Adsense

Sabtu, 28 April 2012

Berita Harian: Hip

Berita Harian: Hip


Kejutan watak Ivan

Posted: 27 Apr 2012 04:54 PM PDT

Hip

Dindong Dantes akui teragak-agak terima tawaran berlakon Endless Love

MELANCARKAN karier lakonan lebih sedekad lalu, populariti yang ketika ini meluncur laju memberikan cabaran besar kepada Dindong Dantes dalam menentukan destinasi yang ingin dituju.

Permulaan karier jejaka berusia 31 tahun itu turut dibayangi oleh wajah kacaknya, malah aksi berani bergambar separa bogel menghiasi papan iklan menyukarkannya meyakinkan khalayak kepada bakat yang dimiliki.

Keintiman itu ada ketika mengganggu objektif sesuatu babak terutama apabila hal peribadi diutamakan berbanding kerja. - Dingdong Dantes

Dilahirkan sebagai Jose Sixto Dantes III, anak sulung empat beradik kepada pasangan ahli perniagaan, Sixto Dantes Jr dan Angeline Dantes yang membesar di Cubao ini seperti ditakdirkan untuk bergelar pelakon.

"Saya suka meniru sesuatu watak dan melakonkan babak dengan permainan," katanya yang mula didedahkan kepada dunia lakonan sejak usia tiga tahun.

Imbas Dantes, ketika dia masih kanak-kanak, keluarganya gemar ke pusat beli belah dan di situ, seorang ejen yang melihatnya menawarkan ruang untuk menjalani sesi uji bakat bagi iklan komersial, Carnation.

Pada era 1990-an, Dantes yang ketika itu menuntut di sekolah tinggi di Ateneo menyertai sebuah kumpulan dikenali sebagai Abztract Dancers selama setahun.
Perjalanan singkat itu tanpa disangka membawanya ke layar kaca apabila berpeluang menghiasi program remaja, Saturday Entertainment disusuli Eat Bulaga!.

Selesai persekolahan, Dantes memperoleh peluang yang merubah seluruh hidupnya. Seorang ejen komersial menawarkannya untuk program tengah hari di saluran, GMA-7.

"Ia menjadi titik permulaan kepada segala-galanya. Saya masih ingat program yang dijayakan itu adalah T.G.I.S (Thank God It's Sabado)," katanya yang berada di Kuala Lumpur, semalam.

Kerjayanya mendaki perlahan hingga memperoleh kepercayaan memainkan watak utama dalam beberapa projek besar drama berantai, selain filem.

Terbaru, Dantes beraksi dalam drama bersiri, My Beloved menemukannya kembali buat kali kelima dengan kekasihnya, Marian Rivera.

Mereka sebelum ini dipertemukan dalam drama bersiri popular seperti MariMar, Dyesebel, Ang Babaeng Hinugot Sa Aking Tadyang dan Endless Love (kini disiarkan di TV3 setiap Isnin hingga Khamis, jam 3 petang).

Endless Love adalah adaptasi drama popular Korea, Autumn In My Heart diarahkan Mac Alejandre yang terlebih dulu menyatukan mereka dalam Ang Babaeng Hinugot Sa Aking Tadyang.

Bekerja dengan Rivera, katanya, ia memberikannya ruang cukup selesa apatah lagi keserasian antara mereka sudah tercipta sejak 2007.

"Sering kerjasama ini meninggalkan kesan lucu kerana daripada saling mencabar antara satu sama lain, ia berakhir dengan saya mengambil berat mengenainya di lokasi.

"Keintiman itu ada ketika mengganggu objektif sesuatu babak terutama apabila hal peribadi diutamakan berbanding kerja," katanya tidak menafikan, keserasian itu memudahkan dia dan Rivera mencari keseimbangan apabila di lokasi.

Di sebalik wajah kacak keanak-anakan, Dantes sebenarnya seorang yang serius apabila bekerja. Dia tidak mengambil ringan setiap watak yang dijayakannya dan kerja kerasnya itu menghadiahkan trofi Aktor Terbaik, Festival Filem Metro Manila 2011.

Dantes memperoleh trofi itu menerusi lakonannya sebagai pembunuh psiko bernama Ivan dalam filem seram, Segunda Mano yang menemukannya dengan Kris Aquino.

Dia tidak menafikan agak teragak-agak untuk menerima watak itu selepas membaca skrip dan mendalami segala tuntutan yang perlu dimainkan sebagai Ivan.

"Watak Ivan mengundang kejutan, bukan hanya kepada saya tetapi juga penonton. Namun saya mencabar diri dengan menerimanya kerana ingin melakukan sesuatu yang berbeza dalam karier," katanya.

Biarpun berjaya menggondol gelaran terbaik menerusi watak hitam itu, Dantes masih ingin memainkan watak romantik kerana sebahagian besar peminat menyukainya.

Namun seandainya diberi pilihan, peminat karya Christopher Nolan ini selesa berlakon dalam drama aksi meskipun secara peribadi, Dantes tertarik dengan genre komedi.

"Saya tidak mahu terkurung dalam kotak stereotaip dan terus selesa di situ," katanya yang bakal muncul dalam dua filem yang disasarkan untuk tayangan antarabangsa iaitu Dance of the Steel Bars dan Aswang Chronicles.

Kunci mulut soal perkahwinan

SEORANG yang optimis, Dantes agak tertutup apabila diajak berbicara mengenai kehidupan peribadinya meskipun kisah percintaannya sering menjadi bahan eksploitasi media.

Cinta pertamanya berputik dengan Antoinette Taus, namun gagal dipertahankan. Dantes seterusnya menjalin cinta dengan Karylle Tatlonghari tetapi berakhir pada 2008.

Dantes masih menjalin hubungan yang baik dengan Taus namun berbeza dengan Tatlonghari kerana sejak perpisahan itu, mereka memilih untuk membawa haluan masing-masing.

Percintaannya dengan Rivera pada awalnya dilihat sebagai gimik publisiti untuk menghangatkan drama lakonan mereka, namun ternyata cinta yang berputik itu semakin mekar biarpun terpaksa berdepan kesukaran setiap kali mahu keluar berdua.

"Kami sentiasa cuba mencari ruang untuk menghabiskan masa bersama. Masa kami terbatas tetapi setiap kali selesai penggambaran, kami akan merancang melakukan sesuatu seperti bercuti bersama.

"Tidak perlu lama, tiga hari sudah memadai untuk kami berehat dan melupakan soal kerja," katanya.

Ketika diajukan pertanyaan mengenai perkahwinan, bibir yang tadi rancak meluncurkan kata-kata seolah-olah terkunci.

Perkahwinan baginya adalah sebuah ikatan suci dan kerana itu, baik Dantes mahu pun Rivera selesa menyimpan perkara itu untuk diri mereka.

"Ada perkara yang belum kami sedia berkongsi dengan umum dan hanya akan berbicara apabila tiba masa yang tepat nanti.

"Dia seorang yang mengambil berat, bukan hanya kepada diri saya tetapi juga mereka yang saya sayangi. Ia antara sebab yang membuat saya terlalu menyayanginya," katanya.

Info
TEMUI Dantes secara eksklusif di gerai Wanita Inspirasi di Karnival Jom Heboh yang berlangsung di Stadium Indera Mulia, Ipoh hari ini dan esok yang memberi peluang kepada peminat Endless Love untuk bergambar, mendapatkan autograf dan beramah mesra dengan pelakon utamanya itu.

Fasha Sandha sah isteri Jejai

Posted: 27 Apr 2012 04:54 PM PDT

[unable to retrieve full-text content]PELAKON Fasha Sanda selamat diijabkabulkan dengan pasangannya Toh Muda Rizal Ashram Ramli atau Jejai pada jam 9.45 malam tadi di Hotel Crown Plaza Mutiara, Kuala Lumpur. Pasangan dinikahkan sendiri oleh bapa Fasha, Hassan Mohaiddin.