Adsense

Isnin, 23 Januari 2012

Berita Harian: Hip

Berita Harian: Hip


Misha, Rossa di IB

Posted: 22 Jan 2012 03:01 PM PST

Hip

Bergabung menerusi Konsert Cinta: Diva Dua Negara Julai depan

SEDEKAD bergelar penyanyi, keinginan nan satu yang sudah lama dicita-citakan wanita bernama Misha Omar ini kian tercapai. Julai bakal mencatat satu sejarah dalam lipatan kerjaya anak kelahiran Kelantan ini.

Selama ini dia berpeluang menjejakkan kaki di Panggung Sari, Istana Budaya (IB) atas tiket pelakon teater sedangkan kerjayanya bermula sebagai penyanyi. Namun tanggal 6 hingga 8 Julai nanti, hasrat yang sekian lama terpendam di kalbu Misha bakal direalisasikan menerusi Konsert Cinta: Diva Dua Negara anjuran CTRA Production.
Bagaimanapun penyanyi lagu Bunga-Bunga Cinta ini tidak keseorangan, sebaliknya konsert berkenaan turut menyaksikan kehadiran penyanyi Indonesia, Rossa.

"Memang sudah lama saya mengimpikan sebuah konsert. Melihat penyanyi lama dan baru turun naik pentas, keinginan itu tentunya terbit juga di hati.

"Apatah lagi melihat Datuk Shiela Majid dan Yuna mengadakan konsert, memberi inspirasi kepada saya untuk melakukan perkara serupa. Saya sentiasa berdoa satu hari nanti keinginan itu termakbul.
"Alhamdulillah, tahun ke-10 dalam bidang ini, barulah impian itu tercapai. Walaupun perjalanannya panjang, bagi saya ia berbaloi. Selama ini saya seronok melihat teman-teman melakukannya.

"Bagi saya biarlah apabila lapar baru makan daripada sudah kenyang, tapi masih disuap. Konsert ini akan menjawab pertanyaan peminat yang rindukan saya selama ini. Saya masih aktif menyanyi cuma kebanyakannya membabitkan persembahan korporat dan majlis makan malam," kata Misha yang sukar menggambarkan betapa terujanya dia untuk menghadapi konsert berkenaan.

Saat dilamar CTRA Production, penyanyi yang baru meraikan ulang tahun ke-30 pada 6 Januari lalu, berkata terlalu sukar untuk menggambarkan perasaannya ketika itu.

Malah saat dihubungi Hip, dia masih sukar mempercayai hakikat itu. Hilai ketawanya di hujung talian sudah cukup menggambarkan perasaan wanita ini.

Kata Misha, dia tidak memerlukan penari latar untuk mengiringi konsertnya nanti. Sebaliknya hanya bersandar kepada kekuatan suaranya untuk memikat hati peminat.

"Vokal adalah senjata saya, bagi mempersiapkan diri untuk konsert itu saya sudah mula ke gimnasium.
Sebenarnya masih terlalu awal untuk saya memperkatakan mengenai konsert ini kerana ada beberapa bulan lagi.

"Namun sedikit sebanyak yang boleh dikongsikan, saya dan Rossa masing-masing diberi tempoh satu jam untuk membuat persembahan. Kami mungkin akan berduet pada malam itu, tetapi lagu apa yang bakal dinyanyikan masih belum diputuskan. Kami akan berbincang dengan Datuk Ramli MS sebagai pengarah muzik terlebih dulu," kata Misha yang tidak bimbang dibayangi Rossa kerana masing-masing akan muncul dalam slot berasingan.

Tambahnya, mereka mempunyai cara tersendiri. Hanya jalinan muziknya saja yang sama, justeru dia tidak bimbang Rossa akan membayangi persembahannya.

Dalam konsert berkenaan, Misha berkata, dia bakal mendendangkan lagu daripada album pertamanya sehinggalah kini. Antara lagu hit miliknya seperti Bunga-bunga Cinta, Lilitan Asmara, Halaman Asmara, Cinta Adam & Hawa, Pulangkan, Ku Seru dan banyak lagi.

Konsert mereka tiada dalam senarai

Konsert Cinta: Diva Dua Negara gandingan Misha Omar dan Rossa tidak ada dalam kalendar Istana Budaya (IB) kerana penganjur baru mengemukakan permohonan untuk membuat persembahan kepada pengurusan panggung budaya ini.

Sehubungan itu, tarikh konsert yang dikatakan pada 6 Julai hingga 8 Julai belum diputuskan kerana ia tertakluk kepada kekosongan IB pada waktu itu.

Ketua Pengarah IB, Datuk Mohamed Juhari Shaari berkata, pihaknya masih di peringkat perbincangan dan permohonan yang diterima itu perlu dibawa ke peringkat pengurusan tertinggi untuk mendapatkan kelulusan.

"Memang terdapat kekosongan pada tarikh terbabit tetapi masih belum memutuskan program yang akan diisi.
Rasanya saya baru saja menerima permohonan daripada penganjur dan kita perlu membawanya ke dalam mesyuarat pengurusan sebelum memberikan kelulusan.

"Saya nasihatkan kepada artis yang ingin membuat persembahan di sini jangan mengeluarkan sebarang kenyataan selagi ia belum mendapat kelulusan sebab banyak penilaian yang perlu kita lakukan sebelum memberikan kebenaran," katanya ketika dihubungi Hip.

Sebelum ini IB ada menerima permohonan daripada Rossa untuk mengadakan konsert di IB tetapi terpaksa ditolak kerana tiada kekosongan.

Mohamed Juhari menegaskan, ia bukan bermakna IB menghalang artis luar termasuk dari Indonesia untuk mengadakan persembahan di situ kerana terdapat slot khas untuk artis antarabangsa.

"Kita memang buka untuk artis antarabangsa beraksi di sini seperti konsert West End. Rossa mempunyai ramai peminat di sini jadi buat apa kita nak lepaskan peluang itu cuma tarikh yang dipilih penganjur tiada kekosongan," jelasnya.

Kesudian penyanyi Indonesia itu mengadakan konsert solonya di IB selepas tertarik menonton konsert Datuk Siti Nurhaliza, tiga tahun lalu.

Memikirkan banyak faktor yang perlu dititik beratkan sebelum memberi sebarang kelulusan kepada penganjur, Juhari berkata ia penting memandangkan IB adalah lokasi seni bertaraf antarabangsa.

"Banyak faktor yang perlu kita teliti dari segi persembahan, kredibiliti penganjur, tarikan penonton dan macam-macam lagi kerana Istana Budaya bukan pentas biasa.

"Kita buka kepada semua syarikat produksi yang ingin mengadakan persembahan di sini asalkan persembahan yang dibawa itu mampu menarik penonton yang ramai," katanya.

Full content generated by Get Full RSS.

Black tak lupa daratan

Posted: 22 Jan 2012 02:58 PM PST

Hip

Black

Black

Bertekad dekati peminat dengan menyertai siri jelajah ABPBH2011

SEKALIPUN puncak kegemilangan sudah dirasai dalam masa yang singkat sebagai penyanyi, Black atau nama sebenarnya Hanifah Md Hanafiah, 25 tidak mahu terus hanyut dengan dunia glamor.

Pada tahun 2010, Black diangkat sebagai Artis Baru Lelaki Popular di Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2009 (ABPBH2009) sekali gus berada di kelompok penyanyi popular yang dilimpahi peminat. Daripada remaja biasa yang kais pagi makan pagi, kais petang makan petang, Black kini sudah mampu memiliki dua kereta mewah dan sebuah rumah hasil titik peluhnya.

Meskipun rezekinya murah, namun tidak sesekali melupakan segala kehidupannya yang pernah dilalui.

"Alhamdulillah semua yang berlaku adalah takdir dalam kehidupan saya. Kita semua tidak pernah tahu apa yang berlaku di kemudian hari. Apa pun kita jangan lupa untuk terus bersyukur kerana rezeki itu ada di mana-mana saja," kata penyanyi yang memiliki suara yang unik.

Sebagai anak yang sentiasa menghargai pengorbanan kedua ibu bapanya, Black tidak pernah lupa tanggungjawabnya untuk membalas jasa insan yang pernah menyusu dan membesarkannya sejak lahir.
"Alhamdulillah hasil titik peluh akhirnya saya dapat membeli rumah sendiri. Rumah itu saya hadiahkan kepada ibu dan bapa, saya mahu mereka tinggal di situ kerana lebih selesa berbanding rumah sekarang.

"Namun saya tidak akan tinggalkan rumah sekarang ini di flet Projek Perumahan Rakyat (PPR), Kerinchi, Pantai Dalam dan akan terus tinggal di situ bersama abang. Walaupun ramai tahu kehidupan di flet kurang selesa, namun sepanjang 25 tahun saya di sana saya cukup serasi.

"Walaupun saya sudah dikenali ramai, saya tidak akan tinggalkan ramai kawan-kawan yang sama-sama membesar di sana. Aktiviti yang paling seronok adalah bermain bola sepak," jelasnya lagi.

Mengimbas suka-duka sebelum bergelar penyanyi, Black mengakui perubahan dirinya sebagai artis banyak memberi reaksi positif kepada penduduk di sana.

"Saya bersyukur sejak bergelar artis ini saya memiliki lebih ramai kawan daripada sebelum ini. Bukannya mahu membanggakan diri atas perubahan saya sebagai artis, namun mahu menyatakan syukur kerana hubungan kami semakin erat daripada sebelum ini.

"Jika dulu saya tidak diendahkan dan ada yang tidak menyukai saya, namun kini kami semuanya sudah bersatu kembali menjalankan kehidupan lebih aman, atas sebab itu saya sangat sayang untuk tinggalkan flet PPR Kerinchi," katanya
Mengenai namanya yang tersenarai dalam Top 5 bagi kategori Penyanyi Lelaki Popular ABPBH2011, Black berkata, dia mahu menyertai seberapa banyak siri jelajah ABPBH2011 kerana daripada situ boleh mendekati dan menghargai peminat. Dalam kategori itu, Black disenaraikan bersama Anuar Zain, Faizal Tahir, Aizat dan Hafiz.

"Tahun ini saya mahu memberi lebih komitmen kepada penganjuran ABPBH2011 lebih lagi pada siri jelajah ABPBH2011. Bagi saya tidak ada sedikit kerugian mengikuti program ini kerana inilah peluang kami mendekati peminat. Saya melihat ia bukan program jangka pendek hanya untuk ABPBH2011, tetapi membina hubungan jangka panjang bersama peminat.

"Tahun ini adalah tahun ketiga saya dicalonkan dalam ABPBH dan tahun ketiga juga akan mengikuti road toud. Saya sudah sediakan sesuatu kepada peminat untuk saya berikan pada siri jelajah promosi ABPBH2011 nanti," katanya yang baru saja pulang bercuti bersama Fasha Sandha, Nabil Ahmad, peminat dan pemenang Gemilang Bersama Bintang ABPBH ke Jakarta-Bandung.

Bercerita mengenai kerjaya, Black yang bernaung di bawah label Monkey Bone Records berpuas hati untuk penerbitan album pertamanya berjudul Black Opsesi yang sudah berada di pasaran sejak Julai tahun lalu.

Uniknya album yang mengandungi enam lagu ini mengangkat nama wanita sebagai judul Dewi Alia, Natalia, Lia, Gina dan Sofea Jane dan lagu lain seperti Aku Rindu Sayang Kamu.

"Saya puas dengan album ini kerana selain judul dan liriknya, semua lagu dengan genre balada ini diadun dengan vokal bernada tinggi. Untuk album pertama memang saya mengambil masa yang lama kerana menitikberatkan kualiti.

"Ada lagu yang saya rakamkan hanya 15 minit saja iaitu lagu Sofea Jane. Saya masuk studio untuk mendengar muzik dan terus menyanyi untuk dirakamkan," katanya.

Tahun ini juga perancangan terus diatur demi memastikan kerjayanya terus menyinar, Black akan memastikan album keduanya dapat diterbitkan pada tahun ini juga.

"Saya sudah rancang untuk album kedua dan ada pun single terbaru untuk 10 atau 11 lagu, tapi bukan rakam semua lagu, kami masih gunakan pendekatan sama iaitu mengeluarkan single demi single," katanya.

Full content generated by Get Full RSS.