Kosmo Online - Hiburan |
Posted: Hati Anzalna dimiliki pelajar
UKIRAN pesona tentang namanya sudah mesra ditatap banyak mata. Dia Anzalna Nasir, bunga baharu yang sedang menguntumkan kelopak ke sebuah daerah bernama seni lakon ini. Di sini, baru enam bulan langkahnya diatur penuh ritma. Melihat langkahnya, mahu tidak mahu, seringkali kelibatnya dilihat, dirujuk sebagai artis seangkatan kepada Neelofa, sementelah mereka sama-sama lahir daripada pertandingan bakat yang sama. Untuk Anzalna sendiri, dia sendiri sudah lali dibanding-bandingkan begitu. Menyedari sedikit terkebelakang barangkali untuk sesaat, namun durasi dan kepantasan yang sedang dilalui, membekalkan Anzalna sebuah energi. Dia sudah bersedia untuk berlari lebih kencang dalam trek popular ini. "Sungguh, beberapa bulan kebelakangan ini, saya langsung tiada waktu untuk diri sendiri, setiap hari ada sahaja urusan yang harus diselesaikan. Kalau tak ada penggambaran, ada majlis yang harus dihadiri dan ajakan fotografi yang sayang hendak dilepaskan. "Bukannya saya tamak atau mahu ambil semua peluang, tapi selagi saya mampu lakukan tanpa merosakkan jadual sendiri, saya buat," katanya tiada berselindung saat ditebak tentang kerancakan publisiti yang sedang diraih. Bukan untuk bertanding siapa popular atau siapa yang lebih lumayan mengait sensasi, Anzalna mampu memekarkan senyuman. Bakatnya yang masih perlu dipahat-pahat itu semakin diterima. Bersilih ganti judul drama lakonannya menghiasi kaca televisyen, Suria Di Cordoba, Ramadan Terakhir, Ajaibnya Cinta dan ketika ini, Gemersik Kalbu, namanya terpahat sebagai heroin untuk dua buah filem, Sepah The Movie dan TyIcKooUns yang baru disempurnakan. "Saya pun tak sangka. Tapi penonton boleh tengok lakonan saya di kaca televisyen, mula-mula berlakon dahulu memanglah nak hayati watak merupakan satu tugas yang cukup payah. Tapi bila banyak kali bertukar set, jumpa lebih ramai pelakon senior dan bekerja dengan pengarah yang berlainan, saya dapat rasakan perubahan," katanya. Sudah bersuluh dalam terang, dia sedang memanjat tangga populariti. Popular dalam kaca penglihatannya, bukan sahaja satu bonus bahkan juga satu hukuman. Menjadi popular juga bererti mengizinkan segala kisah dan hidup yang selama ini privasi berubah untuk diratah mentah di ruang terbuka. Dilambung populariti Terlanjur muncul sebagai pendatang yang sedang diintai-intai potensi, sengaja anak kedua daripada lima beradik itu diusik-usik tentang bayaran bergelar selebriti. Hadir dalam pakej, jelita bersama bakat yang boleh diasah, Anzalna juga seperti wanita muda sebayanya, jika salah percaturan membawa diri, mudah sahaja dia terjerumus ke lubuk sensasi yang boleh merosakkan diri. "Sebelum masuk menjadi pelakon, saya ada mengamati corak dan permainan industri hiburan. Dari hari pertama turun ke lokasi juga, saya kutip dan nilai setiap apa yang berlaku depan mata sebagai ilmu. Bila sudah jadi pelakon, saya juga tak perlu takut. "Banyak yang saya pelajari, termasuk cara bercakap dengan wartawan," katanya bersulam ketawa. Menambah dalam nada berbunyi serius: "Memanglah bila dalam situasi sekarang, banyak orang mula beri perhatian, sama ada hendak memberi peluang atau mengambil kesempatan, itu Tuhan sahajalah yang tahu. "Apa yang penting kena kawal diri, selagi pihak yang suka mengambil kesempatan itu tidak diberi ruang, kita akan selamat. Saya sentiasa ingatkan diri, selalu hati-hati dengan lelaki," katanya. Teman lelaki mahasiswa Bertukar topik ke topik, anak kepada pensyarah di Universiti Pendidikan Sultan Idris, Tanjung Malim ini secara terbuka berkongsi kisah hati. Sedang intim bersama seseorang, si cantik yang genap berumur 24 tahun pada tanggal 9 Januari lalu, enggan berselindung atau menyembunyikan hubungan istimewa yang dijalin penuh kasih. "Mulanya saya keliru juga dalam soal ini (teman lelaki). Sudahlah kami memang selalu ke mana-mana berdua, ada masanya dia yang hantar dan jemput saya dari lokasi. Takkanlah saya hendak cakap dia sebagai pembantu peribadi saya pula. "Jadi lebih baik saya mengaku sahaja, senang cerita. Dia bukan artis, baru sahaja habis pengajian. Cukuplah saya kenalkan namanya sebagai Hanif," telus sahaja pengakuan itu keluar daripada bibir mongelnya. Heroin dua filem Manis bersulam manja yang tidak dibuat-buat, emosinya melonjak saat judul TyIcKooUns disebut semula. Katanya, filem arahan pengarah Khairunazwan Rodzy itu boleh dikira satu pencapaian dan keberuntungan untuknya. "Saya masih baru, tapi dalam filem berkenaan, saya mungkin antara yang paling junior tapi diberi peluang bergandingan dengan pelakon-pelakon besar seperti Aaron Aziz, Wan Hanafi Su, Bront Palarae serta Remy Ishak. "Saya diminta buangkan segala sifat asal saya dan masukkan karakter yang diberikan. Jalan ceritanya bagus walaupun saya hanya bawak watak kecil, sebagai Ramona. Apa yang saya faham, walaupun watak itu kecil tetapi, saya antara punca kepada konflik filem itu," katanya puas melakonkan watak primadona bernama Ramona yang menjadi rebutan dalam filem itu. Masih hijau membentuk kematangan dalam lakonan, wanita yang fasih berbahasa Perancis itu meluahkan, dalam tempoh singkat sejak lakonan menjadi fokus, sudah variasi watak telah dipersembahkan. "Saya sudah bawa watak perempuan sejahat-jahatnya, perempuan paling baik, tapi paling mendebarkan, watak dalam TyIcKooUns. Saya kena tembak orang guna pistol sebenar. Menggigil-gigil dibuatnya, sampaikan orang yang akan kena tembak juga naik menggigil, mungkin tak yakin dengan lakonan saya atau takut peluru dalam pistol itu belum dikosongkan," ceritanya seronok. Masih panas dan bersemangat untuk mencuba banyak watak, soalan watak bagaimana yang ingin dicuba mungkin berbunyi klise. Bagi Anzalna, dia masih belum berpeluang terlibat dalam mana-mana naskhah seram, jika ada peluang pasti tidak akan dilepaskan. Minta dibayangkan hari mukanya, dua atau tahun dari sekarang, jawabnya mudah sahaja. "Berbaloi jadi pelakon dan saya akan pastikan keputusan masuk ke industri ini satu perkara yang masih berbaloi. Buat masa ini, rasanya saya perlukan kereta sendiri, tapi lesen memandu belum ada," lentur Anzalna menghabiskan sepetang bersama penuh santai. Full content generated by Get Full RSS. | ||
Posted: Zahiril pandang tinggi
LELAKI ini tidaklah tinggi fizikal, namun cita-citanya menggunung. Ungkapan kecil-kecil cili padi boleh menjadi penterjemah mengenai siapakah jejaka yang berketinggian 168 sentimeter (sm) ini. Mohd. Zahiril Adzim Mohd. Mokhtar memiliki wajah remaja biarpun dia sudah berumur 28 tahun dan bergelar suami kepada pelakon, Shera Aiyob, 25. Bukan sahaja bergelar seorang pelakon, portfolio jejaka yang popular dengan nama Zahiril Adzim ini terisi dengan kebolehan menulis. Selain aktif meluahkan rasa di laman blog, Zahiril juga sudah menghasilkan sebuah buku, Bogel Menuju Tuhan. Namanya mula melonjak selepas filem Kami The Movie. Seterusnya naskhah-naskhah layar lebar seperti Gadoh, Karaoke, Senjakala dan Tolong Awek Aku Pontianak turut dihiasi wajahnya. Biarpun dari sisi fizikal ramai aktor lain yang meninggalkan Zahiril di belakang, namun usaha keras anak kelahiran Taiping, Perak itu membuahkan hasil. Namanya seakan menjadi sebutan, apatah lagi selepas drama bersiri di TV3, Juvana yang turut dibintanginya menjadi fenomena. "Selepas Juvana disiarkan di televisyen, kini versi filem pula akan muncul. Saya sekarang sedang sibuk dengan penggambaran filem Juvana The Movie. "Selepas berkahwin pada November lalu, saya mengurangkan sedikit kerja-kerja lakonan dan kini baru sahaja kembali sibuk," terangnya yang akan tampil menerusi filem Bunohan pada Mac nanti. Terkini, Zahiril sekali lagi diberi kepercayaan untuk bekerja dalam produk seram. Digandingkan bersama Eina, Sara Ali dan Shera Aiyob, filem Sesuatu Yang Tertinggal sedang berada di panggung sejak 5 Januari lalu. Sesuatu Yang Tertinggal mengisahkan mengenai kehidupan mereka di rumah anak-anak yatim yang melalui pengalaman menakutkan ketika menetap di sebuah rumah lama. Full content generated by Get Full RSS. | ||
Posted: Sambung legasi Pax PakoKUMPULAN Round Robin dianggotai dari kiri Asraf Raiz, Bob, Sehar, Ezzad dan Ijatt. JENAMA Round Robin sebagai sebuah band yang bernaung di bawah syarikat Interglobal Music Malaysia masih baharu, namun impian anggota tersebut sudah menjangkau usia enam tahun. Ditubuhkan pada 2006 oleh Pax Pako dan Bob bersama rakan-rakan lain ketika menuntut di Kolej Matrikulasi Kedah, Changlun, Kedah, band itu mengalami banyak pasang dan surut. Beberapa tahun kemudian setelah anggota lain meninggalkan Round Robin, tinggallah Pax Pako dan Bob meneruskan impian mereka dalam dunia nyanyian. Mereka merancang banyak perkara, apatah lagi vokalis dan pemain basis kumpulan itu, Pax Pako menyimpan impian besar untuk mengangkat jenama tersebut. "Pax Pako ialah orang paling penting di sebalik Round Robin kerana dialah orang terawal dan kekal bersama band kami," jelas Bob. Malangnya, cita-cita Pax Pako untuk melihat kejayaan band itu tidak kesampaian apabila dia pergi buat selama-lamanya pada Julai 2010. Pax Pako meninggal dunia pada usia 24 tahun kerana mengalami kegagalan fungsi jantung. "Pemergiannya itu berlaku dalam sekelip mata pada saat kami masih memerlukan Pax Pako. Apa yang kami ingat, ia (kematian Pax Pako) berlaku tiga hari selepas kami bersama-sama berlatih. "Tidak sangka pula ia merupakan saat terakhir untuk kami berlatih bersama," kata Bob kepada Sensasi Bintang baru-baru ini. Seterusnya, bagi menggantikan tempat Pax Pako, Ezzad menjadi ganti, meneruskan 'baton' sebagai pemain basis demi merealisasikan impian sebuah album sendiri. Kini Round Robin dianggotai oleh Asraf Raiz sebagai gitaris, Bob (synthsizer), Sehar (pemain drum), Ezzad (vokalis) dan Ijatt (pemain keyboard). Cita-cita dan impian Pax Pako seakan terlaksana apabila pada Oktober tahun lalu, Round Robin berjaya mengeluarkan sebuah album sendiri. Tampil menerusi judul The Philophobic, album tersebut mengandungi sepuluh buah lagu termasuklah Omashita!, Helah, Philophobic, Lukha, Love For Losers dan Epilog. "Syukur kerana kami dapat menghasilkan sebuah album yang mengandungi sepuluh buah lagu. "Album ini turut menampilkan campuran lagu Inggeris dan Melayu. Pastinya ia didedikasikan buat Pax Pako kerana suaranya turut termuat menerusi lagu Stressed Up dan Rafla Jingga," ujar ahli kumpulan itu. Lagu-lagu dalam album itu dihasilkan sendiri oleh Round Robin manakala liriknya ditulis oleh Nurul Adilah. "Album ini dirancang untuk diterbitkan secara indie kerana kami hanya membelanjakan RM3,000 sahaja untuk menghasilkan 10 buah lagu. "Tetapi kami bersyukur kerana mendapat tawaran daripada penerbit untuk mengikat kontrak dengan mereka," ujar Bob yang mahu melihat band tersebut pergi jauh. Mengapa memilih nama Round Robin? Jelas mereka, gelaran tersebut diberikan oleh Pax Pako sendiri apabila membelek perkataan yang sesuai untuk menjadi identiti band berkenaan. "Maksudnya ialah keputusan yang dibuat adalah dalam kalangan kami sahaja. Jadi muzik yang kami hasilkan adalah penyatuan setiap ahli band," kata mereka lagi yang banyak dipengaruhi oleh band antarabangsa seperti The Rolling Stones, Arctic Monkeys, The Strokes dan Kasabian. Full content generated by Get Full RSS. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Hiburan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |