Adsense

Ahad, 11 Mac 2012

Kosmo Online - Hiburan

Kosmo Online - Hiburan


Bunga padi untuk Bunohan

Posted:

Bunga padi untuk Bunohan

Bunga padi untuk Bunohan

BERPERANG dengan rasa, separuh bangga, separuh gemuruh dan separuh lagi bersungguh-sungguh, semuanya bergaul dan berpusar membentuk hanya satu perkataan yakni Bunohan. Itu judul sebuah filem nasional tetapi tidak keterlaluan disebut sebagai filem antarabangsa. Bunohan buah tangan anak bangsa sendiri yang meraih pencapaian di luar negara sebelum ia ditonton, jauh lagi diiktiraf di tanah sendiri.

Kepada tiga pembawa karakter, Zahiril Adzim, Tengku Azura dan Amerul Affendi, mereka barangkali bukan nama besar dalam ruang perfileman di Malaysia. Selepas Bunohan, panji-panji kemegahan bergelar anak wayang bagaimanapun layak berada di tangan mereka.

Masuk hari keempat menembusi 40 panggung serata negara, tiga serangkai itu masih dahagakan lebih banyak reaksi. Tiada istilah tamak mengejar angka kutipan box-office, hakikatnya mereka mahu berkongsi keghairahan. Darah, pengkhianatan, mitos bersalut realiti, setiakawan, dosa silam dan hubungan tiga bersaudara dalam Bunohan, menjadikan ia filem yang wajib ditonton.

Bertukar tajuk daripada Bunga Lalang menjadi Bunohan, suatu masa nanti, jika masin mulut kaki filem, bunga-bunga padi yang biasanya menjadi simbol kemenangan di mana-mana festival filem akan terhias pada nama-nama pelakon mahupun poster Bunohan sendiri.

Tebus dosa

Semangat Zahiril Adzim berkobar-kobar, menggunung dan membesar mengatasi saiz fizikalnya. Sementelah, dia dikenali bukan kerana tubuh tapi atas lakonan yang hidup di mata penonton.


ZAHIRIL ADZIM, si Bunga Lalang yang teguh persembahannya.


"Tidak pernah lagi perasaan saya seumpama ini, tak pernah lagi berlakon filem yang ditunggu-tunggu ramai seperti yang berlaku kepada Bunohan," lontarnya seperti melepas lelah yang tersimpan sekian tahun.

Dalam senyum bersalut lega, penggerak watak Adil yang dipuji cemerlang itu menambah: "Kalau difikir-fikirkan, kerja dalam Bunohan ini seumpama menebus dosa-dosa lakonan saya terdahulu. Saya kena berlakon untuk meneruskan kehidupan sebagai pelakon. Seperti kata sifu saya, Namron, seniman juga harus makan.

"Semasa berlakon sebelum ini, kalau apa yang saya lakonkan itu betul, maka betullah yang dirasakan pihak lain, tapi kalau saya rasakan lakonan saya itu salah, ia tetap dilihat betul. Bunohan tidak begitu, ia kembalikan nilai sebuah lakonan."

Tiga bulan masa yang diambil untuk kerja eksplorasi dan persembahan karakter, itu juga satu tindakan yang tidak pernah dibuatnya sepanjang bergelumang dengan lakonan, baik teater, drama mahupun filem.

"Dalam tempoh itu, saya tak rasa perlu ambil kerja lain, semua yang terlibat pun buat benda yang sama. Saya banyak kali terfikir, kenapa Dain (pengarah Bunohan) ambil saya, tapi dapat kerja dengan dia pun sudah rasa besar hati sangat-sangat.

Berlawan tomoi seperti ayam sabung di tengah gelanggang, jerit-pekik penonton yang mengharapkan salah seorang tumbang menghabiskan perlawanan, situasi sebegitu beri persepsi baharu kepada Zahiril.

"Penonton yang tengok orang berlawan tomoi macam tengok sabung ayam, mereka suka kalau ada peninju yang jatuh atau berdarah. Itu keseronokan. Saya yang berlakon ketika itu rasa macam betul-betul tengah berlawan. Penggambaran untuk babak perlawanan mengambil masa empat hari untuk selesai," ceritanya yang mendapat keyakinan, fizikal seseorang petinju tomoi tidak perlu besar bersayap untuk diyakini dalam filem.

Tengku Azura ke layar perak

Di pentas peragaan, kelibat Tengku Azura masih dipuja. Tahun ini, Azura mengalih perhatian ramai. Dia membikin cemburu banyak aktres handalan lain kerana menjadi satu-satunya bunga di kalangan kumbang Bunohan.

Kepada Azura, 37, tiada istilah terlewat untuk menjadi pelakon filem. Sedar persepsi itu yang mungkin ada di benak ramai, ibu kepada dua cahaya mata itu melenturkan penjelasan.

"Selama ini saya tak melihat diri saya sebagai seorang pelakon, saya peragawati. Saya pernah muncul sebagai pelakon undangan dalam Spa Q dan sebuah naskhah komedi tak lama dahulu tapi saya kenal Dain dengan hasil kerjanya dalam filem iklan komersial," katanya yang cukup terkenal dalam bidang diceburi sejak lebih 20 tahun lalu.

Berselut, digigit lintah dan direndam dalam paya sehingga ke paras dada, itu cabaran fizikal yang ditempuh Azura untuk menyerap roh Mek Yah, satu-satunya kaum Hawa yang dipersembahkan dalam Bunohan.

Mati beragan dan bertukar menjadi makhluk yang hanya wujud di alam mistik, Azura turut menyifatkan Mek Yah satu watak yang mengembalikan dirinya mengenal leluhur.

"Sepanjang cerita, saya hanya berkain batik dan berkaki ayam. Memanglah, saya lahir di Kuala Lumpur tetapi ibu saya berasal dari Terengganu. Ada satu babak dirakam di sebuah kampung, kalau tak silap saya Kampung Payang.


AMERUL AFFENDI berharap impak Bunohan menaikkan kariernya.


"Menurut ibu saya, itu kampung arwah nenek saya. Ia memang sesuatu yang sangat sentimental," katanya harus menukar lidah Terengganunya menjadi Mek Yah yang bertutur loghat Kelantan.

Mengharapkan impak serta penerimaan positif penonton di Malaysia terhadap filem sulungnya itu, Azura tidak malu mengakui, keterujaan paling membuak buat dirinya adalah melihat diri sendiri di layar perak.

"Ini pengalaman pertama saya, saya nak tengok diri saya dalam skrin besar dan saya gembira dengan hasilnya," ketawanya berderai mengutarakan lintasan kecil yang menyelinap dalam hati.

Amerul dalami kedaifan

Tidak popular di mata khalayak yang bukan pencinta tegar teater dan filem, wajah bersegi dan karakter menunduk Amerul Affendi bagaimanapun mulai digemari kanak-kanak menerusi siri Cuak di Astro Ceria. Selain Cuak yang boleh dijadikan rujukan semasa buatnya, Amerul antara pendokong filem Karaoke yang pernah ditayangkan di Festival Filem Cannes tahun 2009. Dia juga mencuri perhatian dengan watak dalam filem Tolong Awek Aku Pontianak.

"Saya tak banyak berlakon tapi kanak-kanak panggil saya abang Ucin, setidak-tidaknya ada juga yang nampak kehadiran saya. Itu kerja cari makan saya dalam industri," luahnya.

Sedikit terkebelakang berbanding Zahiril yang pernah bersama-sama dengannya dalam teater mahupun filem, dia muncul sebagai Muski yang menjadi teman seguru dan regu terbaik di sisi Adil atau Bunga Lalang lakonan Zahiril.

"Muski dan Adil anak didik Pak Wah (Namron). Dalam persahabatan, dia ada simpan perasaan untuk diberi perhatian sama macam Adil. Pak Wah tak beri peluang untuk dia naik gelanggang tapi tetap anggap Adil sebagai kawan baik.

"Saya boleh kata bahawa Muski seorang yang oportunis, dia cuma mahu ambil kesempatan," Amerul menyimpan sedikit suspen watak Muski untuk disaksikan sendiri penonton Bunohan.

Bertubuh kurus dan jauh dari pada budaya budak kampung yang serba daif, Amerul menyelami situasi Bunohan dengan cara tersendiri.

"Saya tak pernah kenal seni mempertahankan diri, jadi kena dapatkan roh selain latihan intensif untuk masuk gelanggang. Saya berjaya naikkan berat badan menjadi 63 kilogram, walaupun kurus tapi badan kena nampak pejal sesuai dengan watak budak kampung yang daif.

"Cuba tak mandi, pakai baju yang sama berhari-hari untuk dapatkan tubuh berminyak, berdaki dan tidak terurus. Mula-mula rasa geli tapi lama-lama jadi selesa. Setiap karakter sangat bertepatan dengan latar lokasi yang kami lalui," ujarnya yang banyak belajar ilmu seni tomoi daripada Wanji, salah seorang koreografer seni lawi ayam untuk Bunohan.


TENGKU AZURA satu-satunya bunga dalam Bunohan.


Enggan jadi perosak filem besar itu, dia menolak rasa kecil ketika berganding pelakon hebat lain seperti, Namron, Bront Palarae, Zahiril, Shoffi Jikan dan Faizal Hussein terutamanya. Jika Bunohan itu dikatakan menjual lelaki, Amerul ada persepsi berbeza.

"Lelaki memang nampak keras tetapi hatinya lembut. Pertentangan anak dengan ayah, adik beradik, kawan jadi lawan tapi di hujungnya tetap ada ikatan yang tak boleh diketepikan," katanya.

Berlapis bahasa sinema, landskap dan budaya, kata seorang pemerhati, tidak salah menonton Bunohan sebagai satu bahan hiburan. Tidak habis di panggung, ia menjadi isi buah fikiran sebagai bekal diskusi sebuah khazanah seni masa hadapan. Visual dan rasa yang ditebarkan Bunohan akan terbawa-bawa oleh khalayak sehingga ke luar panggung.

Fahrin, Adila selesa bersama

Posted:

Fahrin, Adila selesa bersama

Fahrin, Adila selesa bersama


FAHRIN dan Adila tidak kekok memperlihatkan keserasian mereka di khalayak umum.


LEBIH setahun berkawan baik, sampai ke hari ini, pelakon kacak Fahrin Ahmad, 33, masih enggan berkongsi cintanya dengan produser muda, Zetty Adila Ramly, 26.

Bertemu pasangan yang sedang bercinta ini dalam satu majlis memperkenalkan pelakon drama-drama terbaharu TV3 baru-baru ini, pintu hati Fahrin dan Adila sekali lagi diketuk. Jika pada awal dahulu mereka pantas membuat penafian, kali ini berlainan sedikit.

Mereka mengaku selesa dan tidak menafikan tarikan pada diri masing-masing menjadi antara faktor kelangsungan persahabatan yang semakin intim. Mereka sudah betah duduk berdua di hadapan media. Adila yang juga anak kepada pemilik rumah produksi Global Station, Zaiton Mohd. Jiwa itu menyifatkan Fahrin sebagai lelaki budiman.

Sensasi Bintang: Ramai yang melihat kalian keluar berdua berpegangan tangan, anda bercinta?

FAHRIN: (Senyum panjang) Buat masa sekarang, memang kami rapat. Ya, kami keluar bersama tapi kenyataan yang kami berpegangan tangan itu tidak benar. Mengenali seseorang (Adila) itu menjadi tanggungjawab saya, lagipun kami dalam industri yang sama tapi memang hubungan kami sangat rapat.

Jadi apa nama status hubungan itu?

Untuk mengesahkan status, itulah yang merumitkan saya. Saya harus menangani perkara itu dengan cermat. Komitmen kami berdua lebih kepada persahabatan dan rakan dan industri.

Umur makin meningkat, kerjaya sudah stabil, bila agaknya Fahrin nak mengakhiri zaman bujang?

Betul, umur saya sudah 33 tahun tapi mujurnya keluarga tidak mendesak. Saya tak boleh nak fikir pasal kahwin sebab komitmen saya dengan karier sangat besar. Lagipun, selama ini saya penat melayan gosip dan masalah dalam perhubungan. Sekarang saya tengah 'bayar hutang' untuk diri sendiri. Dalam setahun setengah ini, saya rasa sangat tenang.

Tenang dengan Adila?

Saya selesa dengan dia.

Berkawan dengan anak produser besar, tentu memberi ruang selesa, bukankah ia memberi zon selesa untuk anda mendapat tawaran lakonan?

Eh, taklah. Sekarang saya tengah buat penggambaran drama bersiri Seindah Sakura terbitan Temenggung Picture, bukan dengan Global. Pemilihan pelakon juga ditentukan oleh stesen televisyen.

Impak Fahrin tidak sehebat dahulu, sekarang kemunculan anda seperti mendatar sahaja, kenapa?

Populariti itu bonus tapi saya juga manusia yang mencari kualiti, bukan sahaja lakonan tapi juga untuk sisi hidup yang lain. Saya akui belum pernah dapat anugerah, tapi terbaik dalam industri ini bukan ditentukan oleh seorang pelakon sahaja, kena disokong oleh semua sudut.

Ada tawaran filem?

Saya sedang dalam perbincangan yang serius untuk terlibat dengan sebuah filem aksi. Kalau jadi itulah filem aksi pertama saya. Harap penonton boleh tengok saya beraksi, lawan bertumbuk dalam filem suatu hari nanti.

Intan belum sedia kahwin

Posted:

Intan belum sedia kahwin

Intan belum sedia kahwin


SUDAH bertahun bergelar kekasih kepada pelakon Kamal Adli, Intan tidak banyak berdepan cerita sensasi.


WAJAH manisnya silih berganti menghiasi panggung tempatan sejak mula tampil menerusi Tipah Tertipu The Movie. Tahun lalu sahaja pemilik nama penuh Intan Nurladyana Mohamad Yahaya itu menambah variasi watak dalam filem lakonannya apabila tampil sebagai seorang wanita misteri dalam Flat 3A serta wanita lasak dalam Bini-Biniku Gengster.

Terkini Intan sekali lagi kembali dengan sambungan filem pecah panggung Adnan Sempit. Membawakan watak sama, Nadia yang merupakan seorang anak orang kaya, Adnan Sempit 2 nyata membuatkan Intan tidak senang duduk.

"Saya akui sekuel ini membuatkan saya berdebar-debar menanti penerimaan penonton. Saya terfikir adakah sejarah Adnan Sempit boleh berulang lagi atau tidak. Tetapi apa yang pasti Adnan Sempit 2 menampilkan kelainan

"Adnan Sempit 2 masih ditayangkan. Janji saya, sambungan ini lebih istimewa," ujar Intan yang kini sibuk menjalani penggambaran filem Cinta Atas Tar.

SURI RUMAH

Sebenarnya saya sudah tahu mengenai selok-belok sebagai seorang suri rumah. Jadi tidak susah untuk saya belajar menjadi wanita berkeluarga dalam Adnan Sempit 2. Watak Nadia memerlukannya menjadi seorang suri rumah, itu syarat jika dia mahu berkahwin dengan Adnan. Nadia juga kelihatan lebih gedik kerana dia anak manja dan mempunyai buah hati.

THAILAND

Thailand begitu istimewa dalam hati saya kerana ibu saya berasal dari sana. Saya juga masih mempunyai ramai sanak saudara di Thailand. Setiap kali Hari Raya Aidilfitri kami pasti akan beraya di Bangkok selama seminggu biarpun tidak semeriah di sini.

KAHWIN

Buat masa ini saya belum merancang untuk berkahwin. Jadi kalau ada yang menunggu untuk melihat saya mendirikan rumahtangga dalam masa terdekat, ia tidak akan berlaku. Saya dengan Kamal Adli (kekasih) masing-masing sibuk dengan kerjaya sendiri. Apa yang pasti hubungan kami tiada apa-apa masalah.

TAWARAN LAKONAN

Jika orang lain boleh menerima banyak tawaran berlakon dalam satu-satu masa, berbeza pula dengan saya. Saya cuba mengehadkan untuk berkerja dalam satu filem atau drama dalam satu masa. Saya tidak suka jika jadual saya bertindih dan menyusahkan.

KARAKTER BERBEZA

Saya memang pemilih watak sebab enggan bawa watak yang sama. Sebelum menerima tawaran, saya akan meneliti skrip. Jika cerita menarik dan wataknya berbeza, saya pasti terima. Sebagai contoh watak saya dalam filem Flat 3A, Adnan Sempit 2 dan Bini-Biniku Gangster semuanya berbeza.