CERITA mat rempit atau samseng jalanan ternyata masih mendapat tempat di hati penggemar filem tempatan. Ia terbukti dengan kutipan awal filem Adnan Sempit 2 yang sudah mencecah sebanyak RM4.5 juta, sejak seminggu (23 Februari lalu) menjengah pawagam seluruh tanah air.
Penerbit filem ini, David Teo turut mensasarkan kutipan bakal meningkat lebih 6 juta sehingga Ahad ini.
Ternyata, sekuel filem arahan Ismail Bob Hasim yang juga filem ke-56 MIG ini mendapat sambutan hangat daripada pengikutnya yang mengikuti cerita ini dari awal lagi.
Selain pengarahnya, orang paling gembira dan berasa lega dengan berita baik ini sudah pasti empat watak utama Adnan Sempit 2 iaitu Shaheizy Sam, Intan Ladyana, Yana Samsudin dan Along Cham. Mereka melihat kejayaan filem itu menyuntik semangat untuk menghasilkan lakonan yang lebih baik selepas ini.
Menyentuh wataknya sebagai Adnan dalam sekuel ini, kata Sam, ia masih sama cuma kali ini penonton akan nampak 'kesengalannya' apabila dia jadi lebih yakin untuk masuk ke dunia korporat.
"Cabaran watak Adnan dalam sekuel ini ialah apabila kita kena kekalkan keaslian Adnan Sempit dan menjaga 'tempo' komedi keseluruhan cerita itu. Ia tiada beza kerana Adnan tetap kekal macam Adnan juga.
"Babak paling susah bila Adnan berada di atas motor kerana saya rabun dan ia agak menakutkan. Selain itu, saya sangat selesa bekerja dengan Intan kerana sudah selalu bekerjasama dengannya sebelum ini. Dari segi keserasian pula, hanya penonton yang boleh nampak dalam filem ini," katanya.
Secara peribadi, Bintang Paling Popular Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH2010) ini tidak pernah berpuas hati dengan lakonannya sejak dulu.
"Saya harap penonton terhibur dan sentiasa beri sokongan pada filem orang kita," katanya.
Pada masa sama, Sam juga menimba banyak pengalaman berharga sepanjang bekerja dengan Bob yang juga pengarah filem Ngangkung itu.
"Bob seorang yang sangat menghiburkan dan saya senang bekerja dengannya kerana dia senang dibawa berbincang," katanya yang menyambung kontrak dengan MIG Pictures. Antara filem lain lakonannya ialah 8 Jam, Sam, Nongkrong dan Aku Ada Kau Ada.
Diminta komen mengenai isunya keluar dari panggung sebelum tayangan filem Adnan Sempit 2 selesai, kata Sam, perkara itu timbul kerana kenyataannya disalahertikan wakil media yang membuat liputan pada pratonton filem berkenaan.
"Sebenarnya, panggung untuk tayangan filem Adnan Sempit 2 dibuka sebanyak dua panggung. Satu panggung untuk artis dengan wakil media dan satu lagi panggung untuk artis bersama peminat.
"Saya keluar dari panggung lebih awal untuk lepak dengan peminat di panggung satu lagi. Bagi saya, jalan cerita ini OK saja dan tiada masalah. Dari segi penilaian filem ini pula ia sangat subjektif. Lain orang, lain pendapatnya. Apa yang penting, penilaian daripada penonton sendiri di pawagam," katanya.
Berbanding dulu, watak Intan sebagai Nadia kali ini lebih lembut dan tenang tanpa menonjolkan sisi keras seorang majikan.
"Dalam Adnan Sempit pertama, Nadia lebih ditonjolkan sebagai wanita korporat tapi dalam sekuel ini, dia banyak menghabiskan masa di luar dan di rumah untuk belajar jadi suri rumah.
"Nadia, anak manja yang degil dan tak dengar cakap ibu bapa. Saya juga berdepan dengan cabaran untuk mengubah diri daripada wanita korporat kepada suri rumah dalam masa 30 hari dengan belajar memasak, menjahit, mengurut dan sebagainya," katanya.
Intan juga tiada masalah untuk mendapat keserasian dengan Sam kerana sudah banyak kali bergandingan dengannya di dalam filem dan drama sebelum ini.
"Kalau nak diikutkan tiada babak yang susah dalam filem ini kerana ia komedi ringan dan saya tak perlu buat lagak ngeri. Apapun, saya memang letak harapan tinggi pada filem ini. Saya bersyukur kerana sejak tayangan filem ini 23 Februari lalu, saya dapat maklum balas yang bagus daripada peminat setiap hari.
Saya dapat tahu kutipan filem ini agak tinggi dan semoga ia terus meningkat," katanya.
Manakala Yana pula membawa watak Wawa yang memiliki keyakinan diri yang lebih tinggi dalam sekuel ini.
"Wawa sudah menjadi usahawan MLM yang berjaya dengan menjual jamu. Wawa juga peramah dan agak matang kali ini. Bezanya dulu, Wawa belum kenali dunia mat motor. Dalam sekuel ini, Wawa juga berdepan dengan masalah percintaannya dengan Bobby.
"Sebenarnya, cerita ini ada mesej yang kuat tapi komedinya sudah tenggelamkannya kerana ia terlalu kelakar. Apapun, cerita ini sudah capai piawaiannya kerana ia mendapat sambutan memberangsangkan daripada penonton," katanya.
Mengenai gandingannya dengan Along, akui Yana, dia juga senang untuk dapat keserasian dengan lelaki itu kerana mereka sudah banyak kali bekerjasama dalam filem sebelum ini.
"Along juga suka bergurau di lokasi dan memudahkan kami bekerjasama. Pada masa sama, ramai yang suka dan beri maklum balas positif dengan gandingan saya dengan Along, selepas pratonton filem ini.
"Saya bersyukur pada Tuhan kerana ramai peminat yang suka dengan karakter Wawa dalam sekuel ini. Tapi, ada juga kelemahan yang perlu diperbaiki lagi dan bukan semuanya bagus," katanya.
Sementara itu, Along yang bawa watak Bobby pula berkata, wataknya juga masih sama dengan filem pertama dulu.
"Cuma untuk sekuel ini, pengarah besarkan lagi plot Bobby dan buah hatinya, Wawa. Tiada cabaran ketara sebab kali ini kami mendapat kerjasama yang baik dari semua barisan pelakon dan pengarah.
"Ia gandingan yang menarik untuk sekuel ini kerana kami banyak berbincang sebelum beraksi dalam filem ini. Babak yang paling sukar apabila saya dan Sam melakukan sendiri aksi lagak ngeri dalam filem ini.
"Tidak ketinggalan, lebih banyak input komedi dan plot penceritaan yang agak mudah difahami penonton tak kira daripada kanak-kanak sampailah warga emas," katanya.
Bagaimanapun, Along tidak pernah puas dengan setiap lakonannya.
"Apa yang saya boleh katakan lakonan saya lebih matang dalam sekuel ini. Saya juga harap penonton akan lebih terhibur dan filem genre komedi ini bakal melakar sejarah tersendiri," katanya.