Adsense

Rabu, 14 Mac 2012

Kosmo Online - Hiburan

Kosmo Online - Hiburan


Memartabatkan konsert artis tempatan

Posted:

Memartabatkan konsert artis tempatan

Memartabatkan konsert artis tempatan

BOLEH dilabelkan sebagai 'The Fantastic Four' berdasarkan kepada aura dan kehebatan masing-masing yang tersendiri dalam dunia nyanyian, buat pertama kalinya, empat bintang dan penghibur tersohor tanah air Zainal Abidin, Datuk Sheila Majid, Jamal Abdillah dan Amy Search bakal berkongsi pentas untuk konsert yang dijangka mampu menjadi suatu legenda.

Diberi judul sesuai dengan keempat-empat penghibur bertaraf legenda itu iaitu The Legendary Concert 2012 - Dulu, Kini Dan Selamanya, konsert jelajah itu bakal berlangsung di lima negeri iaitu Kota Kinabalu, Sabah pada Mei depan, Pulau Pinang (19 Mei), Johor Bharu (26 Mei), Kuching (23 Jun) dan berakhir di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur (30 Jun).

Bukan senang untuk menggabungkan keempat-empat legenda muzik ini kerana ia telah mengambil masa dua tahun lamanya untuk 'mengunci' jadual keempat-empat mereka.

Menurut pencetus idea konsert tersebut iaitu penyanyi Zainal Abidin sendiri, idea tersebut timbul kerana dia ingin menaikkan semula martabat konsert artis tempatan yang dilihat semakin kurang hebat dan diatasi oleh konsert artis antarabangsa.

"Apa yang dilihat, peminat sudah banyak diberi konsert percuma dengan menampilkan artis-artis dalam karnival yang sering dilakukan. Jadi konsert yang berbayar dilihat semakin perlahan. Namun, bagi konsert antarabangsa pula, mereka sanggup bayar mahal.

"Jadi dengan penggabungan sebegini merupakan cara untuk mengatasi perkara tersebut. Kumpulkan yang terbaik di atas satu pentas untuk memberikan impak yang memang terbaik.


PERANCANGAN projek The Legendary Concert 2012 - Dulu, Kini Dan Selamanya mengambil tempoh dua tahun untuk disempurnakan sebelum berjaya mengumpulkan Zainal Abidin, Jamal, Sheila dan Amy.


"Jika kami setiap seorang dapat membawakan 10,000 peminat, jika digabungkan semakin ramai peminat yang dapat dikumpulkan," beritahu Zainal yang berjaya melaksanakan idea ini dengan bantuan pengurusnya, Angelina Asmawi serta Kevin Kim dari Research Venture Lab sebagai rakan kongsi.

Tambahnya, konsert itu merupakan suatu perkongsian yang sangat baik kerana dengan membayar harga tiket yang sama, peminat dapat melihat empat orang artis legenda terbaik yang membawakan genre yang berbeza. Ia juga dilihat akan mengembalikan semula fenomena konsert berbayar dalam industri tempatan.

Amy mengujakan Sheila

"Celebration of Malaysian music!" ucap Datuk Sheila Majid tentang perasaannya yang bakal menjayakan The Legendary Concert 2012 - Dulu, Kini dan Selamanya.

Meluahkan pendapat, tutur Sheila, konsert ini bukan mengenai siapa lebih hebat atau baik, tapi ia mengenai persembahan muzik dalam genre masing-masing yang selama ini berjaya bertahan dalam industri seni tempatan.

"Kami tidak perlu risau dengan kelebihan yang ada pada diri masing-masing kerana kami mempunyai kelebihan masing-masing. Kami juga telah lama berada dalam industri dan sudah semestinya peminat telah mengetahui tentang keistimewaan kami berempat.

"Setiap daripada kami juga ada peminat yang tersendiri dan juga cara kami untuk menguasai pentas ketika membuat persembahan. Saya harap segalanya akan berjalan dengan lancar dan Insya-Allah, kami dan peminat semua akan dapat apa yang mereka mahukan," bicara penghibur bertubuh kecil molek ini.

Walaupun sudah 27 tahun berada dalam industri muzik tempatan, Sheila akui dia masih dalam proses pembelajaran. Bagi dirinya, dia begitu teruja apabila menonton persembahan Amy Search di atas pentas. Ini kerana setiap kali membuat persembahan, katanya, Amy mampu menyampaikan aura dan karisma melalui persembahannya kepada peminat yang hadir.

Mengimbau kenangan, cerita Sheila, mereka berempat tahu bagaimana susah senang berada dalam industri muzik dan setakat ini sangat senang bekerja bersama. Pengalaman berpuluh-puluh tahun dalam arena muzik telah mengajar mereka erti susah senang dan sangat bersyukur kerana kerja keras yang dilakukan selama ini telah membawa mereka ke aras terkini serta masih diterima peminat.

Keterujaan Jamal dan Amy

Siapa tidak kenal dengan Jamal Abdillah yang sememangnya masih digilai ramai wanita sehingga kini. Wanita yang mendengar nyanyiannya pasti terbuai dengan alunan suara merdu lelaki ini.


WALAUPUN sudah 27 tahun berada dalam dunia muzik, Sheila menegaskan dia kini masih dalam proses pembelajaran.


Disifatkan sebagai seorang yang agak pendiam oleh Amy, Zainal dan Sheila, Jamal meluahkan rasa terujanya untuk bergabung bersama tiga penghibur legenda tersebut di atas sebuah pentas pada sesi sidang akhbar yang diadakan di Hard Rock Café, Kuala Lumpur baru-baru ini.

"Tujuan saya menyertai konsert jelajah ini kerana pertamanya menyanyi merupakan perkara yang saya lakukan dan ia memang jiwa saya. Saya memang teruja untuk bersama Amy, Sheila dan Zainal.

"Selain itu, saya juga berbangga kerana dapat bersama mereka yang berkarisma dan punya kebolehan yang amat tinggi di konsert ini kelak. Apa yang saya boleh janjikan, selagi nyawa masih dikandung badan, jemputlah saya, saya tidak akan kecewakan sesiapa sahaja dan buat yang terbaik," ujar pelantun lagu Kekasih Awal dan Akhir itu.

Dalam pada itu menurut Amy Serach pula, konsert tersebut nanti bukan persembahan yang biasa dilakukan, namun ia merupakan sebuah konsert yang harus berbaloi dengan apa yang dibayar oleh peminat yang hadir.

"Konsert ini merupakan konsert terbesar yang diadakan kelak dan saya juga teruja untuk terlibat sama selain tidak sabar untuk melaluinya kelak bersama rakan Zainal, Sheila dan Jamal. Semestinya kesemua mereka mempunyai magis tersendiri dan ini merupakan masa yang sesuai untuk kami persembahkannya bersama-sama.

"Selain itu, sebagai artis senior dalam industri hiburan tempatan, kami juga perlu menaikkan semula persembahan pentas oleh artis tempatan dan kami mengambil ia sebagai satu tanggungjawab untuk merancakkan semula arena tersebut," ujarnya.

Sebarang maklumat lanjut mengenai The Legendary Concert 2012 - Dulu, Kini dan Selamanya khususnya mengenai pembelian tiket, boleh layari www.legendary.my.

Pesona David Sanborn

Posted:

Pesona David Sanborn

Pesona David Sanborn

Oleh RONI HIDAYAT RIDWAN
roni.ridwan@kosmo.com.my


FIGURA hebat ini sudah sebati jiwanya dengan muzik jazz.


SELAMA ini peminat muzik di negara ini lebih mengenali pemuzik Kenny G sebagai seorang pemain saksafon yang cukup terkenal di seluruh dunia. Namun, industri muzik antarabangsa turut memiliki seorang lagi peniup saksafon yang cukup hebat iaitu David Sanborn.

Lebih dikenali di kalangan penggemar muzik jazz, peniup saksafon yang dilahirkan di Florida, Amerika Syarikat itu turut berkemampuan untuk mengalunkan irama muzik pop, funk, R&B, blues dan rock menerusi instrumen muziknya.

Memulakan kerjaya sebagai peniup saksafon pada awal 60-an, David yang kini sudah berusia 66 tahun sudah menghasilkan 24 buah album dan dianggap sebagai salah seorang legenda dalam industri muzik.

Sepanjang lima dekad bergelar pemuzik, sudah enam Anugerah Grammy yang telah diraihnya serta sering bekerjasama dengan ramai penyanyi terkenal dunia seperti Rolling Stones, David Bowie dan Eric Clapton.

Pada 6 Mac lalu, peniup saksafon terkenal tersebut telah hadir ke Kuala Lumpur sempena dengan konsert David Sanborn Band Live In Kuala Lumpur yang berlangsung di Dewan Plenary Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).

Ketika ditemui pada satu sidang akhbar sebelum berlangsung konsert, David telah melahirkan rasa terujanya apabila sekali lagi berpeluang untuk membuat persembahan di Kuala Lumpur.

"Kali pertama saya datang ke Kuala Lumpur untuk membuat persembahan adalah pada tahun 1998 dan ketika itu Menara Berkembar Petronas baru sahaja siap dibina. Kini, selepas 14 tahun akhirnya saya telah kembali semula ke sini dan banyak perubahan yang sudah berlaku.

"Namun, apa yang membuatkan saya berasa teruja apabila masih ramai lagi yang meminati muzik jazz di Malaysia dan mendapat peluang membuat persembahan di negara ini akan digunakan sebaiknya untuk menghiburkan peminat yang datang," ujarnya.

Menurut David, biarpun dia mampu untuk memainkan pelbagai genre muzik, tetapi dia lebih gemar untuk memainkan muzik jazz memandangkan ia lebih sebati dengan minat dan jiwanya sehingga dikenali di kalangan penggemar muzik jazz.


BAND yang mengiringi persembahan David Sanborn menjadikan konsertnya dipenuhi dengan adunan dan alunan muzik yang indah menyentuh lubuk emosi.


Ujarnya, dia menyifatkan muzik jazz sebagai sebuah genre muzik yang cukup unik dan istimewa serta bukan hanya digemari di kalangan penggemar muzik di Amerika Syarikat, malah kini ia semakin berkembang dan diminati di seluruh dunia termasuk benua Asia.

"Sepanjang bergelar pemuzik saya telah bekerjasama dengan ramai penyanyi terkemuka dunia, tetapi saya juga sebenarnya berminat untuk bekerjasama dan berkolaborasi dengan penyanyi generasi sekarang," tuturnya yang telah membuat persembahan di Java Jazz Festival pada awal Mac lalu.

Sewaktu konsert yang berlangsung di Kuala Lumpur, ternyata David telah berjaya memukau lebih 2,000 peminatnya yang hadir menerusi persembahan yang berlangsung selama hampir dua jam.

Legenda

Dianjurkan oleh KL International Jazz dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), konsert berkenaan diadakan bersempena dengan pembukaan KL International Jazz Festival 2012 (KLIJF) yang akan berlangsung pada 18-20 Mei 2012 ini.

Pengerusi Eksekutifnya, Maizon Omar berkata, pihaknya mengambil keputusan untuk mengundang David Sanborn membuat persembahan di Malaysia kerana pemuzik berkenaan merupakan seorang legenda dalam industri muzik antarabangsa.

"Bagi kami David adalah seorang pemuzik yang sangat hebat dan seorang peniup saksafon yang sangat terkenal terutamanya di kalangan peminat muzik jazz serta mempunyai identiti yang tersendiri.

"Malah, saya sangat terharu apabila dia sudi menerima tawaran untuk membuat persembahan di Kuala Lumpur dan pasti kehadirannya ini menggembirakan para peminat yang ingin menyaksikan persembahannya secara langsung," ujarnya.

Menurutnya lagi, kehebatan pemain saksafon itu juga tidak boleh dipertikaikan berdasarkan kejayaan yang pernah diraih serta menjadi inspirasi kepada ramai penyanyi jazz terkenal.

Konsep baharu Karoot Komedia

Posted:

Konsep baharu Karoot Komedia

Konsep baharu Karoot Komedia

Oleh NOOR ASHREEN ISMAIL
ashreen.ismail@kosmo.com.my


KAROOT KOMEDIA turut menampilkan pelakon residen pada setiap episod yang sebahagian besarnya merupakan pelawak-pelawak yang sudah mencipta nama.


Sejajar dengan konsep Astro Warna (saluran 132) yang ingin sentiasa memberikan program lawak berkualiti kepada penonton mereka, sebuah rancangan komedi terbaharu, Karoot Komedia bakal disajikan kepada penonton yang inginkan komedi secara berterusan.

Karoot Komedia merupakan sebuah program komedi muzikal yang berdurasi selama 30 minit. Melalui gabungan muzik dikir barat serta lakonan sketsa pelakon komedi terkenal, Astro Warna menjanjikan program ini bakal menyerlahkan sisi lain serta konsep baharu rancangan komedi yang sedia ada di Astro Warna kini.

Karoot merupakan perkataan yang lahir daripada tukang karut yang bertindak sebagai pencerita semasa dikir barat. Istilah komedia pula lahir daripada perkataan Greek iaitu comedia iaitu gelaran kepada teater komedi di Greek.

"Antara keunikan yang bakal diselitkan menerusi Karoot Komedia adalah penampilan kumpulan dikir barat yang mengikut tema sketsa pada rakaman minggu tersebut.

"Selain itu, kami juga tampilkan pelawak-pelawak yang diminati ramai seperti Ebby Yus, Johan, Jep Sepahtu, Jihan Raja Lawak serta Yus Raja Lawak yang menjadi pelakon residen program ini setiap minggu.

"Konsep seperti ini dipilih kerana kami mahu berikan sesuatu yang berbeza kepada penonton. Idea ini juga tercetus setelah saya, Sabri Yunus dan Husin Saaban mencapai kata sepakat mahu menghasilkan sesuatu yang akan membuatkan penonton tidak berganjak dari depan kaca TV dari mula hingga ke akhir program," jelas Pengurus Saluran Astro Warna, Bob Azrai tentang konsep yang dipilih.


KELAINAN Karoot Komedia dijana menerusi penampilan kumpulan dikir barat yang akan berubah penampilan mengikut teman yang berbeza pada setiap minggu.


Apa yang menariknya, kumpulan dikir barat akan mengikut tema judul pada minggu tersebut. Sebagai contoh, jika tema rakaman minggu itu ialah tentang Mat Rempit, maka ahli dikir barat akan berpakaian seperti Mat Rempit iaitu dengan memakai topi keledar dan koreografi juga akan menjurus kepada aksi merempit.

Selain itu juga, para pelakon residen akan ditentukan watak mereka oleh penonton yang hadir dan mereka juga tidak diberi skrip serta dialog. Namun, sebelum program dirakam, mereka akan diberitahu secara ringkas tentang jalan cerita yang akan dipilih kelak.

"Jalan ceritanya pula dipilih mengikut isu semasa yang popular dan sememangnya kami selitkan teladan dan mesej yang boleh memberi pengajaran kepada penonton. Kami memang mahu wujudkan mesej melalui komedi supaya ia mudah diterap penonton.

"Alhamdulillah sepanjang rakaman, ia sangat mendapat sambutan daripada penonton yang hadir ke studio. Apa yang dilihat, mereka juga sangat enjoy ketika menonton Karoot Komedia," kata Bob lagi.

Apa yang boleh disimpulkan, penonton pasti tidak kering gusi menonton program baharu Karoot Komedia dengan sajian lawak spontan yang dilakonkan pelawak-pelawak residen yang dipilih.

Program itu bakal bersiaran bermula 22 Mac setiap hari Khamis pukul 10 malam.