Harian Metro: Rap |
‘Saya naik slow & steady’ Posted: 15 Jan 2012 06:37 AM PST BUKAN saja penonton berendam air mata di pawagam dan kutipan filem melebihi RM10 juta, watak Izzah dalam filem Ombak Rindu arahan Osman Ali juga meninggalkan kesan cukup mendalam pada jiwa aktres popular, Maya Karin. Ternyata, watak Izzah dilakonkan itu masih sebati dalam diri pelakon kelahiran Bayreuth, Bavaria, Jerman itu sampai saat ini. Malah, kerana kekuatan watak Izzah dalam filem adaptasi novel terlaris, karya Fauziah Ashari jugalah nama Maya tercalon dalam Top 5, kategori Pelakon Filem Wanita Popular, Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2011 (ABPBH 2011). Begitulah hebatnya penangan watak Izzah di hati penonton. Dalam kategori itu, Maya bersaing secara sengit dengan empat lagi pelakon lain yang tidak kurang hebatnya iaitu Eja (filem Janin), Diana Danielle (....Dalam Botol), Lisa Surihani (Ombak Rindu) dan Yana Samsudin (Bini-Biniku Gangster dan Kongsi). Secara peribadi, Maya sangat bersyukur kerana tercalon dalam kategori berkenaan.
"Saya juga tidak berani cakap atau ramal siapa yang akan menang kerana lebih suka melihat semua calon bertanding secara sama rata. Kalah atau menang, saya lebih suka serahkan pada peminat untuk menilainya kerana ia bergantung pada undian mereka," katanya. Bagaimanapun, akui Maya, dia sangat gembira melihat pencalonan pelakon senior seperti Eja dan pelakon muda Yana dalam tersenarai dalam kategori Top 5, ABPBH 2011. "Melihat pencalonan Eja, saya berasa gembira kerana ada artis berpengalaman tercalon sama. Saya memang sokong dengan pencalonan artis senior dan duduk sebaris dalam kelompok artis yang popular kerana tidak semestinya, artis muda saja yang popular. "Selain itu, saya juga sudah kenal Yana sejak usianya belasan tahun lagi. Pada pandangan saya, Yana, artis yang berbakat besar dan pencalonan itu bagus buatnya berpengalaman berada dalam kelompok kami," katanya. Apapun, Maya mengakui sangat bertuah kerana produser filem Ombak Rindu, Sharad Sharan yang memberi kepercayaan dan peluang padanya untuk memegang watak Izzah berkenaan. "Pada peringkat awal pemilihan saya dulu, ramai pihak yang komen dan pertikai pemilihan saya bawa watak Izzah kerana mereka fikir watak itu layak buat Lisa Surihani. "Bila timbul cerita seperti itu, saya beritahu Osman untuk pertimbangkan semula kerana saya tak mahu filem itu rugi nanti. Saya pun ragu-ragu nak bawa watak Izzah ketika itu dan saya tak kisah kalau bawa watak yang dipegang Lisa pun. Tetapi Sharad tetap tegas dengan keputusannya itu dan sangat berterima kasih pada produser," katanya. Walaupun filem Ombak Rindu sudah masuk Astro First, Maya sukar untuk melupakan watak Izzah itu. "Watak Izzah adalah wanita naif yang berjiwa kental. Di sebalik kelembutan wajahnya tersembunyi kekuatan yang luar biasa. "Saya tetap tidak dapat lupakan watak Izzah sampai bila-bila walaupun berlakon dalam filem lain selepas ini. Saya dapat tahu, filem Ombak Rindu hangat diperkatakan di Astro First ketika ini," katanya. Filem Ombak Rindu terbitan Tayangan Unggul Sdn Bhd (TUSB) dan Tarantela Pictures Sdn Bhd menggandingkan Maya bersama pelakon kacak Aaron Aziz dan Lisa. Selain itu, ia dijayakan Bront Palarae, Zaidi Omar, Julia Ziegler, Normah Damanhuri, Nadia Nisaa dan Kamarool Yusof. Selepas Ombak Rindu, Maya kini menanti filem lakonannya, Lagenda Budak Setan 2 pula ditayangkan di pawagam tahun ini. Selain itu, dia sibuk menjayakan tiga projek iklan dan duta produk iaitu Inner Shine, L'Oreal dan projek khas dengan kerajaan iaitu iklan 3D yang pertama seumpamanya di Asia. Berkongsi pencapaiannya lebih sedekad dalam bidang seni, penyanyi, pengacara dan duta produk ini sendiri tidak menyangka masih bertahan sampai hari ini. Sepanjang berkecimpung dalam bidang seni, pelbagai anugerah sudah diraihnya iaitu Pelakon Wanita Terbaik, Festival Filem Asia Pasifik Ke-49 di Fukuoka, Jepun (2004); Pelakon Terbaik Festival Filem Fantasi dan Seram Estepona, Malaga, Sepanyol (2005); Pelakon Filem Wanita Popular (ABPBH2005) dan Aktres Filem Pilihan Anugerah Oskar Ke-6; Pelakon Wanita Terbaik FFM21. "Saya masih ingat lagi, mula-mula berlakon dulu, ada orang cakap, saya hanya boleh berada dalam bidang seni tidak lebih dari lima tahun saja. Namun, ia sebaliknya bila saya masih diterima peminat sampai hari ini. Saya juga melihat perjalanan karier saya naik secara perlahan-lahan 'slow and steady'. "Bagi mengembangkan lagi karier seni, saya juga ingin kurangkan cerita peribadi tahun ini kerana ingin lebih fokus pada bidang seni. Bukannya saya takut dengan gosip atau kontroversi kerana sudah lali dengan semua itu sejak berkecimpung dalam bidang seni. Selain itu, saya juga ingin kembali gigih bekerja kerana banyak berehat pada tahun lalu," katanya. 7 perkara mengenai Maya Karin Filem terakhir yang buat anda menangis Sifat lelaki yang tak disukai Kereta mewah idaman Aktor Hollywood yang menjadi idola Warna yang tidak disukai Haiwan yang paling ditakuti Destinasi percutian idaman Full content generated by Get Full RSS. |
‘Gilirin kami pula tarik diri’ Posted: 15 Jan 2012 06:21 AM PST TINDAKAN Presiden Gabungan Persatuan Karyawan Filem Malaysia (Gafim), Jurey Latiff Rosli yang menyentuh kredibiliti Persatuan Pengarah Malaysia (FDAM) memang memberi kesan mendalam terhadap ahli-ahli yang dianggotai pengarah filem dan drama itu. Terbit perasaan tidak puas hati kerana ia sangat keterlaluan dan dibuat tanpa usul periksa. Nada tegas Gafim yang memberitahu tidak akan teragak-agak mengambil jalan yang mungkin kurang popular iaitu menggugurkan mana-mana persatuan yang dianggap mempunyai masalah daripada menjadi ahli gabungannya, jelas menghantui FDAM. Kemuncaknya selepas berfikir panjang, FDAM membuat keputusan menarik diri daripada menganggotai Gafim baru-baru ini.
Dalam pertemuan dengan Rap pada Rabu lalu, Pemangku Presiden, Mokhtar Abu Bakar; Pemangku Timbalan Presiden FDAM, Syed Zulkifli Syed Masir dan Ketua Biro Undang-Undang Dan Disiplin, Abdul Rahim Awang berkata, satu surat bertarikh 9 Disember 2011 dihantar kepada persatuan itu dan diterima pada 9 Januari 2012 bagi memaklumkan penarikan diri FDAM daripada gabungan yang dianggotai oleh 11 persatuan ini. "Gafim adalah gabungan persatuan artis dan dianggotai oleh tunggak utama terdiri daripada penerbit, pengarah, penulis skrip dan pelakon. Sebelum ini pun Persatuan Penerbit Filem Malaysia (PFM) pun sudah menarik diri, manakala Persatuan Penulis Skrin Malaysia (SWAM) masih tidak jelas kedudukannya. Apa jadi Gafim tanpa tiga persatuan utama ini?
Kata Mokhtar, segala-galanya berpunca daripada panggilan yang diterima daripada Gafim supaya FDAM hadir ke mesyuarat yang diadakan pada 27 Oktober lalu. Bagaimanapun dia yang sudah dilantik menjawat jawatan Pemangku Presiden tidak dapat hadir kerana ada masalah. "FDAM dan Mat London (bekas presiden) faham undang-undang dan dia sudah kosongkan jawatan itu menerusi surat peletakan jawatan pada 20 Mei 2011. Kami juga sudah memaklumkan pada Gafim dalam mesyuarat pada 4 Oktober lalu dan memberitahu melantik Mat London sebagai penasihat FDAM. Rasanya itu dah jelas. "Bagaimanapun Gafim pula lantik Mat London jadi Pengerusi Promosi dan Publisiti FFM 24 dan berikan alasan pelantikan dibuat atas kapasiti peribadi. Ketika mesyuarat itu dibuat, Mat London terbabit dengan Jelajah FFM 24 di Johor. Saya memang nak hadir, tetapi ada kes kematian. Syed ada mesyuarat di Ipoh manakala Rahim pula ada mesyuarat di Melaka. "Namun sekiranya mereka nak sangat Mat London hadir, dia boleh berbuat demikian pada sebelah malam. Bagaimanapun mereka tetap teruskan mesyuarat dengan alasan makanan sudah ditempah. FDAM tiada masalah dan berjalan macam biasa namun kenapa mereka marah dengan Mat London sehingga bertindak buat mesyuarat. "Hasil keputusannya sangat mengejutkan kerana Gafim menjatuhkan hukuman nak gantung FDAM. Mereka kata akan hantar surat tunjuk sebab, tetapi kami tunggu sampai sekarang tidak sampai. Kami tahu sebenarnya hukuman ini bukan keputusan sebulat suara. Malah ada ahli jawatankuasa yang terkejut. "Dalam undang-undang juga ada disebut tertuduh boleh diberi peluang membela diri tetapi nampaknya Gafim tidak faham perkara ini. Sekali lagi mereka tidak faham Gafim adalah gabungan bukannya persatuan. Dalam perlembagaan ada menyebut presiden tidak boleh menggantung mana-mana pihak kecuali dalam mesyuarat agung. "Tindakan ini dibuat secara melulu, tanpa surat tunjuk sebab dan dibuat secara lisan. Patutnya ada surat tunjuk sebab dan surat meminta penjelasan daripada kami kerana kami nak menjawab semua persoalan yang diperkatakan. Kami yakin FDAM tidak melakukan sebarang kesalahan," katanya yang tidak gemar hal dalaman mereka diganggu oleh orang luar. Menjawab persoalan mengenai penyertaan semula dalam Gafim, mereka memberitahu segala-galanya diserahkan kepada pucuk pimpinan baru FDAM yang akan dilantik selepas Mesyuarat Agung pada Mac atau April ini. "Kami hanya pegang jawatan sehingga tempoh ini kerana sayangkan FDAM. Mesyuarat (dua tahun sekali) perlu dibuat sama ada hujung Mac atau awal April untuk mencari barisan kepimpinan baru. Terpulanglah kepada mereka yang terpilih untuk buat keputusan selanjutnya nanti," kata Syed Zulkifli. Full content generated by Get Full RSS. |
You are subscribed to email updates from Harian Metro: Rap To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |