Adsense

Khamis, 19 April 2012

Kosmo Online - Hiburan

Kosmo Online - Hiburan


Perlahan tapi pasti

Posted:

Perlahan tapi pasti

Perlahan tapi pasti

TENGKU IEDIL PUTRA ALAUDIN memang nama yang masih asing untuk khalayak. Sementelah empunya badan juga tidak begitu kerap dilihat dalam kaca televisyen.

Ironi, dia bukannya baru bermain dalam satu atau dua naskhah, tetapi sejak empat tahun lalu telah memberi komitmen kepada banyak naskhah baik filem mahupun drama.

Malah dunia lakonan juga tidak asing baginya, kerana pada tahun 1997 lagi dia telah terbabit menjadi pelakon dalam filem hit Iman Alone. Hanya kerana kurang publisiti, dia kurang menonjol.

"Saya akui, publisiti itu penting. Namun keutamaan bagi saya adalah bagaimana penggiat seni dan penonton lebih mengenal dan menghargai bakat saya," kata jejaka berusia 28 tahun ini merendah diri.

Kata tuan punya badan yang senang dipanggil Iedil, dia mahu membuktikan dulu kredibilitinya dan kemudian dia percaya publisiti atau populariti akan datang seiring selepas khalayak melihat kemampuannya.

Hal itu telah ditonjolkan dalam lakonan bersahaja tetapi mengesankan menerusi drama rantaian yang sedang hangat ditayangkan di 8TV pada setiap hari Ahad pukul 10.30 malam, Project Pop.

Diberi tanggungjawab membawa karakter pengurus sebuah kumpulan terkenal Hujan, bernama Amad yang agak lurus bendul, dia sebenarnya merupakan tunjang utama drama yang memaparkan kisah di sebalik tabir tentang perjalanan sebuah konsert.

"Selain kerana jalan cerita yang menarik dan tidak pernah dipaparkan dalam mana-mana produksi sebelum ini iaitu tentang situasi sebenar yang berlaku di belakang tabir sebuah konsert, saya tertarik untuk menerima tawaran pengarah kerana karakter Amad yang nampak lurus bendul dan selalu berada dalam salah situasi.

"Ini kerana dalam karakter yang nampak tidak bersemangat, saya perlu bermain dengan banyak emosi kerana karakter Amad yang nampak tidak memberi impak pada awal episod akan berkembang menjadi sesuatu yang besar pada penghujungnya," jelas Iedil yang juga menyatakan dia bersetuju untuk terbabit dalam drama rantaian tersebut kerana begitu menggemari muzik.


BAGI Iedil setiap karakter sama ada ia besar atau pun kecil, harus dibawa dengan bersungguh-sungguh kerana itu adalah tugas seseorang pelakon untuk menghidupkan karakter yang diberi.


Cerita Iedil lagi, biarpun Project Pop hanya bersiaran untuk 10 episod sahaja, namun setiap episod mempunyai kekuatan tersendiri.

"Dalam episod pada minggu ini, konsert sudah bermula dan 'drama' terus terjadi seperti Noh masih hilang yang membuatkan Hujan tidak tahu mahu meneruskan persembahan atau tidak," ujarnya yang jatuh cinta dengan konsep penceritaan Project Pop yang mengambil latar senario yang terjadi dalam masa 24 jam sahaja.

Walaupun hanya sedang hangat di televisyen dengan sebuah naskhah sahaja, di layar perak, tetapi ramai yang menggunakan khidmat anak kelahiran Kuala Lumpur ini.

Baru sahaja tamat penggambaran filem KL Zombie bersama Siti Saleha dan Zizan Raja Lawak serta Faezah Elai, Iedil bakal muncul dalam sebuah filem yang pertama kali menggandingkannya bersama aktor popular Aaron Aziz dan aktres terkenal Erra Fazira pada bulan Julai ini.

"Saya pertama kali berganding dengan Erra dan Aaron untuk filem Ngorat. Ini juga merupakan filem pertama yang menampilkan saya sebagai watak utama.

"Ia sebuah filem komedi tentang bagaimana seorang jejaka menggunakan khidmat seorang pakar cinta untuk membantu dia bercinta," katanya yang sering terlibat sebagai pelakon pembantu dalam beberapa buah filem termasuk kali terakhir dalam filem Raya Tak Jadi.

Doktor

Mengajak dia berbicara tentang latar belakang keluarga dan perjalanan seninya, Iedil sebenarnya mempunyai perjalanan yang menarik.

Jika mengikut perjalanan yang mahu dilaluinya sebaik tamat sekolah menengah, dia sepatutnya masuk ke dalam lapangan kedoktoran. Malah dia sempat menjadi mahasiswa dalam bidang kedoktoran di Queen Mary, University of London (QMUL).


MEMBAWA watak Amad dalam drama rantaian Project Pop, Iedil meminta penonton drama tersebut menanti kejutan yang akan dibuat oleh Amad pada penghujung cerita.


Bagaimanapun perjalanan tersebut hanya separuh jalan apabila dia mengambil keputusan untuk memilih minat yang tidak pernah padam dalam dirinya iaitu bidang seni.

Mengaku pada awal keputusan diambil, terjadi sedikit pergeseran antara dia, ibu dan bapanya, namun hal itu terhapus pergi selepas ibu dan bapanya memberi restu setelah melihat kesungguhannya.

"Sebenarnya saya juga minat dalam bidang kedoktoran. Tapi pada masa yang sama, saya tidak boleh menipu diri sendiri kerana cinta saya lebih mendalam terhadap bidang seni.

"Bayangkan, sepanjang menuntut di sana, pada kebanyakan masa selepas kelas tamat, saya akan menghabiskan masa dengan pergi menonton teater," katanya sambil ketawa mengenang kenangan lalu.

Bagaimanapun saat Iedil bercerita tentang latar belakang keluarganya yang semua terbabit dalam bidang seni secara langsung dan tidak langsung, maka tidak hairan mengapa dia juga terheret sama untuk menghidupkan darah seni yang mengalir dalam tubuhnya.

"Ibu saya pernah menghasilkan sebuah buku kanak-kanak. Bapa saya pula seorang pelukis dan semakin aktif selepas dia bersara daripada kerjayanya. Kini, dua orang adik saya masing-masing sedang menuntut dalam bidang seni termasuk perfileman," beritahu Iedil.

‘Saya tahu batas agama’

Posted:

'Saya tahu batas agama'

'Saya tahu batas agama'

Oleh KHAIRUL AMRI HASSAN
amri.hassan@kosmo.com.my


FATIN mengaku tidak memilihkawan, namun dia sedar diri. Dia mendakwa sudah mempunyai kekasih dan dia seorang lelaki.


JIKA sebelum ini Erin Malik pernah berdepan kontroversi tindik lidah dan foto-foto liar yang tersebar di Internet, kini giliran rakannya dalam filem Tentang Bulan, Fatin Afifah, 18, dilanda kontroversi.

Menerusi beberapa keping gambar di Internet yang menunjukkan keintiman dan keakraban pemilik nama sebenarFatin Nur Afifah Shamsudin bersama seorang pengkid, dia turut ditohmah mengamalkan kehidupan songsang bersama individu terbabit yang dikenali dengan nama Puteri Sarah atau panggilannya Putt.

Sehubungan itu juga, beberapa keping gambar dia mencacah tatu nama pasangan lesbiannya pada bahagian pinggang sebelah kanan turut tersebar selain terdapat sebuah blog yang menceritakan kisah cintanya bersama Putt.

Kosmo! sempat bersua dengan pelakon filem Tentang Bulan dan Brainscan itu ketika sesi fotografi di Studio Utusan baru-baru ini untuk bertanya perkara sebenar yang berlaku.

Kosmo!: Fatin Afifah, nama yang tiba-tiba melonjak naik selepas lama menyepi daripada dunia lakonan. Bagaimana anda melihat situasi yang sedang berlaku sekarang?

FATIN AFIFAH: Saya akui sudah lama tidak muncul di layar perak. Kali terakhir menerusi filem Brainscan. Mungkin ramai yang tidak mahu mengambil saya kerana saya kurang berbakat. Tapi, saya masih di bawah pengurusan Metrowealth Sdn. Bhd. (MIG). Mengenai situasi yang sedang berlaku, saya pun terkejut kerana tiba-tiba nama saya disebut-sebut tapi dengan kontroversi yang menyakitkan hati.

Adakah benar dakwaan yang mengatakan anda lesbian dan mempunyai tatu nama pasangan anda pada bahagian pinggang?

Tidak benar sama sekali! Saya sudah ada teman lelaki dan tidak pernah membuat tatu. Saya masih waras dan tahu pangkal agama saya. Mana mungkin saya melakukan perkara itu (sambil menunjukkan bahagian pinggang yang tidak bertatu).

Jadi, bagaimana anda menyifatkan kontroversi yang terjadi?

Ini semua fitnah dan mengaibkan saya! Saya tak tahu bagaimana perkara ini tiba-tiba tercetus. Mungkin ada yang iri hati dengan saya. Tapi saya tidak menuduh sesiapa, sama ada kenalan atau teman rapat saya yang buat onar.

Anda kenal individu yang didakwa pasangan lesbian anda?

Saya kenal dia dan dia kawan baik saya. Gambar-gambar yang tersebar di Internet diambil bersama kawan-kawan saya yang lain. Cuma yang membuat saya keliru, kenapa pula hanya gambar kami berdua yang disebarkan. Saya berkawan dengan semua orang dan tak pernah memilih kawan.


INILAH gambar yang mencetuskan kontroversi apabila Fatin didakwa menjalin cinta sejenis dengan pasangannya yang bernama Putt.


Bagaimana pula dengan blog yang dikatakan banyak menceritakan kisah percintaan anda?

Saya tidak ada blog dan langsung tidak tahu cara untuk menulis blog. Makin keliru apabila saya dituduh menulis blog untuk menceritakan kisah cinta saya. Ketika membaca blog itu saya sekadar ketawa. Sekarang blog itu sudah dibuang dan tiba-tiba pula saya yang dituduh terlibat membuang blog itu sebab malu.

Bagaimana kontroversi ini memberikan impak kepada keluarga dan rakan-rakan terdekat anda?

Mula-mula saya menangis sebab tak tahan. Tuduhan ini melampau! Saya banyak mengadu kepada rakan-rakan baik saya. Selebihnya, keluarga saya yang banyak memberi motivasi untuk saya. Saya harus terima ini sebahagian daripada dunia seorang selebriti.

Anda menyesal menjadi seorang artis yang pasti setiap tindakan akan diperhatikan?

Saya pernah menyesal suatu ketika dahulu. Terlintas pada fikiran untuk berpatah balik tapi sudah terlambat kerana saya sudah masuk ke dalam industri.

Adakala, kontroversi sebenarnya menaikkan nama seseorang artis. Apa komen anda?

Saya tidak suka kontroversi sebegini. Isu ini memalukan saya dan yang paling menyedihkan apabila ibu dan ayah saya dipersalahkan kerana perkara ini.

Apa tindakan anda selepas ini?

Saya sudah membuat laporan polis baru-baru ini atas dasar menyebar fitnah dan mengaibkan saya. Saya juga telah membuat laporan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia supaya membuang semua gosip yang mengaibkan saya itu. Saya nak buka buku baharu dan tak nak layan gosip murah sebegini. Saya akan fokus kepada dunia lakonan dan nyanyian.

Tanggungjawab besar Zizan

Posted:

Tanggungjawab besar Zizan

Tanggungjawab besar Zizan

Oleh FATEN SAPHILLA MOHAMED ISA
saphilla.isa@kosmo.com.my


ZIZAN meniup lilin pada kek ulang tahun kelahirannya yang ke-28 tahun pada satu majlis yang diadakan oleh para peminat pada 15 April lalu.


IA merupakan kali kedua peminat Zizan Raja Lawak menerusi Zizan Fan Club (ZFC) mengadakan sambutan hari lahir buat pengacara popular itu. Kali pertama ia diadakan pada tahun lalu.

Berlangsung penuh meriah pada Ahad lalu di Restoran Bora Ombak, Kuala Lumpur, seramai 100 peminat hadir berpakaian hitam dan putih mengikut tema yang diberi presiden Zizan Fan Club, Hanif Hamid bersempena dengan sambutan ulang tahun ke-28 Zizan.

"Ini kali kedua hari ulang tahun saya disambut oleh peminat. Saya cukup terharu kerana sentiasa mendapat sokongan yang tak pernah padam daripada mereka," ujar Zizan yang dilihat terkejut menerima lagu Selamat Hari Jadi tatkala melangkah masuk ke dalam restoran tersebut.

Dilahirkan pada 15 April 1984, Zizan cukup gembira kerana hari ulang tahunnya disambut bukan sahaja peminat di Malaysia tetapi juga peminat daripada Brunei dan Singapura.

"Saya tak sangka kerana ada satu keluarga dari Singapura sanggup turun untuk meraikan hari ulang tahun saya. Saya sangat menghargai peminat-peminat saya yang banyak memberi sokongan kepada saya selama ini. Tidak cukup dengan kemenangan saya sebagai pengacara popular yang tentunya disebabkan oleh undian peminat saya, kini mereka menyambut pula hari ulang tahun saya pada hari ini," ujarnya yang hadir memakai pakaian berwarna merah dan hitam kerana tidak mengetahui kelab peminatnya telah merancang untuk membuat majlis sambutan hari lahirnya pada hari itu.

Janji

Bercerita tentang kemenangannya merebut gelaran pengacara paling popular mengatasi Aznil Haji Nawawi pada satu anugerah yang berlangsung baru-baru ini, tutur Zizan, kemenangan tersebut menjadikan tanggungjawabnya sebagai pengacara mahupun selebriti tanah air semakin besar.


DIPILIH sebagai pengacara paling popular, Zizan memberitahu dia kini memikul tanggungjawab yang lebih besar kerana ingin membalas kepercayaan khayalak terhadap kemampuannya.


Akuinya, dia berjanji akan melakukan yang terbaik untuk peminat dan industri Malaysia.

Biarpun dihimpit dengan beberapa kontroversi seperti dialognya dalam filem Hantu Bonceng yang didakwa sebagai mempermainkan dua kalimah syahadah dan terbaharu menerusi lagu Bawaku Pergi ciptaan Malique yang liriknya didakwa mempunyai unsur untuk mendorong remaja lari dari rumah sehingga digam untuk diputarkan di corong radio milik RTM, bagi Zizan, dia tidak akan berputus asa untuk menyanyi. Ini kerana ujar Zizan, bidang nyanyian merupakan pilihan utama sebelum dia terlibat dalam industri seni.

"Sejujurnya, bidang nyanyian selalu menjadi keutamaan saya. Saya minat menyanyi dan disebabkan itu juga saya pernah pergi menghadiri uji bakat Akademi Fantasia tetapi tidak berjaya. Sekarang tengok pada permintaan kerana mengacara, berlakon dan melawak juga menjadi keutamaan saya untuk mencari rezeki," ujarnya.

Ditanya mengenai nasib lagu Bawaku Pergi, jelas Zizan, ia masih lagi dalam siasatan dan masih diputarkan di radio.

Tidak mahu menghampakan peminat yang ingin mendengarnya menyanyi lagu Bawaku Pergi, Zizan menyanyikan lagu tersebut bersama Kaka yang turut hadir pada sambutan hari ulang tahunnya.

Secara berseloroh, Zizan sempat memberitahu: "Selagi lagu ini masih dalam siasatan ia masih boleh dinyanyikan".

Ujarnya lagi, ia juga merupakan kali pertama dia menyanyikan lagu tersebut secara langsung kepada peminatnya.