Adsense

Isnin, 6 Februari 2012

Harian Metro: Rap

Harian Metro: Rap


Platun Seni utamakan disiplin

Posted: 05 Feb 2012 07:12 AM PST

BUKAN mudah membentuk disiplin dalam diri. Hanya mereka yang punya semangat kental mampu melalui cabaran yang mendatang. Semangat jitu serta diiringi keazaman yang kuat mampu memacu seseorang ke arah kejayaan. Inilah yang disaksikan ketika berpeluang mengikuti sesi latihan Platun Seni Askar Wataniah di Rejimen 515, Jalan Buku Lima, Off Padang Tembak, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Biarpun matahari semakin menegak di atas kepala, seramai 14 Perajurit Muda ini kelihatan segak melangkah dalam sesi kawad mereka. Setiap langkah mereka kedengaran begitu bertenaga dan seragam. Aktiviti latihan selama 240 jam perlu dilalui dengan penuh semangat bagi melayakkan mereka bergelar anggota sukarela terlatih.

Berada dalam kelompok ini juga adalah dua artis berbakat Yana Samsudin dan Mon Ryanti yang tidak mempedulikan status jantina mereka, sebaliknya lebih mementingkan semangat berpasukan dalam tentera.

Niat mereka hanya satu, menjana jati diri dan meniupkan semangat cintakan negara yang aman makmur tanpa sebarang ancaman keselamatan serta bersedia mempertahankan kedaulatan bumi bertuah ini andai perlu.


Ujar Yana, jiwanya dengan disiplin ketenteraan bukan asing kerana ayahnya, Samsudin Jamuri, 66, adalah bekas tentera. Ayah Yana dulu bertugas di Unit Artileri dan menamatkan perkhidmatan pada 1990 dengan gelaran Pegawai Waran Dua.


"Saya selalu tengok ayah bawa balik kelongsong peluru tapi saya tak pernah hargai. Apabila saya masuk Askar Wataniah, saya minta restu ayah. Dia tanya, sanggupkah saya menggalas cabaran yang akan dilalui? Saya cakap saya sangat fleksibel dan yakin boleh melakukannya dan selepas terbabit dengan latihan amali, kompas, koordinat dan menembak, barulah saya benar-benar dapat rasa keseronokannya.

"Satu perkara baru yang saya belajar - disiplin dan mendengar arahan sangat penting dalam setiap perkara yang kita lakukan. Terbabit dengan demonstrasi kuasa tembakan juga menyedarkan saya satu perkara iaitu kalau tersalah dengar arahan, akibatnya akan membahayakan diri sendiri," katanya ketika ditemui selepas selesai latihan.

Yana akui gembira kerana biarpun terpaksa menjalani sesi latihan yang lasak, ada masanya mereka boleh bergurau dengan tenaga pengajar dan pegawai yang terbabit.

"Sewaktu latihan kita kena fokus dan serius. Tapi selepas habis latihan, kami masih boleh bergurau mesra bagaikan sebuah keluarga. Soal disiplin memang dititik beratkan dan tak boleh kompromi, kalau ada salah, maka hukuman tetap sama rata. Saya akui sangat teruja untuk menyertai sesi latihan yang diadakan sekarang.

"Awal-awal dulu saya rasa sangat takut tapi sekarang keadaannya sudah jadi lain. Saya juga sudah melalui sesi latihan menembak yang diadakan pada 11 Julai lalu di Kem Terendak, Melaka. Memang gementar juga kerana kami menggunakan peluru betul tapi saya berbangga kerana mencatat markah tertinggi mengatasi Mon Ryanti dan Kamal Faridz," kata Yana pelakon filem Bini-Biniku Gangster.

Bagi Mon Ryanty pula, daripada jumlah 240 jam yang perlu dilakukan, dia baru berpeluang menyertai tiga sesi latihan. Bukan sengaja ponteng, sebaliknya dia sukar bahagikan masa kerana sibuk dengan penggambaran drama dan filem terbitan produksi MIG.

"Banyak yang saya belum belajar kerana tak terbabit sepenuhnya lagi. Bagaimanapun, saya bersyukur kelonggaran diberikan kerana jadual kerja saya yang tak menentu. Biarpun begitu, saya tetap gembira kerana berpeluang menyertai latihan menembak di Melaka. Pengalaman ini sangat istimewa dan saya sangat teruja untuk menyertai sesi latihan selanjutnya selepas ini," katanya yang akan muncul dengan filem Hantu Dalam Botol Kicap tidak lama lagi.

Pelakon baru, Kamal Faridz menyifatkan dia tidak bermasalah menyertai Platun Seni kerana ayahnya juga seorang tentera. Bahkan, dia dibesarkan dengan disiplin yang tinggi.

"Bapa memang sokong sangat apabila saya mahu masuk Wataniah. Dari zaman sekolah lagi saya sudah minat unit beruniform. Jadi kesempatan menyertai Platun Seni AW tak boleh dibiarkan begitu saja. Saya mahu menggunakannya untuk membentuk disiplin dan peribadi yang baik sebagai anak seni," katanya.

Sementara itu, penyelaras latihan AW Rejimen 515, Leftenan Kolonel Abdullah Ibrahim, menyangkal tuduhan mengatakan aktiviti Platun Seni makin sepi. Katanya, mereka hentikan seketika aktiviti latihan kerana menghormati ketibaan Ramadan tahun lalu. Bagaimanapun aktiviti berbuka puasa, tahlil dan majlis rumah terbuka Aidilfitri sudah diadakan dan semua anggota Platun Seni menghadirinya.

"Kehadiran mereka dalam majlis yang berlangsung di sini adalah sebahagian daripada modul latihan. Kemasukan mereka masih baru iaitu pada Jun lalu. Mereka kini bergelar Perajurit Muda dan perlu melengkapkan 240 jam untuk menjadi anggota sukarela terlatih. Kami faham situasi artis yang bekerja tak tentu masa, jadi kelonggaran diberikan buat mereka untuk menjalani latihan.

"Bagaimanapun, kami tetap akan memastikan mereka akan menghabiskan semua sukatan pelajaran merangkumi kawad, pengendalian senjata, latihan medan seperti menembak, menempuh halangan, 'compass matching', koordinat dan latihan peperangan. Kami merancang untuk mengadakan majlis pentauliahan pada April ini.

"Sebenarnya untung sesiapa yang sertai Askar Wataniah kerana biasanya untuk dapat ilmu sebegini kena bayar.

"Askar Wataniah juga ada tempoh persaraan," katanya yang akan mengadakan sesi latihan menembak buat kali kedua untuk Platun Seni di Lapang Sasar Kem Sungai Besi pada 9 Februari ini.



Full content generated by Get Full RSS.

Dapat ilham dari Jepun

Posted: 05 Feb 2012 06:29 AM PST

SERING kali tumpuan kita terhadap industri perfileman negara lebih terarah kepada filem-filem 'mainstream' tanpa menyedari kewujudan golongan pengkarya filem pendek.

Pastinya masih ramai merindui filem pendek arahan Allahyarhamah Yasmin Ahmad di televisyen terutama tatkala menjelang perayaan kerana bukan saja menyentuh hati namun ia sangat berkesan.

Dalam melahirkan pelapis bagi penghasilan filem pendek, Festival Filem Pendek Kuala Lumpur (KLIS) yang julung kali dianjurkan iaitu pada 31 Januari hingga 1 Februari baru-baru ini dilihat sebagai satu langkah cemerlang untuk mencapai matlamat itu.

Majlis penutupannya yang berlangsung dengan gemilang cukup membuktikan juga KLIS adalah satu acara berprestij dan bertaraf antarabangsa.


Berpeluang menemui orang kuat di belakang penganjuran KLIS, Pengarah Festival, Martias Mohd Ali, melahirkan rasa lega dan gembira selepas usaha untuk merealisasikan acara itu akhirnya terlaksana.


"Ia tidak semudah yang disangka untuk mengadakan festival itu kerana hanya selepas menempuh pelbagai halangan, perbincangan dan kata sepakat, barulah ia terlaksana.

"Saya harus berterima kasih kepada dua rakan yang turut berdiri teguh memperjuangkan penganjuran KLIS iaitu Yusof Kelana dan Jurey Latiff Rosli kerana menjadi penyokong utama dalam mengembangkan idea ini. Ini adalah
impian kami bertiga dan banyak yang kami korbankan untuk memastikan KLIS akan berjaya diwujudkan.

"Idea ini sebenarnya tercetus sejak tiga tahun lalu ketika saya kembali ke Malaysia selepas menghadiri satu festival filem pendek di Jepun. Di sana, saya berpeluang bertemu dan bersembang dengan pembikin filem pendek dari seluruh pelusuk dunia dan mereka tidak henti bertanya bagaimanakah cara menyertai pertandingan di Malaysia pula. Adakah Malaysia mempunyai festival filem pendek antarabangsa sendiri?

"Pada saat itulah terdetik dalam fikiran saya ada benarnya permintaan itu dibuat kerana setahu saya hanya sudah banyak negara yang ada festival filem pendek mereka masing-masing," katanya.

Hasilnya, penyertaan yang diterima adalah sangat memberangsangkan iaitu 1,132 filem dari 75 negara malah penganjur terpaksa menutup penyertaan lebih awal daripada tarikh tutup. Filem-filem berkenaan seterusnya diadili 16 juri profesional sebelum 10 yang terbaik dipilih menerusi empat kategori iaitu Kategori Pelajar, Animasi, Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) dan Cerita Pendek.

Bermula 31 Januari lalu, bertempat di Panggung Bandaraya, Kuala Lumpur, tayangan 40 filem berkenaan diadakan secara percuma di samping aktiviti-aktiviti lain seperti seminar filem daripada seorang pengarah terkenal Indonesia, Gumay.

"Selain mendapat kerjasama daripada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) juga tidak ketinggalan untuk menyokong acara ini dengan menyediakan fasiliti sepenuhnya sepanjang ia berlangsung.

"Dari segi sambutan, kira-kira 2,500 penonton yang datang menyaksikan filem-filem bertanding adalah sangat membanggakan dan diharapkan jumlah ini akan meningkat memandangkan KLIS akan menjadi acara tahunan mulai tahun depan bersempena Hari Wilayah iaitu 1 Februari.

"Peserta bertanding malah diterbangkan khas ke sini untuk merasai sendiri KLIS sambil meneroka tempat-tempat menarik di sekitar Kuala Lumpur sekali gus dapat mempromosikan industri pelancongan kita," katanya.

Pada acara kemuncak iaitu Malam Anugerah KLIS, pengarah filem Beneath The Surface, Saliva Mathieu dari Perancis berjaya menggondol hadiah utama iaitu Anugerah Datuk Bandar selain turut dipilih sebagai Anugerah Juri.

Selain Beneath The Surface, peserta tuan rumah menerusi filem Anak arahan Amru Najmi dan Finas turut dipilih bagi Anugerah Juri.

Tidak ketinggalan, pengarah filem tersohor, Datuk Yusof Haslam turut hadir sebagai penyampai anugerah pada malam berkenaan selain Datuk Bandar Kuala Lumpur, Tan Sri Ahmad Fuad Ismail.

Turut menyerikan majlis, beberapa artis terkenal seperti Iqwal, Adam & V.I.P Upin & Ipin, Asyiela Putri serta kumpulan Splash dari Broadway Academy yang berjaya menghiburkan majlis yang turut dihadiri pelancong asing.

Senarai Pemenang

Kategori Pelajar: Bian Zi - Chun Yi Hsieh (Taiwan)
Kategori Animasi: Monster And Dumpling - Jihwang Jung (Amerika Syarikat)
Kategori Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR): Like Toy Dolls - Yihwen Chen (Malaysia)
Kategori Cerita Pendek: Crossing Salween - Brian O' Malley (Ireland)
Anugerah Kuala Lumpur: Bian Zi - Chun Yi Hsieh (Taiwan)
Anugerah Datuk Bandar: Beneath The Surface - Saliva Mathieu (Perancis)



Full content generated by Get Full RSS.