Adsense

Ahad, 15 Januari 2012

macam macam hiburan terkini

macam macam hiburan terkini


Syamsul Tukar Judul ‘KL Gangster 2’ Elak Penonton Keliru

Posted: 14 Jan 2012 04:38 AM PST




KUALA LUMPUR: Pengarah filem Syamsul Yusof bercadang untuk menukar judul filem terbarunya, KL Gangster 2: Prekuel kepada KL Gangster 2: The Beginning bagi mengelakkan kekeliruan di kalangan penonton yang kurang memahami maksud istilah 'prekuel' yang digunakan dalam filem tersebut.

Syamsul berkata walaupun filem itu dinamakan KL Gangster 2, ia bukanlah kesinambungan atau sekuel kepada bahagian pertama filem itu. Sebaliknya, ia memaparkan bahagian pengenalan kepada KL Gangster (2011).

"Apa yang saya perhatikan segelintir besar penonton kita masih tidak faham maksud istilah prekuel dan sekuel yang digunakan dalam sesebuah filem.

"Saya bimbang jika istilah prekuel dikekalkan dalam tajuk KL Gangster 2, penonton yang tidak faham istilah itu akan berasa keliru dengan jalan cerita dan watak dalam filem kedua ini," katanya kepada mStar Online, Khamis.

Syamsul berkata sekiranya dia mengekalkan istilah prekuel yang bermaksud bahagian pengenalan filem itu, penonton yang tidak memahami istilah itu akan mempersoalkan kewujudan semula beberapa watak yang sepatutnya sudah mati dalam KL Gangster yang ditayangkan pada tahun lalu.

"Mungkin ada yang akan mempersoalkan mengapa beberapa watak seperti Shark lakonan saya dan Fadil (Zizan Razak) masih hidup dalam KL Gangster 2 kerana terkeliru dengan plot filem ini.

"Sebab itu, saya berasa adalah lebih baik jika saya gunakan tajuk baru KL Gangster 2: The Beginning yang membawa maksud yang lebih jelas kepada penonton," katanya.

Filem yang menelan kos penerbitan sebanyak RM3.3 juta ini dibintangi oleh Aaron Aziz, Rosyam Nor, Adi Putra, Zizan Razak dan Syamsul sendiri.

Ia masih menjalani penggambaran untuk tempoh 50 hari dan diakui oleh penerbitnya Datuk Yusof Haslam sebagai filem termahal yang diterbitkan syarikat produksi mereka, Skop Production Sdn Bhd.

Terbaru, filem KL Gangster yang mengungguli carta kutipan pecah panggung filem tempatan dengan RM11.74 juta, terus mencipta kejayaan apabila terpilih untuk menyertai Festival Filem Antarabangsa Hua Hin 2012 di Bangkok, Thailand pada 26 hingga 29 Januari ini.

Siti Saleha Ke United Kingdom Bukan Merajuk

Posted: 14 Jan 2012 04:37 AM PST




SHAH ALAM: Pelakon Siti Saleha menafikan kehilangannya selama sebulan daripada industri hiburan kerana merajuk.

Sebaliknya dia ke United Kingdom untuk bercuti selain melawat ibu dan kakak sulungnya yang menetap di negara itu.

Siti Saleha berkata, telah menjadi kebiasaan dia melawat mereka pada setiap tahun.

"Saya berlepas ke United Kingdom pada 3 Disember lalu dan kembali ke Kuala Lumpur pada 7 Januari lepas. Saya tidak menghilangkan diri seperti mana yang diperkatakan ataupun merajuk," ujarnya kepada mStar Online ketika ditemui pada majlis pelancaran filem Pak Pung di sini pada Khamis.

Tambahnya, dia juga turut berkesempatan melawat beberapa buah negara Eropah lain sebagai menghabiskan masa bersama keluarga.

"Sejak ibu bapa bercerai, telah menjadi rutin kami adik beradik terbang ke sana untuk melawat ibu dan kakak dan ia sudah menjadi kebiasaan.

"Malah saya sudah biasa dengan tempat-tempat di sana dan boleh keluar seorang diri tanpa ada sebarang masalah," katanya.

Dalam pada itu, Siti Saleha berkata, dia bagaimanapun tidak bercadang untuk menetap terus di negara tersebut kerana lebih selesa dengan kehidupan di tanah air.

"Saya sudah lama menetap dengan ayah di Malaysia dan lebih selesa dengan keadaan di negara ini berbanding di United Kingdom," katanya.

Sementara itu, Siti Saleha turut melahirkan rasa kecewa apabila tidak tersenarai dalam lima finalis Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2011 (ABPBH2011) yang telah diumumkan Rabu lalu.

Siti Saleha berkata, dia berasa sedih kerana telah meletakkan harapan untuk agar dicalonkan dalam anugerah tersebut tetapi dia terpaksa menerima hakikat itu bukan rezekinya.

"Sudah tentu saya berasa sedih kerana tidak tersenarai. Sebagai artis baru sedikit sebanyak saya mengharapkan pengiktirafan terutamanya daripada peminat.

"Mungkin peminat masih belum nampak bakat saya sebagai pelakon dan ia bukan rezeki saya," ujarnya.

Dalam pada itu, Siti Saleha berkata, kegagalan tersebut akan dijadikan pendorong untuk dia berusaha lebih gigih pada masa akan datang.

Sementara itu, dia teruja untuk berlakon di bawah arahan pengarah dan pelakon, Fauzi Nawawi dalam filem arahan pertamanya, Pak Pung.

Siti Saleha berkata, filem yang bakal menjalani penggambaran pada 16 Januari adalah antara watak yang paling mencabar yang pernah diterimanya kerana perlu mendalami ilmu silat selain mempelajari bahasa jin.

"Bagaimanapun saya optimis dengan watak diberikan dengan bimbingan daripada pengarah filem dan kru produksi terlibat," ujarnya.

Cerai, Hattan tak mahu berlakon

Posted: 14 Jan 2012 04:35 AM PST



PENYANYI Hattan dan isterinya, Farah Asyikin bercerai! Kali ini, ia adalah berita sahih. Bukan gosip kononnya dia bercerai talak tiga hanya selepas tiga minggu berkahwin yang pernah membuat dia menempelak media kerana mengucar-kacirkan keharmonian rumah tangga yang baru dibina.

Berbicara menerusi telefon bersama Hattan yang bercerai secara rasmi dengan Farah pada 12 Januari selepas genap dua bulan berkahwin di hadapan Hakim Abdul Rashid Ramli di Mahkamah Syariah Kuala Pilah, Negeri Sembilan, penyanyi berusia 48 tahun itu memberitahu penceraian tersebut adalah persetujuan mereka bersama selepas berbincang secara matang. Dia juga mengaku menunaikan solat Ishtikarah sebanyak tiga kali sebelum menjatuhkan talak terhadap Farah.

Kosmo!: Apa cerita Hattan, gosip yang mengatakan anda bercerai beberapa bulan lalu kini akhirnya menjadi kenyataan. Boleh komen sedikit?

HATTAN: Ini soal jodoh. Memang benar kami sudah bercerai. Hal ini saya akui kerana ia benar-benar terjadi. Hal yang dahulu (gosip) memang buat saya marah sebab perkara itu (cerai) tidak terjadi. Menuduh kami bercerai talak tiga pula itu. Itu adalah satu fitnah besar, sebab itu saya marah. Yang ini (penceraian), baru terjadi semalam selepas saya dan Farah sebulat suara mengambil keputusan untuk berpisah. Kami juga tidak mahu mengatakan perkahwinan kami ini satu kesilapan kerana sebagai orang dewasa dan matang, kami sedar dan bertanggungjawab terhadap keputusan yang kami lakukan.

Sebelum ini anda ada kata akan berusaha untuk menjalani kehidupan berumah tangga buat kali kedua dengan sebaik mungkin?

Betul, Saya pernah cakap saya tak kahwin main-main dan mahu kekal ke syurga. Saya juga pernah kata saya bukan lelaki zalim nak cerai sampai talak tiga. Saya bercerai dengan talak satu. Saya tahu penceraian adalah hal halal yang dikutuk Rasulullah, namun sebagai individu yang sudah pernah mempunyai pengalaman berkahwin sebelum ini, kami sepakat untuk berpisah kerana kami sedar perbezaan yang wujud antara kami agak sukar untuk disetarakan. Bukan kami tak berusaha, tapi ia memang sukar. Akhirnya kami memilih berpisah. Paling penting kami tak mahu pura-pura bahagia dan meneruskan perkahwinan kami hanya sebab takut dan malu dengan pandangan masyarakat. Kehidupan kami, kami yang lalu dan kami yang tanggung, jadi kami bertanggungjawab untuk kembali menjalani kehidupan solo.

Apa masalah antara anda dan Farah sebenarnya sampai perlu bercerai?

Masalah antara kami, biar kami simpan sahaja sebab kami sudah berjanji di mahkamah untuk tidak mengaibkan atau menuduh siapa yang benar dan siapa yang salah dalam pelayaran rumah tangga kami. Saya pun harap bila sudah sahih saya bercerai, tak perlulah semua orang nak korek cerita kenapa kami bercerai. Nak cari salah saya atau salah Farah. Apa yang penting saya bertanggungjawab terhadap segala tindakan yang telah saya ambil.

Jadi sekarang bagaimana dengan hubungan anda berdua?

Hubungan kami masih baik. Kami bukan bergaduh yang menjadi punca penceraian. Kami menyelesaikan masalah ini secara matang dan rasional untuk masa hadapan masing-masing.

Takut dengan soal jodoh lagi?

Saya tak fikir pun. Dahulu sebelum bernikah semula, saya fikir ini jodoh dan kami pun bernikah serta mencuba yang terbaik untuk satu sama lain. Bila berpisah, saya pun tak rancang nak berpisah dan hidup duda semula. Tapi saya terima dengan reda. - MALIAH SURIP