Kosmo Online - Hiburan |
Posted: Semangat perjuangan anak seniLATIHAN menembak Platun Seni Rejimen Askar Wataniah (RAW) bersama media yang berlangsung baru-baru ini di lapang sasar Kem Perdana Sungai Besi benar-benar memberi pengalaman baharu bukan sahaja kepada pihak media yang menyertainya tetapi juga barisan artis RAW yang turut hadir pada sesi latihan yang berlangsung selama empat jam itu. Perhatian lebih tertumpu kepada artis wanita terutamanya Datuk Siti Nurhaliza Tarudin yang berjaya mengutip 70 markah dengan 18 butir peluru mengenai sasaran untuk sesi latihan individu manakala ketika sesi latihan berkumpulan yang diadakan secara pertandingan kalah mati, kumpulan Siti akur dengan kehebatan kumpulan lain. Tidak hanya Siti, dua pelakon yang bernaung di bawah payung MIG Production, Yana Shamsudin dan Mon Ryanti turut turun padang memberi persaingan sengit meskipun Yana menghadapi masalah tulang belikat dan Mon Ryanti kini sibuk dengan promosi filem terkininya, Hantu Dalam Botol Kicap. Selain mereka, Platun Seni RAW yang ditubuhkan sejak pertengahan Jun 2011, turut disertai ramai artis popular lain termasuk Aizat Amdan, Intan Ladyana, Shaheizy Sam, Ana Raffali serta Ketua Pegawai Eksekutif Metrowealth International Group (MIG), David Teoh. Siti idam konsert besar Siti Nurhaliza pernah bercita-cita untuk menjadi seorang anggota polis, justeru tidak hairanlah terdapat sisi lasak dalam dirinya. Memegang senjata M16 buat pertama kali bukan satu masalah besar buatnya apatah lagi setiap bidikannya mengena pada sasaran. Keseronokkan jelas kelihatan di wajah mulusnya, meskipun matahari semakin berdiri tegak di atas kepala dan peluh mula memercik, Siti tetap setia di padang sasar dan melakukan sehingga tamat semua sesi latihan yang diaturkan buat Platun Seni RAW. "Ini kali pertama saya menembak menggunakan M16, sebelum ini pernah diajar cara penggunaannya di kem dan pernah pegang M16 untuk sesi fotografi tetapi benar-benar menembak ini pengalaman pertama saya. "Seronok menembak kerana bagi saya ia sangat mencabar dan memberi kepuasan setiap kali tembakan saya mengenai sasaran. Cabarannya adalah minda harus tenang dan cara pernafasan juga penting," ujarnya. Jelasnya lagi, sejak menyertai Platun Seni RAW, perubahan paling ketara yang dialaminya adalah, Siti kini menjadi seorang yang lebih berani dan bersemangat. "Sebenarnya, bila kita sarung sahaja pakaian uniform askar, automatik semangat dan aura berjuang itu timbul, jadi perkara yang susah pun menjadi senang buat saya. Sekarang, saya juga menjadi lebih berani dalam melakukan apa sahaja perkara," katanya yang sering berkongsi informasi latihan bersama anak Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Nurul Hidayah. Sungguhpun sibuk dengan jadual seni, Siti sebolehnya mahu menghabiskan sesi latihan keseluruhan yang berdurasi sebanyak 240 jam secepat yang mungkin. "Saya sibuk, jadi bila ada masa terluang sahaja saya akan menghadiri sesi latihan. Seperti hari ini, pada sebelah petang saya ada penggambaran untuk produk kecantikan, sesi latihan pada sebelah pagi jadi sempat jalani latihan. Memang sangat seronok bila saya sertai RAW. Bermacam-macam perkara yang telah saya pelajari, bagi saya RAW bagus untuk wanita kerana kita diajar bagaimana untuk pertahankan diri. "Kepada artis atau orang di luar saya yang berkira-kira untuk menyertai RAW, nasihat saya jika sudah ada niat sertailah RAW. Saya pun tidak boleh paksa orang untuk sertai RAW kerana ia disertai secara sukarela," tuturnya yang bakal melancarkan produk baharu Simply Siti iaitu Dermamagic tidak lama lagi. SITI NURHALIZA dan Yana bergambar kenangan dengan tiga orang anggota tentera yang terlibat sama dalam latihan RAW. Selain sibuk dengan latihan RAW dan perniagaan produk kecantikan, Siti mengidam untuk mengadakan sebuah konsert besar pada tahun ini. Lokasi serta tarikh masih belum dapat disahkan, tetapi perancangan konsert sudah ada dalam diari tahunannya. "Tahun ini saya memang nak buat satu konsert besar, mungkin di jalanan seperti yang dilakukan oleh Allahyarham Datuk Sudirman Arshad, mungkin di Istana Budaya dan mungkin juga di stadium. Saya tidak tahu lagi, semuanya bergantung kepada penaja yang sudi menaja konsert saya nanti," katanya yang kali terakhir mengadakan konsert di Singapura baru-baru ini. Rezeki murah Yana Pengarah dan aktres yang semakin popular, Yana Shamsudin juga tidak kekok menjalani latihan yang disediakan buat Platun Seni RAW kerana bapanya adalah pesara tentera. Jelasnya, dia sudah terbiasa mendengar arahan dan disiplin yang ketat kerana bapanya juga menerapkan disiplin ketenteraan ketika di rumah. "Ayah saya dulu berada di pasukan meriam, biasalah kalau askar di rumah ayah garang. Jadi, saya sudah terbiasa dengan cara didikannya, jadi bila saya masuk RAW saya tidak kekok," katanya yang melakukan latihan menembak untuk kali kedua. Bagaimanapun keputusannya untuk menyertai RAW ditentang keras oleh bapanya sebelum ini, namun selepas diberitahu Platun Seni RAW mempunyai kelonggaran kerana kesibukan kerja artis, bapanya mula memberi sokongan. "Sebelum ini ayah tidak sokong kerana dia tahu latihan ketenteraan sangat susah dan dia takut saya tidak tahan ditambah pula dengan jadual harian saya yang sibuk. Selepas saya beritahu yang Platun Seni istimewa, dia terus memberi lampu hijau. "Malah, kalau saya menjalani latihan ayah yang akan tolong gosokkan baju dan kilat kasut. Sebenarnya bila saya sertai RAW, saya berbangga kerana sebagai anak pesara tentera ini saya meneruskan legasinya walaupun tidak secara sepenuh masa sekurang-kurangnya saya memperoleh pengalaman seperti mana ayah saya alami," jawabnya yang telah menjalani latihan sebanyak 60 jam. Beralih kepada kerjaya seni, nampaknya tahun ini peminat filem tempatan akan menonton wajah Yana di pawagam sepanjang tahun kerana untuk tahun ini sahaja lima buah filemnya akan ditayangkan. Lima buah filem itu adalah Adnan Sempit 2, Tiga Temu Janji, Aku Ada Kau Ada, 8 Jam dan Minyak Dagu. Yana yang baru sahaja selesai menjalani penggambaran filem Strawbery Cinta bergandingan dengan bekas kekasihnya, pengarah dan aktor Pierre Andre untuk filem tersebut dan juga filem Tiga Temu Janji. "Mula-mula bergandingan untuk filem Tiga Temu Janji saya gementar juga tetapi kami profesional dan bila lakukan penggambaran filem Strawbery Cinta semuanya menjadi mudah. Kami okey sahaja dan berkawan macam biasa. Memori lama itu perlu ada untuk menghayati watak dalam filem tetapi sebaik penggambaran selesai kami buat hal masing-masing," ujarnya yang tidak kisah andai peminat lebih menerimanya sebagai pelakon daripada seorang pengarah. Mon Ryanti kalis kontroversi Buat pendatang baharu dunia seni Mon Ryanti Sahudina Lee, 24, terpancar gementar di wajahnya apabila diminta bergandingan dengan Datuk Siti Nurhaliza buat pertama kalinya. Katanya dia amat kagum dengan penyanyi nombor satu negara itu. Kali kedua berada di lapang sasar dan menjalani latihan tembakan, Mon Ryanti amat menggemari latihan tembakan kerana padanya bukan semua orang memperoleh peluang sepertinya. "Bukan semua orang dapat pegang senjata M16 dan membuat latihan menembak, saya sangat seronok dan dalam masa yang sama latihan ini membentuk diri saya menjadi seorang yang lebih fokus." ujarnya. Walaupun masih hijau dalam dunia lakonan, Mon Ryanti yang kini hangat dalam drama Santau Merasuk telah berlakon sebanyak empat buah filem iaitu Keramat, Assalamualaikum Cinta dan filemnya yang sedang ditayangkan di pawagam Hantu Dalam Botol Kicap.
Malah, nama Mon Ryanti juga sempat terkena tempias kontroversi dek aksi ghairahnya dalam filem Keramat lakonannya bersama Zul Suphian. "Saya bersyukur kerana mempunyai rezeki dalam bidang lakonan. Sebenarnya banyak lagi perkara yang saya harus pelajari, sempat terkena kritikan dan kontroversi saya bersyukur kerana orang ramai menyedari kehadiran saya dalam industri seni," katanya. Aktres yang juga bekas model ini merupakan graduan jurusan perakaunan dan kewangan dari Kolej Segi memberitahu, sungguhpun dia menuntut ilmu yang lari daripada bidang seni, namun daripada dahulu sehingga kini, dia sedar, lakonan adalah perkara yang ingin dilakukannya. "Habis sahaja belajar saya fokus kepada lakonan dan Alhamdulillah rezeki saya ada dalam bidang ini. Bukan tidak mahu bekerja dalam bidang yang saya pelajari tetapi kerana minat terhadap bidang lakonan saya tinggalkan dahulu apa yang saya belajar dan fokus dengan apa yang saya lakukan sekarang iaitu lakonan," jawabnya yang terjun ke dunia lakonan dengan hanya gambar kakinya sahaja terpampang di poster filem V.3. Anak kedua daripada tiga adik-beradik itu juga mempunyai impian untuk menjalankan perniagaan sendiri pada masa depan. "Saya bercita-cita untuk mempunyai salon dan restoran sendiri. Mungkin pada masa itu saya akan gunakan kembali apa yang saya belajar di kolej," bicaranya yang berasal dari Johor Bahru. | ||
Posted: Anak-anak bangga dengan ApekOleh HARYATI KARIM SAIFUL APEK dirakam semasa keluar dari Mahkamah Majistret Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini. DUA tahun lalu apabila pelawak terkenal Saiful Apek ditahan polis kerana disyaki mengambil dadah jenis ganja bersama tiga lelaki lain dan seorang wanita di sebuah kondominium di Bandar Sunway, ramai peminatnya terkejut. Begitu juga dengan dirinya yang tidak percaya dia ditahan, digari dan direman di dalam lokap selama empat hari. Katanya, dia sedar semuanya yang berlaku bukanlah daripada satu babak filem lakonannya sebaliknya kejadian itu satu realiti yang berada di muka depan akhbar tempatan. Mahu tidak mahu, dia harus mengharungi segala prosedur sebagai tahanan. Hari pertama ditahan dilokap dua tahun lalu, ribut dalam hatinya, tiada siapa yang tahu. Resah dan gelisah, bimbang dengan pandangan masyarakat terhadapnya. Kelmarin, kes dadah membabitkan Apek telah mula dibicarakan di mahkamah. Apek juga telah disahkan positif dadah jenis ganja dan dia didakwa mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda RM5,000 jika sabit kesalahan. Di corong telefon ketika Kosmo! menghubunginya, Apek tetap optimis dengan apa yang berlaku dan bersedia apa sahaja kemungkinan keputusan mahkamah kelak. Kosmo!: Sejak mula ditahan dan sehingga kini apabila kes dadah Apek mula dibicarakan di mahkamah adakah ia menjejaskan rutin harian Apek? APEK: Setakat ini sejak saya mula ditahan sehingga hari ini ia tidak menjejaskan apa-apa sebab saya masih dijemput oleh pihak stesen televisyen dan masih muncul dalam program siaran langsung. Tahun ini saya akan muncul dengan empat buah filem iaitu Rock 2, Hantu Air, Pak-Pong dan Sofazr ... Jiwa Kacau. Peminat pun banyak memberi sokongan kepada saya. Apek tertekan atau tidak sepanjang menghadapi kes ini? Tipulah kalau saya kata saya tak tertekan, mula-mula ditahan ya, memang saya tertekan. Tetapi lama-kelamaan saya boleh menerima realiti dan menghadapinya dengan tenang. Saya masih tidak bersalah sebab itu saya dibicarakan. Proses perbicaraan berjalan berdasarkan bukti yang ada dan saya hormati prosedur dan jalani tanggungjawab saya walaupun terpaksa turun naik mahkamah. Paling penting adalah keluarga dan anak-anak saya percaya kepada saya. Bersedia dengan segala kemungkinan keputusan mahkamah? Sebagai seorang warga Malaysia daripada pengajaran kes-kes sebelum ini, mahu atau tidak mahu keadilan itu telus dan saya percaya dengan undang-undang di negara kita. Saya yakin, saya akan diadili sebaik mungkin. Kecuali berlaku satu keputusan yang memerlukan saya merayu sehingga dapat buktikan yang saya tidak bersalah. Boleh kongsi pengalaman Apek ketika berada di lokap? Ketika bermalam di lokap selama empat hari saya tidak apa nak rasa rasa. Saya sudah biasa lakukan penggambaran di penjara, sedikit sebanyak ia tidak jejaskan fizikal saya tetapi minda saya tahu apa yang berlaku adalah realiti. Banyak tanda tanya di fikiran. Bayangkan saya berada di dalam ruang yang sempit dan sunyi, fizikal saya kalah dengan dinding dan jeriji besi, sehari pun memang menyeksakan. Saya tabik kepada mereka yang boleh tahan berada dalam keadaan seperti itu (penjara) untuk tempoh yang lama. Pengajaran yang Apek peroleh daripada apa yang berlaku? Saya bermula daripada bawah dan apabila berjaya mencipta nama saya berada di sini (lokap). Kejayaan tidak menjamin supaya saya tidak melalui proses ini (ditahan). Ada hikmah sebalik apa yang berlaku kerana kini saya lebih menghargai kebebasan. Saya rasa nikmat dapat tidur di tilam empuk dan minum kopi setiap pagi, saya lebih menghargai kehidupan saya. Adakah kes ini memberi kesan kepada keluarga dan anak-anak Apek? Anak-anak saya berbangga saya adalah bapa mereka meskipun selepas apa yang berlaku. Alhamdulillah saya masih mendapat sokongan penuh daripada keluarga. Menjadi seorang bapa, kes ini benar-benar mematang saya. Nasihat Apek kepada anak muda di luar sana mengenai dadah. Sepanjang pengalaman saya, 70 peratus yang ditahan tidak bersalah dan teraniaya, bukan saya menuduh pihak polis tidak cekap, polis hanya menjalankan tugas terserah kepada kita untuk menggelakkan diri daripada perkara-perkara negatif. Buat anak muda dan remaja jangan sewenang-wenangnya berada di mana-mana tanpa pengetahuan ibu bapa atau mereka yang terdekat, tidak mustahil kita boleh berada di tempat yang salah dan pada masa yang salah. | ||
Posted: Tayang badan ikut skripDAVID TEO (tiga dari kiri) bersama barisan karyawan filem Hantu Dalam Botol Kicap semasa majlis tayangan perdana filem seram arahan Azahari Zain di TGV Cinemas, Petaling Jaya baru-baru ini. HANTU Dalam Botol Kicap, filem yang menemukan Mikail Andre Nazrul Andre, 20, dan Md. Zalif Naquiyudin Wan Abu Bakar Sidek atau nama komersialnya, Zalif Sidek, 27, dan sudah memulakan tayangannya di pawagam seluruh negara minggu lalu. Filem komedi seram arahan sulung Azahari Zain itu juga buat pertama kalinya memaparkan aksi tayang badan pelakon baharu, Mikail Andre dan Zalif Sidek dalam beberapa adegan. Antaranya ketika babak mandi-manda di sebatang tali air dan sewaktu berlawan dengan hantu dengan melumurkan badan mereka dengan kicap di penghujung jalan cerita. Mungkin bagi sesetengah penonton menganggap aksi itu tidak keterlaluan memandangkan perihal babak itu mustahil untuk dilakonkan berbaju. Namun, persoalannya tidakkah mereka sebagai pendatang baharu perlu menjaga sedikit sebanyak norma masyarakat kita yang adakalanya kurang selesa melihat pelakon tayang badan ketika menonton. Menjawab isu itu, ujar Zalif yang memulakan karier lakonan bersama Metrowealth Productions Sdn. Bhd. (MIG) milik David Teo dengan filem Bini Biniku Gangster tahun lalu, aksi tayang badan dilakukan mengikut kehendak pengarah dan penghayatan watak selaku remaja berusia 14 tahun dalam filem itu. "Jujur saya katakan saya seorang yang pemalu apatah lagi untuk beraksi buka-buka baju. Tapi ternyata itu kehendak pengarah yang mahukan saya lebih mendalami karakter sebagai seorang remaja berusia 14 tahun. "Malah, kelakar sekiranya memakai baju untuk mandi di tali air, itu perwatakan saya dan saya selesa. Apabila kita masuk ke alam usia seperti watak Epul, itu perkara biasa. "Saya tidak merasakan diri dieksploitasi, buka baju saya sekadar mengikut kehendak watak," jawabnya yang ditemui sewaktu sidang akhbar dan tayangan perdana filem Hantu Dalam Botol Kicap di Sunway Pyramid, Subang, Selangor, baru-baru ini. Zalif yang sebelum ini pernah muncul juga dalam filem Papa I Love You melakukan rujukan watak untuk filem Hantu Dalam Botol Kicap menerusi filem Home Alone dan katanya amat berpuas hati dengan lakonannya kali ini. "Ini filem ketiga saya, banyak yang sudah dipelajari daripada filem lakonan saya sebelum ini. Jelas sekali saya dapat rasa perbezaan berbanding filem terdahulu, hubungan kami sesama pelakon juga amat rapat," ujarnya yang bakal muncul dengan filem Tujuh Petala Cinta dan baru selesai menjalani penggambaran filem Aji Boy. Mikail tumpang populariti Salah seorang pelakon utama filem Hantu Dalam Botol Kicap, Mikail Andre, melihat perkara tayang badan bukan isu utama untuk dibangkitkan. Malah katanya, babak tayang badan dalam filem ketiganya selepas Al-Hijab dan Tokak itu menghidangkan lebih banyak cabaran selaku pelakon yang masih muda dan diberi kepercayaan menggalas peranan utama. "Cabaran sebagai pendatang baharu memang sukar. Banyak yang saya perlu belajar dan perlu diberikan tunjuk ajar sama ada daripada pengarah mahupun pelakon senior. "Mengenai isu tayang badan saya tak selesa sangat. Saya terpaksa buat disebabkan kerjaya dan memandangkan itu kehendak skrip, maka saya turutkan. Takut nanti orang cakap saya diva. "Tapi ada batasan untuk setiap aksi yang saya lakonkan, ia bergantung pada pengarah untuk mendidik pelakon berdasarkan aksi dan karakter yang dibawa"," katanya yang turut menjadi tenaga produksi belakang tabir dalam filem Al-Hijab arahan Pierre Andre. Mikail yang baru usai penggambaran filem aksi Satu Lawan Satu mengakui sedikit sebanyak menumpang populariti abang dan ibunya, Khatijah Tan yang kedua-duanya melakar nama menerusi bidang lakonan. "Melihat abang saya menceburi bidang lakonan kadangkala buat saya cemburu. Selepas tamat SPM (Sijil Pelajaran Malaysia), saya mula perlahan-lahan dengan kerja belakang tabir. "Kemudian baru cuba berlakon sebagai watak sampingan sehinggalah filem Hantu Dalam Botol Kicap memberikan peluang memegang watak utama. "Apabila berlakon sendiri, saya rasa puas! Banyak inspirasi saya datangnya daripada abang saya dan saya meletakkan dia sebagai guidance sebab dia yang membimbing saya masuk ke dalam industri. Sedikit sebanyak ada juga menumpang nama mereka untuk peminat mengenali saya," singkapnya. Ujar Mikail lagi, Pierre dan Khatijah juga banyak menjadi pembimbing untuknya berkarier. "Di rumah ibu yang ajar teknik berlakon dan menjiwai watak secara tidak langsung. Selain itu, abang yang ajar saya kaedah untuk bergaul dengan orang ramai dan menjadi pelakon yang serba boleh. Mereka ibarat coach tak berbayar!" cerita Mikail lebih lanjut. Mikail dalam pada itu terlibat dalam filem Chantek lakonan Pierre dan Nurul Ekasari yang bakal ditayangkan tidak lama lagi selain membintangi filem Taikun lakonan Along dan Angah Raja Lawak. Mon Ryanti merempit Mon Ryanti, salah seorang pelakon baharu yang sedang mendaki tangga populariti turut terlibat dalam filem keduanya selepas Keramat. Mendukung watak utama sebagai seorang kakak bernama Rina, gadis berumur 18 tahun yang sosial, ujar Mon, filem Hantu Dalam Botol Kicap pertama kali mengajarnya cara memproses ayam selepas disembelih. "Filem ini mengajar saya cara memproses ayam yang disembelih, sebelum ini saya tidak pernah tahu kaedah tersebut," tuturnya diiringi ketawa mengekeh. Malah, ujar Mon lagi dalam filem ini dia dibenarkan menunggang motor dengan lasak di kawasan kampung. Anak kedua daripada tiga beradik ini bakal muncul bersama filem Nongkrong, Hacks (Hanya Aku Cinta Kau Seorang) dan Assalamualaikum Cinta. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Hiburan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |