macam macam hiburan terkini |
- Hattan Sah Bercerai Talak Satu
- Watie (Elite) & Joey Nikah Dalam Diam
- Zizan Mahu Temui Juliana Evans Di AS Untuk Lepas Rindu
- Azza (Elite) Kecil Hati Dituduh Sorok Tarikh Kahwin
- Yusry Tidak Kekok Berlakon Dengan Bakal Isteri
- 'Tolak Sesi Fotografi Bukan Kerana Sombong' - Sharifah Sakinah
- Neelofa Reka Kasut Persandingan Ezlynn RM20,000
- Syamsul Tolak Tuduhan Jadi Punca Kecederaan Aaron
- Sharnaaz Difitnah Keluar Dari Set 'Bicara Hati'
- Yusry Teman Lisa Surihani Hadiri Kursus Kahwin
- Zarina Anjoulie Jadi Wanita 'Gedik'
- Diana Danielle Terkejut Spekulasi Nikah Farid
- Nabil, Kencana Devi Tidak Gugat Halim Othman
Hattan Sah Bercerai Talak Satu Posted: 12 Jan 2012 10:41 PM PST PETALING JAYA: Penyanyi yang popular dengan lagu Bisa Bonar, Hattan dan isterinya, Farah Asyikin Othman disahkan bercerai dengan talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Kuala Pilah pada Khamis. Akhbar Sinar Harian melaporkan, Hattan, 48, melafazkan cerai terhadap Farah di hadapan Hakim Abdul Rashid Ramli sekitar pukul 11.30 pagi. Penyanyi berkenaan hadir bersama pasangannya untuk menfailkan perceraian dan memohon dibicarakan pada hari sama. Akhbar itu turut melaporkan, penceraian itu berlangsung dengan baik dan dipersetujui kedua-dua belah pihak. Terdahulu, Hattan dan Farah Asyikin, 34, baru dua bulan mendirikan rumah tangga selepas disatukan pada 11 November 2011 di kediaman penyanyi tersebut di Seri Menanti. Majlis berkenaan diadakan secara tertutup tetapi meriah dengan kehadiran hampir 100 ahli keluarga terdekat dan teman rapat termasuk Datuk M Nasir, Ramli Sarip dan Man Bai. Hattan sebelum ini pernah berkahwin tetapi jodohnya tidak panjang selepas dikurniakan seorang anak lelaki, Adam Eiman, 13. Beliau menduda selama enam tahun sebelum berkahwin dengan Farah Asyikin. |
Watie (Elite) & Joey Nikah Dalam Diam Posted: 12 Jan 2012 10:40 PM PST PETALING JAYA: Ketika orang tertanya-tanya sejauh manakah hubungan pelakon Norwati Sadali (Watie Elite), 35, dengan Zulkifli Daud (Joey), 38, pasangan tersebut rupa-rupanya dilaporkan sudah berumah tangga dalam diam. mStar Online dimaklumkan mereka telah bernikah dalam satu majlis ringkas yang dihadiri oleh keluarga terdekat masing-masing pada hujung tahun lalu. Watie yang dihubungi bagaimanapun enggan menyatakan secara jelas status perkahwinannya tetapi tidak menafikan atau mengiakan tentang hal tersebut. "Saya tidak boleh mengiakan atau menafikan tentang status hubungan saya dan Joey. Mungkin kami akan membuat satu sidang media khas pada bulan depan berkaitan hal itu. "Kami mahu keadaan 'panas' yang pernah dilalui Joey pada tahun lalu reda sepenuhnya sebelum kisah mengenai hubungan kami dijelaskan kepada umum. "Lagipun saya perlu meminta izin daripadanya (Joey) sebelum membuat sebarang kenyataan. Maklumlah, sekarang ini kami sudah 'berdua'," katanya. Tambah Watie, dia akan mencari tarikh sesuai untuk membuat pengumuman tersebut sebelum Joey sibuk dengan aktiviti konsert jelajah bersama kumpulan Exist tidak lama lagi. Joey, yang merupakan vokalis kumpulan Exists mempunyai seorang anak perempuan, Zidani, 5, hasil perkahwinannya dengan bekas isteri, Noraini Mohamad Nasir. Mereka telah bercerai pada 8 Ogos tahun lalu. Begitu juga dengan Watie yang telah mempunyai seorang anak, Ahmad Afif Danial, 5, hasil perkahwinan terdahulu. Kontroversi hubungan Watie dan Joey mula tercetus apabila mereka dikatakan menjalin hubungan sewaktu bertemu ketika penggambaran drama bersiri Blues Pasar Tani pada Mac tahun lalu di Muar, Johor. Sementara itu, kata Watie, dia bersyukur, walaupun terpaksa berdepan dengan kontroversi, kerjaya lakonannya masih lagi tidak terjejas. "Alhamdulillah, sejak tahun lalu hingga sekarang, tawaran lakonan yang saya terima tidak putus-putus. Cuma, kerjaya Joey yang menerima kesan yang banyak. "Bagaimanapun, saya berharap, tahun 2012 memberi satu sinaran buat kami agar bahagia dan serta menjadi pembuka rezeki untuk kami sekeluarga," ujarnya. |
Zizan Mahu Temui Juliana Evans Di AS Untuk Lepas Rindu Posted: 12 Jan 2012 10:39 PM PST SUBANG JAYA: Pelawak, Zizan (Raja Lawak) akan terbang ke Amerika Syarikat (AS) jika ada masa terluang untuk bertemu pelakon yang dikaitkan mempunyai hubungan cinta dengannya, Juliana Evans, yang sedang melanjutkan pengajian di negara itu. Zizan berkata, memandangkan Juliana atau nama panggilannya, Jue, ada di AS, dia ingin mengambil kesempatan untuk berehat dan berjalan-jalan di negara tersebut selain merindui pelakon jelita itu yang dianggap sebagai teman wanita yang rapat dengannya. "Saya mahu ke sana (AS) untuk bertemu Jue selain dapat berjalan di tempat-tempat menarik. "Diakui, sejak ketiadaannya, saya cuba kuatkan diri dengan penuhkan jadual-jadual kerja dan ini adalah cara 'permainan' bagi mengurangkan rasa rindu kepadanya. Tapi saya bukan kecewa tau," tambahnya yang ditemui pada sidang akhbar Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2011 (ABPBH2011) di Holiday Villa Hotel & Suite, di sini, Rabu. Zizan yang kini tampil berjambang bagi memenuhi watak lakonannya dalam filem KL Gengster 2 itu turut menjadi finalis ABPBH bagi kategori Artis Komedi Lelaki Popular dan Pengacara TV lelaki Popular. Zizan dan Juliana Evans di Anugerah Seni Kebangsaan 2010 "Saya bersyukur kerana tercalon dalam 'Top 5' anugerah ini. Saya akui, apabila sudah tercalon, siapa-siapa sekali pun pasti mengharapkan untuk kemenangan. Begitu juga dengan saya, cuma saya tak adalah meletakkan harapan yang terlalu tinggi. "Berada di zon 'Top 5' pun sebenarnya sudah memadai dan itu tandanya peminat-peminat masih lagi menyokong saya," ujarnya. Sementara itu, Zizan juga bakal muncul dengan sebuah single lagu terbaru berjudul Bawaku Pergi berduet dengan Kaka yang diciptakan sepenuhnya oleh Malique (Too Phat). "Tahun ini, selain kesibukan saya mengacara dan berlakon, saya turut menghadiahkan kepada peminat lagu Bawaku pergi. "Macam biasa, dalam lagu itu saya merupakan penyanyi rap. Seronok juga sekali sekala beralih ke muzik. Sekurang-kurangnya peminat tidaklah bosan," tuturnya. |
Azza (Elite) Kecil Hati Dituduh Sorok Tarikh Kahwin Posted: 12 Jan 2012 10:38 PM PST PETALING JAYA: Penyanyi dan pelakon Azza (Elite) tidak berniat untuk menyembunyikan tarikh perkahwinannya dengan pramugara AirAsia, Azlan Zulaily yang dijangka berlangsung pada 1 April depan. Sebaliknya, Azza atau nama sebenarnya Azzarima Zawari, berkata penjelasan yang diberikan kepada media sebelum ini telah di manipulasi oleh segelintir pihak sehingga menimbulkan salah faham. "Saya akui berkecil hati apabila kisah perkahwinan saya di manipulasi oleh segelintir pihak yang mendakwa saya sengaja menyembunyikan tarikh perkahwinan daripada pengetahuan umum. "Sebagai selebriti yang sudah 17 tahun berkecimpung dalam bidang ini semestinya saya faham bahawa artis adalah milik masyarakat. "Namun dalam hal berkaitan perkahwinan, banyak perkara perlu dipertimbangkan sebelum saya sewenangnya mencanangkan perkara besar ini kepada khalayak," katanya ketika dihubungi mStar Online, di sini, Selasa. Azza berkata walaupun dia terguris dengan dakwaan kononnya dia sengaja mencari publisiti murahan menerusi pengumuman perkahwinan itu, ia tidak membangkitkan kemarahan kepadanya. "Kenyataan-kenyataan yang saya keluarkan melalui akaun Twitter sebelum ini bukanlah kerana saya marah atau melenting dengan tuduhan yang dilemparkan itu. "Ia hanya teguran ikhlas buat pihak yang tidak bertanggungjawab agar mereka menyedari bahawa saya juga mempunyai perasaan dan perlukan privasi. Apa-apa pun, saya reda dan bersabar dengan tuduhan itu," katanya. Mengulas lanjut, Azza yang kini berusia 34 tahun berkata, alasan sebenar di sebalik keengganannya untuk mengumumkan tarikh perkahwinan sebelum ini adalah kerana dia, bakal suami dan pihak keluarga masih lagi mencari tarikh terbaik yang bersesuaian dalam takwim Islam. "Perkahwinan ini adalah perkara yang suci dan satu tuntutan. Mengapa saya perlukan gimik atau publisiti untuk perkahwinan saya sendiri? "Hakikatnya, kami sekeluarga masih lagi mencari tarikh terbaik sebelum mengumumkannya. Ia membabitkan banyak pihak termasuklah soal penajaan juga," katanya yang merancang sebuah majlis perkahwinan yang ringkas dan sederhana. Azza yang menjalin hubungan dengan Azlan sejak setahun yang lalu berkata, keterbukaan dan keikhlasan pemuda berusia 20-an itu menerima dia seadanya membuatkan dia tidak ragu-ragu untuk melangkah ke alam perkahwinan buat kali kedua. "Saya rasa pilihan pada kali ini adalah tepat, insya-Allah. Walaupun tempoh perkenalan kami singkat, saya yakin dengan keikhlasan dan kejujurannya menerima saya sebagai Azzarima dan bukannya seorang artis. "Dia (Azlan) rapat dengan keluarganya. Sikap itu meyakinkan saya bahawa dia boleh menjaga saya dengan baik. Anak saya juga menerima Azlan dengan hati terbuka," katanya. Terdahulu, pelakon yang bergelar ibu tunggal selama enam tahun ini pernah mendirikan rumah tangga dengan Mohd. Ehsan Tun Ahmad Zaidi Adruce (Ehsan) pada 14 Februari 2001 di Masjid Jamek, Kampung Baru, Kuala Lumpur dan bercerai pada pertengahan November 2004. Mereka memiliki seorang anak angkat iaitu Marissa Janna yang berusia tujuh tahun. Azza yang aktif berlakon dan memenuhi pelbagai undangan nyanyian bakal muncul dengan 'single' terbaru berjudul Boleh Jalan tidak lama lagi. |
Yusry Tidak Kekok Berlakon Dengan Bakal Isteri Posted: 12 Jan 2012 10:36 PM PST CYBERJAYA: Pengarah dan pelakon, Yusry Abdul Halim tidak berasa kekok digandingkan dengan bakal isterinya, pelakon Lisa Surihani dalam filem terbaru terbitan KRU Studios, Ular. Yusry berkata, di dalam filem tersebut dia memegang watak sebagai jurukamera manakala Lisa sebagai wartawan dan bukan berperanan sebagai pasangan kekasih. "Soal kekok tidak timbul kerana kami tahu untuk membatasi soal profesional dan peribadi dalam kerja. Jadi saya tidak merasakan berlakon bersama akan membawa masalah," ujarnya ketika kepada mStar Online. Ular arahan Jason Chong mengisahkan Myra (Lisa Surihani) seorang wartawan jenayah yang digantung kerja telah diarahkan untuk membuat liputan di sebuah pusat peranginan di sebuah pulau. Myra yang ditemani jurukameranya, Remy (Yusry) tidak pernah menyangka tugasannya kali ini bukanlah satu tugasan biasa apabila percutian hebat yang dimenangi oleh 10 orang pemenang cabutan bertuah bertukar menjadi sebuah mimpi ngeri. Dalam pada itu, ditanya adakah dia akan mengambil peluang untuk mengenali bakal isterinya setelah dapat bekerja dan menghabiskan masa bersama-sama, Yusry berkata dia tidak perlu berbuat demikian kerana telah mengenali hati budi pasangannya itu. Yusry berkata, Lisa juga telah cukup mengenalinya secara peribadi dan profesional apabila sering melawatnya di lokasi penggambaran filem Vikingdom. "Rasanya kami tidak perlu menjadikan peluang berlakon bersama-sama ini sebagai peluang untuk mengenali hati budi masing-masing kerana telah pun memahami antara satu sama lain," ujarnya. Sementara itu, Yusry berkata dia mengambil keputusan untuk berlakon dalam Ular bukan kerana bakal isterinya tetapi merasakan skrip dan jalan cerita filem itu yang menarik dan berbeza. Tambahan pula katanya, dia tetap akan berada di lokasi penggambaran di Pulau Pangkor jika tidak berlakon dalam filem itu kerana terlibat sama bagi membantu Jason dari segi aspek visual kesan khas. "Kali terakhir saya berlakon adalah filem Cicakman dan terbuka hati nak berlakon filem ini kerana jalan cerita dan skrip yang berbeza. "Hampir seminggu juga saya memikirkan tawaran berlakon ini sebelum membuat keputusan," ujarnya. |
'Tolak Sesi Fotografi Bukan Kerana Sombong' - Sharifah Sakinah Posted: 12 Jan 2012 10:36 PM PST CYBERJAYA: Pelakon yang pernah mencetuskan kontroversi, Sharifah Sakinah menyangkal dakwaan dirinya sombong apabila enggan memenuhi permintaan pihak media untuk melakukan sesi fotografi. Sakinah, 22, berkata, keputusan itu bukan kerana dia meninggi diri tetapi sifatnya yang kurang gemar bersolek adalah punca utama dia menolak pelawaan tersebut. "Sejujurnya saya tidak berniat untuk berlagak sombong dengan mana-mana pihak media yang meminta untuk mengadakan sesi fotografi tetapi adalah kerana sifat saya yang kurang gemar bersolek menyebabkan saya malas untuk memenuhi permintaan itu," ujarnya. Sakinah berkata demikian kepada mStar Online ketika ditemui pada majlis pelancaran filem terbaru KRU Studios berjudul Ular di sini, Sabtu lalu. Pelakon yang juga adik kepada pelakon Sharifah Shahira itu memberitahu, dia juga tidak kisah sekiranya kurang dikenali oleh masyarakat gara-gara sikapnya yang tidak suka muncul di mana-mana media massa. Ujarnya, penglibatannya dalam dunia lakonan adalah kerana minat dan ingin mencari kepuasan dan menganggapnya sebagai punca rezeki dan bukan untuk popular. "Walaupun publisiti itu adalah penting untuk seseorang artis dalam menaikkan nama tetapi saya lebih selesa begini dan menganggap berlakon sebagai punca rezeki dan bukannya untuk mengejar populariti," katanya. Sementara itu, ditanya mengenai dakwaan dia kini menjadi anak emas kepada pengarah drama berbakat, Michael Ang, Sakinah menolak tanggapan itu. Sakinah berkata, dia tidak pernah merasakan dirinya sebagai anak emas pengarah tersebut namun tidak menolak dakwaan banyak bekerjasama dengan Michael. Michael bukan sahaja seorang pengarah drama tetapi juga seperti kawan baik. Dia banyak memberi peluang kepada saya dan rakan-rakan artis lain untuk bekerja di bawah drama arahannya. "Mengenai anak emas rasanya tidak betul kerana banyak pelakon lain seperti Elfira Loy, Marsha, Didie Alias dan Sharifah Shahora yang sering bekerjasama dengannya," ujar Sakinah. Dalam perkembangan lain, Sakinah berkata, selain bakal muncul dengan filem Ular arahan Jason Chong, dia juga baru selesai menjalani penggambaran drama Penjara dan akan ke set drama Di Sebalik Air Mata arahan Michael. "Alhamdulillahlah, rezeki semakin mencurah-curah dalam dunia lakonan dan sudah pasti saya tidak akan mensia-siakan peluang yang diberikan," ujarnya. |
Neelofa Reka Kasut Persandingan Ezlynn RM20,000 Posted: 12 Jan 2012 10:35 PM PST PETALING JAYA: Majlis resepsi perkahwinan penyanyi Ezlynn pada Rabu ini (esok) bukan sahaja bakal bergemerlapan dengan berlian dan aksesori tajaan Rafflesia Pearl Wedding, malah ia tambah berseri apabila kasut penyanyi itu mendapat sentuhan rekaan khas pelakon jelita Neelofa. Neelofa berkata dia menerima peluang untuk menghasilkan kasut bernilai RM20,000 itu daripada perunding perkahwinan Bill Bora yang memberikan platform untuk memperagakan kreativitinya dalam rekaan kasut. "Pada awalnya, saya memang tidak pasti untuk menerima tawaran menghasilkan kasut perkahwinan Ezlynn kerana saya tidak pernah mereka kasut untuk majlis perkahwinan sebelum ini, apatah lagi untuk seorang selebriti. "Kepercayaan yang diberikan itu menyuntik keyakinan kepada saya. Saya mengambil masa selama sebulan sejak Disember lalu untuk membuat kajian dan menyiapkan rekaan terbaik yang bersesuaian dengan tema musim luruh di Sepanyol itu," katanya kepada mStar Online selepas menghantar kasut tersebut untuk dicuba oleh Ezlynn, petang Isnin. Bercerita lanjut, Neelofa berkata idea rekaan kasut tersebut diperoleh secara spontan ketika dia sedang mengelamun sebelum melelapkan mata pada minggu terakhir, Disember lalu. "Sebelum ini, saya sudah melakukan beberapa draf dan pengubahsuaian pada rekaan kasut tersebut sehinggalah ilham muncul secara spontan sebelum saya masuk tidur pada satu malam, kira-kira dua minggu lalu. "Selepas itu, saya mula melakukan pengubahsuaian terakhir sebelum menghantar rekaan muktamadnya kepada pengeluar dan siap dihantar kepada Ezlynn pada petang Isnin," katanya. Ilham rekaan muktamad kasut bernilai RM20,000 ini muncul secara spontan sebelum Neelofa melelapkan mata pada satu malam, kira-kira dua minggu lalu. Kasut berwarna emas yang menggabungkan renda, permata Rafflesia dan berlian Swarovski itu direka bentuk agar sepadan dengan baju pengantin rekaan tiga pereka muda iaitu Nurliza Azulkarnain, Sya Shaharani dan Sharifah Mariam Syed Mohd. Majlis resepsi itu akan berlangsung pada Rabu ini di Hotel Crowne Plaza Mutiara dan bakal diserikan dengan paduan warna tema emas, kuning dan perang. Ezlynn sah bergelar isteri kepada pengurusnya, Adam Fahmi, 35, pada 20 November lalu dalam satu upacara yang berlangsung di Sime Darby Convention Centre, di sini. Sementara itu dalam perkembangan lain Neelofa mengakui berasa teruja mengendalikan Nona bersama Fara Fauzana pada Ahad lalu bagi menggantikan Vanidah Imran. "Saya berasa seronok dengan pengalaman baru ini. Walaupun kami tidak bergandingan secara langsung sebagai pasangan pengacara, sekurang-kurangnya waktu-waktu yang terluang di antara rakaman program itu dapat saya gunakan untuk bertanyakan tip daripada Fara yang jauh lebih berpengalaman. "Saya bertuah kerana Fara seorang pengacara yang tidak lokek ilmu dan banyak membantu dalam melancarkan pengendalian saya dalam program tersebut," katanya. Dalam pada itu, duta produk kecantikan Avon ini juga sempat berkongsi kegembiraannya apabila tersenarai sebagai calon lima teratas bagi kategori Artis Baru Wanita Popular di Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2011 (ABPBH2011), April depan. "Saya tidak harapkan kemenangan, tersenarai dalam kategori ini pun sudah cukup menggembirakan bagi orang baru seperti saya," katanya. |
Syamsul Tolak Tuduhan Jadi Punca Kecederaan Aaron Posted: 12 Jan 2012 10:34 PM PST PETALING JAYA: Pengarah filem KL Gangster 2 Syamsul Yusof menolak dakwaan mengatakan keterujaannya untuk mendapatkan impak luar biasa pada babak-babak aksi filem terbarunya itu telah mengakibatkan pelakon Aaron Aziz mendapat kecederaan di lokasi penggambaran filem itu malam Isnin. Sebaliknya, Syamsul berkata sebagai seorang pengarah yang berpengalaman dalam pembikinan filem aksi, dia sentiasa mengutamakan aspek keselamatan para pelakon dan krew. "Saya tidak pernah minta pelakon melakonkan aksi yang keterlaluan dan berbahaya. Sebagai pengarah, sudah tentu saya begitu menitikberatkan aspek keselamatan para pelakon dan krew ketika di lokasi penggambaran. "Bagaimanapun insiden kecederaan yang menimpa Aaron Aziz itu tidaklah seteruk seperti yang digembar-gemburkan. Saya mendapat tahu dia cedera pada malam semalam (Isnin) dan akan berjumpa dengannya di lokasi sebentar lagi," katanya kepada mStar Online ketika dihubungi di sini, Selasa. Syamsul berkata insiden tersebut disebabkan oleh keinginan para pelakon yang terlalu komited dan bersungguh-sungguh untuk melakonkan babak-babak aksi sehingga sanggup berhadapan dengan risiko kecederaan. "Sebelum merakamkan babak aksi, kita melakukan latihan mengikut skrip yang dipersetujui bersama. "Para pelakon sendiri begitu teruja untuk memberikan aksi lakonan yang ekstra. Namun, aspek keselamatan tetap jadi keutamaan," katanya. Aaron Aziz Diminta mengulas tentang babak yang mengakibatkan kecederaan pada pelakon kacak itu, Syamsul berkata ketika penggambaran adegan pergaduhan di antara watak Malik lakonan Aaron Aziz dan Tailong (Rosyam Nor) berlangsung, tiada sebarang insiden buruk yang terjadi di lokasi. "Kalau mengikut perancangan, Malik bergaduh dengan Tailong daripada dalam kelab sehingga ke jalan raya. Mereka akan bergaduh di atas bumbung kereta dan Malik jatuh berguling lantas dilanggar kereta. "Bagaimanapun, Aaron mahu memberikan lebih impak, di mana dia memutuskan untuk berlari dan menghempaskan diri ke arah kereta yang sedang bergerak. Semuanya dalam keadaan baik ketika di lokasi dan saya terkejut apabila diberitahu Aaron ditahan di hospital selepas selesai penggambaran itu. "Namun, saya bersyukur ia bukan kecederaan serius kerana Aaron sudah keluar dari hospital dan kembali ke lokasi pada hari ini," katanya. Filem KL Gangster 2 yang merupakan "prekuel" kepada filem pecah panggung KL Gangster (2011) adalah arahan dan lakonan yang ketujuh Syamsul Yusof. Filem yang menjalani penggambaran selama 50 hari ini sudah 80 peratus siap dirakam. |
Sharnaaz Difitnah Keluar Dari Set 'Bicara Hati' Posted: 12 Jan 2012 10:33 PM PST PETALING JAYA: Pelakon utama drama adaptasi Bicara Hati, Sharnaaz Ahmad difitnah apabila salah seorang dalam produksi tersebut telah menyampaikan matlumat kononnya dia cuba melarikan diri dari lokasi pengambaran pada Sabtu lalu. Bagaimanapun Sharnaaz menafikan tentang gosip tersebut dan menganggap masalah yang berlaku tidak seperti yang digambarkan. "Terkejut juga apabila berita itu disampaikan dengan cara yang ditokok tambah. Saya tahu ada orang dalam (produksi) yang cuba menyampaikan cerita salah itu. "Kisahnya bermula apabila saya meminta pengurus produksi (PM) untuk menamatkan penggambaran yang membabitkan saya pada pukul 12 tengah malam Sabtu lalu kerana pada keesokan harinya saya mempunyai penggambaran telefilem lain pada pukul 8 pagi. "Memandangkan PM itu tidak menyampaikan permintaan saya kepada pengarah pembantu (AD), jadi terdapat sedikit salah faham di situ. Tiada isu apapun sebenarnya," katanya yang dihubungi mStar Online di sini, Ahad. Pada Ahad, sebuah blog hiburan melaporkan Sharnaaz telah keluar dari lokasi pengambaran gara-gara tidak berpuas hati dengan perjalanan kerja yang tidak dapat dihabiskan sebelum pukul 12.00 tengah malam. Osman Ali terpaksa memujuk Sharnaaz untuk kembali ke set pengambaran agar dapat menamatkan beberapa babak yang tertangguh. Tambah Sharnaaz, tujuan dia telah meminta izin terlebih dahulu adalah kerana risau jika babak yang membabitkannya akan tamat pada pukul 4 atau lima pagi seperti hari-hari sebelumnya. "Sudahlah sepanjang tiga bulan penggambaran saya dan pelakon-pelakon lain terpaksa bekerja bermula pada waktu pagi dan habis sebelum waktu Subuh. "Tetapi kami tetap meneruskannya walaupun terpaksa. Walaupun terdapat isu-isu bayaran yang berbangkit. Apa-apapun saya tidak mahu memanjangkan hal remeh ini. Terdahulu, pihak produksi berkenaan mengalami masalah apabila jadual penggambaran drama itu menjadi kelam kabut sehingga menimbulkan banyak masalah kepada artis dan krew. Selain itu, penerbit drama berkenaan, Tarantella Pictures Sdn Bhd didakwa mempunyai masalah kewangan sehingga terdapat krew mengambil tindakan menarik diri daripada terlinat dengan pembikinan drama tersebut kerana tidak tahan dengan kemelut yang timbul. Bicara Hati lakonan Sharnaaz bersama pelakon Christina Suzanne, Marsha Londoh dan Lash Mokhtar mengisahkan tentang cinta yang terjalin kerana wang dan kuasa di mana Tengku Shahran, lakonan Sharnaaz terpaksa berkahwin secara kontrak dengan Zahlia (Christina). Drama sebanyak 26 episod itu bersiaran setiap Selasa, pukul 9 malam, bermula 3 Januari lalu menerusi saluran Astro Prima (105). |
Yusry Teman Lisa Surihani Hadiri Kursus Kahwin Posted: 12 Jan 2012 10:32 PM PST CYBERJAYA: Pelakon Lisa Surihani memberitahu terharu dengan bakal suaminya, pengarah filem, Yusry Abdul Halim kerana bertegas untuk menemaninya menghadiri kursus pra-perkahwinan pada 9 Januari nanti. Lisa berkata, walaupun Yusry tidak perlu menghadiri kursus tersebut dia ingin menemaninya sebagai tanda sokongan kepadanya. "Saya cakap dengan abang (Yusry) tak payah pergi tapi dia bertegas jugak untuk menemani saya pada kursus itu nanti sebagai tanda sokongan kepada saya," ujarnya ketika ditemui pada majlis pelancaran filem Ular di KRU Studios di sini, Sabtu. Tambahnya lagi, mereka berdua juga telah pun menjalani ujian saringan HIV pada 6 Januari lalu di Klinik Kesihatan Putrajaya. Dalam pada itu, Lisa berkata, lokasi pernikahannya nanti akan bertukar ke Hotel Marriot Putrajaya selepas solat Maghrib selepas memikirkan faktor-faktor tertentu. Lisa berkata, pertukaran lokasi itu adalah bagi memudahkan semua tetamu yang ingin datang dan mengelakkan kesesakan di masjid jika dibuat selepas solat Asar. "Waktu antara Asar dan Mahgrib adalah singkat dan mungkin akan menyebabkan kesesakan di masjid dan kami tidak mahu ada apa-apa kekecohan di sana nanti kerana perlu menghormati masjid tambahan pula mungkin menyusahkan tetamu untuk datang kerana masih waktu bekerja. "Atas dasar itu juga kita memilih untuk buat selepas Maghrib di Hotel Marriot bagi memudahkan mereka datang selepas bekerja," ujarnya. Terdahulu, Lisa dan Yusry mengumumkan bakal bernikah pada 23 Februari 2012 dan manakala resepsi perkahwinan dijadualkan pada 26 Februari di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC). Sementara itu, bercakap mengenai persiapan perkahwinannya, Lisa berkata, dia bertuah kerana ahli keluarga kedua-dua belah pihak dan rakan-rakannya banyak membantu dalam menyiapkan proses itu. Katanya, walaupun mereka masing-masing sibuk dengan pelbagai aktiviti masing-masing namun bersyukur semua yang dirancang berjalan dengan lancar. "Ramai yang menolong dalam memudahkan persiapan kami dan paling penting baju nikah dan untuk bersanding telah pun ditempah. "Mengenai konsep dan persiapan lain semuanya masih dalam perbincangan dan kami sedang usahakannya bersama-sama," ujarnya. |
Zarina Anjoulie Jadi Wanita 'Gedik' Posted: 12 Jan 2012 10:31 PM PST KUALA LUMPUR: Pelakon kontroversi, Zarina Anjoulie Lavocah tidak pernah merasakan ada penerbit filem atau drama di negara ini cuba mengeksploitasi dirinya gara-gara cerita panas yang melandanya. Zarina berkata, setiap tawaran berlakon yang diterima adalah keputusannya sendiri asalkan watak yang diberikan bersesuaian. "Seperti drama muzikal Kampus, walaupun watak saya sebagai wanita gedik, saya terima kerana belum pernah memegang peranan sebegitu. "Tidak timbul isu saya dieksploitasi kerana nama 'Zarina' itu telah sinonim dengan 'seksi' dan 'nakal'. Saya langsung tiada masalah dengan perkara itu," ujarnya kepada mStar Online ketika ditemui pada sidang media drama muzikal Kampus di sini, Khamis. Tambahnya, dia percaya setiap tawaran yang diberikan kepadanya adalah kerana kepercayaan penerbit dan pengarah filem terhadap bakat yang dimiliki dan bukan kerana cerita kurang enak tentangnya. Dalam pada itu, Zarina berkata, dia tidak mahu lagi memikirkan mengenai cakap-cakap buruk yang dilemparkan kepadanya kerana dia berazam untuk terus fokus dengan kerjaya dan pelajaran. Ujarnya, dia sudah terbiasa dengan tohmahan masyarakat terhadapnya dan tidak perlu membuktikan apa-apa kepada segelintir pihak yang tidak berpuas hati dengannya. "Saya bekerja atau tidak rasanya tidak perlu lagi hendak digembar-gemburkan kepada masyarakat. Saya lebih senang dengan bersikap "low-profile". "Lagi banyak bercakap akan ada sahaja orang mempertikaikan saya, jadi lebih baik berdiam diri dan buat perkara yang tidak mengganggu orang lain," katanya. Sementara itu, bercakap mengenai perkembangan dirinya, Zarina berkata, dia sedikit sibuk dengan pelajaran dalam bidang undang-undang di sebuah koleh swasta di ibu negara. Zarina berkata, dia akan mengambil tawaran berlaku hanya ketika bercuti panjang. "Saya akan cuti semester dalam masa terdekat ini dan akan menjalani penggambaran filem Khon Malay dan Ular terbitan KRU Studios. "Selain itu juga terdapat beberapa projek drama seperti Kampus dan beberapa lagi. Saya juga sedang menanti filem Taiko untuk ditayangkan," ujarnya. |
Diana Danielle Terkejut Spekulasi Nikah Farid Posted: 12 Jan 2012 10:30 PM PST PETALING JAYA: Pelakon jelita Diana Danielle Danny Beeson, 21, menafikan bakal berkahwin pada tahun ini dengan kekasihnya, Farid Kamil, seperti yang dilaporkan sebuah akhbar baru-baru ini. Diana berkata, dia dan Farid terkejut dengan spekulasi tersebut kerana mereka belum merancang sebarang perkahwinan dalam masa terdekat. "Macam manalah gosip itu boleh timbul dan saya rasa ia bukan isu yang penting untuk dihebahkan kerana kami tidak merancang untuk berkahwin. "Lagipun saya masih muda dan banyak perkara yang perlu diberi fokus pada tahun ini. Alhamdulillah kami masih selesa dengan perhubungan cinta ini dan biarlah masa menentukan sejauh mana perhubungan ini boleh pergi," katanya yang dihubungi mStar Online, di sini, Jumaat. Difahamkan, pasangan selebriti ini dikhabarkan sudah memulakan perbincangan asas tentang niat untuk mendirikan rumah tangga. Diana Danille dan Farid Kamil Malah mereka juga sudah bersedia bergelar suami isteri pada tahun ini walaupun usia Diana masih muda. Dalam pada itu dia juga sedang sibuk dengan penggambaran filem Hantu Gangster, arahan Namawee. "Rasa seronok sangat bekerja dengan Namawee. Tambah pula dia mengingatkan saya kepada Afdlin Shauki. "Walaupun dia pernah mencetuskan kontroversi yang membabitkan hal negara, biarlah ia berlalu kerana setiap manusia tidak dapat lari daripada kesilapan. "Kalau boleh saya mahu lihat kerja yang dilakukannya sekarang dan akan datang. Dia mempunyai idea yang sangat bagus dalam mengangkat masyarakat Malaysia melalui setiap filem yang dihasilkannya," ujar Diana. Selain itu, pada tahun ini Diana bakal muncul sebanyak empat buah filem lakonannya seperti Azazil, Spilt Gravy On Rice dan Jiwa Taiko. Malah anak kacukan Melayu-Inggeris ini juga akan memberi fokus kepada pembikinan muzik pula di mana dia ingin muncul dengan sebuah lagu berkonsepkan soul dan Jazz. |
Nabil, Kencana Devi Tidak Gugat Halim Othman Posted: 12 Jan 2012 10:29 PM PST PETALING JAYA: Penyampai radio Suria FM, Halim Othman, tidak merasakan dirinya sebagai 'DJ senior' akan tergugat dengan kehadiran dua pelawak Nabil (Raja Lawak) dan Kencana Devi yang akan bersamanya mengendalikan segmen Breakfast@ Suria. Halim yang menjadi 'kapten' dalam segmen itu berkata, kehebatan dua penyampai baru berkenaan dalam berlawak memberikan satu cabaran buat dirinya dengan bakat masing-masing, segmen pagi tersebut akan menjadi lebih menarik. "Saya tidak berasa tergugat langsung dengan kehadiran mereka sebaliknya gembira kerana dapat mengendalikan segmen ini dengan dua orang yang berbakat besar. "Setakat ini saya suka dengan personaliti Nabil yang jelas di mana dia seorang yang jujur dan kelakar. Begitu juga dengan Kencana, dia hebat berkata-kata. Cuma saya harap apa yang dipersembahkan nanti seimbang," katanya. Halim ditemui pada sidang akhbar program Seria FM 2012 serta memperkenalkan penyampai radio baru Nabil dan Kencana. Barisan penyampai radio Suria FM Tambahnya, dia berharap Nabil dan Kencana dapat membezakan antara melawak di televisyen dan radio kerana impak sesebuah lawak yang dibuat begitu kuat kepada pendengar. "Dalam pada itu, tanggungjawab kami bukan sekadar membuat lawak setiap pagi tetapi memberi informasi berkaitan dengan hal-hal isu semasa. "Kiranya, saya membuka sesebuah topik lalu mereka yang akan kembangkan dengan bakat lawak yang dimiliki masing-masing," ujarnya Sementara itu, menurut Timbalan Ketua Pegawai Operasi Suria FM, Yusry Abu Samah berkata, pemilihan dua penyampai radio daripada pelawak bukan sekadar mengikut trend tetapi ia merupakan satu permintaan para pendengar yang inginkan komedi untuk segmen pagi. "Berdasarkan kajian yang dibuat oleh pihak kami, elemen komedi perlu ada dalam pengisian setiap segmen lebih-lebih lagi pada waktu pagi. Sebagai contoh, pendengar memerlukan lawak jenaka di saat mereka melalui kesesakan lalu lintas sepanjang perjalanan ke kerja. "Bagaimanapun, pihak kami tidak memberikan lawak-lawak kosong, sebaliknya ia akan diisi dengan hal isu-isu semasa," katanya. Selain Breakfast@ Suria (bermula 5 pagi hingga 10 pagi), segmen kendalian Myra dan Zizi menerusi Menu Ceria Suria akan bermula pada pukul 10 pagi hingga 1 tengah hari. Mengisi segmen Santai Pejabat Di Suria (1 tengah hari hingga 4 petang) pula menyaksikan keletah Bob Ringgo, diikuti pula Ceria Petang Di Suria bersama Linda Onn (4 petang hingga 8 malam). Manakala Tyzo akan mengendalikan Citra Muzik Di Suria bermula pada pukul 8 malam hingga 11 malam dan segmen kegemaran ramai, Suria Cinta kendalian DJ Lin pula bermula pada pukul 11 malam hingga 2 pagi. |
You are subscribed to email updates from Lebih 1 juta pageviews dari pembaca blog | tq To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |