Kosmo Online - Hiburan |
Posted: Izara, Tasha benci TizKEDUA-DUA pucuk muda ini hadir ke dunia seni dengan pakej yang lengkap. Cantik dan berbakat. Namun, tuah Izara Aishah mahupun Tasha Shilla hadir bukan dalam waktu yang pantas. Bakat mereka hanya disedari tatkala lakonan antagonis yang dibawa begitu berkesan di mata peminat. Watak Fiona yang dijayakan oleh Izara dalam drama bersiri Soffiya masih melekat kuat rasa amarah di hati peminat terhadapnya sehingga kini. Begitu juga watak Cikgu Ruhana yang dimainkan Tasha menerusi drama Gemilang masih diingati biarpun drama tersebut sudah lama melabuhkan tirainya. Izara mahupun Tasha bagaimanapun mengaku tidak begitu selesa membawakan watak antagonis yang mampu membuatkan penonton membenci diri mereka namun tidak juga menidakkan tuah populariti yang dikecapi adalah menerusi watak sebegitu. Persamaan turut dikongsi kedua-dua aktres itu apabila dikatakan berdendam dan membenci pelakon Tiz Zaqyah. Berpeluang bertemu dengan Izara dan Tasha usai sidang media Anugerah Bintang Popular (ABP2011) yang berlangsung di Holiday Villa, Subang, Selangor baru-baru ini, Kosmo! tidak melepaskan peluang untuk bertanyakan hal itu seterusnya merungkai kisah dendam dan kebencian yang dilemparkan kedua-dua aktres itu terhadap Tiz Zaqyah. Izara mahukan penghormatan Sebelum ini kehadiran pemenang tempat kedua Dewi Remaja 2010, Izara, 19, dalam dunia lakonan hanya di pandang sepi. Tidak ramai yang sedar akan kehadirannya dan menganggap pelakon itu sekadar menambahkan muka-muka baharu di persada seni. Khalayak lebih tertumpu kepada Neelofa dan anak dara kepada Rohana Jalil, Khilafairy. Namun, selepas kemunculannya dalam drama Keranamu Laila dan Soffiya, nama Izara mula meniti di bibir peminat. Dua drama rantaian itu cukup membuatkan nama pelakon muda berasal dari Johor Bahru itu diterima peminat dalam industri hiburan tanah air. "Drama Soffiya memang memberi impak yang besar kepada Izara. Ia disebabkan, watak Fiona yang begitu membenci dan berdendam dengan ibu tirinya sendiri lakonan Tiz Zaqyah. "Disebabkan drama itu Izara mula dikenali. Malah, ketika berada di luar ramai yang menegur tetapi tidaklah sampai membenci sehingga sanggup memaki hamun kerana watak antagonis yang dibawa Izara," ujarnya saat ditanya mengenai impak terhadap watak jahat yang dibawanya. Izara juga menolak tanggapan dia dan Tiz mempunyai masalah. Menurutnya, lakonan yang dijayakan tidak sampai terbawa-bawa sehingga habis pengambaran drama tersebut. Sinonim dengan watak antagonis Izara bagaimanapun mengakui kurang selesa dianggap sesuai menjayakan watak sebegitu. Katanya: "Saya takut peminat menganggap saya sebagai pelakon stereotaip. Kalau boleh Izara mahu berlakon pelbagai watak. Sebenarnya, Izara pernah berlakon watak baik dalam drama Kasih Najihah dan juga watak komedi dalam drama Jejaka J. Namun, peminat masih belum mengenali Izara ketika itu". Sering menjayakan drama Izara juga mengimpikan tawaran berlakon filem namun menganggap rezekinya untuk berlakon layar perak masih belum tiba. Katanya, biarpun ada tawaran berlakon filem tetapi watak yang diterima kadangkala tidak menepati citarasa malah ada juga watak yang diminati tidak kena pula dengan masanya. Bercerita mengenai projek terbaharunya, ujar pelakon yang sudah mempunyai buah hati tetapi bukan dalam kalangan orang seni itu, sekarang ini dia sedang menjalani penggambaran untuk drama terbaharu iaitu Vanila Coklat. Drama gandingan kesebelasnya bersama pelakon Iqram Dinzly itu bagaimanapun tidak menunjukkan sisi negatif Izara, sebaliknya dia akan melakonkan watak baik. Biarpun tawaran mencurah-curah dalam bidang lakonan, Izara bagaimanapun menolak untuk membuat dua kerja dalam satu masa. Dia juga mengakui mengimpikan sebuah penghormatan terhadap kariernya sebagai pelakon. "Izara lebih selesai menerima satu kerja dalam satu masa. Jadi, Izara dapat menumpukan 100 peratus perhatian dan memberikan yang terbaik dalam lakonan Izara. "Perjalanan karier Izara masih jauh. Izara mahu hasil kerja Izara nanti diberi penghormatan dan ketika itu baru Izara puas menjadi sebagai seorang pelakon," tuturnya yang serius menceburi bidang lakonan. Tasha kemaruk berlakon Tasha Shilla atau nama sebenarnya Natashasheila Abdul Razak, 24, pula mengaku fasa kehidupannya dalam bidang lakonan semakin lancar selepas membintangi drama Gemilang. Cuma, dia memerlukan sedikit masa lagi untuk mengukuhkan namanya di persada seni lakon tanah air. Sememangnya watak Cikgu Ruhana yang berebutkan Saifullah (lakonan Shahz Jazsle) daripada Asma (Tiz Zaqyah) yang dibawa oleh Tasha berjaya menonjol bakat lakonan gadis berasal dari Kuala Lumpur itu. Akibat daripada perebutan hati Saifullah, Tasha dikatakan mula membenci Tiz. Namun katanya, semuanya itu sekadar lakonannya di dalam drama Gemilang. Realitinya, pelakon berwajah comel itu sangat mengagumi bakat lakonan yang ada pada Tiz. Baru dua tahun membabitkan diri dalam bidang lakonan, Tasha mengaku apa yang menggembirakan dirinya adalah impian sejak kecil untuk bergelar pelakon akhirnya menjadi kenyataan. Begitupun, Tasha menolak pandangan nakal yang mendakwa populariti mendadak yang melanda dirinya hari ini bersandarkan pada tuah semata-mata. Hakikatnya dia menyifatkan populariti diri yang dikecapinya itu bertitik-tolak daripada komitmen dan bakat yang dimiliki dalam bidang lakonan. Malah, anak sulung itu juga mengakui hadir dalam dunia seni tanpa bantuan sesiapa. "Saya pergi sendiri casting drama Kabir Bhatia, Gemilang tanpa ditemani sesiapa. Alhamdulillah, saya berjaya mendapat watak Cikgu Ruhaya. Memang sejak kecil lagi Tasha impi menjadi seorang pelakon dan sekarang ia sudah tercapai. "Memang saya akui kehadiran saya dalam bidang seni juga bergantung pada tuah tetapi bukan bersandar kepada tuah semata-mata. Pencapaian kecil yang saya kecapi sekarang adalah kerana kerja keras dan komitmen yang saya curahkan untuk berada dalam bidang ini," katanya. Tasha juga tidak meletakkan sasaran berapa banyak job yang harus dia ambil dalam satu masa, asalkan dia mampu melaksanakan semua kerja yang diberi dengan sebaik mungkin. Kongsi Tasha lagi, dia juga menolak sebarang bentuk kontroversi atau kisah remeh-temeh sebagai senjata untuk membina namanya. Dia menganggap dirinya dikenali ramai kerana kerja dan bukan kerana kontroversi. "Saya sentiasa ingatkan diri fokus sebenar saya berada dalam bidang ini. Jadi, saya seboleh-bolehnya tidak mahu ada cerita-cerita panas atau kontroversi murah yang dikaitkan dengan diri saya," katanya senyum tetapi bernada serius. Pelakon filem Ratu The Movie itu juga sangat berbesar hati apabila orang ramai mengenalinya kerana sesuatu watak yang dilakonkannya dan bukan kerana kisah kontroversi. Tasha juga tanpa berselindung mengakui dia tidak memerlukan cinta pada masa terdekat ini. Dia juga menolak dakwaan kehadirannya dalam dunia seni semata-mata untuk mengejar insan bergelar VVIP. "Lakonan adalah kerjaya impian saya dan saya tidak mahu komitmen hubungan cinta akan merosakkan perkembangan kerjaya saya hanya kerana leka dengan permainan cinta," ungkapnya optimis. Full content generated by Get Full RSS. |
AIM hanya untuk rakyat Malaysia Posted: AIM hanya untuk rakyat MalaysiaOleh RONI HIDAYAT RIDWAN MENGHAMPAKAN. Itulah kesimpulan yang boleh dibuat terhadap Forum Anugerah Industri Muzik (AIM) Ke-18 yang telah dianjurkan oleh Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM) baru-baru ini. Bermatlamat memberi peluang kepada penggiat industri muzik tempatan terutamanya penyanyi dan komposer untuk meluahkan pandangan dan idea, tetapi ia seolah-olah tidak digunakan sebaiknya. Apa yang mengecewakan, rata-rata penyanyi dan komposer yang meluangkan masa untuk hadir pada forum yang berlangsung di Hotel Royale Chulan, Kuala Lumpur pada 6 Disember lalu tidak sampai 20 orang. Malah, antara barisan penyanyi popular tempatan yang dilihat berada pada forum tersebut hanyalah Joe Flizzow, Atilia, Altimet, Hunny Madu, Hang Dimas, Monoloq, dan Radhi OAG. Mengulas mengenai situasi tersebut, Pengerusi Bersama Jawatankuasa Pengelola AIM 18, Rosmin Hashim selaku salah seorang ahli panel menyatakan pihaknya berpuas hati dengan penganjuran forum berkenaan. "Walaupun tidak ramai yang dapat hadir pada forum yang dianjurkan ini, namun ia tetap dapat berjalan seperti biasa dan kami sudah melaksanakan tanggungjawab untuk memberi ruang kepada penggiat seni untuk bersuara. "Malah, rata-rata mereka yang datang juga telah memberikan maklum balas yang baik dengan memberikan pelbagai pandangan yang mungkin boleh dipertimbangkan oleh kami agar penganjuran akan datang menjadi lebih baik," jelasnya lagi. Ujar Rosmin, dia tidak menyalahkan mana-mana pihak yang tidak hadir terutamanya penyanyi dan beranggapan tarikh forum yang diadakan itu berkemungkinan besar bertembung dengan jadual mereka. Sementara itu, pada forum yang turut dibarisi oleh dua orang lagi panel iaitu Adrian Lim dan Ramani Ramalingam, mereka turut mengumumkan tentang beberapa pembaharuan yang akan dilakukan pada masa akan datang. AIM Cina, AIM India Salah satunya, pihak RIM sudah merancang untuk mengadakan tiga penganjuran AIM yang berbeza menerusi tiga pecahan iaitu AIM Cina dan AIM India untuk memberi pengiktirafan kepada penggiat seni yang berbilang kaum. "Melihatkan kepada perkembangan industri muzik tempatan sekarang, sudah ramai penggiat seni yang terdiri daripada bukan Melayu muncul dan sewajarnya mereka perlu diberikan pengiktirafan yang sama. "Lagipun adalah kurang sesuai sekiranya lagu-lagu berbahasa Cina dan India untuk dipertandingkan dengan lagu-lagu Melayu kerana ia akan memberikan kesukaran kepada penjurian yang dilakukan," ujar Rosmin. Selain itu, bermula pada tahun hadapan pihak RIM akan memperketatkan lagi syarat kelayakan iaitu penyertaan akan dibuka kepada 100 peratus penggiat seni warganegara Malaysia seperti penyanyi, komposer, penulis lirik, penerbit dan syarikat rakaman tempatan. Jelas Rosmin, syarat sebegitu sebenarnya sudah mula diperkenalkan pada penganjuran AIM 18, tetapi setakat ini ia lebih tertumpu kepada komposer dan penulis lirik sahaja. "Kalau penyanyi luar negara yang bernaung di bawah label syarikat tempatan dibenarkan untuk bertanding dalam AIM, pada penganjuran akan datang penyanyi, komposer dan penulis lirik mestilah warganegara Malaysia. "Biarpun syarat yang dikenakan ini agak lebih ketat, tetapi apa yang pihak penganjur lakukan ini adalah semata-mata mahu memberi pengiktirafan kepada penggiat muzik tempatan dalam memajukan lagi industri," tegasnya. Bagaimanapun, Rosmin turut menyatakan pihak penganjur tetap memberi sedikit kelonggaran untuk kategori album terbaik apabila masih mengekalkan kriteria pembabitan 60 peratus pemuzik tempatan dan 40 peratus pemuzik luar negara. "Dalam sesebuah penerbitan album itu pasti ada satu atau dua buah lagu yang dihasilkan oleh komposer atau pemuzik luar. Namun, ia tetap layak dipertandingkan asalkan 60 peratus perlu membabitkan warga tempatan. "Lagipun adalah tidak adil kalau kami hendak menyekat sesebuah album itu untuk bertanding dalam AIM hanya disebabkan terdapat sebuah lagu yang dihasilkan oleh orang luar," ujarnya. Pada masa yang sama, pihak penganjur akan mempertimbangkan beberapa cadangan yang telah diusulkan seperti membuka semula beberapa kategori yang pernah digugurkan serta pemilihan lagu terbaik yang bukan dikira daripada pemenang setiap sub kategori. Kelonggaran syarat Salah seorang tetamu forum yang hadir iaitu penyanyi Atilia menyatakan, dia sebenarnya kurang bersetuju dengan beberapa langkah yang akan dilakukan oleh pihak RIM pada penganjuran akan datang. Tegasnya, syarat untuk menetapkan penyertaan 100 peratus pembabitan penyanyi tempatan untuk layak bertanding dalam AIM dilihat kurang sesuai dengan perkembangan industri muzik sekarang. "Kalau kita lihat sekarang ini sudah ramai penyanyi tempatan yang menjalinkan kolaborasi dengan penyanyi-penyanyi luar negara. Kalau syarat sebegini dibuat, sudah tentu ada lagu-lagu yang bagus tidak dapat dipertandingkan. "Jika syarat ini dilaksanakan pada masa akan datang, sudah tentu ia akan mengurangkan lagi minat penyanyi-penyanyi di Malaysia untuk menyertai AIM disebabkan perkara sebegini. Menurutnya lagi, menjalinkan kolaborasi dengan penyanyi luar juga sebenarnya sudah menjadi satu trend dan langkah yang berkesan untuk mempromosikan artis tempatan di luar negara. Selain itu, Atilia juga turut melahirkan rasa sedikit kecewanya terhadap sambutan kurang menggalakkan pada penganjuran forum tersebut kerana ia adalah platform terbaik untuk para artis bersuara. "Selama ini kebanyakan artis selalu bersuara di luar sahaja kalau ada rasa tidak puas hati. Namun, bila sudah diberi peluang untuk mereka meluahkan pandangan, ternyata mereka seolah-olah memandang remeh perkara ini. "Walaupun terdapat beberapa kelemahan yang dilakukan oleh pihak penganjur, tetapi sekurang-kurangnya mereka masih tetap memberi ruang kepada sesiapa sahaja untuk berbincang bagi memperbaiki segala kesilapan," tegasnya. Full content generated by Get Full RSS. |
Posted: Dianna, Sebastian putus cintaDIANNA AGRON PERCINTAAN antara bintang Glee, Dianna Agron dan bintang Gossip Girl, Sebastian Stan telah menemui kehancuran. Dianna dan Sebastian yang mula menjalinkan hubungan cinta pada Julai tahun ini dikatakan terpaksa menamatkan percintaan mereka gara-gara hubungan jarak jauh mereka. Ujar sumber: "Diana dan Sebastian mengambil keputusan memutuskan hubungan cinta kerana mereka tinggal jauh antara sama lain - Dianna di Los Angeles manakala Sebastian di New York.Hubungan jarak jauh mereka akhirnya menemui kegagalan." Tambah sumber kepada majalah Us Weekly: "Hubungan antara Dianna dan Sebastian juga putus disebabkan isu kepercayaan. Dianna selalu risau Sebastian akan curang terhadap dirinya setiap kali mereka berjauhan sedangkan Sebastian setia kepadanya." Sebelum ini Dianna pernah menjalinkan hubungan dengan aktor Alex Pettyfer, namun percintaan mereka berakhir ekoran sikap Alex yang curang. Full content generated by Get Full RSS. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Hiburan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |