Adsense

Khamis, 26 Januari 2012

macam macam hiburan terkini

macam macam hiburan terkini


Serina Selamat Lahirkan Bayi Perempuan

Posted: 25 Jan 2012 11:46 PM PST



PETALING JAYA: Pelakon, Serina Redzuawan selamat melahirkan seorang bayi perempuan yang diberi nama Isabella kira-kira pukul tiga petang pada Isnin.

Menurut bapanya, Datuk Redzuawan Ismail atau Chef Wan dalam satu entri menerusi Facebook miliknya memberitahu cucu keduanya itu dilahirkan secara normal dengan berat 3.3 kilogram.

"Alhamdulillah Serina telah selamat melahirkan Isabella dan kami sekeluarga sangat gembira dengan kehadirannya.

"Walaupun sedikit kecewa tidak dapat bersama mereka tetapi ibu dan anak diberitahu dalam keadaan sihat," ujarnya.

Chef Wan yang kini sedang berada di Bangkok, Thailand atas urusan kerja sempat meninggalkan status dia teruja untuk membeli belah pakaian dan barang keperluan lain untuk cucu keduanya itu.

Terdahulu, Serina telah mempunyai seorang anak lelaki iaitu Tristan, setahun lima bulan hasil perkahwinannya dengan Gavin Edward O'Luanaigh atau nama Islamnya, Salahudin Ghafar.

Aznil Nawawi Guna Sembilan Produk Kecantikan Wajah

Posted: 25 Jan 2012 11:27 PM PST




PETALING JAYA: Pengacara Aznil Nawawi mula terdedah dengan penjagaan wajah seawal usia 12 tahun dan sehingga sekarang telah menggunakan sebanyak sembilan jenis produk kecantikan.

Aznil berkata, pada usia tersebut dia sudah mula praktik menggunakan tiga jenis produk wajib iaitu pencuci, penyegar dan pelembap.

"Kebanyakan lelaki selalu menganggap remeh tentang penjagaan wajah mereka. Bagi mereka itu perkara yang leceh.

"Lain pula dengan saya yang sudah mula menjaga wajah pada usia muda. Jika dahulu hanya tiga produk sahaja, sekarang ini saya pakai sembilan jenis yang antaranya seperti krim mata, pemutih, serum, penegang kulit, dan pelindung matahari selain tiga pembersih utama pencuci, penyegar dan pelembap.

"Rasa muka ini seperti bogel pula apabila tidak mengenakan apa-apa," katanya.

Tambah pengacara rancangan Clever itu, dia akan meluangkan masa sekurang-kurangnya sejam untuk merawat wajahnya sebelum keluar rumah melakukan rutin hariannya.

Dan jika tidak meletakkan sebarang pelembap wajah, risiko untuk terdedah dengan cahaya matahari lebih mudah selain kurang berkeyakinan diri apabila bertemu dengan orang ramai.

"Saya percaya, sesiapa sahaja yang menjaga raut wajahnya akan berasa lebih berkeyakinan berbanding yang tidak berbuat apa-apa. Pada masa yang sama juga kita akan lebih maju daripada segi karier kerana personaliti yang dibawa itu," tegasnya.

Sementara itu, pengacara itu berharap agar kariernya diangkat lebih tinggi dengan melakukan satu kelainan untuk menghiburkan peminat-peminatnya yang terdiri daripada kalangan kanak-kanak sehinggalah orang dewasa.

"Saya selalu ingin membuat kelainan agar para peminat tidak bosan dengan persembahan saya tidak kira dalam bidang pengacaraan di televisyen mahupun acara konsert.

"Sebab itu Konsert Hore-Hore dianjurkan kerana bagi saya ia satu kelainan apabila seorang pengacara yang membuat konsert, bukannya penyanyi.

"Pada tahun ini, mungkin saya akan melakukan sesuatu di mana akan menjelajah ke setiap negeri selepas menerima respons positif tentang konsert yang dianjurkan bersama pihak Astro pada Mac tahun lalu," ujarnya.

Harun Salim Bachik Nafi Letak Jawatan Presiden Seniman

Posted: 25 Jan 2012 11:26 PM PST


 

PETALING JAYA: Pelawak dan Presiden Persatuan Seniman Malaysia (Seniman), Harun Salim Bachik menolak dakwaan dia bakal melepaskan jawatan itu kerana gagal melaksanakan perubahan besar sejak menggalas jawatan itu pada 2009.

Pemilik nama sebenar Haron Aminar Rashid Salim, 52, itu berkata dia berasa hairan dan kecewa dengan khabar angin yang timbul kerana boleh menjejaskan reputasinya sebagai ketua persatuan itu pada mata umum.

"Saya terkejut apabila dakwaan (meletakkan jawatan) ini timbul sedangkan saya tidak pernah berkata apa-apa atau memberikan sebarang kenyataan.

"Siapalah yang membawa mulut tentang perkara ini, walhal saya sendiri tidak tahu-menahu," katanya ketika dihubungi mStar Online, Rabu.

Harun dilantik sebagai Presiden Persatuan Seniman selepas menewaskan Datuk Mustapha Maarof dengan kelebihan 78 undian pada Mesyuarat Agung Tahunan pada 18 Disember 2009.

Harun memegang jawatan itu bagi tempoh tiga penggal yang dijangka berakhir pada hujung tahun ini.

Ketika ditanya pernah atau tidak terdetik perasaan kecewa dan terkilan sepanjang bergelar Presiden, Harun berkata perasaan kecewa apabila kepimpinannya dipertikaikan oleh ahli persatuan itu tidak pernah melunturkan semangatnya untuk terus menggalas tanggungjawab tersebut.

"Sejujurnya memang ada juga perasaan kecewa dengan kepimpinan saya sendiri dan perjalanan persatuan tetapi belum lagi sampai ke tahap hendak meletakkan jawatan.

"Jika sekalipun saya hendak meletakkan jawatan, ia tidak semudah yang diperkatakan kerana ia melibatkan semua ahli dan bukan keputusan individu," katanya.

Harun berkata kesetiaan terhadap persatuan itu tidak akan berganjak walaupun dia lagi memegang sebarang jawatan selepas ini.

"Tahun ini adalah tahun terakhir saya memegang jawatan presiden. Sekali pun saya tidak lagi menggalas jawatan presiden selepas ini, saya akan tetap sokong perjuangan Seniman.

"Sama ada berjawatan penting atau ahli biasa, ia tidak akan mengubah pendirian dan kesetiaan saya pada Seniman," katanya.