Adsense

Khamis, 9 Februari 2012

Harian Metro: Rap

Harian Metro: Rap


Tak mahu jual wajah

Posted: 08 Feb 2012 07:25 AM PST

WAJAH peranakan, tubuh lampai bak peragawati, aura Norhafiezzah A. Kadir (Fyza), 27, dan Nurshaieedah A Kadir (Ieedah), 25, memang sukar disangkal.

Barang siapa saja yang memandang pasti mahu merenung lebih dalam, mendekati lalu membongkar kisah menarik dua beradik yang sekali panjang persis pasangan kembar.

Begitulah tercetusnya, fotografi ini apabila penulis yang menghadiri Majlis Kesyukuran dan Gong Xi Fa Cai MIG bertempat di Grand Ballroom Lagoon 2, Sunway Resort Hotel, Bandar Sunway pada 19 Januari lalu, tertarik untuk mengaturkan temu bual eksklusif dengan mereka.

Berasal dari Pulau Mutiara, Pulau Pinang, kedua-dua gadis jelita kacukan Melayu dan Malbari itu adalah bakat naungan MIG Talent syarikat milik produser terkenal, David Teo sekali gus bakal menjadi bintang baru yang bakal menggegarkan persada lakonan.


Bicara si kakak, tidak pernah terlintas langsung di fikirannya untuk menjadi pelakon namun pertemuan dengan penulis skrip MIG Productions Sdn Bhd, Shariman Wahap, membuka peluang itu.


"Saya menemani seorang rakan bertemu dengan abang Shariman. Kawan saya itu Man Rahman. Mulanya hendak jadi penyanyi entah bagaimana ditawarkan pula menjadi pelakon. Sekarang ini drama lakonan Man iaitu Klik sedang disiarkan di saluran Astro Ceria.

"Abang Shariman meyakinkan saya untuk mencuba dan terfikir juga kenapa tidak? Tetapi saya memaklumkan kepadanya yang saya tidak pandai berlakon dan dia kata tidak mengapa, belajar daripada pengalaman. Ternyata ia memang pengalaman baru buat saya," katanya.

Katanya lagi, pada Februari 2011, dia menandatangani perjanjian di bawah pengurusan MIG Talent selama lima tahun dan pemergiannya itu tidak sendirian tetapi bersama adiknya, Ieedah, juga diserap sebagai bintang pengurusan yang sama. Ieedah turut mengenali Shariman pada hari pertama pertemuan mereka.

Fyza graduan jurusan Diploma Rekaan Fesyen dan Tekstil di MIA College, mengorak langkah sulung dengan membintangi filem Senario Ops Pocot, diikuti drama bersiri Hanalulu, Seram Sejuk (filem) dan Nongkrong yang akan menjengah pawagam Mei nanti.

"Saya bermula dengan watak kecil dan pernah muncul untuk satu babak saja tetapi itulah yang menjadi pengalaman berguna. Kemudian barulah saya ditawarkan watak utama menerusi filem Seram Sejuk arahan Azhari Mohd Zain dan Nongkrong (Ismail Bob Hasim )

"Menerusi Seram Sejuk, saya membawakan watak Mawar yang rohnya meracau selepas 100 tahun mati akibat ditikam suami. Dia hidup kembali untuk mendapatkan kalung pusaka. Filem ini membabitkan enam pelakon dan saya adalah salah seorang pelakon utama.

"Manakala Nongkrong pula, saya sekali lagi membawakan watak hantu. Puteri Dua yang jelita bertukar menjadi wanita hodoh disebabkan perjanjian terlarang. Sepanjang membintangi kedua-dua filem itu, syukur saya tidak pernah menerima gangguan walaupun saya disolek menjadi hantu.

"Melainkan, saya pernah terjatuh semasa menaiki kuda sewaktu penggambaran babak perkahwinan Seram Sejuk sehingga menyebabkan kecederaan kecil," katanya.

Turut beraksi dalam filem terbaru arahan Farid Kamil, PE-3 dan X ditangani pengarah baru, Ahmad Rusli Mohamed Khadri, Fyza juga terbabit dalam projek 1 lawan 1 arahan Pierre Andre dan Ajiboy.

Syukur mendapat sokongan padu daripada kedua-dua orang tua yang menitip pesan buat dirinya dan Ieedah menjaga nama baik keluarga, Fyza berkata, keseriusannya dalam bidang lakonan sebagai melunaskan impian arwah bapanya, Abdul Kadir Haji Mohd yang ingin lihat mereka berjaya dalam bidang seni.

"Saya tidak mahu jual wajah tapi ingin dikenali kerana bakat. Arwah ayah semasa hayatnya adalah orang yang paling gembira mengetahui saya dan adik menjadi pelakon. Masa menjalani penggambaran Adiboy di Melaka, sehari sebelum ayah nazak kami berbual dan dia sangat teruja mendengar cerita saya.

"Cuma arwah pesan jaga diri baik-baik dan elakkan sebarang kontroversi yang boleh mencalarkan maruah diri dan keluarga," katanya.

Mengalih perbualan buat Ieedah yang lebih berani dan berkeyakinan berbanding kakak yang agak pemalu tatkala beraksi di hadapan kamera, dia tidak sedikitpun cemburu dengan peluang diperoleh Fyza itu.

"Setakat ini saya baru berlakon dalam Bini Biniku Gangsters dan Seram Sejuk sebagai wartawan. Berbanding kakak, mungkin saya belum banyak memperoleh peluang kerana saya sendiri pun bekerja tetap, jadi sukar untuk saya membahagi diri antara pekerjaan sekarang dengan lakonan.

"Mujurlah saya dapat majikan yang memahami. Mungkin juga saya kurang mendapat tawaran kerana MIG Talent mempunyai ramai artis di bawah mereka, justeru ada masa-masanya watak diberikan kepada mereka yang sesuai.

"Pun begitu saya tidak kisah. Mana tahu suatu hari nanti saya memperoleh watak yang benar-benar dapat menyerlahkan bakat lakonan saya. Malah, tidak pernah terdetik sekelumit perasaan cemburu pun terhadap kakak bahkan saya mendukungnya dari belakang," katanya.

Mengagumi bakat Maya Karin dan Syamsul Yusof, Ieedah bertugas sebagai pembantu peribadi di sebuah syarikat swasta juga memasang angan agar suatu hari dapat menimba ilmu di bawah produksi arahan anak teruna Datuk Yusof Haslam itu.

"Dia bukan saja pengarah muda dan hebat malah memiliki pakej yang menarik. Saya pasti ramai remaja menjadikannya idola," katanya.

Mengenai kekeliruan orang ramai yang sering menganggap dirinya dan Fyza pasangan kembar, Ieedah berkata, tanggapan sedemikian sudah lali didengar sejak mereka kecil lagi. Ini mungkin disebabkan raut wajah serta ketinggian yang mirip.

"Saya memang sangat rapat dengan kakak, kami bukan saja adik-beradik tetapi juga kawan karib. Kawan dia adalah kawan saya tetapi kawan saya bukan kawan dia... hahahaha (ketawa). Sebabnya kakak saya seorang yang pemalu dan lambat sedikit untuk mesra.

"Kami berkongsi banyak persamaan, suka membeli-belah dan meminati gaya fesyen yang sama. Selain itu kami kuat gelak, cuma bezanya saya lebih ramah dan berani mungkin kerana saya bekerja di bahagian perkhidmatan dan jualan yang membuatkan saya sering bertemu orang ramai," kata anak bongsu daripada lima beradik itu.

Trivia Fyza

  • Bahagian wajah atau tubuh paling disukai: Mata
  • Tabiat unik: Suka bawa kucing ke klinik
  • Perkataan yang sering diucapkan: Suka sangat cakap uuuuuuu....
  • Filem kegemaran: Romeo & Juliet
  • Ciri lelaki pilihan: Pandai ambil hati, penyayang, 'family person', suka budak-budak dan haiwan.
  • Perkara yang membuatkan mudah menangis: Perkara yang membuatkan mak menangis, binatang didera atau dimarahi.
  • Artis Pujaan: Angelina Jolie
  • Wang, cinta, kejujuran, kesetiaan, pendirian agama atau si dia yang menghiburkan menjadi kemahuan anda pada sang kekasih (satu jawapan saja): Kesetiaan
  • Jenis bacaan yang anda gemari: Glam, Bazzaar, Vogue dan Marie Claire.
  • Nyatakan siapa anda secara ringkas: Hormat orang tua dan merendah diri.

    Trivia Ieedah

  • Bahagian wajah atau tubuh paling disukai: Senyuman
  • Tabiat yang dianggap unik: Gelak
  • Perkataan yang sering diucapkan: Tiada perkataan yang 'specific'
  • Filem kegemaran: Filem Korean, Full House
  • Ciri lelaki pilihan: 'Simple & steady'
  • Perkara yang membuatkan anda mudah menangis: Filem dan cerita sedih
  • Artis Pujaan: Maya Karin & Syamsul Yusof
  • Wang, cinta, kejujuran, kesetiaan, pendirian agama atau si dia yang menghiburkan menjadi kemahuan anda pada sang kekasih (satu jawapan saja) : Kejujuran
  • Jenis bacaan yang anda gemari: Romantik
  • Nyatakan siapa anda secara ringkas: 'Happy go lucky'


  • Bunohan buka mata

    Posted: 08 Feb 2012 07:00 AM PST

    BELUMPUN ditayangkan di tanah air, buah tangan terbaru Dain Said, Bunohan sudah menjelajah dunia 'mengibar Jalur Gemilang'. Penyertaan di Festival Filem Antarabangsa Toronto ke-36 (TIFF), Golden Horse Film Festival (Taipei) 2011, Festival Filem Antarabangsa Sao Paolo 2011, Festival Filem Antarabangsa Palm Spring, Festival Filem Asia 2011 di Bali, Festival Filem Antarabangsa Rotterdam 2012 dan Fantastic Feast 2011 di Amerika Syarikat antara sebagai bukti.

    Sebenarnya masih ada beberapa penganjur festival yang inginkan penyertaan Bunohan, namun pihak penerbitan produksi Apparat ini harus memilih supaya lebih strategik.

    "Kalau ditanya secara peribadi, saya tidak kisah sangat kalau menyertai atau tidak festival antarabangsa kerana fokus saya membuat filem untuk orang tengok. Lagi ramai lagi bagus. Tetapi sebagai produser seperti Nandita Solomon, ia penting untuk memasarkan produknya ke pasaran yang lebih luas.

    "Bagaimanapun, saya berbangga dengan pencapaian Bunohan setakat ini. Kalau bukan untuk saya pun, penyertaan Bunohan ke festival antarabangsa itu bukan sahaja penting untuk portfolio saya sebagai pengarah tetapi, ia membawa nama Malaysia di peta perfileman dunia.


    "Bahkan penyertaan ini penting untuk portfolio Bunohan itu sendiri, bonus untuk pemasaran. Ketika di Toronto, kami menggajikan seorang wakil publisiti sebagai 'pembuka mata' orang di sana," kata Dain ketika ditemui di pejabat Apparat, di Kuala Lumpur baru-baru ini.


    Pun begitu, kata pengarah Dukun ini, penyertaan ke festival juga harus berdepan dengan risiko tersendiri serta bajet yang bukan sedikit. Menurutnya, penyertaan ke festival filem antarabangsa bermula dalam penantian jawapan Unit Wajib Tayang untuk tayangan Bunohan di Malaysia.

    Dalam tempoh lapan bulan menanti itu, kata Dain, dia tidak mahu melepaskan peluang yang terbuka. Kebetulan beberapa penganjur festival 'sudah memanggil' menerusi ejennya, Easternlight Films.

    "Sebenarnya sebelum penggambaran Bunohan lagi, pihak Easternlight Films sudah menyatakan minat untuk membawa filem ini ke festival. Pertemuan kami di Hong Kong mempertemukan pula dengan Tim Kwok dari Entertainment Convergence yang berminat memasarkan filem ini ke pasaran dunia.

    "Tim Kwok berasal dari Ipoh, Perak, tetapi kini menetap di Los Angeles, menguruskan pemasaran filem. Daripada hasil perbincangan itu, dia bersetuju menjadi produser bersama Bunohan.

    "Di Hong Kong juga kami diperkenalkan kepada Giovanni Fulvi yang bertanggungjawab memilih filem dari Asia ke Festival Filem Antarabangsa Toronto. Dia suka sangat dengan Bunohan, lalu dibawa ke sana yang baru berlangsung dari 1 hingga 5 Februari lalu," katanya yang turut membenarkan wakil Harian Metro menyaksikan hampir 30 minit Bunohan.

    Dain akui, rangkai kerja amat penting untuk pemasaran antarabangsa. Daripada Easternlight Films juga, Bunohan mendapat pengedaran antarabangsa bersama Universal Pictures untuk United Kingdom, Perancis, Jerman, Australia dan New Zealand.

    "Memang kami berbangga, tetapi bukan untuk Apparat sahaja malah untuk komuniti filem Malaysia. Namun, saya tetap mahu Bunohan ditonton oleh orang kita. Saya buat untuk Malaysia dan itu akan membuat saya lebih bangga.

    "Dalam pada itu, usaha Finas yang memilih Bunohan sebagai wakil ke Bali pada Oktober lalu amat dihargai. Alhamdulillah," katanya.

    Bunohan yang bakal ditayangkan di Malaysia bermula 8 Mac depan disifatkan Dain sebagai filem 'jantan'. Selepas menyaksikan kira-kira 30 minit itu, memang benar apa yang disimpulkannya.

    Judul Bunohan agak 'ngeri' bunyinya, tetapi realitinya, ia sebuah pekan harmoni di daerah Tumpat, Kelantan. Namun menurut Dain, dia memilih Setiu, Terengganu sebagai latar Bunohan kerana masih memiliki keaslian sebagaimana yang dituntut oleh skripnya.

    "Secara kasarnya, ia filem mengenai pembunuh upahan dan lawan tomoi. Pun begitu, Bunohan bukan glamor seperti Bourne Ultimatum kerana ia lebih bersifat semula jadi sebagaimana latarnya.

    "Biarpun saya mengatakan ia filem jantan, sebuah ekspresi dunia lelaki, tetapi cinta tetap wujud di sebalik kepunahan sebuah institusi keluarga. Orang Melayu suka simpan dan kambus, tetapi kalau dapat tahu, ia boleh menimbulkan konflik yang besar," katanya.

    Bunohan sebuah kisah tragik kasih sayang antara tiga beradik dan bapanya yang kian uzur. Kisah pergelutan mereka untuk merapatkan ikatan kekeluargaan dan restu, beransur ke arah keganasan, rasuah dan pembunuhan. Filem ini bermula jauh di kampung pedalaman bahagian selatan Thailand, berdekatan sempadan Malaysia.

    'Bunga Lalang' atau Adil mengambil bahagian dalam pertandingan tinju tomoi yang membabitkan pertaruhan wang, maruah dan nyawa. Sahabat lama Adil sempat menyelamatkannya daripada pinggir maut, mengubahkan mereka menjadi pelarian penganjur pertinjuan haram itu.

    Ilham seorang pembunuh upahan dihantar untuk memburu mereka, sedang kedua-dua sahabat itu berada dalam perjalanan pulang ke Kampung Bunohan. Bunohan juga kampung halaman Ilham yang sudah lama ditinggalkan. Ilham tidak pernah pulang walaupun ketika ibunya berada di anjung nyawa. Pada waktu yang sama, Bakar, abang sulung Adil juga pulang ke Bunohan kononnya untuk menjaga bapa mereka yang uzur.

    Perwatakan soleh Bakar tersembunyi niat buruk seorang usahawan bercita-cita tinggi. Bakar berhati kejam, sanggup melepaskan segalanya untuk mencapai kekayaan. Sekembali mereka bertiga ke kampung halaman di mana takdir mereka menunggu. Dalam bayangan kegelapan diri masing-masing timbul memori silam yang dipenuhi keinginan, penghukuman dan perasaan kehilangan. Dalam Bunohan, di sinilah bermulanya segala keperitan.

    "Saya bertuah kerana memiliki pelakon hebat seperti Faizal Hussein (Ilham), Zahiril Adzim (Adil), Pekin (Bakar) sebagai teraju utama. Malah kehebatan mereka turut dibantu Bront Palarae, Nam Ron, Wan Hanafi Su, Sofi Jikan, Amerul Affendi, Hushairy Hussein dan Jimmy Lor. Selain mereka, kami juga berbangga mempunyai model tinggi lampai Tengku Azura dan pengarah indie Ho Yuhang," katanya.