Adsense

Khamis, 1 Mac 2012

Kosmo Online - Hiburan

Kosmo Online - Hiburan


Percubaan solo Tam

Posted:

Percubaan solo Tam

Percubaan solo Tam

TAM akan muncul solo tanpa ahli kumpulan Spider? Itulah yang akan cuba ditampilkan Tam Spider atau nama sebenarnya Rustam Mustafa, 39, apabila bakal muncul solo tanpa ahli Spider yang lain pada tahun ini dengan membawakan imej dan genre muzik yang baharu.

Tam juga akan tampil dengan sisi yang cukup berbeza berbanding ketika bersama kumpulan Spider dahulu. Persoalan yang bermain di minda, kenapa Tam mengambil keputusan bergerak solo? Adakah kerana sambutan terhadap grup itu yang hampir tidak dipedulikan telah membuat Tam mengambil keputusan untuk meneruskan kelangsungan hidupnya sebagai seorang penyanyi secara solo.

Bertemu dengan lelaki yang tak makan dek usia itu di Studio Luncai Emas milik Datuk M. Nasir di Sungai Buloh, Selangor baru-baru ini, Tam mengakui, keputusan untuk bergerak solo bukan kerana perbalahan yang berlaku di antara dirinya dengan ahli-ahli Spider lain. Sebaliknya dia teringin untuk mencuba dan mengikut arus peredaran penyanyi berkumpulan yang bergerak solo seperti Awie Wings dan Amy Search.

"Saya sudah terlalu lama dengan Spider. Teringin juga nak ikut arus peredaran seperti artis berkumpulan yang bergerak solo.

"Saya ambil keputusan bergerak solo ini bukan mudah. Kena fikir semua aspek. Saya tahu banyak cabaran baharu yang perlu ditempuhi dan banyak juga benda baharu yang perlu saya terokai apabila muncul solo tanpa ahli kumpulan kelak," ujarnya yang sudah mengumpul lagu-lagu yang bakal dimuatkan dalam albumnya nanti.

Ditebak soalan sama ada dia akan membawa genre rock seperti yang dibawanya bersama Spider, Tam yang juga merupakan penggubah lagu itu masih tidak tahu genre muzik apa yang akan dipilihnya.

"Lagu sudah ada cuma kena pilih sahaja tetapi sehingga kini saya masih tidak tahu genre apa yang harus dipilih. Apa yang pasti, kemunculan solo saya nanti adalah berbeza sama sekali dengan diri saya semasa dengan Spider," ungkapnya yang gembira kerana rakan-rakan di dalam Spider memberi sokongan penuh kepadanya untuk muncul solo.

Malah celah Tony, Napi dan Ayie ketika Tam ditemu bual Kosmo!, mereka tidak sabar melihat Tam muncul solo nanti.

Buang perasaan malu

Tanpa berselindung, penyanyi Rela Ku Pujuk itu juga mengakui, terpaksa membuang perasaan malu ketika muncul solo nanti.

"Memang sangat berat bila fikirkan macam mana keadaan saya bergerak solo nanti. Tapi saya kena biasakan. Sebab, saya memang teringin untuk merasai bagaimana perasaan menyanyi solo tanpa ahli kumpulan," jelasnya yang juga merancang untuk berduet bersama penyanyi Aizat dan Alyah.

Tidak bermakna apabila Tam muncul solo kelak dia akan meninggalkan terus rakan-rakan Spidernya. Malah, sudah ada sesuatu yang dirancang Tam bersama rakan-rakannya.

Bagi Tam, keutamaannya masih dengan kumpulan Spider. Malah, dia juga mengakui, sedikit sebanyak kemunculan solonya nanti juga akan membantu menaikkan nama kumpulan Spider.

Bercerita tentang projeknya bersama kumpulan Spider, ungkap Tam, bulan April tahun lalu, Spider sudah muncul dengan album baharu berjudul KitaSatu.

Malah lagu single ketiga mereka, Tapi Bagaimana sedang diputarkan di corong-corong radio dan juga digunakan untuk runut bunyi drama bersiri Vanila Coklat.

Promosi kurang?

Mengenai kenapa kemunculan album KitaSatu tidak begitu diketahui peminat, promosi yang kurang menjadi alasan Tam dan rakan-rakannya.

"Sebagai artis kami memang mengharapkan promosi. Memang promosi untuk album baharu Spider KitaSatu kurang. Kami rasa mungkin pihak promosi anggap nama kumpulan Spider sudah kukuh jadi tidak perlu melakukan promosi yang gempak," tutur Tam.


PROFESIONAL. Keputusan Tam untuk muncul solo diterima oleh anggota kumpulan Spider yang lain, (belakang dari kiri) Aie, Tony dan Napi.


Namun, timbul pula persoalan sama ada promosi yang kurang terhadap Spider disebabkan kumpulan itu dipinggirkan dek kerana promosi lebih tertumpu ke arah kemunculan kumpulan-lumpulan baharu yang tumbuh bak cendawan selepas hujan sekarang ini?

Akui mereka, sudah menjadi adat industri muzik apabila muncul sesebuah kumpulan baharu maka ia lebih difokuskan. Tetapi mereka tidak ambil peduli, kerana bagi mereka nama Spider sudah begitu kukuh kepada peminat-peminat muzik malah sampai satu tahap ia akan naik semula.

Tidak hanya tertumpu kepada projek Spider semata-mata, Tam juga memberitahu, ahli-ahli kumpulan Spider banyak menghabiskan masa bekerja di studio untuk menghasilkan lagu-lagu baharu masing-masing.

Bagi salah seorang ahli Spider, Ayie yang juga merupakan adik kepada Along Exist, dia banyak menghasilkan lagu nasyid untuk pelajar-pelajar universiti yang menubuhkan kumpulan nasyid. Malah, Ayie juga merancang projek istimewa bersama Along untuk menghasilkan album.

"Selain memberi fokus dengan Spider, saya juga ada buat projek sendiri bersama Along. Kami menghasilkan lagu-lagu metal. Malah, kami yakin dapat tarik peminat kerana ia bukan muzik metal yang berat," katanya yang tetap meletakkan keutamaan kepada Spider.

Sementara itu, bagi Napi pula, dia banyak menghabiskan masa di studio untuk menyusun lagu. Salah satu lagu yang disusun Napi adalah lagu nyanyian Hafiz AF iaitu Awan Nano.

Malah, Napi juga banyak melakukan susunan lagu untuk artis-artis popular lain seperti Datuk DJ Dave dan Datuk Jeffrydin.

Bagi Tony pula, selain menghasilkan lagu buat kumpulan Spider, dia juga ada menghasilkan lagu sendiri dan buat penyanyi lain seperti kumpulan Massa. Menghasilkan lagu pelbagai genre, sehingga kini Tony sudah menghasilkan sebanyak 40 buah lagu.

Erykah Badu sedih

Posted:

Erykah Badu sedih

Erykah Badu sedih

Oleh RONI HIDAYAT RIDWAN


EMOSI. Erykah di samping Razman pada sidang akhbar di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, semalam.


NAMA Erykah Badu mungkin kurang dikenali dan agak asing di kalangan peminat muzik tempatan generasi baharu, tetapi dia merupakan seorang penyanyi dari Amerika Syarikat yang cukup terkenal dengan irama funk, hip-hop dan soul.

Bagaimanapun, kini namanya tiba-tiba menjadi sebutan gara-gara pembatalan konsertnya pada saat-saat akhir yang sepatutnya diadakan semalam di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur setelah melanggar garis panduan Agensi Penggambaran Filem dan Persembahan Artis Luar Negara (Puspal).

Semuanya berpunca daripada penyiaran gambar penyanyi tersebut menerusi akhbar The Star yang menunjukkan bahagian dadanya tertera perkataan Allah yang dikatakan tatu dan telah menyentuh sensitiviti umat Islam di negara ini.

Dalam satu sidang akhbar tergempar yang diadakan semalam, Erykah yang turut ditemani Pengarah Urusan Pineapple Concerts Sdn. Bhd., Razman Razali selaku penganjur menyatakan dia cukup terkejut apabila konsertnya itu telah dibatalkan.

Kosmo!: Boleh jelaskan tentang perkataan Allah yang tertera di dada Erykah itu?

ERYKAH: Ingin saya jelaskan bahawa gambar yang telah disiarkan di sebuah akhbar Inggeris itu merupakan gambar yang diambil dalam satu sesi fotografi untuk pembikinan salah sebuah album saya dan tidak ingat bila gambar itu diambil. Namun, ia bukanlah tatu. Ia sekadar lukisan badan yang dibuat untuk sesi fotografi berkenaan. Kini perkataan tersebut sudah tidak ada lagi di dada saya (sambil menunjukkan sedikit bahagian dadanya kepada media).

Apakah tujuan Erykah berbuat demikian?

Sebenarnya, sewaktu sesi fotografi itu saya mendapat inspirasi daripada filem arahan Alejandro Jodorowsky berjudul The Holy Mountain. Dalam filem tersebut, ia membawakan mesej cinta dan kasih sayang terhadap semua manusia tanpa mengira agama.

Adakah Erykah tahu gambar sebegitu menyentuh sensitiviti umat Islam di negara ini?

Sudah tentu saya tidak tahu kerana tidak menyangka fahaman agama di Amerika Syarikat berbeza dengan Malaysia. Kalau di negara asal saya, ukiran sebegitu hanya dilihat sebagai sebuah hasil seni yang tidak mendatangkan apa-apa implikasi.

Apakah perasaan Erykah setelah mendapat tahu konsert anda dibatalkan pada saat-saat akhir?

Saya sangat terkejut dan tidak mampu berkata apa-apa kerana tujuan saya datang ke sini semata-mata mahu menghiburkan para peminat memandangkan ini kali pertama saya berada di Malaysia. Malah, saya gembira kerana majoriti rakyat di negara ini sangat mesra dan pihak penganjur juga melayan saya dengan baik.

Namun, saya sedih kerana impian mahu membuat persembahan akhirnya berkubur. Kalau boleh saya tidak mahu menyalahkan mana-mana pihak, tetapi akhbar Inggeris yang menyiarkan gambar saya itu seharusnya lebih peka agar sebarang kesilapan dapat dielakkan.

Selaku penganjur pula, adakah Razman berusaha agar konsert berkenaan dapat diteruskan pada malam ini (semalam)?

RAZMAN: Sebaik sahaja saya dihubungi oleh pihak Puspal, saya terus mengadakan pertemuan dengan mereka. Pada mulanya saya ingatkan menerusi pertemuan itu saya dapat menjelaskan perkara yang sebenar dan berharap ia dapat diteruskan seperti biasa.

Bagaimanapun, saya telah dimaklumkan bahawa permit konsert berkenaan yang diluluskan oleh Puspal pada Disember 2011 telah ditarik balik dan kami terpaksa membatalkan konsert yang sepatutnya diadakan pada malam ini (semalam).

Berkenaan dengan gambar tersebut, adakah pihak penganjur yang membekalkannya kepada akhbar The Star?

Kami ada membekalkan gambar-gambar Erykah sebagai promosi kepada semua pihak media. Namun, kami langsung tidak membekalkan sebarang gambar yang telah menimbulkan kontroversi dan tidak pasti bagaimana pihak The Star mendapatkannya.

Adakah pihak penganjur akan mengambil tindakan undang-undang terhadap akhbar tersebut?

Perkara berkenaan masih lagi dibincangkan oleh pihak syarikat, tetapi memang sudah ada perancangan untuk kami berbuat demikian memandangkan banyak kerugian yang terpaksa ditanggung setelah konsert ini dibatalkan.

UEE pilih Hyun Bin

Posted:

UEE pilih Hyun Bin

UEE pilih Hyun Bin


UEE mendakwa dia merupakan anggota grup After School yang mempunyai pendapatan paling lumayan berbanding rakan-rakan yang lain.


DALAM salah satu episod program Guerilla Date, aktres yang juga penyanyi kumpulan wanita After School, UEE mendedahkan lelaki ideal yang menjadi pilihannya adalah aktor kacak Hyun Bin yang kini sedang menjalani latihan ketenteraan selama dua tahun.

UEE yang bersetuju untuk menghantar video sokongan buat Hyun Bin berkata: "Hello, saya UEE daripada kumpulan After School, abang askar sila bertahan menjalani latihan ketenteraan."

Kemudian pengacara menyoal UEE berkenaan gosip cintanya dengan aktor Ju Won yang berlakon bersamanya dalam drama Ojakgyo Brothers. Jawab UEE sambil ketawa: "Saya pernah terfikir untuk keluar bersamanya tetapi sebab saya penyanyi dan dikenali ramai, agak sukar untuk saya melaksanakan hasrat itu."

Dalam pada itu UEE turut mendedahkan, dia merupakan ahli kumpulan After Scool yang mempunyai pendapatan paling lumayan berbanding ahli yang lain: "Tidak kira walaupun saya berjaya dengan aktiviti solo, saya tidak pernah terfikir untuk meninggalkan After School. Saya akan bersama mereka sampai bila-bila."