000, Zahida sekali lagi dikaitkan dengan seorang menteri yang dikatakan mempunyai hubungan sulit dengannya.

Menerusi surat terbuka yang tersebar di Internet, Zahida kononnya menafikan dia menerima wang sejumlah RM1.5 juta daripada seorang menteri sepanjang Oktober 2011 hingga Januari lalu, Zahida turut menafikan dirinya ada kaitan dengan surat berkenaan.