Adsense

Jumaat, 17 Februari 2012

Utusan Online - Hiburan

Utusan Online - Hiburan


Cinta roti Paun Wan Kamaruddin

Posted:

Cinta roti Paun Wan Kamaruddin

Cinta roti Paun Wan Kamaruddin

Oleh Aida Rizmariza Kamaruddin
Gambar Rashid Mahfof


PASANGAN ini mengimpikan untuk membuka sebuah kedai roti pada masa depan.


BUKAN mudah sebenarnya untuk meminta kebenaran pengacara terkenal ini memberikan laluan untuk S3 merakamkan saat-saat santai bersama isterinya di rumah. Bagi Wan Kamaruddin Wan Ibrahim, dia sebenarnya lebih suka sekiranya hanya hasil kerja sahaja diberikan perhatian dan bukan kisah peribadinya.

Bagaimanapun kepercayaan yang diberikan pihaknya ini tidak disia-siakan kami untuk melihat sendiri sisi sebenar seorang lelaki yang pernah terkenal dengan tag line 'Apa Kejadah' dalam satu program kemasyarakatan di ntv7, suatu ketika dahulu.

Menyingkap kembali rahsia percintaannya dengan isteri, Wan Nur Saleza Mazuin Datuk Wan Abd Muttalib, tidak banyak yang mahu didedahkan pengacara Khidmat Syariah di TV Alhijrah ini. Menurut Wan Kamaruddin kelebihan isterinya untuk membuat makanan kegemarannya iaitu makanan tradisional orang Terengganu atau lebih dikenali sebagai roti Paun membuka peluang buat dirinya untuk mengenali isterinya.

"Kami kenal melalui salah seorang ahli keluarga isteri, bagaimanapun hubungan kami mulai rapat apabila saya mengetahui bahawa isteri saya mempunyai kelebihan untuk membuat roti Paun.

"Sebenarnya bukan mudah untuk membuat roti ini memandangkan cara pembuatannya agak rumit, malah saya sendiri tidak pernah menemui roti Paun yang sedap sehinggalah merasai roti Paun buatan isteri saya. Dan sejak dari itu isteri sering menyiapkan hidangan ini untuk saya sehinggalah kami berkahwin," katanya kepada S3 di kediamannya baru-baru ini.

Melayari alam rumah tangga sejak Julai tahun lalu, ternyata keserasian pasangan ini dizahirkan melalui perkongsian idea yang bernas untuk meneruskan pembuatan roti ini bagi tujuan perniagaan pula. Malah perniagaan roti I-Win Buns n Suchs yang berusia lima bulan ini sudahpun mendapat tempat di hati peminat roti, terutamanya di kawasan Lembah Klang.

"Memandangkan isteri saya tidak bekerja dan hanya duduk di rumah sahaja, dia gemar membuat roti bagi mengisi masa lapangnya.

"Namun setelah memikirkan potensi perniagaan roti Paun ini, saya mula memberi sokongan kepada isteri agar dia mampu meneruskan hobi ini sebagai kerjaya terbarunya," katanya yang kini turut melabur kira-kira RM10,000 untuk melengkapkan peralatan memasak di rumahnya.

Ditanya mengenai peranannya di dalam membantu isteri untuk mengembangkan perniagaan roti Paun ini, menurut Wan Kamaruddin, kadangkala dia turut terlibat di dalam proses pembuatan roti ini memandangkan mereka kini hanya mempunyai seorang pembantu sahaja.

"Saya hanya akan membantu jika berada di rumah, ataupun ketika isteri saya menerima tempahan yang banyak.

"Antara tugas utama saya ialah menguli tepung ataupun memasukkan roti tersebut ke dalam pembakar," katanya sambil tersenyum.

Bercerita lanjut mengenai perniagaan milik isterinya, Wan Kamaruddin mengakui dia sebenarnya amat mengagumi kebolehan yang dimiliki isterinya itu kerana bukanlah sesuatu yang mudah untuk generasi kini mengekalkan hidangan tradisi seperti ini.

"Bagi mengekalkan keaslian rasa roti ini, isteri saya memilih untuk tidak menggunakan sebarang mesin.

"Malah bagi menjamin kesegaran serta kualiti yang dijanjikan juga, isteri saya hanya membuat roti ini mengikut jumlah tempahan sahaja," katanya memberitahu tempahan roti ini selalunya diterima melalui iwinbuns.blogspot.com

Bercerita mengenai kesibukan dirinya, menurut Wan Kamaruddin dia berharap dengan perniagaan yang dijalankan isterinya ini bakal menggantikan masa yang tidak mampu diluangkan buat isterinya.

"Saya jarang berada di rumah. Pada mulanya agak sukar untuk isteri saya menerima jadual hidup seorang wartawan seperti saya.

"Namun lama kelamaan isteri saya kini kian memahami tanggungjawab yang saya galas.

"Malah dengan perniagaan dari rumah ini, dia bukan sahaja akan kerap berada di rumah tetapi juga boleh berkerjaya pada waktu yang sama," katanya

Bagi menggalakkan isterinya meneruskan perniagaan ini, Wan Kamaruddin juga berkongsi perancangan untuk meluaskan perniagaan dari rumah ini.

"Jika perniagaan milik isteri saya ini mencapai tahap yang memuaskan, kami berdua tidak teragak-agak untuk membuka sebuah kedai pula.

"Bagaimanapun, buat masa ini isteri saya masih lagi selesa untuk meneruskan perniagaan ini dari rumah sahaja," katanya.

Jangan simpan peluh

Posted:

Jangan simpan peluh

Jangan simpan peluh

Oleh MUHAMMAD SYAFIQ ROOS ANNUAR
Gambar MOHD. NAIM AZIZ


Berjoging merupakan salah satu aktiviti kegemaran Faiz.


SENTIASA mahu diri dalam keadaan sihat, Adzriefaiz Adzlan, 27, atau lebih mesra disapa Faiz akan memastikan setiap aktiviti hariannya sentiasa terisi dengan aktiviti yang berfaedah.

Kesempatan S3 berjumpa dengan anak kelahiran Kampung Bagan Jermal, Pulau Pinang ini, ternyata membuktikan bahawa Faiz merupakan seorang yang sangat mementingkan kesihatan.

"Kalau ada masa terluang, saya akan berjoging. Apa yang penting, dapat mengeluarkan peluh. Kalau kita 'simpan' peluh ini... bahaya, sebab dalam peluh itu sendiri mengandungi toksin.

"Kalau toksin banyak terkumpul dalam badan, maka badan akan jadi tidak sihat," jelasnya sambil memanaskan badan ketika ditemui di Tasik Shah Alam, Selangor, baru baru ini.

Selain itu, menurut pengacara rancangan Makan Angin yang disiarkan di TV9 ini, dengan berjoging juga sebenarnya turut membantu mengekalkan stamina.

"Stamina ini sangat penting sebenarnya. Kalau sampai nak naik tangga pun dah termengah-mengah, memang kita kena lakukan sesuatu.

"Kecergasan ini untuk kesihatan diri juga. Cubalah berjoging dahulu dan rasai perbezaannya selepas itu. Insya-Allah kita akan rasa lebih segar dan bertenaga untuk melakukan aktiviti-aktiviti lain. Bila badan sihat, otak pun cergas," tambahnya lagi sambil mula berlari-lari kecil.

Bagi anak sulung daripada tiga beradik ini, joging sebenarnya merupakan salah satu aktiviti yang sangat menyihatkan dan boleh membantu mengurangkan risiko mendapat penyakit yang berbahaya.

"Tidak salah kiranya kita lakukan aktiviti sebegini atas dasar untuk menghindarkan diri daripada penyakit. Cuba bayangkan berapa banyak penyakit yang akan 'hinggap' pada kita sekiranya kita tidak aktif.

"Sekurang-kurangnya dengan adanya aktiviti sebegini, ia dapat membantu tubuh badan untuk sentiasa kekal aktif dan dapat jugalah menghalang penyakit tersebut mendekati kita," katanya lagi.

Rezeki lepas kahwin

Setelah melangsungkan perkahwinan bersama Suliza Ismail, 25, tanggal 9 Disember tahun lalu, ternyata rezeki Faiz semakin murah.

Mengakui tidak mempercayai kata-kata yang diluahkan oleh orang yang lebih berpengalaman daripadanya, kini dia bersetuju mengenai rezeki selepas kahwin.

"Pada mulanya, saya memang tak percaya tapi apabila satu demi satu peluang datang, saya percaya ini adalah pemberian daripada-Nya.

"Betul cakap orang-orang tua, rezeki lepas kahwin itu memang ada," katanya sambil tersenyum lebar.

Memulakan langkah kanan dalam bidang penyiaran melalui rancangan Makan Angin, siapa sangka, kini dia sibuk bersiap sedia untuk menyiapkan beberapa lagi lokasi rancangan tersebut untuk musim ketiga.

"Memang saya tidak sangka betul rancangan tersebut mendapat sambutan yang sangat menggalakkan.

"Untuk musim ketiga ini, kami sudah pergi ke Cameron Highlands dan beberapa lagi lokasi sebelum meneruskan penggambaran di luar negara.

"Insya-Allah, jika tiada perkara yang menghalang, Makan Angin mungkin akan terus disambung untuk musim keempat dan lokasinya sudah pastinya di luar negara," jelasnya lagi.

Malah, rezeki penyampai ini juga berlanjutan apabila dia turut menjadi pengacara Muzik-Muzik yang ditayangkan di TV3 bagi menggantikan tempat Faisal Ismail.

"Terasa berat sebenarnya bagi saya untuk menggantikan tempat Abang Faisal, sebab dia sememangnya mempunyai aura dia tersendiri.

"Tapi syukurlah dia tidak pernah berhenti memberi tunjuk ajar dan pertolongan kepada saya.

"Apa yang pasti, saya akan usahakan yang terbaik dalam setiap perkara yang dilakukan," jelasnya sebelum menutup bicara.