Adsense

Isnin, 6 Februari 2012

Berita Harian: Hip

Berita Harian: Hip


Puji keberanian Neelofa

Posted: 05 Feb 2012 03:07 PM PST

Hip

Fauziah Ahmad Daud hampir tidak sanggup bawa watak Azura

JANGAN salahkan Neelofa jika lakonannya tidak sampai kerana watak Azura memang berat dan perlu banyak bermain dengan emosi, kata pelakon asal filem itu, Fauziah Ahmad Daud.

Malah, artis serba boleh yang turut dikenali dengan nama Ogy itu menegaskan, tidak adil untuk membandingkan lakonannya dengan bakat baru itu. Katanya, ketika menjayakan watak popular terbabit, dirinya sudah mempunyai banyak pengalaman, berbanding Neelofa yang muncul buat kali pertama di layar lebar. Ogy sendiri mengaku, dirinya terpaksa mengulangkaji skrip berulang kali bagi menjiwai watak yang sukar itu, sehinggakan ada kalanya dia berasakan seperti tidak sanggup untuk membawakan peranan berkenaan.

Namun, katanya, dia bertuah kerana mempunyai pengalaman dalam lakonan selain sering mendapat bimbingan dan dorongan ibu bapanya yang juga pelakon, Allahyarham seniwati Saadiah dan Allahyarham Datuk Ahmad Daud.

"Saya beruntung kerana dilahirkan dalam keluarga seni, malah turut mendapat tunjuk ajar daripada Datuk Jamil Sulong dan Allahyarham M Amin.

"Saya kagum dengan Neelofa kerana berani mengambil watak ini dan dia perlu diberi peluang. Dia tidak ada berjumpa dengan saya untuk bertanyakan mengenai watak Azura, tetapi saya percaya pengarah, Aziz M Osman, nampak kebolehan yang dimilikinya," katanya yang belum berkesempatan menonton lakonan bakat baru itu, walaupun pernah menyaksikannya mengacarakan Nona.
Ogy yang ditemui pada sesi uji bakat Mentor 6 kelmarin menganggap filem ini bukannya sesuatu yang mudah kerana mempunyai plot penceritaan mendalam dan amat sukar untuk membuatkan penonton dibuai dengan permainan emosi.

Bukan sekadar membaca skrip, sebaliknya pelakon harus memahami keseluruhan plot bagi mendapatkan gambaran jelas mengenai lakaran sebenar watak.

"Kalau betul-betul mengupas watak seperti mengupas bawang, memanglah tidak dapat. Tetapi jika kita mengupas dengan penuh mendalam dan teliti, karakter yang dibawa akan sampai.

"Watak Allahyarham Yusni Hamid dalam filem ini contohnya memang berkesan, sehinggakan orang lupa yang dia sebenarnya pelakon komedi," katanya yang sudah hampir empat dekad terbabit dalam bidang seni.

Sementara itu, kira-kira 400 calon tampil pada sesi uji bakat Mentor bersamanya di Sri Pentas.

Bagi Ogy, bukan rupa paras atau kebolehan menyanyi yang dicari, sebaliknya keaslian dan gaya nyanyian yang menjadi tunjang utama pemilihan anak didiknya.

"Semua orang boleh menyanyi, tetapi sukar untuk mencari bakat yang mempunyai keaslian. Faktor itu sangat penting sebab saya tidak mahu peserta klon. Kalau ada originality, baru sedap saya nak asah bakat.

"Kebanyakan yang datang hari ini pula tidak cukup persediaan, sampaikan ada yang tidak tahu tajuk lagu. Saya akan pilih peserta yang menepati cita rasa saya, kemudian baru dibuat saringan bagi memilih yang terbaik," katanya yang terkejut dengan sambutan hangat diberikan kepada sesi kendaliannya.

Ogy dibantu bekas personaliti TV3, Nizal Mohamad, dan komposer, Ajai, dalam sesi uji bakat berkenaan.

Selain Ogy, Mentor 6 turut membariskan Faizal Tahir, Adam, Ella, Ramlah Ram dan Ferhad sebagai mentor untuk musim terbaru itu.

Full content generated by Get Full RSS.

Malaysia pelopor irama nasyid

Posted: 05 Feb 2012 03:05 PM PST

Hip

HAZAMIN (kanan) bersama anggota Inteam yang lain, Mohd Shahril Abd Khalid (tengah) dan Abdul Rahim Osman.

HAZAMIN (kanan) bersama anggota Inteam yang lain, Mohd Shahril Abd Khalid (tengah) dan Abdul Rahim Osman.

Mursyid sasar 2012 kembalikan zaman gemilang

MUZIK nasyid tidak terkubur mahupun malap, sebaliknya cuma kurang diberikan publisiti, kata anggota kumpulan Hijjaz, Isman Nadim Isam.

Menganggap irama itu masih ada pengikut dan peminatnya sendiri, sikap tidak menonjolkan diri secara berlebihan kalangan penyanyi atau kumpulan nasyid bukanlah bererti muzik terbabit sudah tidak laku lagi. Malahan, permintaan untuk mengadakan persembahan pentas masih banyak diterima oleh penggiat irama nasyid.

"Alhamdulillah, sehingga kini nasyid masih diterima kerana kebanyakan peminat membesar dengan muzik ini, sejak 10 tahun lalu. Jadual persembahan kami juga sentiasa penuh," katanya.

Isman kini bergabung bersama Muhammad Hazamin Harun daripada kumpulan Inteam dan Mohd Nazri Alias (Al-Farabi Band) menjadi antara tenaga penting dalam menggerakkan Persatuan Muzik Nasyid Malaysia (Mursyid).

"Mursyid banyak membantu kumpulan nasyid dari segi album dan persembahan. Tahun lalu saja ada lebih 30 album baru yang dihasilkan anggota Mursyid, hasil usaha keras mereka sendiri tanpa membabitkan mana-mana pihak," kata Isman.
Penubuhan Mursyid bukan saja bersifat membantu kumpulan nasyid sebaliknya sebagai tempat berkongsi pendapat dan pandangan.

Malah penganjuran Anugerah Nasyeed.Com yang akan diadakan pada 13 April di Pusat Islam nanti ialah hasil usaha sama antara persatuan terbabit dengan Nasyeed.Com.

Berasakan nasyid masih mempunyai tempat dalam industri muzik tempatan, tahun 2012 dianggap sebagai tapak bagi mereka mengembalikan irama berkenaan seperti era kegemilangannya lebih sedekad lalu.

"Malaysia ialah pelopor industri nasyid dan menjadi sumber rujukan artis luar seperti Maher Zain. Mereka mengintai peluang di negara ini untuk buat lagu nasyid Melayu kerana peminat nasyid di sini sangat ramai. Jadi, inilah masanya untuk kita bangkitkan semula irama nasyid.

"Dengan adanya anugerah ini, bukan saja ia dapat mengangkat muzik itu sendiri sebaliknya membuka mata pihak luar bahawa nasyid masih diperlukan dalam industri. Kalau dulu label muzik banyak membantu artis nasyid dari segi promosi dan edaran, tetapi kini ia sudah berkurangan. Kalau adapun, sekadar edaran album," katanya.

Meskipun kurang menonjol di negara sendiri, tetapi menurut Isman, sehingga kini mereka masih mendapat tempat di Indonesia, selatan Thailand, Singapura, Brunei malahan di Eropah.

Menganggap nasyid sebagai pendidikan, kata Mohd Nazri, genre ini mudah diterima semua pihak kerana ia boleh dihasilkan dalam pelbagai bentuk muzik termasuk rock.

"Jangan menganggap semua muzik rock itu tidak elok, tetapi kalau kita masukkan unsur positif seperti nasihat dan didikan dalam usaha menarik peminat muda, insya-Allah ia dapat diterima semua pihak.

"Tujuan nasyid adalah untuk mendidik dan bukan sekadar hiburan. Sebab itu nasyid kini dipelbagaikan dalam bermacam-macam genre muzik, bertujuan untuk menarik semua golongan," katanya.

Hazamin pula menegaskan, enggan melihat genre nasyid dipandang sepi dan disisihkan industri muzik, Mursyid berusaha membantu pejuang irama berkenaan terutama kumpulan baru untuk bersinar dan dikenali.

"Kini, ramai artis yang hanya menghasilkan single, tetapi kami berani mengeluarkan album dan peluang yang ada ini kami gunakan untuk mengangkat kembali irama nasyid.

"Tidak hairanlah kalau penyanyi nasyid di Indonesia dan Thailand mengintai peluang di sini kerana mereka mengikut acuan kita juga. Malah, setiap kali anggota Mursyid membuat persembahan di sana, sambutan diterima cukup meriah," katanya.

Full content generated by Get Full RSS.